Switch Mode

Pemburu Magis: Leon – Bab 6

Tahap Penguasaan

Leon mencapai sebutir batu tajam. Sambil bersila di atas lantai gua Ruang Cabaran, dia mula melakar satu peta minda ringkas pada permukaan berdebu itu. Sisa debu berterbangan setiap kali mata batu itu digores kuat.

“Kalau aku keluar dan masuk balik pintu ni… tentera atau orang Kesatuan Pemburu pasti cam muka aku,” gumam Leon, memecahkan kesunyian bilik Ketua Sarang tersebut.

Sambil menggumam, tangannya laju melakar sebuah petak, menamakannya ‘Syurga Mawas’, lalu memangkahnya.

Sarang raksasa ini sudah tidak lagi selamat untuk hari ini. Walaupun dia teramat ingin untuk mengutip lebih banyak lambakan Teras Hayat di sini, kelibat seorang Pemburu Gred F baru membersih sarang secara solo berulang kali pasti akan menarik perhatian. Ibarat sengaja menggantung papan tanda ‘Tangkap Aku’ di lehernya.

“Ish. Tak boleh. Bahaya. Aku kena tukar sarang.”

Batu itu bergeser ke bawah, melukis dua lagi bentuk petak. Leon mengimbas kembali segala informasi mengenai sarang raksasa yang terpahat di mindanya sejak sekian lama.

“Bandar Aegis cuma ada beberapa puluh pintu sarang Gred C. Ratusan Gred D, dan ribuan Gred E dengan F.” Dia mengetuk lantai batu itu perlahan. “Aku belum yakin untuk ke sarang Gred C.”

Dia kemudian menyilangkan lengan ke tubuh, memejamkan mata. “Kalau nak yakin, kuasa pemusnah aku kena setara dengan Pemburu Gred B dulu.”

Dia sendiri tiada data khusus mengenai betapa kuat Pemburu Gred B. Hanya satu susuk tubuh terlintas di fikirannya. Satu-satunya Pemburu Gred B yang diangkat sebagai ikon selebriti di Bandar Aegis ini.

Lelaki itu hidup ibarat dewa. Diagungkan semua manusia di bandar ini. Kelibatnya pernah tular di dalam satu rakaman video, berjalan tenang meredah hujan peluru raifal tanpa secalit pun luka pada kulitnya. Kekuatan luar biasa itu sudah cukup untuk memaksa orang ramai tunduk hormat bercampur gerun.

Batu di tangan Leon ditekan kuat pada lantai. Dia menggelengkan kepala. Dia perlu fokus. Matanya kembali dipejam. Beberapa nama sarang raksasa difikir dan dibuang dari senarai di dalam mindanya.

Mungkin bagus juga kalau aku cari sarang yang lebih mencabar. Syurga Mawas terlalu mudah.

Hujung batu itu berhenti pada satu lakaran bulatan baharu. Gurun Beku.

Itu adalah nama sebuah sarang raksasa Gred E. Sesuai dengan namanya, tempat itu amat jarang dikunjungi Pemburu kerana diselimuti suhu kesejukan yang melampau.

Para Pemburu kurang gemar ke sana kerana mereka memerlukan lebih banyak pakaian dan aksesori untuk menahan suhu yang mencengkam itu. Tindakan itu sedikit sebanyak menyulitkan pergerakan mereka juga.

Apa informasi yang aku ada fasal Gurun Beku?

Leon kembali menulis di atas tanah. Dia menyenaraikan segala maklumat yang dia ada.

“Gurun Beku ada dua puluh tingkat. Semua raksasa tu berunsurkan ais,” gumam Leon sebelum mengukir senyuman yang sangat lebar.

Ais. Bagi Leon, persekitaran dan unsur itu adalah ‘makanan’ mudah bagi kuasa magis yang dia miliki. Itu akan menjadi padang latihan yang paling sempurna.

Pembersihan Gurun Beku pasti berjalan jauh lebih pantas memandangkan kemahiran Bebola Apinya merupakan kelemahan semula jadi makhluk di sana, yang mampu mencairkan pertahanan musuh dengan mudah.

“Tapi sebelum aku ke sana…” Leon melempar batu di tangannya. Bunyi gema batu melantun ke dinding memecah kesunyian. Dia menoleh ke arah ruang gua yang luas dan kosong.

“Berapa banyak lagi aku boleh tembak sebelum tenaga aku habis?”

Sebelum ujian penilaian tadi, dia sudah menembak lebih lima ratus das tembakan, ditambah dengan lebih seribu das sepanjang tempoh pembersihan sarang ini, dan… dia masih belum berasa letih.

Logiknya sudah lama hancur, namun rasa ingin tahunya membuak-buak. Dia tidak ingin menjadi terlalu yakin bahawa dia langsung tidak akan kehabisan tenaga.

Leon bangun berdiri. Dia berjalan menjauhi kristal hijau di tengah-tengah ruang itu. Dia mahu melihat sendiri sama ada dia memang memiliki keistimewaan membedil magis tanpa henti, atau secara klinikalnya, dia sekadar memiliki kapasiti MP gergasi yang sistem itu sendiri gagal membaca angkanya.

Maka, satu eksperimen gila sedang dipentaskan di tingkat terakhir Syurga Mawas.

Seorang lelaki yang berdiri bersendirian, menghalakan kedua-dua belah tapak tangan lurus ke hadapan. Hanya berbekalkan lintasan niat, dia melepaskan bedilan bebola api berterusan ke arah dinding gua.

Boom! Boom! Boom!

Letupan meledak di dinding, memecahkan kesunyian ibarat deruman mesingan.

Dua puluh minit berlalu.

Tangan Leon masih membedil Bebola Api. Langsung tidak terhenti. Jantungnya kini mengepam darah dengan kencang. Fikirannya kini condong ke arah satu realiti yang mustahil. Sekurang-kurangnya tiga ribu das tembakan telah dimuntahkan dari tangannya dalam masa dua puluh minit ini.

Tak. Aku tak boleh terlalu yakin. Aku kena teruskan lagi, tekadnya di dalam hati.

Empat puluh minit berlalu pergi dengan sangat pantas. Emosi Leon sudah melepasi fasa keterujaan. Dia telah menyingkirkan rasa takut, memadam segala keraguan, dan akhirnya… dia terpaksa menerima segala anomali ini sebagai satu realiti.

Apa yang berlaku di hadapan matanya, pada tubuhnya ini adalah di luar batas akal manusia. Dia sendiri buntu mencari jawapan bagaimana keajaiban ini menumpang di tubuhnya.

Leon menurunkan tangannya perlahan-lahan. Otaknya ligat membuat kira-kira. Dalam tempoh sejam yang lalu, dia yakin sudah lebih sepuluh ribu das Bebola Api dimuntahkan dari telapak tangannya.

Sepuluh ribu, desis Leon di dalam hati. Biar betul? Pemburu Gred A macam Mikhail pun tak mungkin boleh tembak sebanyak ni tanpa mati kepenatan.

Satu rasa gerun menjalar di tengkuknya, namun ia pantas ditelan oleh rasa teruja yang membuak-buak. Jika kapasiti tenaganya benar-benar tiada batas, impian untuk berdiri setaraf dengan legenda dunia bukan lagi sekadar angan-angan kosong.

Dia kembali mengangkat tangan, bersedia untuk melepaskan tembakan seterusnya. Namun, anak matanya pantas menangkap satu keganjilan.

“Kenapa… makin kecil?” gumamnya perlahan, keningnya berkerut rapat.

Satu lagi bebola api diseru. Kali ini, saiz api itu termampat lebih padat. Nyalaannya mendesis garang. Sebaik sahaja ia meluncur dan menghentam dinding gua, daya letupannya meledak jauh lebih kuat sehingga gegarannya terasa bergetar di telapak kaki Leon.

Leon merenung tapak tangannya sendiri. “Dua das sesaat…”

Dia baru perasan ritma serangannya telah berevolusi. Sepuluh minit lepas, kelajuannya sekadar satu tembakan untuk setiap saat. Kini, lengannya bertindak balas secara refleks, melepaskan dua tembakan berdesup membelah udara dalam tempoh masa yang sama.

Saiz mengecil, pergerakan menajam, dan letupan semakin mematikan.

Tahap penguasaan aku. Leon pantas membuat kesimpulan. Mesti sebab aku ulang kemahiran yang sama beribu kali tanpa henti, ia mula berevolusi secara paksa.

Hanya ada satu cara untuk membuktikan teori gilanya itu.

“Panel Status,” serunya.

===== PANEL STATUS =====

[Leon]

[Pemburu Magis – F]

HP : 100

MP : –

Atribut Fizikal

Kekuatan : 10

Ketahanan : 10

Kelajuan : 10

Atribut Mental

Fokus : –

Magis: Bebola Api [59 – F]

======

Cahaya skrin biru itu memantul pada anak mata Leon. Dia terkedu. Pandangannya terkunci rapat pada sebaris angka yang berkedip di hujung paparan magisnya.

“Lima puluh sembilan?” bisiknya perlahan. Nafasnya seakan-akan terhenti seketika.

Angka itu sungguh mustahil untuk dihadam dek akal. Sepanjang tempoh dia mengkaji informasi mengenai Pemburu di forum-forum, sangat sukar untuk ditemukan rekod Pemburu Gred F yang mencatatkan tahap penguasaan melebihi paras dua puluh.

Lagipun, siapa yang sanggup buang masa berbulan-bulan semata-mata nak asah magis bawahan?

Dia menggeleng perlahan.

Realitinya, sebaik sahaja Pemburu Gred F berjaya mengumpul kekayaan, mereka akan terus melabur wang tersebut untuk beralih kepada Buku Magis Gred E. Tiada siapa yang cukup waras mahu menyeksa diri mengulang-ulang satu kemahiran gred terendah pada setiap hari.

Leon meraup wajahnya kasar, cuba menahan keterujaan yang sedang meledak di dalam dada. Fikirannya mula terbang meliar. Jika pada Tahap 59 pun serangannya sudah sebegini rupa, bagaimana pula daya kemusnahannya jika magis ini dipaksa berevolusi sehingga ke batas maksimum?

Dia beralih merenung sisa dinding gua yang sudah hancur berasap di hadapannya. Mindanya pantas mencongak kelajuan, daya tolakan, dan impak kerosakan yang baru sahaja disaksikannya tadi.

Bebola api ni mungkin dah mengatasi batas Gred F dan E, fikir Leon yakin. Satu senyuman lebar mula mekar di bibirnya. Aku kena ujinya di Gurun Beku.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset