Jari-jemari Ziyad terhenti kaku di atas papan kekunci.
Dada skrin monitor yang memancarkan cahaya biru direnung tajam. Perutnya bergelodak senak. Dia mengetap rahang rapat-rapat, membiarkan urat di pangkal lehernya menegang demi menahan rasa mual yang tiba-tiba menyesakkan dada. Kemeja separuh berkedut yang membalut tubuh tegapnya terasa rimas, namun itu langsung tidak meresahkannya berbanding deretan ayat di hadapan mata.
Naskhah ketujuh belas untuk bulan ini. Dan formulanya, masih sama.
Tengku Rayyan merenung tajam ke dalam anak mata Qisya. Hujan lebat turun seolah-olah mengerti akan kesedihan di hati mereka.
“Aku takkan lepaskan kau, Qisya. Kau milik aku,” bisiknya keras sambil menumbuk dinding.
Ziyad mendengus kasar.
Tangan kanannya laju meraup wajah, menolak helaian rambut yang sedikit memanjang ke belakang. Sisa sabar di dalam dada dikumpul sebelum satu keluhan berat dilepaskan, seakan-akan mahu membuang segala sesak yang bermukim di paru-paru.
“Allah… apa bendalah yang aku baca ni,” gumamnya perlahan. Suara garaunya hanya tenggelam di celah dengungan pendingin udara ruang kerja itu. “Kenapa mesti ulang benda yang sama? Tak ada plot lain ke nak tulis?”
Sebagai editor kanan merangkap ‘penulis hantu’ di Penerbitan Aksara, ini adalah realiti yang harus dihadapnya setiap hari. Hero kaya-raya yang baran, heroin miskin yang hanya pandai mengalirkan air mata. Klise murahan yang dikitar semula demi menyuap fantasi pembaca.
Jika diikutkan ego dan kewarasan akalnya, sudah lama dia melangkah pergi meninggalkan syarikat nyawa-nyawa ikan ini. Dia mampu berdiri sendiri. Namun, saat hujung matanya singgah pada pintu bilik pejabat Encik Jalil di bahagian hadapan, rantai halimunan yang membelenggu kakinya kembali mencerut.
Bau hanyir darah pekat yang membasahi tubuhnya suatu ketika dahulu seakan-akan kembali menusuk ke rongga hidung. Waktu itu, hidupnya hancur. Sewaktu dia terdampar tanpa sebarang identiti mahupun sekeping syiling di dalam poket, Encik Jalil merupakan manusia gila yang sanggup mengutipnya. Lelaki tua itu memapahnya ke hospital tanpa membangkitkan walau satu soalan pun tentang dari mana dia datang.
Malah, ketika dia mati kutu terbaring di wad hospital tanpa telefon pintar, bosnya itu sanggup mengheret berkotak-kotak novel cinta keluaran syarikat semata-mata untuk membunuh kebosanannya.
Kelakarnya, dari katil hospital itulah benih kebenciannya terhadap novel romantik mula bercambah. Setiap kali Encik Jalil datang melawat, Ziyad akan membebel. Dia membedah dan mencarik segala kebodohan plot novel-novel tersebut dengan hujah yang teramat sinis. Sangkaannya Encik Jalil akan melenting, namun lelaki itu malah mengagumi ketajaman mindanya menyusun struktur logik penceritaan, lantas terus menawarkannya kerja.
Kini, sudah kering air liurnya merangka strategi demi menyelamatkan jualan syarikat. Sayangnya, realiti perniagaan lebih memihak kepada pasaran fantasi picisan, sekaligus mematikan setiap kudrat dan idealismenya.
Ziyad melepaskan keluhan sekali lagi. Demi membalas hutang nyawa, dia rela mematikan akal. Tangan kanannya kembali diangkat, bersedia untuk menyambung tugas.
Namun, belum sempat jarinya menyentuh papan kekunci, satu hentakan kuat pada daun pintu utama pejabat secara mendadak memecah kesunyian yang merajai ruang. Engsel besi berkeriut kasar saat pintu itu dirempuh dari luar.
Ziyad pantas mengangkat wajah.
Dua susuk tubuh tegap yang langsung tidak dikenali melangkah masuk dengan riak bengis. Suasana lengang di tingkat satu itu serta-merta bertukar tegang. Ziyad mengerutkan kening, pandangannya mencerlung menilai ancaman. Mereka tidak datang dengan tangan kosong. Arif dan Mat—dua pekerja yang mengawal selia gudang buku di tingkat bawah—sedang diheret masuk secara paksa. Muka kedua-dua lelaki itu sudah pecah dan berdarah.
Tubuh Arif dan Mat ditolak kasar, terhempas ke atas lantai karpet dengan bunyi erangan senak.
“Arif! Mat! Apa jadi ni?!” jerit Ain dan Nasuha serentak. Suara mereka bergema panik dari sudut meja kerja.
Di sebelah Ziyad, Maya sudah keras mematung. Wajah gadis praktikal itu pucat lesi seakan-akan baru disapa malaikat maut. “Ya Allah… lindungi hamba-Mu, Ya Allah,” bisiknya dengan bibir yang terketar-ketar.
Ziyad tidak melatah. Posisi duduknya dikeraskan.
“Mana bos kau orang?!” tengking salah seorang lelaki bersut murah itu. Matanya meliar garang.
Tanpa mempedulikan jeritan pekerja wanita, lelaki itu mara melepasi bilik pejabat Encik Jalil. Langkahnya dihala sengaja merempuh ruang studio mini di hadapan pintu. Kakinya diayun keras, menendang tripod dan lampu hiasan sehingga tumbang menghentam lantai sebelum menyepahkan rak pameran buku. “Bila dia nak bayar hutang?!”
Hutang?
Nafas Ziyad terhela berat. Otaknya yang ligat pantas menghubungkan titik-titik maklumat. Lintah darat. Dia memang sedia maklum jualan Penerbitan Aksara sudah lama merudum, tetapi dia sama sekali tidak menyangka tahap terdesak Encik Jalil sudah melarat sehingga meminjam daripada ‘jerung’ jalanan.
Silap aku. Sepatutnya aku berkeras masa bentang idea tu dulu, desis hatinya, diasak sekelumit rasa sesal.
Hujung mata Ziyad menangkap pergerakan pantas lintah darat kedua. Lelaki itu baru sahaja mencapai sebuah kerusi pejabat, bersedia untuk dihempaskan ke arah cermin studio. Tindak balas badan Ziyad terus memintas fikiran.
Kerusinya ditolak pantas ke belakang. Dalam kelip mata, dia sudah meluru ke hadapan. Belum sempat lelaki bersut murah itu mengayunkan kerusi di tangannya, satu tendangan padu dilepaskan tepat ke dada bidang lawannya.
Tubuh lintah darat itu terpelanting ke belakang, terhempas kuat merempuh dinding konkrit pejabat sehingga bergegar meja berhampiran.
Ziyad menapak setapak ke hadapan. Wajahnya beku.
“Bang, boleh kita cakap elok-elok?” tegur Ziyad santai. Nadanya teramat tenang dan bersopan.
Namun, tindakannya saat itu sangat berlawanan dengan bait bicaranya. Belum pun sempat lelaki itu menarik nafas untuk bernafas semula, tangan Ziyad selamba melepaskan satu lagi tumbukan padu. Buku limanya terasa kebas saat ia membenam terus ke ulu hati lawan.
Tumbukan berbisa Ziyad merentap segala sisa oksigen di dalam peparu musuh secara paksa. Air liur tersembur keluar dari mulut lelaki itu bersama satu erangan senak yang terus mati di kerongkong.
“Wei! Kata nak cakap elok-elok?!” lintah darat pertama menempik berang. Panik melihat rakannya tersungkur begitu mudah, dia meluru buta dan mengayunkan satu tumbukan liar ke arah wajah Ziyad.
Ziyad langsung tidak berganjak. Serangan itu ditepis tangkas dengan sebelah tangan sahaja. Sepantas kilat, tangannya terus naik mencengkam kuat kolar baju lelaki tersebut, merentapnya ke hadapan dan mengunci terus ruang pergerakan lawannya.
“Maaflah, bang.” Ziyad merenung bosan, seakan-akan sedang melayan kerenah kanak-kanak degil. “Saya ingat abang dengan kawan abang ni jenis yang cuma faham kalau saya cakap guna penumbuk.”
Tanpa sebarang amaran, Ziyad memutar lengan lawannya dengan kasar. Sebaik sahaja tubuh lelaki itu tertunduk menahan kesakitan pada sendi bahu, lutut Ziyad dihentak padu tepat ke arah perut lawannya. Sekali. Dua kali. Bertubi-tubi tanpa belas kasihan.
Hanya dalam masa kurang daripada sepuluh saat, kekacauan itu tamat. Kedua-dua lintah darat itu sudah pun terbaring lunyai di atas karpet pejabat, bergelumbang dengan erangan senak sambil terbongkok memegang perut masing-masing.
Ziyad melepaskan keluhan kecil. Jari-jemarinya selamba mengibas sisa habuk pada kemejanya yang sedikit renyuk. Riak wajahnya kekal bersahaja, persis seorang lelaki yang baru sahaja selesai membuang dua kampit sampah ke dalam tong di luar rumah.
“Ya Allah! Kenapa ni?!”
Satu jeritan parau tiba-tiba bergema dari arah muka pintu, mematikan segala sisa bunyi di ruang pejabat itu.