Switch Mode

Bintang Utara: R.I.M.A.U – Bab 1

Penjara Terapung 08

Sejuk.

Itulah deria pertama yang menjalar masuk ke dalam segenap urat sarafnya. Rasa sejuk yang menggigit tulang itu disusuli pula dengan bunyi dengungan enjin berat yang bergetar dari lantai besi di bawah tubuhnya.

Dia membuka mata perlahan-lahan. Cahaya neon biru yang malap menyilaukan pandangannya untuk seketika. Siling di atasnya dipenuhi paip berkarat yang sesekali menitiskan air masin, jatuh menimpa lantai.

Dia cuba bingkas bangun, tetapi kepalanya berdenyut kuat, seolah-olah dia baru sahaja dihentak dengan sesuatu yang keras.

“Jangan bergerak sangat, budak,” tegur satu suara, tenang. “Kau dah koma tiga hari.”

Pemuda itu berpaling perlahan-lahan. Pandangannya masih berbalam. Dia terpaksa mengerdipkan mata beberapa kali, memaksa fokusnya kembali sebelum susuk tubuh pemilik suara itu mula terbentuk di sebalik cahaya suram.

Di sudut sel yang paling gelap, seorang lelaki tua sedang duduk bersila. Sejalur parut tebal melintang kejam pada wajahnya. Sepasang matanya mencerlung tajam, merenung pemuda itu dengan penuh curiga.

Terdapat dua lagi tahanan di dalam sel keluli tersebut. Namun, masing-masing sekadar merengkok rapat memeluk lutut. Mereka menggigil menahan kesejukan, langsung tidak berani waima untuk mengangkat muka bertentang mata dengannya.

“Di mana…” Suara pemuda itu kedengaran serak. Terasa seperti kerongkongnya dipenuhi dengan pasir. “Di mana aku?”

“Penjara Terapung 08, Laut China Selatan,” jawab lelaki tua itu sambil mengukir senyuman sinis yang menampakkan giginya yang rongak. “Tempat di mana Bandar Mega Nusantara membuang sampah yang mereka tak mahu lihat lagi.”

“Bandar Mega… Nusantara?”

“Soalan yang lebih penting… siapa kau? Budak muda macam kau tak sepatutnya dicampak ke blok keselamatan maksimum.”

“Siapa aku?” Pemuda itu mengerutkan dahi. Fikirannya dikerah keras untuk menggali jawapan.

Namun, apa yang menantinya hanyalah satu ruang kosong yang kelam. Tiada wajah. Tiada logik. Langsung tiada bayangan tentang bagaimana dia boleh berada di tempat ini.

Tiba-tiba, kepalanya berdenyut ganas.

Satu tikaman rasa sakit yang amat tajam merobek dinding tengkoraknya. Kilatan memori yang sangat asing merempuh masuk tanpa amaran.

Dia melihat sebuah kawasan daratan. Hancur ditelan lautan api gergasi yang marak menjulang. Api itu… berwarna hitam pekat. Haba dari nyalaan aneh itu terasa begitu nyata seakan-akan sedang meleburkan kulit wajahnya waima wujud sekadar di dalam memori tersebut.

Kemudian, satu suara bergema merobek gegendang telinganya.

“Zayn! Zayn!”

Jeritan itu memanggilnya berulang-ulang kali. Sarat dengan keputusasaan, perih, dan penderitaan.

Nafas pemuda itu tersekat. Dadanya berombak kencang. Mulutnya ternganga luas, hampir melepaskan satu jeritan ngeri akibat seksaan visual itu sebelum…

“Hoi, budak. Jangan menekan diri kau sangat.”

Suara itu mencelah pantas, merentap mindanya kembali ke alam realiti.

Pemuda itu tersentak hebat. Lautan api hitam itu ghaib, digantikan semula dengan realiti dinding sel keluli yang membeku. Peluh dingin merembes deras membasahi dahinya. Dia pantas menunduk, merenung tapak tangannya yang kotor dan masih menggeletar halus.

Lelaki tua berparut itu melepaskan ketawa kecil. Dia berjeda seketika, memerhati tingkah laku pemuda yang kelihatan trauma itu sebelum menyambung bicara.

“Beginilah. Apa nama kau? Aku pun tak nak panggil kau budak sampai bila-bila.”

Pemuda itu menelan liur yang terasa kelat. Dia cuba mengusir sisa gema jeritan tadi dari fikirannya.

“Zayn.” Suaranya bergetar halus. “Aku cuma tahu… nama aku Zayn.”

Lelaki tua itu mendengus perlahan. “Hilang ingatan. Klise, tapi kau bernasib baik kau masih bernafas.”

Zayn memandang lelaki tua itu, menanti sambungan bicaranya.

“Dengar cerita, peronda jumpa kau merangkak keluar dari Zon Merah. Mungkin kau berasal dari sana. Tapi… hal itu mustahil.”

Zayn hanya mendiamkan diri. Zon Merah? Dia tak tahu tempat itu di mana. Dia cuba menyusun bicara di dalam kepala, memikirkan soalan apa yang patut ditanya seterusnya. Namun, bunyi tapak kasut but berat yang serentak menghentak lantai koridor di luar sel mematikan perbualan mereka.

Dua orang pengawal meronda melintasi sel.

Pakaian taktikal hitam legam membalut tubuh mereka, masing-masing menggenggam erat laras raifal tenaga. Di bawah cahaya neon yang suram, mata Zayn menangkap satu kejanggalan. Walaupun seragam mereka serupa, lencana pada bahu kiri mereka berbeza. Satu memaparkan corak jalur merah putih berserta bulan sabit dan bintang berbucu banyak. Satu lagi sekadar dwiwarna merah dan putih.

Menyedari mata pemuda itu terkunci lama pada lencana tersebut, lelaki berparut itu tersenyum senget.

“Bulan bintang tu Malaysia. Merah putih tu Indonesia,” tegurnya separuh berbisik.

Dahi Zayn semakin berkerut. Malaysia? Indonesia? Nama-nama itu langsung tidak memetik waima sekelumit memori di dalam kepalanya. Telinganya berasa amat asing.

“Tak payah perah otak sangat,” sambung lelaki tua itu lagi apabila melihat wajah Zayn yang berteka-teki. “Sempadan negara dah lama mampus, budak. Dekat dunia luar tu, tak ada maknanya kau asal dari mana.”

Zayn menoleh ke arahnya, tekun mendengar.

“Sekarang ni, asalkan kau pakai seragam hitam tu, kau adalah sebahagian daripada Pasukan Khas Nusantara,” jelas lelaki tua itu dengan tawa kecil yang sinis. “Tentera-tentera elit dari negara yang berbeza ni terpaksa bergabung semata-mata nak pastikan sisa manusia macam kita tak terus pupus.”

Zayn terdiam. Pandangannya kembali menyoroti kelibat dua pengawal yang mula berbual sesama sendiri di luar sel tersebut.

“Aku masih bingung,” kedengaran suara pengawal berlencana Indonesia itu bergema dari dalam interkom topinya. Dia merungut sambil melangkah melepasi sel Zayn. “Kenapa kita harus mengawal anak itu seketat ini? Bawa saja ke sel tahanan biasa di negara kalian.”

Pengawal berlencana Malaysia di sebelahnya pantas menggeleng. “Kau tak baca laporan penuh dari pasukan peronda H.E.L.A.N.G? Budak tu dijumpai keluar dari Zon Merah. Zon itu sudah disumpah sejak peristiwa Retakan tiga puluh tahun lepas. Udara di sana boleh mencairkan paru-paru manusia dalam masa lima saat.”

Langkah pengawal Indonesia itu terhenti sejenak. “Terus? Bagaimana dia bisa selamat? Dia pakai Sut Mekanika yang rusak?”

“Tak,” balas pengawal Malaysia itu, nadanya bertukar serius dan perlahan. “Dia tak pakai apa-apa pelindung. Hanya berseluar pendek.”

“Gila. Itu mustahil.”

Pengawal Malaysia itu menggelengkan kepalanya lagi. “Tidak. Dia mampu bernafas dalam udara beracun itu. Sebab itulah Mejar R.I.M.A.U mahu dia dibedah siasat, tapi Mejar S.I.N.G.A mahu bedah siasat itu dijalankan di Singapura.” Dia berhenti seketika sebelum memandang tepat ke arah visor rakan setugasnya. “G.A.R.U.D.A jangan sibuk pula. Pening kepala kita nanti.”

Pengawal Indonesia melepaskan tawa kecil. “Aku tak bisa jamin. Kalau budak tu bukan manusia biasa, pasti semua negara mahukan dia.”

Zayn mendengar setiap butir perbualan itu dari sebalik jeriji besi. Matanya beralih ke arah tubuhnya sendiri. Adakah apa yang mereka bincangkan itu benar? Jika ya, kenapa dia langsung tidak merasakan apa-apa kelainan pada dirinya?

Sedang Zayn melayan persoalan tersebut, dengungan enjin penjara terapung itu terhenti.

Ia bukan terpadam perlahan-lahan, sebaliknya mati secara mengejut. Semua lampu neon biru terus terpadam, meninggalkan blok sel itu di dalam kegelapan mutlak selama beberapa saat sebelum lampu kecemasan berwarna merah menyala secara berkedip-kedip.

Udara yang sedia sejuk bertukar menjadi beku. Haba seakan-akan disedut keluar, menyebabkan nafas setiap tahanan mula menghasilkan wap putih. Air masin yang menitis dari paip di siling keras membeku sebelum sempat mencecah lantai.

“Apa yang berlaku?” lelaki tua di sudut sel itu mula berdiri, memerhatikan ais yang baru terbentuk itu. “Penjana kuasa rosak ke?”

Belum sempat jarinya menyentuh permukaan ais tersebut, satu dentuman yang maha dahsyat menggegarkan seluruh blok penjara.

Impaknya terlalu kuat. Zayn terhuyung-hayang, terpaksa mencengkam kuat jeriji sel untuk menahan diri daripada tersungkur. Di belakangnya, kedengaran bunyi tubuh jatuh berdebuk. Lelaki tua berparut itu terpelanting keras dari katil konkrit. Orang tua itu pantas merangkak ke sudut yang paling gelap, memeluk lututnya rapat ke dada sambil melolong ketakutan.

Namun, Zayn tidak mempedulikan jeritan itu. Perhatiannya serta-merta tersentap ke arah punca letupan.

Dari celah palang besi, anak matanya mencerlung jauh ke hujung lorong koridor. Di situlah dia nampak dinding keluli penahan tekanan mula berasap. Logam tebal itu perlahan-lahan melengkung ke dalam, seolah-olah ditolak oleh satu kudrat gergasi dari arah luar.

Seketika kemudian, dinding itu dicarik rakus.

Keriukan logam yang patah bergesel menderu tajam, memekakkan gegendang telinga. Serentak dengan itu, pancutan api memercik liar, menyimbah garang ke dalam koridor yang sedia kelam. Angin laut yang dingin terus menyerbu masuk dari rekahan tersebut.

Keadaan yang pada mulanya sekadar tegang, kini bertukar menjadi huru-hara sepenuhnya.

Suara siren menderu membelah kebingitan letupan. Dari arah berlawanan koridor, lebih ramai pengawal Pasukan Khas berlari merempuh masuk ke dalam blok sel tersebut. Derapan but berat mereka bergema kelam-kabut, bertempiaran mencari posisi pertahanan tatkala lampu amaran terus berkelip-kelip agresif.

“Formasi! Tutup Sektor 01! Jangan biarkan walau seekor pun dari mereka masuk!” laung Ketua Penjara bertugas. Suara garaunya memecah kekacauan, mengawal panik pasukannya.

Melihat bayang-bayang yang mula terbentuk di sebalik rekahan keluli itu, jari-jemari pengawal tidak lagi menunggu. Tanpa waima satu arahan lanjut, muncung raifal mereka memuntahkan ratusan peluru tenaga secara bertubi-tubi.

Bunyi letupan plasma bertindih-tindih. Bau hangit besi yang lebur bercampur dengan bau hanyir darah mula meruap mampat memenuhi ruang udara koridor.

Di dalam sel, nafas Zayn tersekat. Matanya langsung tidak berkelip. Tangannya hanya mampu menggenggam palang jeriji besi dengan begitu erat sehinggakan buku limanya memutih pucat.

Matanya merenung tajam ke arah hujung lorong, cuba menembusi tirai asap dan kilatan api yang sedang menari-nari.

“Apa… yang berlaku ni?” gumam Zayn perlahan.

Sejurus kemudian, asap putih menderu masuk melalui rekahan dinding sebelum empat susuk tubuh melangkah keluar dari sebalik tirai kabus tersebut. Tiga daripadanya berketinggian seperti manusia biasa, namun susuk yang berjalan di hadapan sekali terpaksa menundukkan kepalanya. Tubuhnya yang setinggi tiga meter itu bergesel rapat dengan paip serta pendawaian keluli pada siling penjara.

“Kala! Kala serang kita!” laung salah seorang pengawal.

Kala?

Zayn mengecilkan matanya, memerhati entiti tersebut dengan dahi yang berkerut.

