Switch Mode

Wira Tempur – Bab 1

Arya

“Nampak apa yang ada di kaki Gunung Mahara sana?”

Suara garau seorang lelaki tua memecah hiruk-pikuk kedai makan di pinggir Kota Seri Buana. Matanya menatap tajam tiga orang anak muda semeja dengannya. Telunjuknya yang berkedut dan penuh parut dihalakan tepat ke arah deretan bumbung megah yang merobek awan di kaki gunung tersebut.

Ketiga-tiga pemuda itu berpaling serentak sebelum menggeleng laju.

“Itulah Graha Wira Tujuh Petala.”

“Graha Wira Tujuh Petala?!” soal mereka serentak, suara bergetar teruja.

Lelaki tua itu mengangguk. Dia tersenyum bangga seolah-olah binaan megah itu miliknya, lalu berdehem perlahan. “Bukan itu sahaja. Itu adalah satu-satunya Graha Wira di Empayar Seri Buana yang dinaungi terus oleh payung Mandala Wira Tujuh Petala. Kalian tahu apa maknanya?”

Ketiga-tiga anak muda itu menggeleng bodoh.

“Sudah enam ratus tahun Mandala Wira itu bernafas. Ribuan kitab rahsia seni tempur dunia dan barisan Wira yang kudratnya mampu membelah lautan, semuanya berhimpun di sebalik tembok gergasi itu.”

Lelaki tua itu menghirup minumannya, melepaskan tawa kecil yang sinis. “Saban tahun, ribuan pemuda seperti kalian membanjiri ibu kota dengan angan-angan mahu menjejakkan kaki ke dalam. Tapi kalian harus ingat, pintu batu Graha Wira itu bukan untuk semua orang. Hanya mereka yang benar-benar berbakat sahaja yang layak melangkah masuk.”

Tiga pemuda itu menelan liur. Mereka mengangguk akur, namun mata kekal merenung Graha Wira itu dari kejauhan dengan penuh impian.

Tatkala lautan manusia di kota mendongak kagum ke arah kemegahan bangunan itu, realitinya berbeza di sebalik belantara tebal berhampiran. Kesunyian rimba baru sahaja dipecahkan oleh satu ngauman maut.

Di bawah panahan terik mentari, Arya berdiri tegak di tengah keheningan rimba Gunung Mahara. Dia bertelanjang dada, lencun dengan peluh. Hanya lilitan kain lusuh berbau hanyir darah membalut kemas kedua-dua belah penumbuknya. Di hadapannya, seekor beruang liar setinggi dua meter berdiri megah. Air liur menitis lebat dari sela taring, matanya merah memandang mangsa.

Arya kekal tenang. Renungan haiwan itu dibalas dengan sorotan mata pembunuh. Jemarinya dikuit, terang-terangan mencabar binatang buas itu untuk mara.

Tercabar, beruang gergasi itu menjatuhkan badan dan menerkam laju. Kuku tajam sebesar sabit menyambar udara, menyasarkan leher remaja tersebut.

Namun, sebelum kuku itu menemui sasaran, tubuh Arya meliuk ke sisi. Bukan kerana pergerakan ototnya luar biasa pantas, tetapi ada sesuatu yang berbeza di dalam dirinya. Telinganya menangkap geseran, mindanya membaca ritma lawan tanpa perlu bersusah-payah. Arah serangan itu seolah-olah terlukis jelas di dalam kepalanya sekelip mata lebih awal.

Satu Deria Tempur yang dia sendiri belum sedar betapa langkanya anugerah itu bagi seorang Wira.

Serentak dengan elakan itu, Arya membenamkan tumit ke tanah. Kuda-kuda dibuka. Silat Asas Buana. Ini bukanlah seni bela diri rahsia tahap dewa yang mampu membelah lautan. Ia sekadar silat jalanan yang diajar secara terbuka kepada rakyat marhaen Kerajaan Seri Buana. Tiada ledakan tenaga, tiada aura sakti. Ia semata-mata mengerah kekuatan otot dan tulang secara maksimum.

Tanpa membuang masa, lengan kanan Arya meluncur deras dari bawah.

BAM!

Tumbukan padu itu singgah tepat di bawah rahang beruang liar tersebut. Bunyi tulang retak bergema. Haiwan buas itu melolong kesakitan, terhuyung-hayang sebelum berundur jauh. Renungan merahnya bertukar ngeri. Jelas, ia enggan lagi mencari nahas dengan remaja gila di hadapannya.

Arya tidak terus leka. Kuda-kudanya kekal kukuh, matanya tajam mengunci pergerakan musuh. Namun, di sebalik ketenangan itu, dia sedang menyembunyikan satu hakikat.

Tangan kanannya kini menggigil menahan kesakitan.

Tidak kira sekuat mana dia berlatih, hukum alam kekal membatasi selagi dia bergelar manusia biasa. Kulit beruang liar itu keras bak perisai kayu, apatah lagi tulangnya. Sekalipun dia berjaya meretakkan rahang haiwan tersebut dan mematahkan semangat tempurnya, Arya tidak berani menjamin kemenangan mudah jika pertempuran berlarutan.

Jika manusia ‘sifar bakat’ atau mereka yang berbekalkan Bakat Tempur Tahap Satu berada di tempatnya, mereka pasti sudah menjadi lauk beruang liar tadi. Berhempas-pulaslah sehingga muntah darah sekalipun, mustahil untuk golongan itu bergelar Wira Tempur. Takdir mereka sudah dipaku di bumi.

Tetapi Arya berbeza. Dia dilahirkan dengan Bakat Tempur Tahap Tiga, satu darjat yang mengangkatnya sebagai permata bernilai di mana-mana Graha Wira biasa. Walaupun begitu, tiada sekelumit pun rasa bangga di dadanya kerana dia sangat sedar akan kelemahan dan kekurangan sendiri.

“Belum cukup…” gumam Arya perlahan. “Masih jauh untuk aku bergelar Wira Tempur.”

Fikirannya melayang pada gelaran legenda itu. Khabarnya, sesiapa yang merobek masuk ke tahap Wira Tempur, bukan sahaja mereka dikurniakan kekuatan sakti luar biasa, malah jangka hayat mereka menjangkau batasan fana. Darjat mereka juga akan diangkat terus oleh Istana Seri Buana, menikmati kemewahan melimpah ruah yang tidak habis dimakan tujuh keturunan.

Kalau aku seorang Wira Tempur, hembusan nafas aku sahaja pun sudah cukup untuk bunuh beruang tadi, fikir Arya sinis.

Nafasnya dihela perlahan. Dia melangkah ke arah sebatang pokok lalu duduk bersila di bawah rimbunannya yang redup. Matanya terpejam. Fikirannya berselirat.

Macam mana aku nak capai tahap Wira Tempur andai aku hanya bersandarkan Bakat Tempur semata-mata?

Setiap pesilat memerlukan teknik tempur tahap tinggi atau ilmu purba seperti yang disimpan kemas di Graha Wira Tujuh Petala. Bagi seorang Wira, teknik dan manuskrip persilatan bukan sekadar rujukan, ia adalah nyawa.

Hakikat itu menggigit tangkai hatinya. Di sinilah kelemahan paling kritikal Graha Wira Seri Buana, tempat yang dipilihnya atas dasar sebuah janji. Biarpun bernaung di bawah payung istana, usia Graha Wira itu baru mencecah lapan puluh tahun. Asas dan warisan ilmunya terlalu cetek. Rekod mereka melahirkan Wira Tempur jauh ketinggalan di belakang Tujuh Petala.

Darah muda Arya menggelegak penuh penyesalan. Seperti pemuda lain, dia mendambakan tempat di sebalik tembok gergasi Graha Wira Tujuh Petala itu. Dia sedar Bakat Tahap Tiga miliknya tidak menjamin kemasukan mudah. Namun, jika dia bertarung nyawa memerah keringat untuk memukau penilai, peluang itu tetap ada.

Ujian penilaian kemasukan untuk semua Graha Wira di empayar ini dijalankan serentak pada bulan yang sama, dan ujian penilaian Tujuh Petala adalah yang paling terakhir. Kebetulan, harinya adalah hari ini.

Tetapi mindanya sebelum ini ligat mencongak risiko. Jika dia memperjudikan nasib menduduki ujian penilaian Graha Wira Tujuh Petala dan gagal, dia perlu membazirkan masa setengah tahun lagi untuk mencuba semula. Bagi remaja lima belas tahun sepertinya, enam bulan tanpa bimbingan rasmi ibarat membunuh potensi diri secara perlahan. Walaupun memiliki Bakat Tempur Tahap Tiga, bakat itu tidak akan membantunya mencapai potensi penuh tanpa guru yang tepat.

Arya mengelap darah yang merembes perlahan dari celah balutan tangannya. Wajah seorang gadis tiba-tiba menembus ruang matanya. Malini. Gadis jelita yang membesar dan berlatih bersama-samanya, yang turut berkongsi Bakat Tempur Tahap Tiga.

Mereka sudah mengikat sepakat untuk tidak mengambil risiko gila itu. Mereka berjanji mahu melangkah masuk ke Graha Wira Seri Buana bersama-sama.

Demi janji itu, dan kesedaran tentang risiko memperjudikan masa depannya di Tujuh Petala, Arya menelan egonya dan memilih Seri Buana.

Sebuah keputusan yang kini paling disesalinya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset