“Tiga ratus tahun lepas, dunia ditelan malapetaka. Nenek moyang kita berjuang nyawa, bersandarkan rahmat Tuhan untuk membina Tembok Gergasi Titara. Tembok ini dibina untuk menghalang bencana; memisahkan kita daripada kemusnahan. Ia sebuah binaan suci. Ia pantang dicemari oleh makhluk-makhluk keji yang merayau di luar sempadan sana. Kamu semua faham?”
Suara pengajar berjanggut putih itu bergema tegas memecah kesunyian kelas. Walaupun janggutnya sudah memutih sepenuhnya, lelaki itu sebenarnya baru berada di awal usia lima puluhan.
Anehnya, pengajar itu tidak terus menyentuh soal statut atau akta. Dia membuka kelas dengan doktrin sejarah asas.
Niatnya sangat jelas. Dia mahu mencuci minda kanak-kanak ini agar terus taksub kepada Rumah Suci dan Tembok Titara menggunakan mitos yang diulang-ulang. Rata-rata kanak-kanak di situ sudah lali mendengar lagenda Titara daripada mulut ibu bapa mereka. Hanya anak yatim paling daif dari zon setinggan sahaja yang mungkin tidak tahu-menahu.
Kanak-kanak lain mula menayang wajah bosan. Namun, aura garang orang tua itu mengunci mulut mereka daripada berbuat bising.
Noah mendengar penuh minat. Tiga hari berlalu sejak dia mendaftar, dan ini adalah kelas rasmi pertamanya di Akademi Undang-undang.
Namun, inilah serpihan sejarah yang paling didahagakannya sekarang. Menyedari pengajar itu sekadar mahu menyentuh topik itu di permukaan tanpa niat untuk mengupasnya lebih dalam, Noah dengan berani mengangkat tangannya. Dia perlukan kebenaran sesegera yang boleh.
“Cikgu, boleh jelaskan apa sebenarnya ‘bencana alam’ tu?”
Pengajar tua itu terdiam. Kesemua kanak-kanak di dalam kelas pantas menoleh. Tiada sesiapa menyangka ada pelajar yang seberani itu pada hari pertama, apatah lagi menanyakan sebuah fakta yang sudah pun dianggap asas.
“Ibu bapa dia tak pernah cerita ke?”
“Biar betul dia tak tahu bencana alam apa yang berlaku?”
Para pelajar lain mula berbisik sesama mereka.
Melihat renungan Noah yang langsung tidak berkedip, pengajar itu mengambil keputusan untuk tidak terus membiarkan soalan itu tanpa jawapan.
“Ada banyak bentuk bencana alam,” balas pengajar itu sambil mempamerkan senyuman sabar. “Letusan gunung berapi, banjir besar, bumi terbelah, dan pelbagai lagi.”
Noah tidak mengalah. “Itu saja?”
Senyuman orang tua itu pudar untuk sesaat. “Bencana tu ibarat kiamat, anak. Satu letusan gunung berapi dah cukup untuk meragut nyawa yang tak terhitung jumlahnya. Malah, awan kelabu perak yang sentiasa menutupi langit kita tu adalah sisa abu daripada letusan purba tersebut.”
Dahi Noah berkerut. Dia menjatuhkan tangannya, memilih untuk tidak terus mendesak. Namun, mindanya ligat bekerja.
Abu gunung berapi? Banjir?
Noah tahu kebenaran mutlak tentang apa yang melanda dunia ini tiga ratus tahun lalu. Bencana itu tidak berpunca daripada alam semula jadi. Awan kelabu tersebut adalah sisa radioaktif akibat perang nuklear global. Tindakan pengajar ini yang menjaja naratif ‘gunung berapi’ membuktikan satu perkara: sejarah sebenar telah dipadamkan secara sengaja. Pasti ada kuasa di peringkat tertinggi yang sedang memanipulasi sejarah untuk mengawal rakyat.
“Cikgu, mak saya beritahu dekat luar Tembok Titara tu bahaya. Dia kata kalau kita keluar, kita akan mati. Betul ke?” soal seorang budak lelaki gempal. Dia mula berani mengangkat tangan selepas melihat Noah berbuat demikian.
Wajah pengajar itu terus bertukar serius. “Betul. Di luar Tembok, syaitan berleluasa dan wabak penyakit menguasai segalanya. Sekali kamu melangkah ke luar, kamu takkan kembali lagi. Hanya perlindungan Tembok Gergasi inilah yang membolehkan kita duduk di sini dengan aman, belajar, dan menikmati makanan yang panas. Jadi, kamu mesti hormat dan sanjung Tembok ni!”