Makhluk apa ni?

Sekalipun Zayn tidak mempunyai walau sekelumit memori mahupun informasi mengenai mereka, Kala adalah entiti yang menjadi igauan ngeri dunia sejak peristiwa Retakan tiga puluh tahun yang lalu. Walaupun wajah penceroboh itu persis manusia, bentuk fizikal mereka terlalu simetri, ditambah pula dengan kulit pucat tanpa sebarang cela.

Selain sepasang tanduk hitam yang melengkung tajam pada kiri dan kanan dahi, mata makhluk tersebut turut memancarkan cahaya keemasan. Mereka mengenakan helaian pakaian putih bersih yang melayang kemas, langsung tidak terkesan oleh kotoran mahupun percikan darah pada lantai konkrit.

“Tembak! Tembak sampai mati!” laung Ketua Penjara sambil mengangkat perisai taktikalnya dengan teguh. Sebelah tangannya lagi sedia mensasarkan pistol tenaga.

Sekalipun tanpa perlu menunggu arahan, para pengawal telah melepaskan ratusan peluru tenaga ke arah empat penceroboh itu. Malangnya, semua tembakan itu terpadam menjadi wap di udara sebelum sempat menyentuh kulit musuh.

Tanpa mempedulikan asakan itu, salah satu Kala bersaiz manusia melangkah setapak ke hadapan. Wajahnya kekal tanpa riak, langsung tidak terkesan dengan bunyi tembakan senjata. Entiti itu tidak bersuara, jauh sekali mempamerkan sebarang emosi. Telapak tangannya sekadar dihalakan perlahan ke arah barisan pengawal.

Dalam sekelip mata, suhu koridor menjunam mendadak lagi manakala wap air di udara pantas membeku untuk membentuk ribuan lembing ais tajam, masing-masing membesar sebesar lengan lelaki dewasa.

Hanya dengan satu petikan jari, ribuan lembing ais itu terus meluru membelah angin sepantas peluru.

Jeritan ngeri segera bergema apabila lembing ais tersebut merobek perisai Kevlar dan plat dada mereka. Darah merah pekat menyembur membasahi dinding keluli, menyebabkan belasan pengawal tumbang meregang nyawa dalam genangan darah sendiri.

“Tolong! Kaki aku!” raung seorang pengawal dengan kaki yang dicucuk kuasa tersebut, meronta-ronta sambil merangkak laju menjauhi mayat rakan setugasnya.

Belum sempat sisa barisan pertahanan itu berkumpul semula, Kala yang kedua pula membuka mulut lalu melepaskan satu hembusan nafas.

Akibatnya, aliran udara di sekitar koridor berpusar deras sebelum termampat untuk membentuk puluhan belati angin yang halimunan. Tanpa sebarang amaran, bilah-bilah tajam itu melibas pantas ke arah baki pasukan pengawal.

Mereka langsung tidak sempat menjerit tatkala belati angin tersebut menembusi perisai keluli dan membelah tubuh mereka dengan begitu mudah. Bunyi koyakan daging bergema serentak di udara, meninggalkan potongan anggota badan yang hancur jatuh berdebuk ke atas lantai konkrit.

Melihatkan pembunuhan beramai-ramai itu, Zayn terkaku di tempatnya. Nafasnya tersekat di kerongkong. Jantungnya berdegup begitu kencang seolah-olah mahu merobek sangkar rusuk.

Walaupun dia tidak tahu siapa atau apa sebenarnya makhluk berbaju putih itu, setiap sel dalam tubuhnya menjeritkan amaran bahaya yang sama. Dua orang tahanan di belakangnya, termasuk lelaki tua itu tadi, pula sudah bersujud rapat di atas lantai sambil menekup telinga kerana terlalu takut.

Kini, Kala bersaiz tiga meter itu perlahan-lahan melangkah menghampiri sel Zayn. Tapak kakinya yang tidak berkasut menjejaki genangan darah pekat itu tanpa menghasilkan waima satu bunyi percikan.

Tatkala bayang-bayang gergasinya menelan sisa cahaya di koridor, pandangan mata emas penceroboh itu jatuh tepat pada wajah Zayn. Bibir entiti itu akhirnya bergerak. Walaupun tiada sebarang bunyi vokal yang dikesan oleh telinga, suaranya menghentak terus ke dalam dinding tengkorak Zayn dengan begitu jelas dan berbahaya.

“Akhirnya… kami jumpa engkau, Bintang Utara.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset