Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 15

Kuasa Peluru Halilintar

Di luar medan Cabaran Wangsa, para penonton di arena mula menumpukan perhatian ke arah skrin pertempuran tersebut. Mereka tergamam. Kemampuan Pewaris yang memegang kedudukan tercorot itu untuk mengekang asakan dua Pewaris Wangsa dari senarai Tujuh Puluh Terbaik secara serentak benar-benar di luar jangkaan mereka.

“Hebat…” gumam Arka perlahan.

Dia yang sedang menonton di tepi turut merasai kekaguman yang sama. Persembahan Sang-O itu perlahan-lahan memberikan Arka ruang untuk bernafas, lantas mengusir rasa gentar yang sedikit sebanyak telah mengunci pergerakannya tadi.

Dia mengetap gigi. Dia tidak mahu sekadar menjadi penonton yang bersembunyi di balik bayang-bayang orang lain.

Arka memiliki satu kelebihan peribadi yang ketara. Dia seorang yang sangat teliti. Walaupun dalam kekalutan, matanya ligat membaca corak pergerakan kedua-dua lawan Sang-O. Minda analitiknya mula bekerja. Dia mengira tempoh kelewatan yang membelenggu Pewaris bertubuh gergasi itu untuk kembali bersedia setiap kali dia selesai melontar batu. Dia juga tajam mengesan titik buta Pewaris berpedang asid itu, terutamanya pada setiap detik lelaki itu selesai menghayunkan senjata melengkungnya.

Dalam tarian maut yang didominasi Sang-O tersebut, satu ruang terbuka luas secara tiba-tiba.

“Sekarang,” arah Arka kepada dirinya sendiri.

ZAPP!

Arka lenyap dari pandangan.

Dalam sekelip mata, dia muncul tepat di titik buta Vex. Tanpa berfikir panjang, satu tendangan padu yang ditiru dari sebuah filem aksi dilepaskan tepat ke lipatan lutut musuhnya. Vex tersungkur ke hadapan. Pedang asidnya terlepas daripada genggaman.

Sebelum Borak sempat berpusing untuk menyelamatkan sekutunya, Arka memecut pantas ke sisi rusuk lelaki gergasi itu. Cas elektrik berkumpul di tangannya. Satu tumbukan kilat diayun deras, menggegarkan perisai batu Borak dengan amat kuat.

“Apa?!” Borak tergamam.

Biar pun tumbukan itu tidak memecahkan perisai tebal tersebut, impaknya cukup untuk meranapkan keseimbangan tubuh Borak. Arka sekali lagi bergerak pantas, meluncur kembali ke belakang Sang-O.

Ruang terbuka luas. Sang-O tidak mensia-siakan peluang. Dia segera menaikkan serulingnya.

FWEET!

Satu taufan bunyi berskala sederhana diledakkan. Gelombang padat itu merempuh tepat, menghempas tubuh Vex dan Borak serentak ke sebuah batu besar sehingga rekahan panjang terukir pada permukaan keras tersebut.

Arka dan Sang-O berdiri bersebelahan. Mereka saling berbalas senyuman. Kerjasama spontan di antara mereka berdua terbukti amat serasi.

“Boleh tahan juga kau, kawan,” puji Sang-O.

Arka tidak tahu bagaimana dia patut bereaksi. Dia sendiri masih terkejut dengan keupayaan refleks yang dipamerkannya. Dalam masa yang sama, fikirannya ligat menghitung andai tindakan drastik itu telah menelan terlalu banyak tenaganya.

Namun, belum sempat Arka memeriksa keadaan tubuhnya, Borak dan Vex kembali bangkit. Wajah mereka kali ini menyinga, buas menahan malu dan amarah.

“Vex! Aku mahu bunuh mereka berdua!” laung Borak gila.

Vex mengangguk. Dia pantas menikam pedangnya terus ke tanah, manakala Borak menghentakkan kedua-dua belah tangannya ke atas permukaan berbatu itu.

Tiba-tiba, bumi di sekeliling Arka dan Sang-O bergegar kuat. Asid beracun meruap keluar dari celah rekahan tanah, mendidihkan apa sahaja yang disentuhnya. Sementara itu, dinding-dinding batu tajam mula mencacak naik dengan pantas, bersedia untuk menekan dan menghancurkan mereka dari segenap penjuru.

Kedua-dua Pewaris itu tidak lagi bermain-main. Serangan formasi berskala besar itu menutup terus segala ruang untuk mengelak.

“Tepi, kawan,” arah Sang-O, bersedia untuk meledakkan taufan.

“Tak. Kau yang ke tepi,” pangkah Arka, mengarah dengan penuh kedinginan.

Dia maju selangkah ke hadapan. Arka tahu, dia terpaksa menggunakan Peluru Halilintar untuk memecahkan kepungan maut ini. Memandangkan keadaan mereka sekarang ini sangat mendesak, dia bercadang untuk memampatkan cas statik di hujung jari telunjuknya dalam tempoh masa yang jauh lebih lama berbanding apa yang dilatihnya bersama-sama Jelal.

Niatnya cuma satu; menghasilkan letupan dalam skala yang lebih besar, menjamin kejayaan untuk menebuk jalan keluar pada dinding batu tersebut.

Sasaran dikunci.

Namun, di dalam tekanan suasana yang terlampau tegang, dia kehilangan kawalan ke atas mampatan Peluru Halilintar itu. Cas biru berdesing liar. Dia mengecas jauh lebih besar daripada yang sepatutnya.

BOOM!

Satu pancaran kilat biru pekat meledak membelah malam.

Dinding batu milik Borak meletup berderai menjadi debu. Namun, tenaga pemusnah itu langsung tidak berhenti di situ. Di luar jangkaan semua orang, pancaran Peluru Halilintar itu mendadak bertambah saiznya.

Ia meluru rakus. Sut tempur dan perisai Vex serta Borak lebur dalam sekelip mata, sebelum kedua-dua tubuh Pewaris Wangsa itu ditelan dan berkecai menjadi serpihan cahaya secara serentak.

Malah, tembakan itu terus meluncur liar melepasi tapak pertempuran. Ia meratah barisan pepohon tinggi di belakang, sebelum menjunam menghentam sebuah bukit sejauh seratus meter dari situ.

BOOOOOOM!

Letupan yang amat dahsyat menggegarkan seluruh isi belantara. Awan cendawan biru statik meruap tinggi menutupi dada langit malam.

Skrin hologram sistem arena berdenting bertubi-tubi. Beberapa kumpulan Pewaris yang sekadar sedang memerhatikan pertempuran tersebut dari kejauhan, turut tersapu bersih oleh gelombang baki tembakan Peluru Halilintar itu, menyingkirkan mereka secara drastik dari medan Cabaran Wangsa.

Di tapak pertempuran, Arka terpelanting keras ke belakang akibat daya tolakan tembakannya sendiri. Tubuhnya pantas disambar oleh Sang-O. Pemuda bertunik hijau itu memacu kakinya, mengheret Arka berlindung di sebalik bongkah batu gergasi bagi mengelakkan gelombang dan haba letupan.

Nafas Arka tersekat. Matanya terbeliak luas. Mulutnya sedikit ternganga memandang kemusnahan yang baru sahaja dilakukannya itu. Kawasan luas yang tadinya berbatu dan berhutan, kini telah rata menjadi debu hangus.

Ini… kuasa aku? bisik Arka di dalam hati. Jantungnya berdegup laju. Tubuhnya menggigil, dihimpit rasa terkejut dan gerun melihat tahap kemusnahan yang baru sahaja dilepaskannya dengan hanya satu tembakan Peluru Halilintar.

Sang-O yang menyorok di sebelahnya sekadar menelan liur. Wajah santainya lesap. Dia tidak mampu mengucapkan waima sepatah kata.

Sementara itu, di platform pemerhati, suasana mendadak bertukar sunyi sepi.

Mata Jelal terbeliak luas menembusi skrin hologram. Cerut yang baru sahaja dikepit di bibirnya jatuh ke lantai. Penjaga Wangsa itu mencengkam palang besi di hadapannya dengan cukup kuat sehingga urat-urat di belakang tangannya timbul.

“Macam mana aku boleh lupa…” gumam Jelal perlahan, sarat dengan rasa tidak percaya. “…budak ni anak dia.”

Jelal akhirnya tersedar. Darah dan tahap ketulenan kuasa yang mengalir di dalam tubuh Arka adalah jauh berbeza berbanding mana-mana Pewaris Wangsa Agung Halilintar yang lain. Sekalipun pemuda itu baru sahaja membangkitkan kuasanya, kuasa pemusnah yang bersembunyi di dalam dirinya itu, tidak akan pernah biasa.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset