Indra kaku. Mindanya yang penat bergelut memproses soalan itu. Dia kembali menjejaki bahang panas di dalam badannya. Kesemua tujuh puluh dua Gerbang Prana kini berdenyut deras di dada, rusuk, dan tulang belakangnya.
“Dalam kitab perubatan,” balas Indra mengah. “Batasnya cuma… tujuh puluh dua.” Suaranya kedengaran sedikit ragu.
“Itu cuma batas untuk manusia lemah,” pangkas lelaki tua itu sambil menepuk kasar debu di bajunya. “Sesiapa yang tulis kitab tu buta dan bodoh… dan sombong. Mana mungkin tubuh manusia terhenti setakat tujuh puluh dua Gerbang Prana?”
Indra merenung lurus ke wajah orang tua itu. “Jadi… berapa?”
Lelaki tua itu melangkah dekat. Matanya tajam memerhati jasad Indra yang lencun berdarah, seakan-akan sedang mencongak sisa nyawa pemuda itu. Dia menarik nafas perlahan.
“Seratus dua puluh.” Suara lelaki tua itu mendatar keras. “Buka sebanyak itu buat masa ini. Kalau kau tak mati, aku ada hadiah untuk kau.”
Seratus dua puluh? Minda Indra buntu. Dia mahu menjerit, membantah bahawa angka itu tidak masuk akal. Hampir sekali ganda dari apa yang dicatat di dalam mana-mana kitab di Kerajaan Cawala.
Namun, saat matanya merenung kembali susuk tubuh lelaki tua selekeh itu—orang yang baru sahaja mengukir Aksara di udara kosong, menghasilkan bebola api tanpa perlukan perantara dan merawat kecederaannya semudah memetik jari—Indra sedar betapa kerdilnya ilmu dan pengetahuannya selama ini. Andai lelaki tua ini kata ada sejuta gerbang, sejutalah jumlahnya.
Indra menelan liur membasuh payau darah. Dia memandang lelaki tua itu, mengharapkan petunjuk. Dia perlukan petunjuk untuk mencari di mana letaknya laluan ke Gerbang Prana yang seterusnya. Namun, lelaki tua itu tidak menghiraukannya. Dia duduk bersila, menyilangkan tangan di dada dan memejamkan mata.
Indra mengeluh. Dia tahu bahawa lelaki tua itu tidak akan membantunya. Semua ini perlu difikirkannya sendiri. Perlahan-lahan, dia menarik nafas sedalam-dalamnya, cuba untuk mengosongkan fikiran. Darah pekat masih menitik ke lantai batu namun semua itu sudah tidak dipedulikannya. Dia tiada masa untuk teragak-agak atau melayan perkara lain.
Seratus dua puluh… Aku cuma tahu tujuh puluh dua. Di dada, di perut, di belakang tubuh…
Matanya tiba-tiba dibuka luas. “Tunggu…” gumamnya perlahan.
Indra mula membayangkan semula anatomi tubuhnya sendiri.
“Gerbang Prana… Mustahil hanya di bahagian itu sahaja,” gumamnya lagi. Dia memandang kaki yang tergantung, tangan yang terikat sebelum melepaskan kembali kepalanya, jatuh menyentuh dada.
Segala kitab perubatan dan ilmu Gerbang Prana di Wangsa Rentaka serta di seluruh Kerajaan Cawala memahat rukun yang sama: tubuh manusia hanya ada tujuh puluh dua Gerbang Prana. Kesemuanya terkunci mutlak di dada, perut, dan belakang tubuh.
Tatkala darah panas mengalir membasahi hujung jari dan tapak kakinya, Indra akhirnya faham.
Prana adalah nadi yang menghidupkan seluruh badan. Kenapa lokasi gerbang cuma terhad di situ? Mustahil tiada kewujudan Gerbang Prana di bahagian lain tubuh seperti di seluruh kaki, tangan dan juga kepala.
Maksudnya mudah. Setiap Satria di Kerajaan Cawala selama ini membuang masa kerana mereka gagal untuk mencapai potensi sebenar. Catatan yang ada di dalam Kerajaan Cawala itu bukan had mutlak. Ia cuma batas palsu yang merantai mereka selama ini.
Andai aliran tenaga menggerakkan otot dan anggota, gerbangnya pasti wujud merata di seluruh jasad. Indra menolak terus apa yang dia percaya selama ini. Dia memacu aliran Prananya lurus ke atas, melepasi tulang selangka lantas merempuh tengkuknya.
Tepat di pangkal tengkoraknya, aliran itu terlanggar sesuatu yang amat keras. Sekalipun kesakitan, bibir Indra mengukir senyum. Dia tahu apa maknanya itu.
Gerbang Prana ketujuh puluh tiga.
Orang tua ini… dia berkata benar. Memang ada lagi.
Sekalipun terlalu banyak perkara yang sedang bermain-main di dalam fikirannya, Indra tahu dia perlu menumpukan sepenuh perhatian untuk merempuh buka gerbang ini. Selagi dia tidak berjaya, dia tidak boleh membuang masa dan tenaga. Nafas ditarik dalam. Sambil mengekalkan kepadatan Prana sedia ada di dalam tubuh, Indra menarik lebih banyak lagi Prana dari udara.
Belum. Tak cukup.
Prana yang terkumpul di dalam tubuh dipadatkan lebih dari apa yang pernah dilakukannya. Indra mengetap bibir sebelum melancarkan tenaga tersebut.
PRAKK!
Bunyi retakan bergema. Gerbang Prana ketujuh puluh tiga akhirnya berjaya dibuka.
Matanya yang tadi berpinar kini kembali terang. Sepasang matanya menangkap setiap inci ruang penjara itu dengan ketajaman yang luar biasa. Indra tersenyum. Di celah bibir yang lencun berdarah, dia melepaskan tawa senak.
Masih ada empat puluh tujuh gerbang. Dan kali ini, dia sudah mampu mengagak kasar di mana mahu memburunya. Sementara itu, lelaki tua itu membuka sedikit matanya dan memandang Indra sebelum mengangguk beberapa kali sebelum kembali memejamkan mata.
Sejam berlalu. Fikiran Indra beransur kosong, hampir menjejaki batas kewarasannya. Dia tidak lagi mampu berfikir panjang. Fokusnya kini cuma satu—membuka baki Gerbang Prana mengikut angka yang dituntut oleh lelaki tua itu.
Lokasi gerbang-gerbang tersebut bersembunyi merata-rata; di tekak, rahang, pangkal mata, sehinggalah ke dasar tengkorak. Setiap kali gerbang dipecahkan, kepalanya bergetar ngilu. Letusan di sekitar mata membuatkan pandangannya berpinar, manakala rempuhan di pangkal telinga meninggalkan dengungan yang memekakkan.
Darah pekat membuak dari rekahan kulit dan juga turut menitik laju dari setiap rongga di kepalanya. Lopak merah di bawah tubuh Indra yang tergantung semakin melebar, mengalir perlahan di lantai batu sehinggalah menyentuh hujung tapak kaki lelaki tua tersebut.
Namun, lelaki tua itu sekadar merenung, kaku tanpa sebarang reaksi.
Pandangan Indra semakin gelap. Dipandu sisa naluri, dia menjejaki kedudukan Gerbang Prana yang terakhir, tepat di tengah-tengah kepalanya. Nafas ditarik panjang lantas dia memampatkan Prana yang dikumpul di dalam tubuhnya.
Ini yang terakhir, desis hatinya. Tapi aku tahu, pasti ada banyak lagi di seluruh badanku. Aku akan cari dan buka semuanya nanti.
Prana yang mampat itu dihentam lurus. Sekalipun gerbang itu cuba menahan asakan, ia gagal menyekat aliran Prana Indra. Selang beberapa detik kemudian, Gerbang Prana terakhir itu terpaksa akur dengan asakan Indra dan berjaya dibuka.
Seratus dua puluh Gerbang Prana.
Buat masa ini, tugasnya selesai. Dia berjaya memenuhi syarat gila yang ditetapkan oleh lelaki tua itu.
Tubuh Indra terkulai layu. Hanya tali kasar pada pergelangan tangannya yang menahan dia daripada tersembam ke lantai. Nafasnya putus-putus. Kelopak matanya yang melekat dengan darah kering digagahkan celik, merenung kosong ke bawah.
Lelaki tua itu melangkah lantas berhenti tepat di hadapan Indra. Dia mengangkat tangan, lalu menekan dua batang jari tepat ke tengah dada pemuda itu.
Satu aliran Prana yang padat menyerap masuk. Rasa pedih pada tubuhnya yang tersiat tadi hilang serta-merta, diganti dengan rasa hangat yang melegakan. Indra menarik nafas panjang. Dadanya terasa lapang apabila tenaga lelaki tua itu memenuhi seluruh tubuhnya.
“Aku tak patut tolong kau,” kata lelaki tua itu sambil menjatuhkan tangannya. “Tapi anggap sajalah ini bantuan kecil. Aku dah stabilkan Prana kau. Kau ada cukup masa untuk bentuk Teras Satria sebelum semua gerbang tu tertutup balik.”
Segaris senyum nipis terukir di sebalik jambang kelabunya. “Sekarang, seperti yang dijanjikan. Hadiah kau.”
Indra membisu. Dia sudah kering tenaga untuk membalas.
Lelaki tua itu menghulurkan tangan. Udara di atas tapak tangannya bergetar. Asap hitam tiba-tiba membuak keluar lantas berpusar laju, sebelum memejal menjadi sebuah kotak kayu kecil.
Perlahan-lahan, penutup kotak itu menggelongsor terbuka dengan sendirinya.
Di dalamnya terletak sebuah orb jernih tidak berwarna. Ia juga tidak bercahaya. Namun sebaik sahaja ia didedahkan, udara di dalam penjara itu merudum berat dan sedikit menyesakkan.
Lelaki tua itu merenung bebola tersebut.
“Ini Teras Dewata.” Suaranya mendatar, tetapi sarat terbeban. “Ia menyimpan kuasa asal Dewata dan kuasa ini… memang ditakdirkan untuk kau.”
“Kuasa…” Indra memaksa rahangnya bergerak. Kerongkongnya terasa amat perit. “…Dewata?”
Lelaki tua itu menarik nafas perlahan sebelum menyeluk kotak kayu tersebut untuk membawa Teras Dewata keluar.
“Aku akan tanam Teras Dewata ini dalam tubuh kau,” sambungnya tenang. “Buat masa sekarang, ia cuma akan berakar pada tubuh kau yang masih lemah ini tapi…”
Dia berjeda lama. Ada sesuatu yang ingin dikatakan namun dia akhirnya memilih untuk menelan semula bicaranya. Dia memandang lurus menembusi sepasang mata Indra yang kelesuan.
“Tapi?” soal Indra lemah.
“Tapi… kau belum mampu untuk mengawal teras ni. Untuk menggunakan kuasa penuh Teras Dewata, kau perlu mencari kuncinya.”
Indra mengerdipkan mata menahan pedih peluh dan darah. “Kunci?”
“Setiap kunci yang kau temukan, simbolnya akan terpahat pada Teras Dewata ini.” Lelaki tua itu berterus-terang. “Berapa banyak kunci yang ada, atau di mana ia disimpan? Aku pun tak tahu. Semuanya… bergantung pada nasib dan takdir kau.”
Bicaranya terhenti di situ. Lelaki tua itu mencapai Teras Dewata tersebut lantas membenamkannya terus ke tengah dada Indra.
Tiada sebarang rintangan. Orb jernih itu menembusi kulit dada Indra begitu sahaja.
Sebaik sahaja teras itu menetap di sebelah jantungnya, haba hangat yang melegakan tadi terus lesap. Satu bahang ganas meledak. Kesemua seratus dua puluh Gerbang Prana yang baru dibuka tadi, kembali menyala secara serentak.
Tubuh Indra kejang. Kepalanya terhempas kuat pada palang kayu. Matanya terbeliak luas sebelum dia menjerit sekuat hati menahan sakit.
Jeritannya bergema di dalam kubah tenaga itu. Pandangannya berpinar putih, sebelum segalanya terus bertukar gelap.