Switch Mode

Raja Bayang – Bab 10

Pemungut dan Pemburu

“Kamu berlapan. Ikut kami.” Pegawai muda itu merenung tepat ke mata Noah. Suaranya mendatar. Tanpa menunggu balasan, dia berpusing dan melangkah keluar dari kelas, diekori rapat oleh rakannya.

Melihat Noah dan yang lain masih kaku, pengajar berjanggut putih itu pantas mendesak. “Ini tuah, anak-anak. Orang lain sanggup membunuh demi peluang macam ni.”

Terdorong oleh kata-kata itu, Yamin—budak lelaki paling tinggi dalam kumpulan tersebut—mengumpul keberanian. Dia membuka langkah, mengetuai yang lain keluar dari bilik.

Noah mengekori di barisan paling belakang. Matanya diam-diam menilai tujuh kanak-kanak di hadapannya, membandingkan mereka dengan baki pelajar di dalam kelas. Pantas mindanya merumus satu hal. Tiada sebarang titik persamaan antara mereka. Sama ada warna kulit, susuk tubuh, mahupun sebarang ciri fizikal luaran, kelompok ini langsung tidak menonjol.

Kalau bukan luaran, pasti dari dalam, detik hati Noah.

Fikirannya terus mengimbas sesi pemeriksaan fizikal tempoh hari. Tiub kaca primitif. Ujian darah. Itulah satu-satunya penjelasan yang masuk akal.

Belum sempat dia menggali teka-teki itu lebih dalam, langkah mereka terhenti di perkarangan luar Akademi Undang-undang.

Sebuah kereta kuda hitam gergasi terparkir tepat di hadapan bangunan. Rangkanya diperkukuh dengan jeriji besi tebal dan pasak besar, memancarkan aura pertahanan mutlak.

Namun, haiwan yang menarik kenderaan itu jauh lebih menggerunkan. Berdiri setinggi hampir tiga meter dengan seluruh tubuh disarung perisai logam yang berat, ia langsung tidak menyerupai kuda biasa. Susuk badannya tak ubah seperti sebuah jentera perang.

Bukan Noah sahaja yang terkedu. Kanak-kanak lain turut kaku melihat pemandangan tersebut.

“Naik,” arah pegawai muda itu.

Langkah kanak-kanak itu teragak-agak. Yamin, yang seolah-olah terpaksa memikul peranan ketua gara-gara saiz fizikalnya, tergagap-gagap bersuara. “T—Tumpang tanya, tuan… kita nak ke mana?”

Renungan dingin pegawai itu terus menikam wajahnya. “Naik. Sekarang.”

Wajah Yamin pucat lesi. Menggeletar ditikam jelingan tersebut, dia tidak berani lagi membuka mulut. Berhati-hati menjarakkan diri daripada haiwan perisai itu, dia tergesa-gesa memanjat masuk ke dalam kabin. Lufi yang bertubuh kurus, Miya, Kila, dan baki yang lain mengekori dalam diam dengan tubuh yang mula menggigil ketakutan.

Ruang kabin itu cukup luas untuk menempatkan mereka berlapan. Noah melabuhkan punggung di sudut paling hujung. Dua kanak-kanak di sebelahnya duduk merapat, tubuh mereka masih menggigil. Dari sebalik tingkap kecil, matanya mengekori pergerakan pemandu yang melompat pantas ke tempat duduk.

Apa sebenarnya yang dirahsiakan oleh dunia ni? Apa benda yang ada di luar tembok sana?

Kewujudan ‘Akademi Undang-undang’ sekadar satu topeng. Jelas ada pihak yang berkuasa penuh untuk bergerak melangkaui batas undang-undang. Hak asasi manusia? Dalam sebuah masyarakat pasca-bencana yang mundur—ditadbir oleh bangsawan dan institusi seumpama Rumah Suci—konsep ‘kesamarataan’ dan ‘kebebasan’ tidak lebih daripada pembohongan murah. Mempercayai kedaulatan undang-undang di tempat sebegini bermakna kau merelakan diri untuk dikawal, bukan dilindungi.

Kereta kuda itu membelah jalan, meninggalkan akademi dengan kelajuan yang menakutkan. Deretan bangunan di Zon Perumahan bertukar menjadi bayang kabur di sebalik cermin. Beberapa ketika kemudian, struktur tembok dalaman yang menjulang tinggi mula kelihatan di hadapan. Berbekalkan asas membaca yang diajar oleh Taha dan Jura, mata Noah pantas mengeja lambang gergasi yang terpahat pada permukaan batu tersebut.

Ia adalah pintu sempadan yang memisahkan Zon Perumahan dengan Zon Komersial. Mereka nak bawa masuk ke Zon Komersial?

Kanak-kanak lain turut menyedari laluan tersebut. Memori tentang pujian pengajar tadi kembali terngiang-ngiang. Serta-merta, riak ketakutan di wajah mereka pudar, diganti dengan keterujaan yang meluap-luap. Bisikan angan-angan untuk menjejakkan kaki ke dunia bangsawan dan merasai hidup mewah mula bergema di ruang kabin.

Noah kekal tanpa riak. Keupayaan mengangkut keluar pelajar secara terang-terangan dari sebuah akademi berprestij membuktikan satu cengkaman kuasa yang cukup mengerikan. Satu-satunya persoalan yang bermain di fikirannya sekarang; adakah destinasi ini satu anugerah, atau sekadar hukuman mati.

Melepasi sahaja pintu sempadan, kenderaan hitam itu meluncur laju membelah jalan sebelum melintasi bangunan bertemakan piano yang dikunjunginya beberapa bulan sebelum ini. Pemandangan itu pantas mengundang semula memori sesi soal siasat penuh bisa dan angkuh daripada Annia Jauhar. Hujung bibir Noah terjungkit sinis. Dia memang tahu lambat-laun haluannya akan tetap menembusi Zon Komersial, cuma dia tidak menyangka hari itu tiba seawal ini.

Perjalanan mereka akhirnya terhenti di hadapan sebuah rumah agam persis istana. Pegawai muda itu melompat turun. Pintu kabin direntap terbuka.

“Semua! Turun!” tengkingnya.

Kanak-kanak itu akur, tergesa-gesa melompat turun. Noah mengambil giliran paling akhir. Namun, baru sahaja kakinya mahu menjejak keluar, telapak tangan pegawai itu terhempas kasar pada bingkai pintu. Laluan terus mati.

“Budak ini tak turun.” Pegawai itu melaung ke arah pemandu. “Kita ke sana.”

Pintu kabin ditarik rapat. Bunyi hentamannya memisahkan Noah sepenuhnya daripada tujuh kanak-kanak yang lain. Anak matanya mengecil. Denyut nadinya berdetak sedikit laju. Tangannya pantas menyelak kain langsir tingkap. Wajah keliru Yamin, Lufi, dan mereka yang lain membalas renungannya dari jauh, semakin lama semakin mengecil sebelum kenderaan itu melesap di sebalik selekoh tajam.

Kain langsir dilepaskan. Noah berpusing perlahan, berdepan dengan pegawai yang kini duduk bersahaja di dalam kabin bersamanya. Mindanya ligat membuat congakan pelbagai kemungkinan.

Lari? Melawan? Kedua-duanya mustahil. Nyawanya kini seratus peratus di tangan pegawai tersebut.

Perjalanan itu akhirnya terhenti sekali lagi. Kali ini, mereka berada di hadapan sebuah rumah agam terpencil yang cukup luas. Pagar kayu putih yang utuh melingkari kawasan tersebut, melindungi hamparan rumput hijau yang dipangkas rapi. Kelibat beberapa orang tukang kebun kelihatan menyelenggara landskap di sekeliling. Semuanya membisu, sekadar menunduk fokus pada tugas masing-masing tanpa mempedulikan apa yang berlaku.

Pintu kabin dikuak dari luar. Pegawai muda itu merenung Noah. Riak wajahnya yang sedari tadi beku dan dingin tiba-tiba cair. Bibirnya perlahan-lahan mengukir satu senyuman yang cukup mesra.

“Kau sangat tenang, budak.”

Noah meneliti senyuman itu. Biarpun sempat tersentak, dia pantas mengawal reaksi agar wajahnya kekal tenang. Tanpa basa-basi, dia terus memotong ke pangkal persoalan.

“Saya diasingkan sebab bacaan radiasi saya?”

Pegawai itu tertawa kecil. Topeng dingin tentera yang membeku pada wajahnya sejak tadi lebur sepenuhnya. “Bijak. Ya, seratus peratus sebab bacaan radiasi. Tujuh budak tadi cuma lepas syarat minimum. Berlatihlah separuh mati macam mana pun, mereka cuma layak jadi ‘Pemungut’. Tapi kau… bacaan kau sangat luar biasa. Kau ada potensi besar untuk sertai barisan ‘Pemburu’.”

Dahi Noah berkerut. “Pemungut? Pemburu? Apa sebenarnya kerja Pemungut?”

“Turun dulu.” Lelaki itu menghulurkan tangan, membantu Noah melangkah turun dari kabin.

Sambil mengatur langkah melepasi pagar estet, dia bersuara. “Tugas Pemungut adalah meredah keluar dari Tembok Gergasi Titara. Tinggalkan zon keselamatan, redah kawasan larangan, dan kumpulkan apa saja sumber yang masih boleh diguna pakai.”

“Turun dulu.” Lelaki itu menghulurkan tangan, membantu Noah melangkah turun dari kabin.

Sambil mengatur langkah melepasi pagar rumah agam tersebut, dia bersuara. “Tugas Pemungut adalah meredah keluar dari Tembok Gergasi Titara. Tinggalkan zon keselamatan, redah kawasan larangan, dan kumpulkan apa saja sumber yang masih boleh diguna pakai.”

Langkah Noah mati. Kejutannya gagal disembunyikan. “Luar Tembok?”

Oh, baru aku faham.

Jawatan ‘perkhidmatan awam’ yang dicanang gah itu rupa-rupanya sekadar tiket maut ke luar Tembok Gergasi Titara. Pengajar tua tadi pasti sudah tahu. Sengaja dia reka cerita dongeng tentang syaitan dan wabak semata-mata untuk menipu para pelajar.

Noah sememangnya tidak termakan dengan mitos tersebut, tetapi kini dia sedar dunia luar benar-benar sebuah padang maut. Tahap radiasi di luar sana cukup ekstrem untuk membunuh manusia dalam sekelip mata.

Radiasi.

Segala-gala di dalam kepalanya terus bercantum. Patutlah bacaan radiasi menjadi penentu segalanya. Dia yakin tujuh kanak-kanak lain pasti mempunyai bacaan radiasi yang rendah juga.

Luar Tembok Gergasi Titara pastu dipenuhi sisa nuklear. Kalau tubuh seseorang sudah sedia tinggi dengan radiasi, langkah pertama mereka keluar dari tembok ini akan terus meragut nyawa mereka. Hanya manusia yang memiliki radiasi paling rendah mampu bertahan hidup cukup lama untuk dikerah sebagai Pemungut atau Pemburu.

Perut Noah memulas. Rasa seram sejuk mula merayap ke segenap nadinya.

Pemeriksaan fizikal di akademi itu sebenarnya bukan untuk uji tahap kesihatan. Ia adalah satu perangkap. Mereka memburu rakyat biasa yang bertubuh bersih menggunakan janji palsu, semata-mata untuk dihantar ke luar untuk misi bunuh diri.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset