Indra kenal benar pemilik suara itu. Melur merangkak naik dari ruang sempit di bawah lantai. Paras wajah Puteri Wangsa itu comot disapu debu. Rambut dan pakaiannya kotor berlumur tanah, lengannya berbirat calar. Tubuhnya menggigil tatkala dia memaksa diri untuk berdiri.
“Melur?” Indra bergerak menghampiri gadis itu. “Apa yang dah berlaku? Kenapa aku ada di sini?”
“Lari, Indra,” gesa Melur. Suaranya kedengaran mengah dan sarat dengan kerisauan. Pakaian Indra digenggamnya. “Kau kena lari cepat.”
Indra menolak lembut tubuh gadis itu. Mindanya belum memproses keadaan, kakinya masih goyah. “Apa yang kau cakap ni, Melur? Bagaimana keadaan Ratna?”
“Ratna selamat!” pintas Melur gopoh. Lengan Indra direntap. “Tapi kau tidak. Ayahanda… para Tetua… mereka akan datang ke sini. Kau akan dibunuh!”
Riak wajah Indra perlahan-lahan menegang. Dadanya berombak kencang menahan marah. “Bunuh aku? Atas alasan apa? Aku baru saja selamatkan nyawa Ratna semalam!”
Melur menundukkan wajah, tidak sanggup menentang renungan mata Indra. “Indra, kau perlu tahu. Usaha kau memang mulia. Tapi tidak pada mata Wangsa Baskara.”
Dahi Indra berkerut tajam, kurang mengerti.
“Ratna kini bergelar Satria dengan Darjat Jiwa Lima,” sambung Melur dengan nada bergetar. “Dia bukan lagi calang-calang orang. Wangsa Agung Merah menuntut agar Ratna dijodohkan dengan Putera Wangsa Agung mereka.”
“Apa maksud semua ini, Melur?” Dahi Indra berkerut. Semua ini terlalu sukar untuk difahaminya. “Kami… Aku dan Ratna sudah bertunang!”
“Bukan lagi, Indra. Pertunangan kalian sudah dinoktahkan.” Melur menyeka air mata yang bercampur debu di pipinya. “Utusan Wangsa Agung Merah akan tiba tidak lama lagi. Kau perlu faham, Putera Agung takkan mengahwini wanita yang masih ada tunang yang bernyawa.”
Indra terpempan. Lidahnya kelu tak terkata.
“Lari sekarang, sebelum—”
Bicara Melur terhenti di situ. Bunyi rantai besi dan mangga bergemerencing ditarik kasar. Pintu kayu ditendang berkecai, melambungkan serpihan tajam ke dalam kamar tatkala tiga orang pengawal Wangsa Baskara merempuh masuk.
Belum sempat Indra mencerna apa yang berlaku, salah seorang pengawal menerkam pantas.
“Jauhkan diri kau dari Puteri Wangsa!” Seraya itu, satu tumbukan padu singgah tepat di perut pemuda itu. Indra tertunduk senak memburu nafas. Jasadnya yang kosong tanpa ilmu pencak silat dan tanpa Prana langsung tiada daya untuk bertahan.
Ketiga-tiga pengawal itu membuang belas. Tubuh Indra dihujani sepak terajang dan tumbukan bertalu-talu. Dia sekadar mampu meringkuk di lantai. Darah menyembur dari mulut tatkala sepakan buta menghentam rusuk dan merembat rahangnya. Beberapa detik kemudian, pandangannya hampir gelap.
“Hentikan!” jerit Melur. Gadis muda itu menerpa berani ke tengah pergelutan. Tubuhnya kini menjadi perisai yang memisahkan pengawal dari jasad Indra. “Jangan sentuh dia lagi!”
Tiga pengawal itu tersentak. Tumbukan mereka ditarik separuh jalan. Teragak-agak. Biar kotor diselaputi tanah, gadis di hadapan mereka tetap seorang Puteri Wangsa, malah bergelar Satria Bintang Satu Pertengahan.
Mereka? Sekadar anjing suruhan bertaraf Satria Bintang Satu Terendah. Menumbangkan Melur dirasakan amat mustahil. Mereka diarah ke sini oleh Tetua Empat kerana menganggap tawanan ‘cacat’ itu mampu diheret dengan mudah tanpa sebarang tentangan fizikal.
“Ketepi, Puteri Wangsa. Jangan salahkan kami kalau kami terpaksa berkasar,” ancam salah seorang pengawal. Meskipun lantang, kekudanya jelas goyah menahan gementar. “Ini arahan mutlak Tetua Empat!”
“Tidak. Aku tak izinkan.” Usai memberi amaran, Melur memasak kekudanya teguh di lantai. Tapak tangan dibuka, bunga silatnya diatur cermat.
Ketiga-tiga pengawal berbalas pandangan sebelum mengangguk. Ancaman Tetua Empat lebih menggerunkan. Serentak, mereka menerkam Melur.
Melur tidak berganjak, sebaliknya dia melangkah ke hadapan menyambut serangan. Tumbukan pertama ditepis pantas ke bawah, disusuli asakan padu telapak tangan dari bawah tepat ke dagu mangsa pertama. Kepala lelaki itu mendongak mengejut sebelum tubuhnya melayang terlentang menghempas lantai.
Pengawal kedua melibas pukulan cangkuk. Libasannya terlalu luas. Tidak seperti Satria berpengalaman. Pergerakan yang canggung itu membolehkan Melur meluncur lincah di bawah lengannya. Dengan satu putaran badan, Melur menyapu kasar kaki musuh dari bawah. Belum sempat tubuh lelaki itu terhempas, siku tajam Melur terus memacu turun meremukkan dadanya. Pengawal itu memuntahkan darah sebelum rebah mengerang kesakitan.
Melur bingkas membetulkan kekuda. Ekor matanya tajam menjeling pengawal ketiga. Bunga silat diatur kembali, namun kelibatnya tidak lagi nampak ayu. Dia bersedia menumpahkan darah jika perlu.
“Mari,” cabar Melur sambil menggamit jari, mempelawa musuhnya.
Pengawal ketiga meneguk liur. Tanpa sedar kakinya terundur ke belakang. Jika tadi dia yakin menyerang bertiga mampu menumbangkan Puteri Wangsa ini, kini dia sedar dia bukan tandingan Melur.
Melur tidak membuang masa. Langkahnya diatur tangkas menutup ruang tempur. Tangan musuh yang diangkat untuk menahan serangannya dikilas mudah, sebelum tubuh gadis itu berpusing melepaskan sikuan padu ke rahang kiri. Tanpa berlengah, Melur terus meradak halkum lawannya dengan asakan telapak tangan. Pengawal itu tersedak putus nafas dan tumbang menyertai pengawal-pengawal yang lain.
“Indra!” Melur bergegas menghampiri pemuda itu. Dia baru sahaja membongkok untuk memapah tubuh Indra, namun pergerakannya terkunci mati.
“Sudah, Melur.” Suara itu mengalir tenang, namun padat dengan ancaman.
Melur pantas berpaling. Dadanya sesak. Dia tahu pemilik suara itu adalah lawan yang mustahil untuk dia tewaskan—Jagat Baskara.
“Ayahanda…”
Lelaki itu melangkah megah melepasi sisa pintu yang berderai. Wajahnya langsung tiada riak. Matanya meliar memandang keadaan bilik yang sempit itu; dia tidak berniat untuk berlama-lama di situ.
“Ayahanda… tolonglah. Jangan—”
Jagat tidak sudi menghiraukan rayuan anak gadis bongsunya. Tanpa menggerakkan tubuh, tekanan aura meledak dari tubuhnya membanjiri ruang. Ledakan aura milik Satria Bintang Tiga Puncak itu serta-merta mengubah graviti kamar itu menjadi amat berat.
Hanya dengan auranya, Jagat menekan Melur ke lantai. Papan kayu retak menahan tekanan halimunan tersebut. Tubuh Indra turut dihenyak merapat ke lantai. Dia yang sudah lunyai dibelasah kini sesak nafas menghadap tekanan aura sang Ketua Wangsa.
Jagat melangkah tenang melepasi anak gadisnya yang menggigil. Capalnya terhenti tepat di hadapan wajah Indra.
“Jangan…” rayu Melur, menahan sebak. “Ayahanda… jangan apa-apakan Indra.”
“Jangan apa-apakan si cacat ni?” Jagat menunduk, merenung kosong jasad Indra. “Nasib dia bukan lagi di tangan Ayahanda, Melur.”
Jagat mengalihkan pandangan ke arah tiga pengawalnya yang bergelimpangan. Walaupun jauh di sudut hati dia sedikit kagum melihat kemajuan Melur, dia menepis perasaan itu. Tumpuannya kini hanya pada Ratna. Bakat dan potensi Melur terlalu kerdil jika mahu dibandingkan dengan kakaknya.
Sempat juga terlintas di fikirannya untuk memaksa Indra membuka Gerbang Prana Melur dan mengangkat Darjat Jiwa puteri bongsunya itu. Namun, dia enggan mengambil risiko. Melur sudah bertahun-tahun bergelar Satria, proses itu pastinya akan mengundang padah.
Jagat kembali memandang ketiga-tiga pengawal tadi. Tekanan auranya ditarik perlahan-lahan, membenarkan tubuh mereka bergerak semula.
“Bawa Indra Rentaka ke bilik kurungan bawah tanah,” arah Jagat dingin. “Jangan biar dia mati sebelum utusan Wangsa Agung Merah tiba.”
“Ba-baik, Ketua Wangsa!” Serentak pengawal-pengawal itu menyahut, menggagahkan diri untuk berdiri.
Tatkala tangan-tangan kasar itu mula mencengkam tubuh Indra, Melur meronta keras, mahu melaungkan amaran. Namun, belum pun sempat suaranya memecah ruang, Jagat sekadar menjentik hujung jarinya secara bersahaja.
Satu tembakan Prana yang padat seperti peluru meluncur deras membelah udara, hinggap tepat mematikan titik saraf di tengah dahi Melur. Kepala gadis itu tersentak keras ke belakang, lantas tubuhnya rebah longlai tidak sedarkan diri.
Di sebalik mata yang bengkak dan berdarah, Indra meronta-ronta di dalam hati mahu menyelamatkan Melur. Namun kudratnya sudah terlalu lemah. Seluruh tubuhnya seakan lumpuh terkunci mati.
“Uruskan Melur,” arah Jagat.
Sejurus arahan diberikan, beberapa pengawal lain bergegas masuk. Tubuh Melur diangkat keluar dengan cermat. Tubuh Indra pula disentap kejam dan diheret merentasi bilik, melukis lelehan darah di atas permukaan lantai papan.
Tiga tahun dia memerah nyawa menyambung hayat Ratna. Dan semalam, dia mengorbankan segalanya demi menghadiahkan sebuah keajaiban. Namun, keajaiban itu jugalah yang kini menempah maut buat dirinya.
Adakah Ratna tahu tentang rancangan ini? Adakah senyuman gadis itu selama ini hanyalah sebuah kepura-puraan?
Persoalan itu berlegar-legar, mengoyak akalnya tatkala tubuhnya mula diheret kasar menuruni anak tangga batu yang curam. Hentakan demi hentakan di tangga dingin itu seakan mematikan sisa kudratnya. Semakin jauh dia diseret ke dasar, sisa cahaya matahari pagi beransur pudar, sehinggalah jasadnya ditelan sepenuhnya oleh kegelapan pekat penjara bawah tanah Wangsa Baskara.