Switch Mode

Menara Seribu: Astra Naga – Bab 3

Anomali Tingkat Satu

Kawasan Tengah Hutan Tabun

Hari Ke-9 Gelombang Ketujuh

“Tuan Muda Ariel,” panggil satu suara garau, memecah keheningan hutan yang hanya diisi bunyi pertarungan kecil. “Kita masih nak buru Kumbang Hitam? Sudah berjam-jam kita di sini.”

Suara itu datangnya dari Kudus. Seorang lelaki tegap, berkulit gelap, dengan parut melintang yang jelas di atas hidung, memberikannya rupa dan aura yang agak bengis dan menggerunkan. Dia, seperti dua puluh dua orang yang lain di kawasan itu, hanya mengenakan Pakaian Asas Menara Gred F—sebuah koleksi pakaian yang terdiri daripada tunik kapas tebal, seluar kargo berkain kasar, dan but kulit tahan lasak. Ia adalah pakaian seragam Pendaki baru, di mana semua menerima koleksi yang sama, hanya warna dan saiz sahaja yang berbeza.

“Teruskan saja,” balas Ariel, pemuda berambut perang yang disoal itu, tanpa sedikit pun berpaling. “Ambil satu atau dua jam lagi.”

Dia sedang khusyuk membelek pedang di tangannya, satu-satunya item berkualiti tinggi di antara mereka. Wajah dan tubuh Ariel biasa sahaja, tiada yang istimewa. Namun, di dalam kumpulan ini, dia adalah ketua. Aura dan latar belakangnya sudah cukup untuk membuatkan tiada sesiapa yang berani membangkangnya.

Kudus hanya mengangguk patuh, lalu berjalan ke arah pengikut yang lain. Mereka masih berada di Hutan Tabun, cuma di sebuah kawasan yang sedikit lebih lapang dan tidak mempunyai semak samun yang tebal. Tidak seperti kawasan Noah tadi. Kesemua pengikut Ariel sedang sibuk memburu Kumbang Hitam, membunuh raksasa itu sepantas mungkin. Ada yang terdesak menggunakan tangan kosong untuk menangkap, ada yang menggunakan kayu besar sebagai senjata, dan tidak kurang juga yang mengikat batu pada kayu untuk menjadikannya sebagai kapak atau tukul batu.

“Teruskan!” jerit Kudus, suaranya yang garau bergema di kawasan itu. “Tuan Muda Ariel perlukan masa sedikit lagi.”

Mereka serentak mengangguk, terus berburu dalam kumpulan kecil seramai dua atau tiga orang. Tiada siapa yang berani membantah secara terbuka. Tapi itu tidak bermakna semua bersetuju.

“Mana boleh macam ni. Kita yang susah payah, tapi dia yang mengutip semua Kristal Tenaga dan daging,” kedengaran rungutan perlahan daripada salah seorang pengikut di barisan belakang, suaranya ditenggelamkan oleh bunyi jeritan raksasa.

Wajah rakan di sebelahnya terus pucat lesi. Dia pantas menyiku si perungut. “Diam! Perlahankan suara kau! Jangan cari nahas. Kalau Tuan Muda Ariel dengar, kita mati.”

Mendengarkan amaran itu, si perungut terdiam, menelan air liurnya. Peristiwa beberapa hari lalu serta-merta menjengah memorinya: seorang Pendaki dalam kumpulan mereka dibelasah separuh mati oleh Ariel hanya kerana memberikan pendapat yang bercanggah dengan keputusan Tuan Muda itu. Sehingga ke hari ini, Pendaki tersebut masih tidak sedarkan diri, ditinggalkan di Kubu Hutan Tabun Utara untuk menerima rawatan.

Itulah realitinya. Sebenarnya, kedudukan Ariel sebagai ketua bukan diraih kerana kekuatan semata-mata. Ramai yang tahu Kudus sendiri jauh lebih kuat dan berpengalaman. Kuasa Ariel datang dari namanya: Ariel Venus.

Sebagai waris utama ketiga Keluarga Venus, sebuah ‘Keluarga Pendaki’ yang disegani, kehadirannya adalah satu jaminan. Mereka yang lain sanggup menjadi pengikutnya kerana ia adalah satu pelaburan kesetiaan, yakin bahawa apabila mereka berjaya naik ke tingkat yang lebih tinggi nanti, akan ada Pendaki Keluarga Venus yang lebih kuat sedang menanti untuk memberi ganjaran kepada mereka yang setia.

Ketika itu, beberapa orang ketua kumpulan kecil bergerak mendapatkan Kudus. Wajah mereka serius, jelas tidak bersetuju dengan arahan untuk terus memburu. Kudus mendengar laporan mereka tanpa memberikan reaksi yang berlebihan, hanya mengangguk apabila perlu. Selesai menerima laporan, Kudus berjalan semula mendekati Ariel. Wajahnya yang berparut itu kekal tenang.

“Tuan Muda,” katanya, nadanya rendah. “Makin ramai yang sudah tidak menerima Mata Biasa dari Kumbang Hitam.”

Ariel, yang sedang mengelap bilah pedangnya dengan sehelai kain, serta-merta terhenti. Raut wajahnya yang tenang tadi terus berubah keruh. Dia sudah mencapai Level 3, sementara hampir semua pengikutnya sudah berada di Level 2. Sembilan hari mereka di sini, mereka telah meredah Hutan Tabun dan membantai lebih dari sepuluh spesis Raksasa Biasa, dari Level 0 hingga Level 2. Kini, nampaknya hutan ini pun sudah tidak mampu lagi untuk memenuhi keperluan mereka.

“Apa cadangan kau?” tanya Ariel, suaranya dingin.

Kudus kekal tenang, sekalipun dia benci ditanya soalan sebegini. Setiap kali Ariel meminta pendapat, ia cuma helah untuk memindahkan beban. Jika berlaku kesilapan nanti, dia tahu Tuan Mudanya itu akan menyalahkan mereka yang memberikan pendapat. Namun, mustahil juga bagi Kudus untuk tidak memberikan cadangan.

“Kita ke kawasan lain,” balas Kudus cermat, “Atau… kita keluar dari hutan ini.”

Ariel berpaling, tangannya terus menyisipkan pedang kembali ke sarung di pinggang. Matanya tajam memandang Kudus, jelas tidak berpuas hati dengan cadangan itu.

“Keluar dari sini? Kau lupa Misi Utama?” soalnya, suaranya tegang. “Kalau kumpulan lain serang Kubu Hutan Tabun Timur masa kita tiada dan berjaya? Kau nak bertanggungjawab atas kerugian kita?”

Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Ariel, menunjukkan rasa panik yang cuba disembunyikannya. Kudus baru sahaja mahu membuka mulut untuk membalas apabila satu suara wanita yang tenang tiba-tiba memintas percakapan mereka, datang dari arah barat.

“Kenapa kau risau sangat, ‘Tuan Muda’ Ariel?”

Perhatian mereka semua serta-merta tertumpu ke arah punca suara. Seorang wanita sedang berjalan tenang, diikuti oleh lebih kurang dua puluh orang pengikut. Rambutnya yang merah menyala kelihatan amat menonjol di dalam hutan yang kehijauan itu. Dia kelihatan gagah, dan di sisi pinggangnya tersisip sebilah pedang berwarna merah darah.

“Sera,” kata Ariel, ekspresi wajahnya serta-merta bertukar serius.

Sera, ketua kumpulan itu, hanya tersenyum sinis. “Aku dan pengikut aku belum cukup kuat untuk Misi Utama. Kau jangan risau. Kau masih boleh pergi jauh sikit dari sini.”

Ariel tidak segera membalas. Dia tahu itu cuma provokasi.

Sera menyambung, nada suaranya jelas mengejek sambil matanya memandang sisa-sisa Kumbang Hitam di tanah. “Aku nak guna kawasan ini. Nak kutip Mata Biasa dari Kumbang Hitam. Sikit lagi aku dah nak Level 4.”

Ketika Sera menjangkakan Ariel akan berundur dengan marah, satu suara garau dan kasar tiba-tiba menyampuk dari belakang mereka.

“Tak payah pening-pening. Kau orang berdua boleh berambus.”

Suara itu serta-merta mengubah suasana. Wajah Ariel yang tadinya tegang, kini bertukar keruh. Rahangnya diketap kuat. Dia kenal benar siapa pemilik suara itu, dan dia benci terpaksa berada dekat dengan lelaki itu. Sera juga hilang senyuman sinisnya, diganti dengan riak waspada.

“Roberto…” sebut Sera perlahan. “Kau… buat apa di sini?”

Roberto. Nama itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan kedua-dua ketua kumpulan itu kaku.

Dia tidak sama seperti Pendaki lain. Dia adalah ‘kesilapan’ Menara; satu anomali. Ariel tahu ceritanya. Hampir semua orang di Hutan Tabun tahu. Roberto bermula di Level 0 dengan Atribut Fizikal yang sedia mengatasi Pendaki Level 2. Tiga puluh mata asas untuk setiap satunya.

Dan kini, selepas sembilan hari, dia sudah berada di Level 3. Dia mungkin berkongsi Level yang sama dengan Ariel dan Sera, tapi dia jauh lebih kuat.

Ariel tidak dapat menahan dirinya daripada membuat kiraan pantas di dalam kepalanya. Sifir Menara mudah sahaja. Setiap kenaikan Level Biasa akan menambah sepuluh mata mandatori pada semua Atribut Fizikal, dan lima Mata Atribut Bebas yang boleh ditambah pada mana-mana atribut pilihan.

Ini bermakna, Roberto kini berdiri di hadapan mereka berbekalkan minimum 60 Kekuatan, 60 Kelajuan, dan 60 Ketahanan. Itu sekadar angka paling asas, tidak termasuk sebarang Mata Atribut Bebas yang mungkin telah dilaburkannya pada Atribut Fizikal.

Di Tingkat Satu ini, gelaran Pendaki baru tidak lagi layak untuk Roberto. Dia hakikatnya seekor raksasa Menara yang bertopengkan manusia.

Sebaik sahaja Roberto melangkah keluar dari balik pepohon, pengikutnya—hampir empat puluh orang semuanya—turut mara mengiringinya. Mereka membisu, namun langkah itu jelas diatur. Perlahan-lahan mereka bergerak, membentuk satu bulatan longgar yang terus mengepung kumpulan Ariel dan Sera serentak.

Ariel mencerlung tajam, mempamerkan riak benci tanpa berselindung. “Kau nak apa?”

Roberto mengukir senyum sinis. Lidahnya didecitkan, bunyi yang cukup jelas memecah kesunyian yang menegang. Langkahnya dimatikan betul-betul di hadapan Ariel dan Sera—jarak yang terlalu rapat, sengaja menceroboh zon selesa mereka.

“Aku nak apa?” soal Roberto, mengulang soalan itu dengan nada mengejek.

“Aku nak kau orang berambus. Atau… aku bunuh semua sekali.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset