Tujuh hari yang lalu.
Indra masih ingat semuanya dengan jelas.
Asap setanggi teratai memenuhi ruang kamar Ratna Baskara, Puteri Wangsa Baskara merangkap tunangnya. Di satu sudut, adinda Ratna, Melur, menekup mulut dengan kedua-dua belah tangan. Nafas ditahan ketat. Dia langsung tidak berani berkutik, takut seandainya sehelai nafas bakal meruntuhkan fokus Indra.
Indra bersila teguh di belakang Ratna. Peluh yang merenek di pelipis diseka pantas. Dua tapak tangannya bergetar, terpasak kaku pada belakang gadis itu. Rahangnya diketap kemas. Bersiap siaga untuk fasa seterusnya.
Indra bukan seorang Satria. Urat Prananya terbukti mati, lantas memahat gelaran ‘si cacat’ ke atas dirinya. Dia tidak mampu menyimpan mahupun mengalirkan Prana untuk membuka Gerbang Prana sendiri. Jasadnya sekadar satu saluran yang kosong. Dia hanya mampu menyedut Prana dari udara, sebelum memacunya lurus ke dalam Urat Prana manusia lain.
Namun, kelebihan itulah yang menjadi talian hayat Ratna selama tiga tahun ini.
Biarpun Ratna mewarisi darah mulia Wangsa Baskara dari sebelah bapanya, darah Puak Salju Putih peninggalan ibunya membawa sumpahan. Ia membekukan jasad gadis itu perlahan-lahan dari dalam. Fros ganjil sentiasa membelenggu Gerbang Prana, mencekik sisa nyawa yang tinggal. Barisan tabib terhebat Kerajaan Cawala sudah lama buntu dan mengaku tewas.
Mereka meramalkan hayat Ratna tidak akan melepasi usia lima belas tahun, usianya pada tahun ini. Ajaibnya, hanya Indra yang memegang penawarnya dengan ilmu perubatannya.
Dari mana ilmu perubatan itu dikutip? Indra sendiri buntu. Ingatan masa lalunya disapu bersih sebelum dia dikutip oleh Wangsa Rentaka. Tetapi, apa yang dilupakan oleh akal, jasadnya sentiasa ingat. Jari-jemarinya lincah dipandu naluri. Perlahan-lahan, ilmu perubatan itu kembali muncul di dalam mindanya. Dia arif menggunakan Prana luar untuk meleburkan fros ganjil itu tanpa mengancam nyawa Ratna.
Selama tiga tahun, Indra telah menyusun rancangan yang hampir sempurna. Dia mencairkan fros pada Gerbang Prana Ratna secara berperingkat. Hari ini sepatutnya menjadi fasa penamat.
Malangnya, Jagat Baskara terlalu gopoh. Bapa Ratna itu memaksa kebangkitan anaknya lebih awal lantas memekakkan telinga terhadap amaran Indra. Jagat menuduh remaja ‘cacat’ itu buta ilmu Satria dan berkeras bahawa kebangkitan awal itu selamat. Jagat silap besar, namun Indra memilih untuk mengunci mulut. Tiada gunanya bertekak dengan seorang Ketua Wangsa seperti Jagat. Rancangannya terpaksa diubah.
Akibat tindakan melulu Jagat, ketahanan fizikal Ratna merudum teruk. Rancangan asal Indra untuk merempuh buka kesemua tujuh puluh dua Gerbang Prana dan menjulang gadis itu sebagai legenda, lebur.
Empat puluh Gerbang Prana. Hanya itu batas potensi Ratna ketika ini. Indra tidak berani memaksanya lagi. Andai setitik sahaja lagi Prana dialirkan melepasi gerbang tersebut, tubuh tunangnya pasti akan hancur meletup dari dalam.
Sudah berjam-jam Indra memerah keringat, membuka gerbang demi gerbang yang membeku. Kini, tiba saat kemuncak: Gerbang Prana keempat puluh. Dia cuma perlu mengekalkan fokus untuk memaksa pintu itu melopong. Indra yakin dia akan berjaya walaupun tubuhnya sendiri sudah mencapai batas. Kejayaan ini kelak akan menobatkan Ratna sebagai Satria dengan Darjat Jiwa Lima.
“Ratna, ini yang terakhir.” Suara Indra serak. “Tapi ia takkan sama macam sebelumnya. Rasanya nanti ibarat rentung dibakar.”
“Aku tahu,” balas Ratna. Dia menggenggam lututnya erat. Jauh di sudut hati, dia tetap risau kerana ini kali pertama Indra memberi amaran sekeras itu. Dia sedar Indra juga sudah berada di ambang batas ketahanannya. “Teruskan. Kita habiskan semua ni segera.”
Indra mengangguk. Tangan kanannya diangkat ke udara, sementara tangan kirinya kekal melekap pada belakang Ratna. Prana disedut lurus dari udara, membanjiri tapak tangan kanan sebelum ditebat laju menyusup ke dalam tubuh gadis itu.
Indra mengetap gigi kuat. Gerbang Prana terakhir ini kedudukannya jauh di dasar tulang belakang. Dia wajib mengekalkan fokus agar mampatan tenaga itu tidak susut walau sekelumit pun kerana ia perlu melalui tiga puluh sembilan Gerbang Prana terlebih dahulu.
Prak!
Bunyi retakan tajam kedengaran. Fros yang membelenggu Gerbang Prana terakhir Ratna hancur berkecai. Indra tersenyum kecil, menyangka semuanya sudah selesai. Namun, cahaya putih tiba-tiba memusat di udara, berlegar tepat di atas gerbang tersebut.
“Apa—”
Belum sempat bicaranya dihabiskan, satu gelombang putih terang meledak dari tubuh Ratna.
Ledakan gelombang itu menyentap Indra melayang ke belakang lantas menghentam lantai papan. Darah menyembur dari mulutnya. Bagi manusia biasa yang kosong tanpa perlindungan Prana, ledakan itu cukup untuk meragut nyawa. Pemuda itu tertunduk senak mencuri nafas.
“Indra!” jerit Melur cemas. Tubuhnya sendiri dipaku ke lantai, ditekan berat gelombang mampat tersebut.
Indra memanggung kepala. Tangannya yang menggeletar digagahkan untuk menopang berat badan. Matanya membulat risau, bimbang andai ada kesilapan pada perkiraan awalnya.
“Indra! Kau tak apa-apa?!” laung Melur.
Indra mengangkat tangan. Isyarat jari digamit perlahan, menandakan dia selamat, sebelum diubah isyarat, meminta Melur bertenang. Tatapannya kembali lurus memaku ke arah Ratna, meredah silau cahaya yang menyakitkan mata.
Silau itu beransur pudar, diganti dering sepi. Indra memaksa tubuhnya duduk bersila. Matanya dikebilkan berulang kali, cuba menyesuaikan pandangan. Udara di sekeliling Ratna kini bergetar, sarat dengan kepadatan Prana.
Empat puluh daripada tujuh puluh dua Gerbang Prana milik gadis itu sudah terbuka luas. Ratna sudah sembuh. Sumpahan darah Puak Salju Putih sudah dipecahkan.
Ratna mencelikkan mata. Senyum lebar terukir di bibirnya tatkala dia merenung kedua-dua belah telapak tangan. Dia bukan sekadar melihat tangannya, sebaliknya sedang menghayati aliran tenaga asing yang deras menyusup ke setiap pelusuk Urat dan Gerbang Prananya.
Dia bukan sahaja sembuh. Pada detik ini, dia rasmi bergelar Satria dengan Darjat Jiwa Lima.
Satu lompatan kuasa yang sungguh tidak masuk akal. Darjat Jiwa Lima teramatlah langka. Di seluruh Kerajaan Cawala, hanya lima Ketua Wangsa Agung dan dua pewaris mutlak mereka yang memegang takhta tersebut. Kedudukan mereka cuma setingkat di bawah pemerintah mutlak, iaitu Raja Cawala—satu-satunya pemegang Darjat Jiwa Enam.
Dan Indra, baru sahaja mengangkat gadis itu berdiri sebaris dengan raksasa-raksasa tersebut.
“Syukurlah… Kau berjaya, Ratna…” bisik Indra. Segaris senyum lelah meniti di bibirnya yang pucat.
Matanya lurus menanti gadis itu berpaling. Mengharap seulas senyuman, atau sekurang-kurangnya renungan mata yang mengiktiraf pengorbanannya. Andai dibiarkan sepi sekalipun, dia reda. Kudratnya sudah tiba di hujung nafas. Dia cuma mendamba untuk menatap wajah itu.
Malangnya, sekeliling kamar mula berputar ganas. Gelap pantas merentap kesedaran, membiarkan tubuhnya yang kelelahan rebah semula ke lantai.
Saat Indra mencelikkan mata, pangkal lidahnya terasa pahit. Tubuhnya terbaring di atas tilam jerami nipis yang keras dan mencucuk kulit. Dia memaksa diri untuk duduk sambil memicit kepalanya yang berdenyut perit.
“Di mana… aku?”
Kamar itu berbau hapak. Sangat berbeza dengan kamar tetamu yang diberikan kepadanya semalam. Bau kepam ini menyesakkan hidung. Indra membetulkan duduk dan meliarkan pandangan, cuba mengecam persekitarannya. Dinding kayunya reput, ruangnya amat sempit. Dia segera sedar; ini adalah ruang hamba bawahan.
“Kenapa… aku… di sini?”
Dengan sisa kudrat yang ada, Indra menopang tubuhnya untuk berdiri. Langkahnya terhuyung-hayang. Tubuhnya masih kelelahan selepas memerah tenaga membuka Gerbang Prana Ratna. Dia menapak lemah merapati dinding. Silau matahari pagi menceroboh masuk melalui celah tingkap yang sempit, menyengat matanya yang belum terbuka penuh.
Dia meraba-raba menuju ke pintu dan cuba menguaknya. Namun, bunyi geseran mangga dan rantai besi dari luar bergema keras, mematikan niatnya.
“Apa yang dah jadi?” Dada Indra mula dihenyak cemas. Pintu digoncang sekuat hati, namun sedikit pun tidak berganjak. “Tolong! Ada sesiapa di luar?!”
Jeritannya mati apabila telinganya menangkap bunyi cakaran aneh. Bunyi itu bukan datang dari balik dinding, tetapi dari bawah lantai di tapak kakinya. Di penjuru bilik, sekeping papan lantai tiba-tiba bergoyang sebelum dikuak kasar. Sepasang tangan yang disaluti tanah menolak papan lantai tersebut.
“Shh! Jangan bising, Indra!”