Dalam masyarakat ini, Akademi Undang-undang berkait rapat dengan kuasa Rumah Suci. Pelajar seperti Noah digelar sebagai Pengamal Undang-undang. Sebaik sahaja tamat pengajian dan melepasi pelbagai ujian yang ketat, mereka akan ditabalkan sebagai Peguam—satu kerjaya suci yang mengangkat status mereka setaraf dengan golongan bangsawan. Peguam mempunyai hak akses bebas untuk masuk ke Zon Komersial, malah ke kawasan Tembok Tengah yang dikawal rapi.
“Syaitan dan wabak…”
Wajah kanak-kanak lain terus pucat lesi. Mendengar dua perkataan itu sahaja sudah cukup membuatkan mereka ketakutan.
Sebaliknya, rasa ingin tahu Noah makin membuak-buak. Pada logik akalnya, dia langsung tidak percaya dengan kewujudan ‘syaitan’ secara harfiah. Dunia ini telah bermandi sinaran radiasi nuklear yang ekstrem. ‘Syaitan’ yang dicanang itu kemungkinan besar hanyalah organisma biologi yang bermutasi—haiwan atau manusia yang terpaksa beradaptasi secara genetik untuk terus hidup di sebalik sisa radioaktif tersebut. Pihak gereja sekadar menunggang agama; menggunakan taktik menakut-nakutkan untuk mengunci penduduk di dalam tembok.
Macam mana rupa dunia di luar sana sekarang? Selepas tiga abad tanpa sebarang pembangunan manusia, dah bertukar jadi hutan radioaktif? minda Noah terus menyoal.
“Itu saja untuk hari ni. Kelas bersurai,” umum pengajar tersebut sambil mengerling jam pasir besar di atas mejanya.
Satu keluhan lega terlepas serentak dari celah bibir kanak-kanak di dalam kelas itu.
Tiba-tiba, pintu kayu berat di hadapan kelas ditolak kuat dan luas. Dua orang lelaki muda bersarung perisai kulit hitam yang kemas melangkah masuk. Riak wajah pengajar tua itu berubah serta-merta sebaik sahaja matanya menangkap pingat logam hitam yang tersemat pada bahu mereka. Wajah berkedutnya pantas mempamerkan senyuman meleret.
“Ah, tuan berdua datang untuk bawa kanak-kanak yang terpilih ke?” soalnya penuh hormat.
Anak mata Noah mengecil. Renungannya tepat dan kekal pada kedua-dua lelaki tersebut. Dia tahu ada sesuatu akan berlaku dengan kehadiran dua orang pegawai tersebut.
Salah seorang pegawai tersebut—pemuda bertubuh kurus dengan aura yang cukup dingin—mengangguk pantas. Pandangannya menyapu segenap ruang kelas. “Aku akan panggil nama. Kalau nama kalian dipanggil, bangun segera. Faham?”
Kesemua kanak-kanak terus kaku. Pengajar itu pantas mencelah, cuba meredakan ketegangan. “Jangan takut. Dua orang tuan ni adalah Pengawal Elit. Sesiapa yang namanya dipanggil telah dipilih untuk perkhidmatan awam istimewa. Ini satu penghormatan yang cukup besar.”
Perkhidmatan awam istimewa? Noah teringat penerangan Jura sebelum ini. Secara asasnya, ia merupakan jawatan kerajaan, periuk nasi yang dijamin seumur hidup. Bagi rakyat biasa, status itu adalah impian mutlak. Cuma, dia tidak tahu sama ada ini adalah yang sama seperti apa yang diterangkan oleh Jura.
Namun, mata Noah kekal merenung tajam ke arah pingat dan perisai hitam mereka. Sejak menjejakkan kaki keluar dari zon setinggan, dia kerap memerhati para pengawal tempatan di zon perumahan. Tiada seorang pun daripada mereka yang memakai seragam atau lencana sebegini. Hakikat bahawa seorang pengajar Akademi Undang-undang terpaksa menunduk hormat kepada mereka membuktikan kuasa yang dipegang oleh dua pengawal itu bukanlah calang-calang.
“Lufi!” lantang pegawai itu memanggil.
Seorang budak lelaki bertubuh kurus di barisan hadapan tersentak. “S—Saya…”
“Bangun!” jerkah pegawai itu. Lufi bingkas berdiri dengan wajah pucat lesi.
“Miya!”
“Ya!” sahut seorang budak perempuan lalu tergesa-gesa bangun.
“Yamin!”
“Kila!”
Sebaik sahaja Kila berdiri, mata dingin pegawai tersebut kembali meneliti senarai di tangannya sebelum dia mendongak semula.
“Noah!”
Tanpa sepatah kata, Noah menolak kerusinya perlahan lalu berdiri dengan tenang. Apa sekalipun, dia berasa sangat curiga akan panggilan ini. Nalurinya kuat mengatakan ini akan membawa dia lebih dekat dan cepat untuk merungkai segala misteri dunia ini.
Mengira dirinya sekali, genap lapan orang pelajar dari kelas itu yang telah dipilih.