Switch Mode

Bintang Utara: R.I.M.A.U – Bab 9

Kejutan

Debu pasir yang meliar di udara perlahan-lahan luruh menjejak bumi.

Bahang panas daripada bilah pedang tenaga biru itu mula meruap, membakar kelembapan angin malam sebelum cahayanya memantul garang pada seraut wajah pucat Zayn.

Susuk Mekanika Bintang Kuning Satu itu terpacak teguh umpama sebuah tembok maut, memadamkan terus sebarang sisa harapan untuk mereka meloloskan diri.

Nafas Zayn tersekat di pangkal kerongkong. Jantungnya berdegup pantas menghempas sangkar rusuk. Dia terundur setapak lantas menoleh ke arah orang tua di sebelahnya.

“Apa kita nak buat?!” soal Zayn. Suaranya bergetar menahan cemas.

Dom mengetap rahang. “Nak buat apa? Tadi kau boleh bunuh semua raksasa-raksasa mutasi tu. Sekarang, kau lawanlah dia!”

“Raksasa? Lawan? Aku mana reti berlawan!” bantah Zayn, benar-benar panik. Tangannya menggeletar halus.

Dom terdiam. Keningnya bertaut rapat. Baru sebentar tadi remaja ini meremukkan tengkorak dan mematahkan leher raksasa gergasi tanpa sekelumit belas kasihan. Kini, dia mendakwa tidak tahu berlawan?

Satu hakikat perlahan-lahan menjengah logik akal orang tua itu.

Remaja ini benar-benar tidak ingat apa yang dia lakukan. Segala memori amuk pembunuhan di kawah pasir tadi pasti telah terpadam sepenuhnya. Kuasa itu bertindak atas naluri untuk terus hidup saat menerima ancaman luar, bukannya kawalan minda sedar.

Minda Dom ligat memikirkan helah. Dia harus memancing naluri pemusnah Zayn agar kembali mengambil alih. Jika tidak, nyawa mereka berdua pasti dinoktahkan di sini.

“Dengar sini, budak,” bisik Dom kasar. Dia sengaja menekan emosi remaja itu. “Kalau aku mati dekat sini pun, tak ada siapa kisah. Aku dah hidup lama. Tapi kau? Kalau aku mati, kau nak pergi mana? Kau tak tahu apa-apa pasal dunia ni! Kau perlukan aku untuk terus hidup!”

Kata-kata umpanan itu, walaupun disusun penuh dengan kekalutan, singgah tepat pada sasaran.

Zayn menelan liur kelat. Dia menoleh kembali, mencerlung tajam ke arah Mekanika yang berdiri teguh di hadapannya. Fikirannya dikosongkan secara paksa. Segala ketakutan ditekan jauh ke dasar hati. Apa yang bergemuruh di dalam jasadnya kini hanyalah satu niat yang membakar. Dia perlu selamatkan lelaki tua ini. Dia perlu selamatkan Dom!

Di seberang sana, Kapten Malik telah pun menetapkan keputusan mutlak.

Membawa dua orang tahanan hidup-hidup meredah sempadan wilayah menuju ke ibu pejabat R.I.M.A.U adalah satu beban logistik yang merumitkan. Dominic Ooi hanyalah seorang pengganas veteran. Kematian lelaki tua ini tidak akan dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Dia boleh memalsukan laporan bahawa pengasas Bayang Purba itu terbunuh kerana agresif menentang tangkapan.

Sasaran utamanya malam ini kekal pada remaja itu yang merupakan anomali dari Zon Merah. Remaja yang penuh dengan misteri.

Tanpa sebarang isyarat, penimbal graviti pada tumit but Sut Mekanika meletus terang. Tubuh perisai Kapten Malik meluru deras membelah angin, bergerak pantas ke arah Dom dengan bilah pedang tenaga yang sedia memenggal putus leher lelaki tua itu.

“Dom!”

Zayn panik. Dia tidak tahu sebarang langkah tempur, tetapi setiap sel dalam badannya menjeritkan arahan yang sama. Dia perlu berada di hadapan Dom sebelum Mekanika itu.

Dalam satu kelipan mata, sebelum pedang tenaga biru itu sempat menghidu peluh pada kulit leher Dom, sesuatu yang menongkah logik akal berlaku.

Tubuh Zayn telah pun berada tepat di sebelah sisi Kapten Malik. Kelajuan remaja itu memadamkan terus pecutan Sut Mekanika yang dibanggakan oleh umat manusia.

“Apa?!” Kapten Malik benar-benar terkejut. Penderia pergerakan pada visornya langsung tidak sempat menangkap radar kelajuan remaja itu!

Zayn sendiri tergamam melihat posisinya ketika ini. Namun, mindanya pantas menariknya kembali ke realiti. Berada dekat sahaja tidak menjamin keselamatan Dom. Dia perlu melakukan sesuatu. Memandangkan dia buta seni mempertahankan diri, dia mengikut logik primitif mindanya.

Zayn memiringkan tubuhnya. Tanpa sebarang seni tempur, dia melontarkan keseluruhan berat badannya ke hadapan. Bahu kirinya merempuh kejam tepat pada rusuk keluli Kapten Malik.

Satu dentuman padat meletus, disusuli keriukan plat perisai hitam legam yang remuk diasak tulang. Daya kinetik pertembungan itu terus menyapu bersih debu pasir di bawah tapak kaki mereka.

Tubuh Kapten Malik terpelanting ganas. Jasad berbalut keluli berat itu melayang sebelum terhempas dan terseret berbelas-belas meter membelah dada pantai.

Zayn berundur setapak. Dia menyentuh bahu kirinya yang tidak sedikit pun tercedera. Matanya terbeliak luas. “Aku… aku ke yang buat tadi?”

Di hujung landasan seretan, Kapten Malik bingkas bangkit. Plat perisai rusuknya yang lekuk ke dalam kini melepaskan percikan cas elektrik.

Rahang Malik diketap keras. Dia benar-benar bengang, namun minda taktikalnya pantas mengikat amarah. Dia merenung tajam susuk kurus di hadapannya. Memorinya pantas menyingkap laporan peronda—remaja ini ditemui di kawasan udara bertoksik di Zon Merah. Tidak mustahil struktur fizikal anomali ini menyembunyikan potensi mutasi yang menongkah akal waras.

Tetapi sejauh manakah had kekuatan remaja ini? Membunuh sasarannya secara melulu hanyalah satu kerugian maklumat yang bodoh buat pihak R.I.M.A.U.

Malik mengerling pedang tenaganya. Akibat renjatan senjata Batu Kuvil tadi, bilah cahaya biru itu berkelip-kelip cacat.

Malik mendengus sinis lantas memadamkan terus pedang tersebut. Hulu senjata disisip kembali ke pinggang.

Sebaliknya, jari-jemarinya yang berbalut sarung tangan keluli digenggam erat sehingga menghasilkan keriukan logam. Di sebalik visor gelap itu, bibir Malik mengukir satu senyuman ngeri. Nadi di lehernya berdenyut pantas—bukan kerana gentar, sebaliknya didorong oleh satu rasa teruja yang amat buas.

Sudah terlalu lama tiada musuh yang mampu mengemikkan plat Sut Mekanika.

Dia sudah tidak peduli akan kelebihan senjata. Dia juga sudah tidak peduli arahan untuk membawa pulang sasaran tanpa sebarang kecederaan. Darah pahlawannya kini mendidih rakus. Dia mahu menguji had fizikal anomali ini, dan dia mahu meremukkan tulang remaja itu menggunakan tangan kosong.

“Sekarang macam mana, budak?!” laung Dom yang masih terketar-ketar selepas nyawanya hampir melayang tadi. “Kau rasa kau dah boleh kawal ke kuasa kau tu?!”

Zayn berpaling pantas. “Kuasa?”

Dia merenung urat-urat hitam yang mula berdenyut halus pada belakang lengannya. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia sedang mengawalnya atau kuasa itu yang mengawalnya. Namun, dia mengangguk perlahan.

“Aku… aku cuba.”

Zayn segera mengangkangkan kakinya. Dia mengangkat kedua-dua belah penumbuk rapat ke separas bahu, mengambil kekuda bersedia untuk memulakan pertempuran.

Melihatkan postur itu, Dom menepuk dahi.

Kekuda Zayn amat canggung. Kedudukan bahunya terlalu tegang. Bukaan tapak kakinya sempit dan tidak seimbang. Segala-galanya kelihatan cacat. Timbul rasa segan yang tebal di dada Dom, terasa janggal melihatkan gaya tempur jalanan yang langsung tiada nilai seni itu.

Namun apakan daya, ini sahajalah talian hayat yang mereka ada. “Aku harap kau menanglah, budak,” gumam Dom perlahan.

“Siapa kau sebenarnya?!” soal Kapten Malik kasar.

Langkah but kelulinya mula mara, kekuda tempurnya dipasang rapat dan ampuh.

“Aku pun harap sangat aku tahu siapa aku sebenarnya,” balas Zayn jujur, membalas renungan visor gelap itu.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset