Dia terus melutut. Pisau perak yang masih berdarah mula bekerja. Kael melapah lapisan bulu putih yang tebal, mendedahkan daging merah jambu pucat di sebaliknya. Isi itu nampak lembut dan bersih, jauh berbeza dengan isi Kumbang Hitam.
Kael memotong sedikit daging mentah itu dan terus mengunyahnya. Rasanya luar biasa. Dagingnya empuk. Sukar untuk digambarkan—lebih kurang seperti daging salai yang diperap sempurna dengan lada hitam dan herba. Sangat sedap.
Sambil dia mengunyah, notifikasi yang ditunggu-tunggu muncul di depan mata.
[8 Mata Biasa Diperoleh]
Senyuman nipis terukir di bibirnya. Lapan mata. Ganjaran yang sangat berbaloi untuk Raksasa Level 0. Jumlah Mata Biasa miliknya kini naik kepada 40/100. Dia semakin hampir.
Namun, senyuman itu cepat hilang apabila dia teringat kembali pergelutan tadi. Lapan mata itu dibayar dengan tenaga yang banyak. Dia memandang semula lorong sempit itu. Umpan diletakkan supaya dia boleh memburu dengan mudah, tetapi Arnab Putih ini terbukti jauh lebih lincah dari apa yang disangkanya.
Selain Mata Biasa, dia juga perlu mengumpul Kristal Tenaga. Manalah tahu, dengan 30 mata Nasib yang dimilikinya, dia mungkin mendapat Astra atau boleh menjual kristal itu pada harga tinggi di Kubu Menara. Dia perlu memburu lebih banyak.
“Tapi… nak bunuh sekor pun dah semput,” keluhnya, tangan masih membelek pisau. “Kalau sepuluh ekor lagi main kejar-kejar macam ni, aku yang mati penat dulu.”
Ini bukan lagi soal umpan, kerana umpannya terbukti berkesan. Ini soal cara membunuh. Dia perlukan teknik yang lebih tepat dan menjimatkan tenaga.
Dia perlu faham bagaimana makhluk ini bergerak. Dia perlu tahu bila masa yang sesuai untuk menyerang.