Malam itu tidak tenang. Siren bersahutan, lampu neon berkelip dan enjin kenderaan tidak pernah berhenti melalui jalan-jalan di bawah.
Silas duduk di atas bumbung dengan kot disangkut pada bahu untuk menahan angin malam. Di tangannya terdapat sebuah telefon murah, dibeli beberapa jam sebelumnya menggunakan wang yang ‘dipinjam’ daripada seorang lelaki di lorong.
Membelinya mudah. Menggunakannya tidak.
Di kedai elektronik tadi, penjualnya—lelaki pertengahan umur yang kelihatan letih—memandang Silas dengan serba salah. Silas bertanya, dengan nada sedikit canggung tetapi sopan, cara membuat akaun media sosial, cara mencari nama, dan cara menapis berita. Penjual itu membantu tanpa banyak soal; mungkin kasihan, mungkin keliru dengan gabungan wajah lembut dan mata yang penuh dendam.
Sekarang, di atas bumbung itu, telefon bergetar tanpa henti. Notifikasi masuk bertubi-tubi. Artikel bertukar. Berita bersilih ganti sehingga semuanya bercampur.
Silas menatal perlahan.
Begitu riuh dunia ini. Terlalu banyak suara bercakap serentak.
Dia tertanya-tanya. Bagaimana manusia di bandar mampu hidup begini?
Dia hampir menutup telefon, namun teringat tujuan asalnya.
Ethan Cole.
Nama itu ditaip pada bar carian.
Hasilnya memenuhi skrin. Puluhan akaun, gambar tersenyum, aktiviti harian, dan catatan remeh. Terlalu banyak “Ethan Cole” sehingga tiada satu pun menunjukkan sasaran sebenar.
Ini menyusahkan, fikirnya sambil memicit pelipis. Lagi mudah bertempur.
Dia terus menatal. Ketika itulah satu tanda pagar menarik perhatiannya.
#PembunuhanKeretaApiNovan
Video dan foto dipaparkan. Rakaman gegar dari mangsa terselamat. Besi yang remuk. Mangsa dibawa keluar. Ruangan komen penuh ketakutan dan kemarahan.
Gerakan...