Paparan hologram di tengah-tengah bilik di menara cerap itu masih kekal terapung, berkelip-kelip memancarkan senarai nama Pewaris Wangsa yang berwarna merah menyala.
Tiba-tiba, udara mendadak berdesir kasar.
Ruang dimensi terkoyak luas, lalu memuntahkan tiga susuk tubuh ganjil terus ke atas lantai logam. Masing-masing terhempas dan terpelanting, kelam-kabut merangkak untuk menyeimbangkan badan.
“Gila…” Nafas Zox tercungap-cungap. Dia mengengsot menjauhi titik rekahan itu dan terus bersandar pada dinding. Rahang kelulinya berdetap laju, melepaskan getaran panik yang gagal dikawal. “Aku takut mati tadi. Nasib baik tak tersalah cakap.”
Di satu sudut, Vael sekadar mampu terapung separuh paras lutut. Cahaya biru pada tubuh lutsinarnya berkelip pudar, seolah-olah tenaganya hampir disedut habis. “Itu… kali pertama aku bertentang mata dengan Penjaga Halilintar.”
Goru pula langsung tidak bersuara.
Tabiat asalnya yang suka mengunyah serpihan besi lenyap begitu sahaja. Makhluk biawak bertanduk itu tegak membatu. Matanya merenung kosong ke arah skrin hologram, manakala dadanya berombak deras mengepam nafas.
“Kau orang rasa tu siapa?” Zox memecah kesunyian yang memekakkan telinga itu. Keempat-empat matanya meliar merenung rakan-rakannya. “Antara Dua Belas Penjaga rahsia tu… siapa yang cukup gila untuk muncul kat sini?”
Vael cuba membetulkan postur apungannya. Fikirannya ligat menapis segala profil dan legenda. “Berdasarkan gaya dia, aku cuma nampak tiga kemungkinan. Boleh jadi dia… atau dia.”
“Merepek apa kau ni!” pangkas Goru kasar. Sisik kelabu di belakang lehernya meremang tajam.
“Kalau dua orang tu, saiz badan mereka jauh lebih besar. Auranya juga berbeza.” Goru menelan liur berpasirnya dengan payah. “Tapi Penjaga tadi…”
Suara garau Goru tiba-tiba bergetar.
“Aura membunuh dia terlalu pekat. Dia tak buat apa-apa pun, tapi aku rasa aku lebih rela tikam diri sendiri daripada berlawan dengan dia.”
Zox dan Vael tersentak. Mereka saling berpandangan. Satu tekaan maha ngeri merempuh masuk ke dalam akal mereka serentak.
“Maksud kau…” Suara Vael tenggelam. Jika entiti lutsinar sepertinya boleh berpeluh, dia pasti sudah lencun bermandi keringat dingin. “Penjaga tadi tu… dia?”
Bilik cerap itu tiba-tiba menjadi sunyi sepi.
Hanya dengungan halus dari skrin hologram yang kedengaran memecah hening. Tiada seorang pun daripada mereka bertiga yang berani menjeritkan gelaran sebenar figura tersebut. Seakan-akan wujud satu pantang larang ghaib—bimbang nama itu sendiri mampu memanggil empunya badan untuk merobek ruang dimensi dan memenggal kepala mereka.
“Kalau betul tekaan tu, hal ni dah jauh melangkaui bidang kuasa kita.” Zox bersuara tegang. “Kalau memang sah dia yang menjaga budak tu, para Penguasa sendiri akan teragak-agak nak masuk campur. Setidak-tidaknya, bukan kelas bawahan macam Penguasa Bandar Metro Selatan.”
Goru mengangguk berat.
“Jangankan Metro Selatan. Penguasa Negara Suwarna pun takkan berani.” Goru mengecilkan matanya. “Silap-silap, para Penguasa Dunia pun kena berfikir sepuluh kali kalau nak isytihar perang.”
Mata biawak Goru perlahan-lahan beralih.
Tumpuannya kembali merenung sebaris data di tangga paling corot pada papan pendahulu tersebut.
Arka – Pewaris Wangsa Halilintar.
“Kita sebenarnya tak perlu risau. Kita cuma Pemerhati,” kata Goru pantas.
Kata-kata itu, walau bagaimanapun, lebih kedengaran seperti dia sedang terdesak memujuk diri sendiri.
“Sistem Cabaran Wangsa yang heret budak tu masuk. Bukan kita.” Goru menyambung lagi untuk menyedapkan hati. “Memang dah takdir dia. Jadi, kalau Penjaga tu nak mengamuk sekalipun, dia langsung tak ada alasan untuk bunuh kita.”
Vael dan Zox mengangguk laju. Tanpa berfikir panjang, mereka pantas mengiyakan justifikasi tersebut.
Lupakan soal Perang Wangsa. Abaikan segala dendam purba.
Nyawa mereka bertiga jauh lebih bernilai berbanding terlibat secara langsung di dalam pusaran konflik berdarah ini.
***
Langit kekal mendung pekat biarpun waktu malam belum tiba. Angin menderu kasar menyapu bumbung pencakar langit, manakala deruan hujan lebat di luar terus-menerus terbias pada permukaan kubah tenaga halimunan.
Arka merenung kosong ke arah gelang perak di pergelangan tangannya. Kepalanya berdenyut. Akalnya masih bergelut memproses lambakan realiti gila yang baru sahaja merempuh hidupnya hari ini.
Perlahan-lahan, dia mengangkat muka lalu merenung susuk tubuh selekeh di hadapannya.
“Kau siapa sebenarnya?” Suara Arka mendatar. “Atau… kau nak aku panggil kau Penjaga Halilintar macam tiga ekor raksasa tadi?”
Lelaki itu tidak terus membalas. Dia menyeluk poket kot lusuhnya, lalu mengeluarkan sebatang rokok baharu.
“Jelal.”
Dia memetik jari. Satu percikan statik memancar sekilas di udara, lantas menyalakan hujung rokok tersebut. “Buat masa ni, panggil aku Jelal.”
Pandangan Jelal kemudian jatuh ke lantai konkrit. Asap dihembus perlahan, disusuli dengan keluhan nafas yang meleret berat.
“Aku pun… tak suka orang panggil aku Penjaga Wangsa atau Penjaga Halilintar.”
Arka terkedu. Wajah lelaki itu mungkin nampak tenang, namun pandangannya sarat dengan kepahitan. Jelas ada kekecewaan dan duka lama yang tersirat tebal di sebalik nada suaranya tadi.
Melihatkan keadaan itu, baru sahaja Arka mahu membuka mulut untuk membalas—
Tanpa sebarang amaran, Jelal memetik jarinya sekali lagi di udara.
ZAPP!
Arus kilat biru memetir ganas. Ia melilit seluruh tubuh Arka dalam sekelip mata. Ruang penglihatannya serta-merta memutih buta buat sesaat.
Sebaik sahaja pandangannya kembali normal, Arka tergamam.
“Apa benda—”
Bait katanya mati di kerongkong. Matanya terbeliak luas merenung ke arah tubuh sendiri.
Pakaian kasualnya yang basah lencun dan koyak-rabak tadi sudah ghaib. Tubuhnya kini tersarung kemas dengan sepersalinan uniform tempur. Baju putih tanpa lengan itu dipadankan rapi bersama seluar hitam berpotongan longgar.
Sekilas pandang, rekaannya tidak ubah seperti sepasang pakaian bela diri kungfu. Malah, kasut sukannya juga telah berubah wujud menjadi sepasang kasut kain beralas leper.
“Silap mata ke apa ni?”
Arka menunduk. Tangannya meraba-raba fabrik di tubuhnya dengan riak kagum. Namun, keterujaan itu pudar sebaik sahaja dia menyedari rekaan baju tersebut. Dia memandang kedua-dua belah lengannya yang kurus meleding.
“Masalahnya, kenapa tak ada lengan? Aku bukannya ada otot pun nak tayang.”
Jelal menghembus asap rokok. Hujung bibirnya senget ke atas—satu senyuman mengejek yang langsung tidak disembunyikan.
“Memang tak padan dengan badan kau. Tapi hadap sajalah. Kain tu bukan fabrik biasa.” Jelal melangkah setapak ke hadapan. “Ia ditenun menggunakan gentian penebat khas, menjadikannya kalis Kuasa Halilintar tahap rendah. Sekurang-kurangnya bila kau lepaskan kilat kau nanti, baju tu takkan rentung bersisa debu.”
Arka menggosok hujung baju tersebut. Fabrik itu terasa agak canggung di jari. Permukaannya licin persis sutera dan sangat ringan, tetapi entah mengapa, ia mempunyai tekstur tebal yang amat padat.
“Kau ada pengalaman seni mempertahankan diri?” soal Jelal, tiba-tiba memecah kesunyian.
Arka mendongak, lalu menggeleng jujur. “Tak ada kelas formal. Tapi aku selalu tiru cara berlawan kat YouTube dengan filem. Kira bolehlah kalau setakat nak—”
SWOOSH!
Satu deruan angin pantas menampar muka. Jelal mendadak muncul tepat di hadapannya. Tanpa sebarang amaran, satu tumbukan padu meluru lurus, menyasarkan terus ke muka Arka.
Segalanya berlaku terlalu pantas. Minda Arka langsung tidak sempat memproses ancaman itu. Namun, tubuhnya bertindak balas secara refleks, seolah-olah bergerak di luar batas kewarasan manusia.
Kakinya berganjak ke sisi dalam sekelip mata. Tumbukan Jelal tersasar hanya beberapa inci dari hujung hidungnya.
Arka tergamam. Jantungnya berdegup laju. Biar betul? Aku berjaya mengelak?
Dia sendiri terkejut dengan kelincahan kakinya. Serta-merta, hujung bibirnya mula ternaik, mengukir senyuman bangga.
BUK!
Satu tumbukan cangkuk merobek terus ke abdomennya.
Senyuman Arka mati serta-merta. Dia langsung tidak nampak bila masa tangan kiri Jelal melepaskan serangan susulan tersebut. Tubuhnya terus terpelanting ke belakang, melambung melepasi lantai konkrit.
Malah, belum sempat tapak kakinya mendarat, satu sepakan padu hinggap tepat ke sisi rusuknya.
Arka terlempar jauh. Dia bergolek beberapa kali di atas permukaan bumbung sebelum terhempas kuat di pangkal tembok. Nafasnya tersekat. Dia terbatuk-batuk, rakus merentap masuk oksigen ke dalam paru-paru.
“Apa hal ni?!” Arka meronta bangun. Matanya mencerlung tajam memandang Jelal yang masih berdiri selamba di posisi asalnya. “Aku baru cakap aku tak ada pengalaman, kan? Dah kenapa kau belasah aku?!”
Jelal langsung tidak melenting. Dia sekadar membuang sisa rokoknya ke lantai.
“Sakit tak?”
Arka membuka mulut, bersedia untuk menghamburkan kemarahan. Namun, bait-bait suaranya tiba-tiba tersekat di kerongkong.
Dia terdiam.
Tapak tangannya perlahan-lahan meraba bahagian abdomen dan rusuk yang dihentam tadi. Matanya terkebil-kebil merenung tubuhnya sendiri dengan riak yang cukup bingung.
Sepakan Jelal sebentar tadi sepatutnya cukup kuat untuk mematahkan tulang rusuk manusia normal. Tumbukannya memadai untuk membuatkan sesiapa sahaja muntah darah.
Namun, dia tidak merasakan apa-apa. Tiada lebam. Tiada rasa sengal. Tiada sekelumit kesakitan pun. Serangan ngeri itu sekadar terasa seperti satu tolakan yang kasar.
“Aku… aku tak rasa sakit,” bisiknya, seakan tidak percaya.
Jelal tersenyum nipis.
“Itu kelebihan pertama darah Halilintar kau, Arka. Otot dan tulang kau sekarang ni sepuluh kali ganda lebih tumpat berbanding manusia biasa. Nanti, ia akan jadi lebih kuat lagi.”
Lelaki itu kembali membuka kekuda, menantikan langkah seterusnya.
“Sekarang… mari kita tengok macam mana kau nak serang balas.”