Switch Mode

Senjata Jiwa – Bab 4

Lelaki Misteri

Bayang-bayang malam menelan susuk tubuh Tariq yang sedang merangkak di sebalik timbunan zink buruk.

Matanya tajam memerhati sebuah bangunan konkrit kecil yang diterangi cahaya lampu kekuningan di hujung sempadan Lembah Sisa.

Pos Pengawal Empayar.

Walaupun Lembah Sisa hanyalah sebuah kawasan buangan, Empayar Valerius tidak pernah melepaskannya dari cengkaman mereka. Serpihan Kristal Aethel gred rendah yang dikais oleh penduduk miskin saban hari masih membawa keuntungan jika dikumpulkan. Lagipun, ia ibarat wang mudah buat pengawal yang bertugas.

Aku yakin mereka ada simpan, desis hati Tariq sambil melepaskan keluhan perlahan. Dia bukan pahlawan yang mampu merempuh masuk dan menumbangkan pengawal bersenjata. Dia hanya budak buangan yang kurus kering. Namun, apa yang membezakannya dengan orang lain adalah akalnya yang licik.

Sekalipun begitu, meluru masuk ke dalam Hutan Besi Purba dengan kelicikan akal semata-mata bukanlah perkara yang bijak.

Dia perlukan peta dan dia yakin Pengawal Empayar pasti ada menyimpannya.

Tariq mengutip seketul batu seukuran penumbuk, kemudian membalutnya dengan cebisan kain buruk yang telah direndam dengan sedikit minyak tanah yang dicurinya dari pelita pondok. Menggunakan batu pemetik api, dia menyalakan kain tersebut.

Dengan sekuat tenaga, Tariq melontarkan batu berapi itu ke arah timbunan tayar getah terbuang yang terletak agak jauh dari pos pengawal.

Wush!

Api menyambar sisa tayar itu dengan pantas, menghasilkan asap hitam yang berkepul-kepul naik ke udara, diiringi bunyi letupan kecil akibat sisa gas di dalamnya.

Pintu pos pengawal ditendang kasar dari dalam. Seorang pengawal bergegas keluar, senapangnya diacu ke arah nyalaan api tersebut.

“Siapa yang buat hal malam-malam ni?!” maki pengawal itu.

“Cepatlah! Mati rentung semua orang nanti, siapa yang nak buat kerja untuk kita?” laung seorang lagi pengawal, menggesa rakannya.

Mereka berlari ke arah kebakaran, meninggalkan pintu pos yang terbuka separuh.

Inilah peluangnya.

Tariq berlari pantas. Kakinya dikawal supaya tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dia menyelinap masuk ke dalam pos pengawal itu. Jantungnya berdegup laju, nafasnya terasa sukar untuk di kawal.

Keadaan di dalam pos itu sangat bersepah. Botol arak kosong bergelimpangan di atas lantai. Bau asap rokok tembakau murahan menusuk hidung. Di atas meja kayu yang calar-balar, terdapat timbunan dokumen, rekod kutipan cukai, dan sisa makanan.

Mata Tariq meliar, tangannya menyelongkar laci dan timbunan kertas dengan pantas tetapi berhati-hati.

Mana? Mana peta kawasan ini?

Tiba-tiba, telinganya menangkap bunyi tapak kasut but berlari ke arah pos. Dia yakin pengawal-pengawal itu sudah menyedari bahawa kebakaran itu hanyalah satu helah.

“Tak guna! Ada orang main-mainkan kita!” laung suara parau dari luar.

Langkahnya semakin hampir.

Nafas Tariq tersekat. Panik mula mencengkam. Tika itu, matanya terpandang sebuah tabung silinder kulit yang terselit di celah rak senjata. Tanpa berfikir panjang, Tariq merentap tabung tersebut.

Tombol pintu mula dipulas.

Tariq terus melompat ke arah tingkap kecil di bahagian belakang pos. Dia meloloskan tubuhnya yang kurus ke luar, jatuh tersembam di atas tanah berdebu tepat pada saat daun pintu pos pengawal itu diterjah buka.

“Siapa kat luar?!”

Cahaya lampu suluh menyapu ruang dalam pos, namun Tariq sudah pun berguling ke dalam sebuah longkang kering di sebalik bangunan. Dia merangkak menjauhinya dengan pantas, menahan nafas sehingga pos itu hilang dari pandangan.

Apabila dia tiba di kawasan yang selamat di bawah cahaya bulan, Tariq membuka tabung kulit itu dengan tangan yang menggeletar. Sekeping peta kanvas terbentang.

Namun, senyuman kelegaan di bibir Tariq mati serta-merta.

Peta itu memang menunjukkan susun atur Lembah Sisa, jalan ke pekan dan bandar berhampiran, dan beberapa pos tentera. Tetapi, pada bahagian utara yang menempatkan Hutan Besi Purba, hanya terdapat satu tompokan dakwat merah bersaiz besar bertulis ZON LARANGAN.

Tiada laluan dipetakan. Tiada tanda topografi.

Ia hanyalah sebuah peta amaran. Peta itu langsung tidak membantu. Dia perlukan peta yang memperincikan kawasan Hutan Besi Purba itu sendiri.

Tariq menggenggam peta itu dengan perasaan kecewa. Fikirannya kembali buntu. Jika dia masuk ke dalam hutan itu begitu sahaja, dia tidak ubah seperti masuk untuk mati.

“Apa patut aku buat sekarang?” gumam Tariq.

Dia perlukan informasi. Dia perlukan seseorang yang mungkin tahu atau ada akses untuk perkara-perkara yang mustahil dikeathui oleh penduduk Lembah Sisa.

Ingatannya serta-merta melayang kepada satu-satunya individu yang mungkin mempunyai jawapan. Lelaki misteri itu.

Lelaki itu adalah pembekal ubat penahan sakit Laila. Tariq tidak pernah tahu namanya. Lelaki misteri tersebut tinggal menyendiri di sebuah pondok usang yang tersorok di hujung gaung, jauh daripada petempatan utama penduduk Lembah Sisa.

Setiap kali Tariq mendapat Kristal Aethel gred rendah, dia akan menyelinap ke pondok itu. Lelaki misteri tersebut bukan sahaja menukarkan kristal itu dengan ubat yang katanya dibeli dari pasaran gelap, malah dia turut memberikan beberapa keping duit syiling tembaga. Dengan syiling itulah Tariq mampu membeli makanan daripada Saudagar Bo, satu-satunya pedagang yang dibenarkan oleh Empayar Valerius untuk berniaga makanan kering di Lembah Sisa dengan harga yang tidak masuk akal mahalnya.

“Jangan beritahu sesiapa dari mana kau dapat ubat ini, Tariq. Ini rahsia kita,” pesan lelaki itu suatu ketika dahulu.

Tanpa membuang masa, Tariq membetulkan langkahnya. Dia menyusup melalui jalan-jalan pintas yang hanya diketahui oleh anak buangan sepertinya, mendaki lereng tebing bukit, dan menuju ke arah pondok terpencil tersebut.

Sebaik sahaja dia tiba, hidung Tariq terus disengat oleh bau alkohol yang sangat kuat bercampur dengan aroma herba yang hangit.

Pintu pondok itu renggang. Tariq menolaknya perlahan.

“Tuan?” panggil Tariq berhati-hati.

Keadaan di dalam pondok itu sangat berselerak. Bikar-bikar kaca, tiub getah, dedaun kering, dan peralatan menapis bahan kimia memenuhi setiap inci meja. Di sudut bilik, kelihatan lelaki misteri itu sedang duduk tersandar di tepi dinding. Rambutnya panjang menggerbang, wajahnya cengkung, dan di tangannya terdapat sebuah botol arak separuh kosong.

Lelaki itu sedang mabuk teruk. Dia menggumam sendirian, air matanya mengalir di celah pipi yang kotor.

“Gagal… semuanya gagal… formula aku tak guna…” rintih lelaki itu berulang kali.

Tariq melangkah mendekat. “Tuan, maafkan saya ganggu malam-malam begini. Saya perlukan bantuan. Tuan ada peta atau informasi tentang Hutan Besi Purba?”

Mendengar suara Tariq, lelaki itu mengangkat wajahnya perlahan-lahan. Matanya merah dan kuyu. Dia merenung Tariq agak lama sebelum ketawa hambar yang sinis meletus dari bibirnya.

“Tariq… budak miskin yang malang,” gumam lelaki itu. Tangannya terketar-ketar menuding ke arah Tariq. “Mesti… mesti ubat tu dah tak berkesan untuk adik kau kan? Dia mula batuk berdarah?”

Tariq terkedu. Bulu romanya meremang. “Macam mana tuan tahu?”

“Sebab aku gagal!” Lelaki itu menjerit tiba-tiba, melontarkan botol arak ke dinding sehingga berkecai. “Aku minta maaf, Tariq! Aku minta maaf! Aku sendiri belum jumpa cara untuk hasilkan penawar yang lebih berkesan!”

Mata Tariq terbuntang. Dia baru sahaja menangkap maksud di sebalik kata-kata lelaki misteri itu.

“Maksud tuan… selama ini… tuan bukan beli ubat tu dari pasaran gelap? Tuan yang… tuan yang hasilkan sendiri ubat tu?”

Lelaki mabuk itu mengangguk lemah, meletakkan mukanya ke lutut. “Ya. Aku pakar alkimia yang gagal. Dengan sumber sampah yang ada di Lembah Sisa ini, aku hanya mampu hasilkan penahan sakit sementara. Ia tidak merawat. Ia cuma melambatkan kematian. Aku tak mampu hasilkan ubat yang benar-benar mujarab dan selamat.”

“K-ka-kalau saya dapatkan Teras Aethel Tulen?!” desak Tariq, suaranya mula bergetar dengan harapan bercampur putus asa. “Kalau saya bawa teras itu kepada tuan, boleh tuan selamatkan Laila?”

Lelaki itu ketawa kecil. Ketawa yang dipenuhi kepedihan. “Teras Aethel Tulen? Kau ingat teras itu ajaib sangat? Teras itu hanyalah pemangkin kuasa, Tariq. Ia perlukan agen pengikat. Walaupun kau bawa sepuluh Teras Aethel Tulen sekalipun, ia belum cukup untuk pastikan penawar itu selamat digunakan oleh manusia biasa. Belum cukup untuk pastikan ia benar-benar berkesan.”

Bahu Tariq jatuh. “Jadi… apa yang diperlukan?”

“Dua bahan,” jawab lelaki itu perlahan, suaranya diselami pengaruh alkohol. “Kulat Darah Miasma dan Teras Akar Besi Purba. Kedua-duanya hanya wujud di dalam… Hutan Besi Purba.”

Tariq menelan air liur. Tempat itu lagi.

“Aku pernah baca laporan pengawal sempadan,” sambung lelaki itu. “Mereka pernah terjumpa tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kedua-dua bahan tersebut.”

Dia diam sebentar, meneguk dari botol yang baru dibukanya. “Tapi bila aku minta mereka dapatkan bahan-bahan itu, tiada siapa yang sanggup. Mereka kata kawasan itu sangat bahaya. Raksasa, udara berasid… mereka tak nak risikokan nyawa untuk semua itu.”

Tariq terdiam. Fikirannya terhenti sejenak. Kalau tentera Empayar Valerius yang lengkap berzirah dan bersenjata api pun tidak berani masuk, apa peluang yang dia ada dengan hanya sebilah pisau buruan yang sumbing?

“Aku… aku nak pergi sendiri,” rintih lelaki misteri itu. “Tapi kau tengoklah keadaan aku.”

Lelaki itu menyelak baju kemeja lusuhnya hingga ke paras dada.

Nafas Tariq terhenti.

Di dada lelaki itu, kelihatan urat-urat tebal berwarna biru terang berdenyut liar, seolah-olah ada cacing bercahaya yang menjalar di bawah kulitnya. Kulitnya di bahagian tersebut merekah teruk, memperlihatkan tisu-tisu otot yang sudah mula mengkristal. Sumpahan Debu Aethel di tubuh lelaki ini jauh lebih teruk daripada Laila.

“Golongan bawahan seperti kita, Tariq,” bisik lelaki itu sambil tersenyum pahit. “Semuanya sudah disumpah. Kita menyedut udara racun yang sama setiap hari. Hanya masa yang akan menentukan bila sumpahan ini akan menggila.”

Dia kembali menutup dadanya. “Aku sudah bertahun-tahun cuba mencari cara. Aku juga tidak punya masa yang banyak lagi untuk hidup dan hasilkan penawar yang sempurna. Aku sangka… sekurang-kurangnya, aku mampu panjangkan nyawa adik kau. Tapi nampak gayanya, aku akan gagal juga. Kita semua akan mati, Tariq.”

Mendengar kata-kata putus asa itu, sesuatu di dalam dada Tariq meletup.

Kesedihan, tekanan dan ketakutan. semuanya bercampur menjadi satu kemarahan yang tidak tertahan. Dia melangkah laju ke hadapan, mencengkam kolar baju lelaki itu, dan menariknya naik.

BUK!

Tariq melepaskan satu tumbukan padu tepat ke wajah lelaki itu.

Lelaki misteri itu terpelanting, kepalanya terhantuk pada kaki meja. Botol arak yang baru dibukanya jatuh berkecai di lantai. Dia memegang rahangnya, matanya terkebil-kebil, seolah-olah tumbukan itu telah mengejutkannya dari lena yang panjang.

“Jangan berani kau berputus asa di hadapan aku!” herdik Tariq. Urat di lehernya timbul. “Adik aku sedang bertarung nyawa di rumah, dan kau duduk di sini menangisi nasib?! Dengar sini baik-baik!”

Tariq menuding jari tepat ke muka lelaki itu. Matanya memancarkan api keazaman yang luar biasa.

“Aku akan pergi ke Hutan Besi Purba. Beritahu aku di mana lokasi tepat bahan-bahan itu. Aku akan bawanya pulang kepada kau. Kau akan siapkan penawar itu. Bukan sahaja untuk adik aku, bukan sahaja untuk kau, tapi untuk semua orang yang telah disumpah!”

Nafas Tariq menderu laju. “Dan selepas itu… aku berjanji, aku akan cari jalan untuk hancurkan mereka yang berada di atas langit sana. Aku akan runtuhkan Empayar Valerius!”

Suasana di dalam pondok itu sepi serta-merta. Hanya bunyi cengkerik dari luar yang kedengaran.

Lelaki misteri itu merenung mata Tariq. Dia mencari sebarang tanda bongkak atau cakap besar, namun apa yang ditemuinya hanyalah keberanian seorang pemuda yang sudah bersedia untuk menentang dunia. Perlahan-lahan, bibir lelaki yang berdarah itu mengukir senyuman.

Dia menongkat tangan pada lantai dan bangkit berdiri. Postur tubuhnya yang tadi melengkung seperti si pemabuk, kini tegak. Riak wajahnya berubah serius.

“Kau memang gila, Tariq. Gilanya kau ini… sama macam aku semasa muda.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset