Switch Mode

Aku Benci Novel Cinta – Bab 2

Pemilik Baru

Encik Jalil meluru masuk dari arah pintu utama. Nafas lelaki separuh abad itu turun naik laju. Tali lehernya senget ke kiri, hampir terlucut daripada kolar kemeja. Langkahnya mati mengejut. Sepasang matanya terbeliak memandang dua lintah darat yang sedang mengerang kesakitan di atas karpet.

“Kan aku dah janji nak bayar hari ni!” marah Encik Jalil. Suaranya bergetar.

Lelaki tua itu tergesa-gesa menyeluk beg bimbit kulitnya. Beberapa ikat wang kertas seratus ringgit ditarik keluar lalu dicampak kasar. Ikatan wang itu melayang, jatuh menampar muka salah seorang ceti haram tersebut.

“Tu, lima puluh ribu! Cukup bayar hutang pokok dengan bunga kau orang. Ada lebih sikit, buat duit raya,” herdik Encik Jalil. Dia mendada, biarpun hujung lututnya jelas kelihatan sedikit mengeletar. “Lepas ni jangan berani jejak kaki dekat pejabat aku lagi!”

Dua lintah darat itu terkial-kial bangun. Tulang rusuk mereka masih dipegang erat akibat penangan lutut Ziyad tadi. Salah seorang daripadanya mengutip ikatan wang tersebut. Darah di tepi bibirnya disapu dengan hujung ibu jari sebelum dia tersenyum senget.

“Kau ingat lima puluh ribu ni cukup nak tutup cerita?” ugut lelaki itu, cuba memerah sisa keberanian. Hujung matanya menjeling gerun ke arah Ziyad yang masih berdiri santai tidak jauh dari situ. “Bos aku kalau tahu budak-budak dia kena pukul, habis melingkup bisnes kau kita orang kerjakan.”

Dia tersengih menampakkan barisan giginya yang kekuningan. “Tapi, kalau kau tak nak kita orang kacau dah, bagi ‘bunga’ tambahan.”

“Bunga apa lagi?” Encik Jalil merapatkan postur tubuhnya. “Bisnes ni dah tak ada kaitan dengan aku. Syarikat ni dah rasmi dibeli. Kalau kau rasa berani nak cari masalah dengan pemilik baru, silakan.”

“Siapa yang beli syarikat kita, bos?” celah Ain dari belakang mejanya.

Encik Jalil berdehem. Kolar bajunya yang renyuk ditarik sedikit. Satu senyuman bangga terukir di bibirnya. “Nadi Group.”

Ziyad mengecilkan mata. Nadi Group?

Riak wajah dua orang lintah darat tadi berubah seratus lapan puluh darjah. Darah mendadak surut dari muka mereka. Kaki yang asalnya teguh berdiri kini mula menggeletar halus.

“N-Na… Nadi Group?” soal lintah darat itu. Halkumnya bergerak-gerak, perit menelan liur yang seakan berpasir.

Perhatian seluruh ruang kini beralih sepenuhnya ke arah Encik Jalil. Lintah darat itu terus dilupakan.

Nasuha, staf paling senior yang sejak tadi hanya keras mematung, membulatkan mata. “Biar betul Nadi Group beli syarikat kita?”

Encik Jalil mengangguk laju. “Betul! Dia orang dah ambil alih semua aset dan hutang kita. Lagipun, aku lupa nak beritahu benda paling penting.”

“Apa dia, bos?”

“CEO Nadi Group dalam perjalanan ke sini. Dia orang nak buat pemeriksaan mengejut. Boleh sampai bila-bila masa saja dari sekarang,” jelas Encik Jalil. “Dan selalunya, dia takkan datang seorang. Pengawal peribadinya pasti ikut sekali.”

Sebaik sahaja status CEO dan pengawal peribadi meniti di bibir Encik Jalil, dua lintah darat itu berpandangan sesama sendiri. Mata mereka membulat panik. Tanpa sebarang bunyi tapak kasut, mereka berdua mengundur setapak demi setapak ke belakang, menyelinap keluar dari muka pintu dan terus lesap bagaikan lipas kudung.

Ain pantas menyilangkan tangan di dada. Matanya tajam menikam wajah bosnya.

“Bos ni, kenapa sampai nak meminjam dengan ceti haram? Tengok apa dah jadi dengan Arif dan Mat kat bawah tu,” tempelak Ain. Jari telunjuknya lurus menghala ke arah dua pekerja gudang yang masih menahan sakit di lantai.

“Bos sengaja nak risikokan nyawa kita orang ke macam mana?” sokong Nasuha.

Encik Jalil terkedu. Wajahnya menunduk merenung hujung kasut. Lidahnya kelu, tidak mampu membalas asakan pekerja sendiri.

Ziyad melepaskan keluhan nipis. Renungan tajam rakan-rakan sekerjanya dibalas dengan riak mendatar.

“Nak bising kenapa? Risiko tu atas bahu dia. Bukan kau orang.”

Suara Ziyad tidak tinggi, tetapi cukup keras untuk mematikan rengusan mereka. Dia menapak perlahan, merenung tepat ke dalam anak mata Ain dan Nasuha.

“Dia buat semua ni sebab dia fikirkan kelangsungan hidup kita semua dekat sini. Aku nak tanya kau orang, setakat hari ni, pernah tak gaji kau orang masuk lambat?”

Ain dan Nasuha terus diam. Mulut mereka terkunci.

“Tak pernah, kan?” Ziyad menyambung. “Walaupun bisnes kita dah nak melingkup, Encik Jalil sentiasa bayar gaji kita tepat pada masa. Siap bagi bonus lagi setiap enam bulan dan waktu musim raya.”

Ziyad berhenti sebentar, membiarkan realiti itu menghiris benak mereka.

Kesepian yang menghukum menular di segenap ruang. Ain menundukkan wajah. Nasuha menggigit bibir bawah, mengelak daripada bertentang mata dengan Encik Jalil yang masih membisu. Maya pula merenung lantai, tidak berani berkutik.

Melihatkan keheningan yang mula meresahkan itu, Encik Jalil berdehem keras. Tangannya naik menggaru belakang leher.

“Sudahlah, semua. Benda dah jadi dan dah selesai dah pun,” ujar lelaki tua itu.

Dia kemudian terdiam lama. Jarinya mengetuk-ngetuk dagu.

“Kenapa, bos?” soal Ain perlahan.

“Aku rasa macam ada benda penting… tapi aku tak ingat dah cakap ke belum.”

“CEO Nadi Group.” Ziyad mengingatkan. Ringkas dan mendatar.

“Betul! CEO Nadi Group!” Mata Encik Jalil meliar panik. Pandangannya pantas tertancap pada susuk tubuh gadis di meja hujung.

“Maya! Buatkan kopi panas.”

“Hah? Saya ke, bos?” soal Maya. Suaranya terketar-ketar.

Encik Jalil mengangguk laju. “Yalah, siapa lagi!”

Maya mengeluh berat. “Berapa cawan?”

“Buatlah tiga atau empat. Cepat sikit!” arah Encik Jalil kelam-kabut, tangannya pantas membetulkan ikatan tali leher.

Gadis itu bingkas bangun menuju ke pantri. Sebaik sahaja melepasi selekoh, langkah Maya sengaja dilambatkan. Dia merengus kecil. Baginya, mencuri tulang berlama-lama membancuh kopi adalah lebih baik daripada terpaksa menadah telinga disuruh membantu mengemas ruang pejabat.

Sebaik kelibat Maya hilang dari pandangan, mata Encik Jalil meliar memandang sekeliling ruang utama. Wajahnya yang baru sahaja mendapat sedikit warna, kini kembali memucat.

Rak pameran buku terbalik. Batang lampu hiasan pula patah dua. Lantai karpet pula kotor dengan kesan tapak kasut berdebu dan sisa tompokan darah ceti haram tadi. Ruang pejabat mereka tidak tumpah persis sebuah tapak pelupusan sampah peninggalan rusuhan.

“Apa kau orang tunggu lagi?!” pekik Encik Jalil, suaranya bergetar memecah kesunyian. “Kemas semua ni sekarang sebelum CEO sampai!”

“Baik, bos!” laung semua orang serentak.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset