Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 14

Kiub Ganjaran

Perjalanan mereka diteruskan dalam diam buat seketika. Minda Arka ligat mencerna segala maklumat berat tersebut.

Tidak lama kemudian, deria pendengaran Sang-O menangkap satu frekuensi asing. Dia pantas menahan lengan Arka lalu menuding ke arah sebuah tunggul pokok mati yang berongga di kawasan belukar tebal.

Di dalamnya, terdapat sebuah objek berbentuk kubus yang memancarkan cahaya keemasan. Ia tersorok rapi, langsung tidak disedari oleh kumpulan Pewaris lain yang mungkin sudah melintasi kawasan tersebut.

Sebelum ini, Arka hanya melihat kiub ganjaran dari jauh. Namun dari jarak dekat ini, dia dapat melihat saiz kiub tersebut adalah sebesar sebiji bola sepak, dipenuhi dengan ukiran simbol-simbol kuno yang tidak difahaminya.

“Kiub Ganjaran,” kata Sang-O. Dia menoleh ke arah Arka, mula mengambil peranan sebagai pengajar.

“Dalam cabaran ni, Kiub Ganjaran ada banyak saiz dan warna. Bentuk dan warna tu tentukan isi di dalam kiub tersebut. Kiub warna biru atau hijau selalunya bagi ganjaran biasa. Tapi yang ada di depan kita ni… percayalah cakap aku, ganjarannya pasti lumayan.”

Sang-O tersengih. Mata pemuda itu sedikit bersinar mengenang kisah lama.

“Dulu, aku pernah buka kiub macam ni. Ada sekali tu, aku dapat kertas ‘Runik Letupan’. Lapan helai semuanya. Seronok betul aku tanam merata-rata tempat dan tengok Pewaris lain terbang kena letup!”

Arka menggelengkan kepala melihat riak selamba itu. Dia kemudiannya memandang ke arah kiub emas tersebut, menanti apakah tindakan yang sewajarnya mereka lakukan.

“Ambil,” arah Sang-O sambil memuncungkan bibir. “Pergi sentuh. Kau kena rasa sendiri macam mana proses terima ganjaran dari Kiub Ganjaran berfungsi.”

“Kau serius?” soal Arka, merenung Sang-O penuh sangsi.

Hati kecilnya tiba-tiba ditebuk rasa curiga. Mana mungkin ada Pewaris di dalam medan maut ini yang dengan penuh lapang dada sanggup menyerahkan ganjaran emas kepada orang lain secara percuma?

“Ambil sajalah cepat. Nanti ada musuh lain yang nampak, pening kita nak melayan,” gesa Sang-O.

Arka masih ragu-ragu, namun dia tetap melangkah ke arah tunggul pokok mati tersebut. Sebaik sahaja telapak tangannya menyentuh permukaan emas kiub itu, ia meletup senyap dan berkecai menjadi ribuan serpihan cahaya yang terus menyerap masuk ke dalam tubuhnya.

Satu notifikasi hologram memancar terang tepat di hadapan mereka berdua.

[ +2,000 MATA MUTLAK ]

“Wow,” gumam Arka perlahan, tidak menyangka jumlahnya sebesar itu.

Sang-O tersengih lebar sambil bertepuk tangan sekali. “Nampak gayanya, dengan mata sebanyak tu, kau dah berjaya tolak aku kembali ke takhta kedudukan yang tercorot semula!”

“Macam mana nak tahu kita di kedudukan ke berapa sekarang?” soal Arka, matanya meliar mencari butiran senarai kedudukan pada notifikasi hologram yang perlahan-lahan memudar sebelum hilang sepenuhnya itu.

“Tak boleh,” geleng Sang-O santai. “Sistem takkan pamerkan senarai penuh selagi perlumbaan belum tamat. Mereka tak nak para Pewaris rasa terlalu selesa dengan mata yang terkumpul. Semua orang kena sentiasa berjaga-jaga.”

Arka merenung wajah pemuda bertunik hijau itu agak lama.

“Kau betul-betul okey serahkan Kiub Ganjaran ni pada aku?”

“Aku tak peduli pun pasal mata atau ganjaran semua ni,” balas Sang-O dengan senyuman yang terlampau ikhlas, jelas menunjukkan dia bukan sedang berlakon.

Arka tidak tahu sama ada dia patut percaya atau tidak. Namun, lima minit kemudian, apabila mereka terjumpa sebuah lagi Kiub Ganjaran berwarna keemasan yang tersembunyi di bawah rimbunan paku pakis gergasi, Arka bertindak pantas.

Dia mengarahkan dengan tangannya, menyuruh Sang-O mengambil kiub tersebut.

“Kali ni, giliran kau,” tegas Arka. “Aku dah ambil yang tadi.”

Sang-O tidak menolak. Dia menyentuh kiub tersebut dengan gembira. Skrin hologram muncul di hadapan mereka dan memaparkan Sang-O menerima tambahan 1,500 Mata.

“Hahaha! Rezeki!” Sang-O ketawa berdekah-dekah. “Mesti tuah aku pun ikut berubah sebab dah jadi kawan Pewaris Halilintar.”

Namun, tuah yang tenang itu tidak berpanjangan.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, mereka tiba di sebuah kawasan berbatu yang agak lapang.

Di tengah-tengah kawasan itu, terapung satu lagi Kiub Ganjaran. Namun, ia kelihatan berbeza berbanding apa yang mereka temui sebelum ini. Saiznya jauh lebih besar, malah memancarkan cahaya keemasan yang amat terang.

Kenapa warna dan saiz kiub ini berbeza? Arka tertanya-tanya di dalam hati.

Namun, tumpuannya pantas diganggu. Laluan mereka di kawasan lapang itu tidak kosong. Terdapat dua orang Pewaris dari Wangsa berbeza sedang bertempur ganas untuk merebut Kiub Ganjaran keemasan tersebut. Seorang Pewaris bertubuh sasa dengan perisai batu tebal melitupi dada, manakala seorang lagi Pewaris bertubuh kurus, lincah melibas sebilah pedang melengkung yang menitiskan cecair asid berasap.

Derapan langkah Arka dan Sang-O serta-merta membunuh pertarungan tersebut.

Kedua-dua Pewaris itu serentak menoleh. Sebaik sahaja mata mereka mengunci susuk tubuh Arka, satu tekanan aura membunuh yang terlampau pekat mendadak menghempas ruang udara.

Arka tersentak. Kakinya seakan-akan dipaku keras ke atas permukaan batu. Nafasnya tersekat di kerongkong. Dia tergamam. Ini bukan sekadar niat membunuh dari Pewaris Wangsa seperti sebelum ini; ini adalah kelaparan pemangsa yang sebenar. Aura mereka cukup untuk membuatkan bulu roma Arka meremang tegak.

“Hati-hati, Arka,” bisik Sang-O mendatar. Matanya tajam merenung dua susuk tubuh di hadapan mereka. “Yang besar itu, Borak dari Wangsa Granit. Kedudukan ke-68. Yang kurus itu pula Vex, dari Wangsa Asid. Kedudukan ke-65.”

Granit? Asid? Nama Wangsa mereka sahaja sudah cukup untuk menjeritkan jenis ancaman yang bakal dia dan Sang-O hadapi.

Borak dan Vex saling berpandangan buat sesaat, sebelum kedua-duanya meletuskan ketawa yang cukup sinis.

“Tengok siapa yang sesat, Vex,” tegur Borak. Tangannya menepuk perisai batu di dada. “Budak nombor seribu, Sang-O. Dan…”

Mata Vex mengecil tajam bak ular, mencerlung tepat ke arah Arka. Cecair asid menitis lebat dari hujung pedangnya, meleburkan permukaan batu di bawah tapak kakinya.

“Pewaris Halilintar,” sambung Vex, suaranya bergetar menahan nafsu membunuh. “Tiket emas aku untuk terus melonjak ke kedudukan Sepuluh Teratas.”

“Tiket emas aku. Bukan kau,” pintas Borak.

Mereka berdua sudah tidak peduli akan pertarungan sesama sendiri. Malah, Kiub Ganjaran keemasan di belakang mereka turut dilupakan buat sementara waktu. Siapa yang mahu melepaskan peluang ini? Ganjaran bernilai ribuan mata kini berdiri kaku tepat di hadapan mata.

“Biar aku uruskan,” Sang-O meletakkan lengan di hadapan dada Arka, memberi isyarat supaya pemuda itu kekal di belakangnya. “Kau cari tempat berlindung.”

Vex mendengus angkuh. “Berlagak betul kau. Ada hati hendak melawan kami berdua serentak?”

Sang-O ketawa besar. “Aku bukan setakat ada hati. Aku ada kekuatan. Marilah!”

Tanpa membuang masa, pemuda bertunik hijau itu memecut ke hadapan.

Pertempuran meletus. Sang-O menggerakkan tubuhnya dengan ketangkasan yang langsung tidak terjangkau akal. Seruling buluh di tangannya diputar ligat untuk menghasilkan letusan bunyi. Dia menangkis libasan pedang asid Vex dengan siri letusan bunyi yang memekakkan telinga. Pada masa yang sama, bibirnya bersiul tajam, memuntahkan peluru frekuensi yang mematahkan setiap lontaran batu daripada musuh gergasi itu.

Walaupun Sang-O jelas mendominasi rentak pertempuran, Borak dan Vex bukanlah musuh yang boleh diperlekehkan. Mereka berdua terlampau licik. Sekalipun sedar bahawa Sang-O kebal di hadapan, mereka saling mencari ruang untuk memintas dan menyerang Arka di belakang.

“Mati kau!” laung Borak. Lelaki gergasi itu memacu otot kakinya, melompat tinggi melepasi Sang-O. Penumbuk batunya dijunamkan tepat ke arah kepala Arka. Sangkanya, tubuh Pewaris Halilintar itu akan berkecai menjadi kepingan cahaya.

Namun, Sang-O sekadar tersenyum sinis di sebalik asakan Vex. Dia menggerakkan bibirnya.

FWEET!

Satu siulan nyaring membelah udara. Gelombang bunyi meledak pantas menghentam dada Borak di udara, menolak terus Pewaris gergasi itu terpelanting kembali ke belakang. Sang-O mengawal medan tersebut dengan amat mudah.

Dia menari di celah-celah serangan maut, langsung tidak membenarkan walau selangkah pun musuhnya melepasi garisan pertahanan, jauh sekali membiarkan sebarang serangan menyentuh Arka.

Sang-O ternyata bukan Pewaris yang sepatutnya berada di kedudukan yang tercorot.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset