Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 11

Sang-O

Satu suara menegur tenang dari atas dahan sebuah pokok tinggi.

Arka pantas mendongak. Seorang pemuda berwajah selamba melompat turun sebelum mendarat ringan ke atas tanah. Penampilannya agak berbeza berbanding Pewaris yang lain. Dia mengenakan tunik labuh tradisional berwarna hijau tua yang kelihatan sedikit meleret. Kulitnya sawo matang, dipadankan dengan kening yang cukup tebal dan potongan rambut mohawk nipis. Sebatang seruling buluh terselit kemas di celah jarinya.

Namun, sebelum sempat Arka menyoal, bunyi ranting patah memecah kesunyian.

Satu susuk tubuh melangkah keluar dari balik bayang-bayang pepohon. Dia mengenakan sut tempur ketat. Sepuluh utas dawai logam berkilauan menjalar keluar dari celah jari-jemarinya. Uniknya, dawai-dawai itu berkerdipan terapung di udara, langsung tidak jatuh ditarik graviti.

“Tak guna. Siapa yang berani kacau sasaran aku?” jerkah lelaki itu sebelum matanya tertumpu kepada pemuda bertunik hijau tersebut. Dia lantas tersenyum sinis. “Oh. Sang-O. Budak nombor seribu rupanya.”

Sang-O sekadar tersengih. Dia menoleh sekilas ke arah Arka.

“Itu Zeno, dari Wangsa Kawat,” bisik Sang-O, cukup sekadar untuk didengari oleh Arka. “Kuasa dia manipulasi dawai logam. Dia boleh menari sambil mengawal dawai tu untuk serang dan bertahan. Boleh tahan bahaya.”

Pemuda bertunik hijau itu kemudiannya melangkah santai, memposisikan dirinya di antara Arka dan Zeno. “Kau duduk jauh sikit. Biar aku uruskan dia.”

Zeno mendengus marah akibat diperlekehkan oleh peserta tercorot. “Jangan kacau aku! Aku nak singkirkan Pewaris Halilintar!”

“Cubalah,” balas Sang-O selamba.

Zeno meluru ke hadapan. Tubuhnya berputar ligat membentuk satu tarian maut. Sepuluh utas dawai logam melibas pantas, membelah udara dengan bunyi desingan yang mengerikan. Sambil dia berputar, kesemua dawai logam tersebut tiba-tiba bercantum, membentuk satu utas kawat tebal yang meluru lurus. Sasarannya adalah leher Sang-O.

Arka memampatkan cas statik di hujung jari, bersedia untuk melepaskan Peluru Halilintar.

Namun, pergerakannya terhenti. Sang-O terlampau lincah. Arka risau sekiranya tembakan itu tersasar lalu mengenai Sang-O. Lagipun, buat masa ini, dia yakin pemuda itu tidak membawa sebarang niat jahat.

Sang-O mengelak libasan kawat tebal itu dengan satu lompatan ringan yang amat bersahaja. Riak wajahnya kekal tenang. Dia langsung tidak menggunakan seruling di tangannya. Sebaliknya, Sang-O sekadar memuncungkan bibir.

FWEET!

Satu siulan tajam dilepaskan.

Gelombang bunyi berketumpatan tinggi meledak dari ulas bibirnya, tepat merempuh kawat tebal Zeno sehingga serangannya terpesong arah.

“Cis! Kau bernasib baik saja!” herdik Zeno sambil mengetap gigi.

Hakikatnya, Zeno tahu apa yang dilakukan oleh Sang-O tadi bukanlah berlandaskan nasib semata-mata. Hatinya mula diserang keliru. Bagaimana Pewaris dengan mata terendah di dalam Cabaran Wangsa ini boleh memiliki kemahiran bertempur yang sebegitu tinggi?

Namun, dia tiada masa untuk berfikir panjang. Zeno melipatgandakan kelajuan tarian mautnya. Kawat tebal tadi kembali berpecah menjadi sepuluh urat dawai logam yang berasingan. Dia membiarkan dawai-dawai itu menebas batang pokok, bergerak liar cuba memerangkap Sang-O dari segenap penjuru.

Namun, Sang-O sekadar membalas rentak itu dengan siulan.

FWEET! FWEET!

Setiap siulan yang ditiupnya serentak membentuk perisai penangkis dan peluru bunyi pada masa yang sama. Serangan Zeno dipatahkan dengan amat mudah, sebelum peluru bunyi Sang-O terus memukul pantas sebagai serangan balas.

Beberapa tembakan bunyi tepat mengenai tubuh Zeno. Sut tempurnya terkoyak. Darah mula memercik ke udara.

Dari belakang, Arka tergamam.

Matanya tidak berkelip memandang pertempuran tersebut. Dia tahu Zeno dan Sang-O bukanlah dari keturunan Wangsa Agung sepertinya. Mereka berdua cuma dari Wangsa biasa. Namun, manipulasi kuasa, ketangkasan, dan pengalaman bertempur yang dipamerkan di depan matanya saat ini benar-benar menampar akalnya.

Sekiranya Pewaris Wangsa biasa pun sudah berada pada tahap sebegini gila, apakah bentuk raksasa yang menantinya dalam kalangan Pewaris Wangsa Agung kelak?

Arka mengetap gigi. Buku limanya digenggam erat. Perasaan kerdil kembali merayap di dada. Dia sedar, biarpun darahnya luar biasa hebat, Arka secara peribadinya masih terlalu mentah dan jauh ketinggalan berbanding para pemangsa di dalam medan ini.

Zeno turut merasai tamparan yang sama. Rentaknya mula sumbang. Matanya terbeliak memandang Sang-O yang langsung tidak kelihatan berpeluh, tertanya-tanya mengapa raksasa setenang ini berada di kedudukan yang tercorot.

“Dah penat ke, kawan?” tegur Sang-O selamba.

Tanpa menunggu balasan daripada musuhnya, Sang-O merendahkan pusat gravitinya lalu memacu otot kakinya, melompat tinggi ke udara.

Zeno pantas menghidu peluang.

Sepuluh utas dawai logamnya diarahkan memacu lurus ke atas. Niatnya hanya satu—mahu menikam tembus tubuh Sang-O yang kini terdedah tanpa sebarang perisai di ruang udara.

Namun, tepat pada saat hujung kawat itu hampir merobek dadanya, Sang-O menundukkan wajah. Bibirnya dihalakan lurus ke bawah, lalu dia bersiul dengan amat nyaring.

FWEEEEEET!

Satu letusan bunyi yang terlampau padu meledak menghentam tanah. Daya tolakan yang terhasil mendadak melantunkan tubuh Sang-O jauh lebih tinggi ke dada udara, melepasi titik jangkauan maksimum dawai musuhnya.

Sebaik sahaja tubuhnya terapung di kemuncak lompatan, Sang-O pantas membawa seruling buluh itu ke ulas bibir. Jari-jemarinya kini mula menari laju di atas lubang-lubang seruling tersebut.

Sebuah melodi tempur ditiup dengan penuh tenaga.

Udara di bawahnya terus berkocak ganas. Frekuensi bunyi yang terlampau kuat berpusar dengan kelajuan gila, lantas membentuk sebuah taufan bunyi berskala raksasa.

Taufan lutsinar itu merempuh paksa ke bumi, terus menelan tubuh Zeno hidup-hidup.

Lelaki itu menjerit nyaring. Kesemua dawai logam yang menjadi kebanggaannya putus berderai dihempas tekanan bunyi, sebelum tubuhnya sendiri dihempas keras ke atas tanah selut. Detik berikutnya, susuk lelaki itu berkecai menjadi serpihan cahaya dan disingkirkan serta-merta dari medan ujian.

Di platform pemerhati dan arena, suasana mendadak bertukar sunyi.

Ribuan mata para penonton berstatus tinggi yang sedang menyaksikan paparan hologram pertempuran itu terbeliak luas. Sorakan rakus mereka mati serta-merta. Di dada skrin utama, profil Zeno berkelip merah berserta tulisan gergasi:

ZENO – PEWARIS WANGSA KAWAT (KEDUDUKAN KE-89) – DISINGKIRKAN.

Penyingkiran Pewaris dari kalangan Seratus Terbaik itu dilakukan dengan mudah oleh… Pewaris di kedudukan yang ke-1000?

“Mustahil…” bisik salah seorang penonton. “Taufan bunyi sebesar itu… dia bukan Pewaris biasa.”

Tiga Pemerhati yang berdiri di arena turut saling berpandangan. Riak buas mereka mengendur. Masing-masing seolah-olah baru menyedari bahawa ada seekor naga yang sedang menyamar sebagai cacing di dalam ujian mereka.

Di satu sudut platform yang lain, Jelal berdiri tegak merenung skrin tersebut. Tangan kirinya digenggam erat.

Dia sudah hidup lama dan menelan garam pelbagai corak pertempuran, namun teknik manipulasi bunyi yang begitu bersih, taktikal, dan tenang tadi benar-benar menampar jangkaannya. Hatinya berasa kagum yang bercampur curiga.

Pewaris Wangsa Sona? Macam mana Pewaris semuda itu mempunyai penguasaan dan kemahiran sebegini tinggi?

Sementara itu, di dalam hutan belantara yang kini kembali sunyi, Sang-O mendarat semula ke atas permukaan tanah dengan cukup kemas dan ringan.

Dengan riak wajah yang terlampau santai, dia menyeluk saku seluarnya lalu mengeluarkan sesuatu. Pemuda bertunik hijau itu kembali bersahaja mengunyah makanan di dalam mulutnya sambil tersengih lebar ke arah Arka, seolah-olah tiada apa-apa yang baru berlaku.

Melihat pemandangan yang terlampau kontras itu, nafas Arka seakan-akan tersangkut di kerongkong.

“Siapa dia…” gumam Arka perlahan.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset