Switch Mode

Raja Bayang – Bab 7

Akademi Undang-Undang

Noah mengangguk perlahan. Sebelum topik persekolahan dibangkitkan, Taha pernah meluahkan hasrat agar Noah mewarisi kemahirannya dan menjadi tukang jahit yang lebih pakar daripadanya. Namun, memandangkan Noah sudah menetapkan matlamatnya sendiri, dia menolak cadangan itu dengan baik.

Taha dan Jura langsung tidak marah. Bagi mereka, kanak-kanak yang berimpian adalah satu petanda yang baik. Mereka berstatus rakyat biasa, bukannya hamba. Jadi, tiada salahnya jika anak mereka mempunyai impian sendiri.

“Sayang betul, bidang perubatan pula terlalu susah untuk dia mula sekarang,” luah Jura dengan riak kesal. Walaupun Noah pintar, usianya dikira sudah agak lewat untuk mengejar kerjaya sebagai seorang doktor.

“Habis tu, kamu nak belajar apa?” soal Taha sambil tersenyum.

Noah mendongak memandang mereka. “Undang-undang,” jawabnya tenang.

“Undang-undang?” Taha teragak-agak.

“Noah tahu ke kerjaya tu macam mana?” soal Jura pula. “Pernah tengok bagaimana mereka bekerja?”

“Saya tahu ia salah satu daripada tiga kerjaya utama rakyat biasa. Status peguam juga dipandang lebih tinggi berbanding doktor.” Sebelum ini, Taha pernah menunjukkan sebuah carta kerjaya kepadanya. Carta itu menyenaraikan bidang tugas serta kelayakan bagi setiap profesion. Maklumat tersebut sangat membantu Noah merangka laluan kerjayanya di dunia ini dengan lebih jelas.

“Pak cik cuma nak berterus-terang,” tegur Taha, riaknya berubah serius. “Akademi Undang-undang adalah sekolah yang paling susah nak lulus. Jauh lebih susah daripada bidang perubatan. Ia perlukan pemikiran yang fleksibel dan logik akal yang tajam. Malah, lidah kamu juga kena tajam. Walaupun kamu bijak, kena ingat tahap kesusahan di sana langsung tak sama dengan apa yang kamu lalui di rumah anak yatim. Sangat susah nak tamat belajar dan jadi peguam yang bertauliah.”

Noah merenung tepat ke mata lelaki itu. “Saya tetap nak belajar undang-undang. Walau apa cara sekalipun.”

Dahi Taha berkerut. Ini kali pertama Noah mempamerkan kedegilannya, membuatkan Taha mati akal untuk membantah. Apatah lagi, sejak lamaran Keluarga Jauhar terbatal, dia dan Jura sudah mula menganggap Noah sepenuhnya seperti anak kandung sendiri. Mereka tidak sampai hati mahu menidakkan kemahuan budak itu.

“Biarkan sajalah dia belajar undang-undang,” celah Jura lembut, memujuk suaminya. “Kalau tak dapat masuk ke mahkamah tinggi pun, jadi peguam biasa dah memadai. Bila dia faham undang-undang, sekurang-kurangnya dia takkan terlanggar peraturan tanpa sengaja. Boleh dia hidup dengan selamat.”

Noah memandang wanita itu. Di sebalik wajah tenangnya, mindanya berbisik sinis. Aku nak belajar undang-undang bukan untuk patuh… tapi untuk memanipulasinya.

Mendengar pujukan isterinya, Taha mengeluh perlahan lalu mengalah. “Baiklah.”

Serta-merta, Noah menyarung kembali topeng naifnya. Mempamerkan riak lega yang meyakinkan persis kanak-kanak biasa, dia tersenyum lebar. “Terima kasih!”

Melihat kegembiraan pada wajah budak itu, bibir Taha perlahan-lahan mengukir senyuman mesra. “Kalau itu pilihan kamu, teruskan. Tapi, kalau satu hari nanti kamu rasa nak mengalah, kamu sentiasa boleh balik dan belajar menjahit dengan pak cik. Gaji tukang jahit masih cukup untuk tanggung makan pakai kamu.”

Noah sekadar mengangguk perlahan.

Sebaik sahaja musim tengkujuh melabuhkan tirai, bahang matahari mula membakar sisa-sisa lumpur di jalanan.

Beberapa hari sebelum ujian kemasukan akademi bermula, laluan utama di setiap zon dibanjiri lautan manusia yang berarak secara berkumpulan. Hari ini adalah Hari Doa. Tiada perbualan kosong kedengaran. Masing-masing berjalan menundukkan wajah menuju ke rumah ibadat zon masing-masing. Dari celah bibir ribuan rakyat itu, bergema bait-bait doa yang seragam—memohon perlindungan Tuhan agar dijauhkan daripada wabak penyakit dan maut untuk musim yang bakal tiba.

Taha dan Jura turut membawa Noah menyertai lautan penganut tersebut.

Mengekori langkah ibu bapa angkatnya, mata Noah tajam menilai keadaan sekeliling. Buat pertama kalinya, dia berdepan secara fizikal dengan institusi yang memegang kuasa mutlak ke atas kepercayaan dunia baharu ini—Rumah Suci. Bangunan batu yang megah itu berdiri merobek langit di tengah-tengah dataran utama zon perumahan, menenggelamkan terus skala struktur-struktur lain di sekitarnya.

Di tengah dataran yang padat itu, tersegam sebuah patung gergasi berbentuk malaikat bersayap empat. Tangannya mendepang luas ke bawah, menjatuhkan bayang-bayang yang seolah-olah sedang memeluk ribuan manusia yang berlutut di bawahnya. Pada mata rakyat biasa, ia memancarkan aura kebaikan dan keharmonian yang mutlak. Pada mata Noah, ia adalah simbol kawalan yang sempurna.

Tiga hari selepas upacara agung itu tamat, pelbagai akademi di dalam Tembok Titara secara rasminya membuka pintu bagi memulakan penilaian kemasukan pelajar.

Noah berjalan diapit oleh Taha dan Jura. Perjalanan sejauh sepuluh kilometer merentasi zon perumahan itu memakan masa hampir dua jam.

“Kamu penat, Noah? Nak pak cik dukung?” tegur Taha apabila melihat peluh mula merintik di dahi anak angkatnya itu.

Noah menggeleng perlahan. “Saya boleh jalan sendiri.” Walaupun tubuh fizikalnya letih, mindanya ligat bekerja merakamkan susun atur bangunan, kedudukan lorong, dan memetakan keseluruhan kawasan tersebut di dalam kepalanya. Taha dan Jura saling berbalas pandangan lega, gembira melihat daya tahan fizikal budak itu.

Setibanya di perkarangan Akademi Undang-undang, kawasan pintu masuk sudah sesak dibanjiri lautan manusia. Hampir kesemua calon dan ibu bapa yang hadir mengenakan pakaian yang kemas dan bersih.

Pandangan Noah menyapu wajah-wajah di situ. Majoriti kanak-kanak memiliki kulit cerah berseri, manakala segelintir kecil berkulit agak kekuningan. Tiada seorang pun di situ yang memiliki kulit kasar, gelap, dan mengelupas akibat selaran matahari. Bukti fizikal itu sudah cukup untuk menterjemahkan realiti sosial Tembok Titara. Ditambah pula dengan yuran pengajian akademi berprestij ini terlalu mahal; mematikan terus niat rakyat kasta buruh dari zon bawahan untuk membawa anak mereka ke sini.

“Aku dengar Akademi Undang-undang bukan setakat ada ujian temu duga. Ujian bertulis di sini juga sang,” bisik seorang bapa di hadapan mereka, riaknya jelas gelisah.

“Ya. Kalau anak aku gagal hari ni, aku nak hantar dia ke Akademi Jahitan saja. Entah apalah yang mereka akan uji nanti,” balas bapa di sebelahnya sambil mengelap peluh di dahi.

Mendengar perbualan itu, Taha menjengketkan kaki, cuba meninjau ke hadapan. “Penilaian dah mula ke?” soalnya kepada diri sendiri.

Jura menunduk sedikit, merapatkan wajahnya kepada Noah. “Jangan risau,” bisiknya menenangkan. “Mak Cik rasa ujian ni lebih kurang sama macam penilaian Akademi Perubatan dulu. Soalannya mudah. Mereka cuma nak uji daya ingatan kamu. Dekat sini pun pasti sama.”

Taha berpaling lalu menepuk bahu Noah perlahan. Senyuman semangat diukir di bibirnya. “Semuanya bergantung pada prestasi kamu hari ni. Tapi kalau gagal pun tak apa, jangan tertekan. Mesin jahit pak cik sentiasa tunggu kamu kat rumah.”

Noah kekal tersenyum namun dia sedikit kecewa. Andai benar hari ini hanyalah ujian ingatan yang ringkas, dia benar-benar kecewa.

Di era Arkana sebelum dunia ini ditimpa bencana, kanak-kanak dengan tahap IQ sekitar 120 hingga 140 sudah diangkat sebagai genius. Adik perempuan kandungnya yang sentiasa nakal itu memiliki IQ setinggi 172. Namun, keputusan ujian IQ Noah sendiri mencecah angka 198—satu tahap kepintaran yang menakutkan. Dia masih ingat dengan jelas hari di mana dia diterima masuk ke Universiti Arkana pada usia seawal lima tahun.

Kepintaran sebegitu tidaklah pelik untuk dia miliki. Ia adalah warisan genetik ibu bapa kandungnya yang merupakan saintis terkemuka antarabangsa. Andai bencana itu tidak memusnahkan dunia, ibu dan ayahnya pasti sudah merangkul anugerah sains global tertinggi menerusi ciptaan perintis mereka: teknologi Hibernasi Kriogenik.

Barisan bergerak perlahan ke hadapan. Kanak-kanak mula melangkah masuk ke dalam bilik penilaian seorang demi seorang. Akhirnya, tiba giliran Noah.

“Ibu bapa dilarang melepasi garisan ini. Calon, sila bergerak masuk,” arah seorang pegawai berwajah cengkung, menghalang Taha dan Jura daripada melangkah lebih jauh.

“Noah, semoga berjaya!” sorak Jura perlahan dari belakang garisan.

Noah mula melangkah masuk. Sempat menoleh sekilas ke belakang, matanya menangkap sinar kehangatan dan harapan yang benar-benar ikhlas memancar dari renungan wanita itu.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset