Switch Mode

Menara Seribu: Astra Naga – Bab 5

Pendaki Level 1

Kael meredah Hutan Tabun dengan langkah tenang menuju ke timur. Kawasan bangkai kumbang ke-25 sudah lama ditinggalkan di belakang. Fikirannya kini tertumpu sepenuhnya pada satu matlamat iaitu Misi Utama di Kubu Hutan Tabun Timur.

Ketenangan itu bagaimanapun disulami kewaspadaan yang tinggi. Dia tetap berhati-hati mengelak laluan yang menjadi habitat raksasa Level 1 dan Level 2. Dia juga memastikan dirinya sentiasa berada di luar sempadan zon kawalan kumpulan Ariel, Sera, dan Roberto. Kael sedar diri. Tahap kekuatannya belum cukup sedia untuk bertembung dengan ancaman-ancaman tersebut.

Walaupun begitu, Kael tidak melepaskan peluang jika terserempak dengan Kumbang Hitam. Biarpun Raksasa Biasa Level 0 itu tidak lagi menjanjikan penambahan Mata Biasa, dia melihat setiap pertemuan sebagai satu sesi latihan. Ia medan terbaik untuk mengasah kemahiran tempurnya.

Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi dedaun kering diseret berdekatan. Langkahnya mati. Tubuhnya pantas merendah, menyusup di balik semak tebal sambil matanya mencerlung mencari sasaran.

“Nasib baik Kumbang Hitam,” bisik Kael perlahan berserta senyum nipis. “Mudah.”

Tanpa teragak-agak, Kael bertindak. Melalui satu gerakan lancar yang sudah dilatih berpuluh kali, dia melompat keluar dari persembunyian dan mendarat tepat pada titik buta makhluk itu. Pisau Perak Gred F miliknya terus menyelinap masuk ke celah lapisan cangkerang keras.

Krak.

Raksasa itu kaku sebelum rebah menyembah bumi. Kael tidak membuang masa membelah dagingnya untuk Mata Biasa. Fokusnya kini hanya pada Kristal Tenaga. Nasibnya agak baik kali ini apabila kristal itu ditemui dalam beberapa saat sahaja. Dia mencungkilnya pantas, mengesat sisa darah pada seluar, lalu menelannya.

[Tiada Astra diperoleh.]

Notifikasi itu bergema di ruang mindanya. Tiada riak kecewa di wajah Kael kerana dia sudah menjangkakannya. Dia kembali meneruskan langkah. Proses yang sama diulang pada kumbang ke-27 beberapa minit kemudian. Cekap, kemas, dan kristalnya turut dijumpai dengan mudah. Namun, keputusannya kekal sama. Tiada Astra.

Kael memaksa senyuman pada bibir, memujuk diri sendiri untuk tidak melayan hampa. Bangkai kumbang ke-27 itu ditinggalkan begitu sahaja di atas tanah.

Baru beberapa langkah dia menyambung perjalanan sambil mencongak jarak ke Kubu Timur, telinganya menangkap satu lagi bunyi. Kael berhenti mengejut. Matanya menikam tajam ke arah bunyi tersebut.

“Bukan raksasa. Pendaki?” gumamnya perlahan, penuh berhati-hati.

Kael yakin rentak pergerakan itu milik manusia. Derap tapak kaki itu teratur, namun ritmanya jelas ia adalah pergerakan lebih daripada seorang, dan ia datang dari arah timur. Naluri Kael terus mengambil alih. Dengan tangkas dia memanjat sebatang pokok rimbun yang tinggi, menyembunyikan susuk tubuhnya di sebalik dedaun lebat yang memayungi kawasan itu.

Tidak lama selepas itu, dua orang Pendaki muncul di ruang pandangannya. Kedua-duanya kelihatan berusia separuh abad. Seorang bertubuh tegap dan besar, manakala rakannya jauh lebih kurus. Langkah mereka penuh waspada dengan pandangan yang melilau mengawasi sekeliling, sehinggalah mata mereka tertancap pada bangkai Kumbang Hitam ke-27 yang baru ditinggalkan Kael.

Lelaki bertubuh besar itu mengangkat tangan, memberikan isyarat kepada rakannya supaya berhati-hati.

“Deck, periksa bangkai tu,” arah lelaki tersebut dalam bahasa asing.

Lelaki kurus bernama Deck mengangguk faham. Dia merapati bangkai itu perlahan-lahan, mencangkung, lalu menyentuh kesan cecair hitam di situ. “Darah masih baru, Ronald,” balasnya dalam bahasa yang sama.

Dari dahan tinggi di atas pokok, Kael hanya memasang telinga. Dia fasih dengan bahasa tersebut. Mereka bukan penduduk Astria, sebaliknya berasal dari Cambaland.

“Ada kristal, Deck?” soal Ronald.

Deck menggeleng. Dia menggunakan pisaunya untuk menyungkit sedikit bahagian yang telah dibelah oleh Kael. “Dah kena ambil. Cuma ada satu tusukan bersih. Nampak gayanya Pendaki ni tak berminat dengan daging.”

Ronald berhenti agak jauh dari Deck. Matanya tajam meneliti pepohon di sekitar sebelum mendongak ke atas. Mujur kanopi tebal itu mengaburkan pandangan, menyembunyikan kewujudan Kael sepenuhnya. Ronald kemudian kembali menumpukan perhatian pada rakannya.

“Dagingnya masih elok. Makan isinya, Deck. Kita masih boleh tambah Mata Biasa,” arah Ronald.

Deck tidak membantah. Dia mula membelah cangkerang itu untuk mengeluarkan isi putih di dalamnya, dan membahagikannya sama rata. Mereka menjamah habuan itu rakus sebelum masing-masing tersenyum girang.

“Sedap betul isi dia. Macam ketam segar,” puji Ronald sambil mengunyah.

Deck mengangguk setuju dengan mata yang bersinar gembira. “Betul. Siap dapat kumpul banyak Mata Biasa lagi.”

Namun, senyuman Ronald mati secara tiba-tiba. Sisa daging di tangannya diletakkan ke tepi. Pandangannya berubah serius.

“Deck,” panggilnya perlahan. “Aku nak kau ceritakan semula. Langkah demi langkah. Macam mana cara sebenar untuk kita naik ke Level 1.”

Deck menelan laju isi daging di dalam mulut, sedikit tersentak dengan perubahan nada suara itu. “Kau ni dah kenapa tiba-tiba? Kita baru sembilan hari dekat sini. Takkan semua latihan tiga bulan kita dekat Pusat Pendaki tu kau dah lupa?”

“Bukan lupa. Aku nak pengesahan,” balas Ronald. Kali ini dia tersengih kelat, cuba menyembunyikan rasa cuak yang mula bersarang. “Dekat Pusat Pendaki, semuanya nampak mudah. Teori atas kertas, dipantau oleh jurulatih. Tapi dekat sini… sembilan hari kita berhempas-pulas, masih sangkut di Level 0.”

Pandangannya meliar ke sekitar hutan yang kelam. “Aku cuma nak pastikan kita tak terlepas pandang apa-apa, atau manalah tahu ada cara lebih efisien yang kita tertinggal.”

Deck merenung wajah rakannya. Dia faham maksud Ronald. Perasaan gusar, rasa bimbang bahawa mereka mungkin membuang masa, turut menghantui dirinya. Memandangkan dia sedang berselera menikmati daging lazat itu, Deck sudi melayan permintaan tersebut.

Kael yang duduk bersandar pada dahan hanya mendiamkan diri. Nampak gayanya dia terpaksa menadah telinga mendengar kelas asas ini selesai sebelum boleh turun ke bawah.

“Kau dengar baik-baik,” kata Deck, memulakan penerangan. “Dari Level 0 ke Level 1, kita perlukan seratus mata. Sama ada seratus Mata Biasa, Mata Mutan, Mata Purba, atau Mata Sakti. Tapi tak payah bermimpi nak dapatkan mata yang lain-lain tu. Kita fokus Mata Biasa saja.”

Ronald mengangguk faham.

Deck menyambung, “Bila dah dapat seratus Mata Biasa, kita kena pergi ke Altar Pendaki yang ada di mana-mana Kubu Menara. Dekat sana kita akan lalui proses evolusi untuk bergelar Pendaki Biasa Level 1.”

“Habis tu,” pintas Ronald dengan soalan, “kalaulah aku dapat seratus Mata Mutan, aku jadi apa?”

“Pendaki Mutan Level 1.”

“Kalau Mata Purba?”

“Pendaki Purba Level 1.”

“Kalau…”

Ronald tidak jadi menghabiskan soalan seterusnya yang jelas merapu tentang Mata Sakti, sebaik sahaja dia melihat dahi Deck mula berkerut tegang.

“Kau betul-betul nak tanya ni?” soal Deck dengan nada yang mula jengkel.

Melihat reaksi itu, Ronald tersengih lebar. Dia sekadar menggelengkan kepalanya dengan mata yang jelas menunjukkan dia hanya sekadar mengusik. Kerutan di dahi Deck serta-merta kendur. Lelaki kurus itu terdiam sejenak sebelum menghela nafas panjang yang berakhir dengan tawa kecil tertahan.

“Kau memang sengaja main-mainkan aku kan?” gumam Deck sambil menolak bahu rakannya.

Dia sedar, Ronald bukanlah bodoh dan tidak tahu jawapannya. Lelaki tegap itu cuma sengaja mengusiknya. Deck faham benar sikap kawannya itu. Walaupun Deck sering menjadi pemikir untuk gabungan mereka, Ronald bukanlah seorang yang lambat berfikir. Gurau senda ringan inilah yang membuatkan mereka berdua kekal waras bertahan dalam Menara Seribu.

Deck kemudian memandang saki-baki isi kumbang di tangannya. “Aku dah tak dapat mata. Kau?”

“Sama. Tapi kenapa macam cepat sangat?”

Bahu Deck diangkat. “Entah. Mungkin kumbang ni lemah sangat, atau kita dah makan terlalu banyak spesis ni.”

Ronald tergelak kecil. “Nasib baik kita tak buang masa lama-lama buru raksasa lemah ni. Jomlah cari raksasa lain pula.”

Deck bersetuju. Mereka berdua bingkas bangun, membiarkan lebihan isi berdaging di atas tanah, lalu membuka langkah menuju ke arah selatan Hutan Tabun.

Melihat kelibat Deck dan Ronald semakin mengecil di kejauhan, Kael menunggu beberapa minit lagi untuk memastikan mereka benar-benar sudah beredar. Selepas berpuas hati, barulah dia melompat turun dari pokok tinggi itu dengan cekap.

Kedua-dua Pendaki dari Cambaland itu langsung tidak menyedari kehadirannya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset