“Doktor?” Tiba-tiba, seorang wanita muda bergaun kelabu memandang Noah dan bertanya, “Noah, saya seorang doktor.”
Dengan wajah yang manis tersenyum, dia menyambung bicara. “Kamu sudi jadi anak angkat saya?”
Mendengar pengakuan itu, pandangan Noah pantas tertumpu kepadanya. Keputusannya menolak tukang kebun tadi adalah satu perjudian berisiko. Dia tahu, keluarga lain tidak akan berani memilihnya kerana takut menyinggung Keluarga Kesuma. Noah sudah bersedia dengan risiko tidak dipilih oleh sesiapa pun pada hari ini. Namun, keberanian wanita ini tampil menawarkan diri membuktikan satu perkara: statusnya sebagai seorang doktor mempunyai pengaruh yang cukup besar.
Apa yang Noah tidak tahu, profesion doktor sangat sukar ditemui di dunia baharu ini. Walaupun masih dianggap sebagai pekerjaan awam, statusnya dipandang sangat tinggi.
Taraf profesion ini hampir mencecah kelas atasan. Kehadiran wakil Keluarga Kesuma di situ memang membuatkan orang awam biasa tidak berani bersuara. Tetapi jika dibandingkan dengan seorang doktor, tukang kebun itu tidak lebih daripada sekadar pekerja kasar yang setaraf dengan pelombong atau tukang jahit.
Noah berasa selesa dengan wanita muda ini. Raut wajahnya lembut, dihiasi lesung pipit setiap kali dia tersenyum. Cara wanita itu merenung Noah persis seorang ibu yang memandang anak kandungnya. Hati Noah yang dingin sedikit terusik melihat kelembutan tersebut. Dia mengangguk perlahan. “Saya sudi.”
Riak wajah tukang kebun itu terus mencuka. Tetapi selepas menjeling ke arah doktor tersebut, dia terpaksa menelan amarah dan mendiamkan diri. Dalam hati, dia mengasihani Noah. Baginya, budak itu terlalu mentah dan berfikiran singkat. Doktor memang profesion yang dihormati, tetapi bukan semua anak doktor berbakat untuk mewarisi bidang tersebut. Ilmu perubatan menuntut usaha keras dan mempunyai syarat kelayakan yang sangat ketat. Andai Noah gagal kelak, dia hanya akan berakhir sebagai rakyat bawahan tanpa masa depan.
Kerja kebun pula jauh lebih mudah. Sesiapa pun boleh buat asalkan ingatannya kuat. Jika bekerja di bawah nama Keluarga Kesuma, Noah akan hidup selesa dan jauh dari kawasan setinggan ini. Malah, dia berpeluang mewarisi jawatan ketua tukang kebun pada masa hadapan. Dapat berkhidmat dan menetap di estet elit Kesuma adalah impian seumur hidup bagi rakyat bawahan.
Rugi betul. Buat habis peluang saja!
Tukang kebun itu menggelengkan kepala.
Wajah budak-budak ‘normal’ terus bertukar kelat sebaik sahaja doktor itu memilih Noah. Taro dan budak-budak buangan yang lain dapat menyembunyikan riak mereka dengan lebih baik, walaupun masih terselit rasa cemburu. Walau apa pun, Noah baru sahaja merampas satu peluang keemasan, sekaligus membuahkan rasa benci dan dengki dalam hati anak-anak yatim yang lain.
Noah sekadar mengukir senyum nipis. Dari dulu lagi dia memang mudah membuatkan orang berasa selesa dengannya.
Puan Dalila menoleh ke arah doktor muda itu. “Noah sentiasa berkelakuan baik di sini. Kami harap Puan dapat jaga dia, dan kami doakan puan, suami dan Noah bahagia.”
“Semestinya,” balas wanita itu dengan senyuman mesra. “Dapat anak ini pun dah cukup buat saya gembira.”
Puan Dalila kemudian beralih kepada pembantunya. “Mina, tolong bawa mereka uruskan prosedur pendaftaran.”
Puan Mina tersenyum sambil menggamit Noah dan doktor muda tersebut. “Sila ikut saya.”
“Jaga diri, Noah!”
“Noah, jangan lupakan kami!”
“Ingat, datang melawat!”
Taro dan kanak-kanak ‘cacat’ yang lain melaung dari jauh. Jelas kedengaran nada berat untuk melepaskannya pergi.
“Aku akan datang melawat. Jangan sedih,” balas Noah. Dia tidak lupa bagaimana mereka melayannya dengan baik sepanjang tiga bulan ini. “Tapi aku harap kita semua sudah mempunyai keluarga angkat sebelum aku sempat datang melawat.”
Walaupun masing-masing sedar betapa tipisnya peluang itu, mereka masih mampu ketawa.
Baru sahaja Noah membuka langkah, suara tukang kebun itu kembali kedengaran memecah suasana.
“Aku pilih kau.”
Noah pantas menoleh. Lelaki itu sedang menuding jarinya tepat ke arah Ara. Dia mengukir senyuman yang cukup angkuh dan bangga dengan status majikannya.
“Anak, aku rasa kau pun tiada kurangnya. Kau nak jadi anak angkat aku tak?”
Ara terkedu, seakan-akan tidak percaya dengan telinganya sendiri.
Dia mengerling pantas ke arah kanak-kanak normal yang lain, masih terkejut dengan tuah badannya.
Noah menjeling sekilas sebelum mengalihkan pandangan. Dia terus melangkah meninggalkan kawasan lapang itu bersama Puan Mina dan bakal ibu angkatnya.
Dia dan penghuni rumah anak yatim itu kini bakal memulakan hidup di dua dunia yang berbeza. Mungkin juga mereka tidak akan bersua lagi.
Prosedur pendaftaran keluarga angkat di situ cukup ringkas.
Pertama, pengesahan identiti ibu bapa angkat.
Kedua, semakan pekerjaan untuk membuktikan status kewangan mereka.
Tujuannya hanya satu: memastikan si pemohon melepasi syarat ketat undang-undang. Penganggur atau mereka yang bergaji rendah akan terus ditolak.
Ketiga, tandatangan pada kontrak rasmi.
Dan akhir sekali, proses yang paling penting, transaksi wang tunai.
Di dunia pasca-bencana ini, pengambilan anak angkat merupakan sumber pendapatan utama bagi mana-mana rumah anak yatim. Jika di era lamanya, proses ini selesai di atas kertas sahaja tanpa melibatkan wang ringgit. Namun zaman ini jauh berbeza. Mengambil anak angkat tak ubah seperti urus niaga menjual ‘barang’. Bezanya, pemerdagangan manusia ini halal di sisi undang-undang.
Ini kali pertama Noah melihat mata wang era ini. Semasa ‘ibu’ baharunya mengeluarkan seikat tebal wang kertas hijau, matanya tertumpu pada lakaran Tembok Gergasi Titara yang dicetak padanya. Ia satu peringatan jelas bahawa seluruh Titara dikurung mati oleh struktur mega tersebut.
Melihatkan wang itu bertukar tangan, segalanya menjadi logik bagi Noah. Patutlah kanak-kanak buangan di sini diterima masuk dengan begitu mudah. Pihak rumah anak yatim bukannya ikhlas memberi makan dan tempat berteduh; mereka tahu budak-budak ini bakal memberi pulangan pelaburan berganda dalam masa beberapa bulan.
Noah mengeluh sinis. Dia akhirnya benar-benar sedar bahawa hukum rimba era baharu ini tiada bezanya dengan tiga ratus tahun yang lalu. Dia tiada pilihan selain beradaptasi dengannya. Sama ada kau beradaptasi dengan kekejaman ini, atau kau mati dipijak.
Sebaik sahaja urusan bayaran selesai dan dokumen disimpan rapi, doktor muda itu membongkok sedikit lalu membelai rambut Noah.
“Mulai hari ini, kamu kena panggil Puan Jura sebagai ibu,” arah Puan Mina.
Merenung ke dalam sepasang mata coklat pudar wanita itu, Noah sedar hanya manusia ini sahajalah tempat dia boleh bergantung hidup buat masa sekarang. Dia diam seketika sebelum menyoal perlahan, “Boleh saya panggil, Mak Cik Ju?”
Jura kelihatan keliru dengan permintaan tersebut.
Mendengarkan soalan itu, Puan Mina pantas mencelah. “Jangan pandai-pandai nak langgar peraturan, budak. Dia ibu kau sekarang. Layan dia elok-elok, jangan burukkan nama rumah anak yatim kita.”
Jura sekadar tersenyum, terus membelai rambut Noah dengan lembut. “Panggillah Mak Cik Ju dulu, sampai kamu dah biasa nanti.”
Sedikit riak lega terbias pada wajah Noah. “Terima kasih,” balasnya perlahan.
Dia bersyukur wanita itu tidak kisah dengan permintaannya. Noah sedia maklum, bermula saat statusnya bertukar kepada anak angkat, hidup matinya terletak seratus peratus di tangan wanita ini. Dia sudah kerap kali mendengar realiti mengerikan daripada mulut kanak-kanak lain. Di era kejam ini, undang-undang menghalalkan ibu bapa atau penjaga untuk membunuh anak atau anak angkat mereka sendiri.
Jura tersenyum manis. “Jom. Mak Cik bawa kamu ke rumah baru kamu.”