Switch Mode

Taktikal Hati – Bab 4

Permulaan Baru

Pintu pagar utama Akademi Puncak Utara tersergam gah. Besi tempa hitam dengan ukiran keemasan itu kelihatan jauh lebih sesuai menjadi pintu masuk ke sebuah estet bangsawan Eropah berbanding sebuah sekolah menengah di Sungai Petani.

Aina melangkah keluar dari perut kereta Kia Sportage milik Mak Su Sarimah.

“Saya pergi dulu, Mak Su. Terima kasih hantar saya.”

“Nanti apa-apa mesej Mak Su.”

Matanya meliar, pegun menyapu pemandangan di hadapannya.

Segala-galanya tentang sekolah ini menjeritkan satu perkataan. Darjat.

Deretan kereta mewah buatan benua Eropah menjalar membanjiri ruang lobi utama. Pemandu-pemandu peribadi berseragam kemas sibuk membukakan pintu untuk majikan cilik mereka. Pelajar-pelajar di sini bukanlah remaja biasa yang bersesak di dalam bas awam. Mereka adalah pewaris empayar korporat, anak menteri, dan keturunan golongan elit.

Pakaian seragam mereka juga cukup unik, melencong jauh dari standard sekolah harian Malaysia. Pelajar lelaki mengenakan kemeja putih berserta blazer biru gelap yang ditempah khas, lengkap dengan tali leher bersulam logo sekolah. Pelajar perempuan pula menggayakan kemeja lengan panjang, skirt labuh berpotongan kemas, dan vest rona sedondon. Bagi Aina yang berhijab, dia bersyukur kerana sekolah ini membenarkan pemakaian tudung, asalkan ia berwarna putih bersih dengan lencana elit itu tersemat rapi di dada.

Sambil berjalan melepasi deretan blok akademik yang berdinding kaca dan dikawal pendingin udara sentral, telinga Aina pantas menangkap satu bunyi ritma yang sangat dirindukannya.

Thud! Thud!

Bunyi padu sepakan bola yang bergema dari arah padang berumput hijau di sebelah kanan bangunan. Tanpa sedar, langkah Aina terus terpesong ke arah bunyi itu. Hatinya tiba-tiba meronta hebat. Biarpun belum sampai seminggu dia meninggalkan padang hijau di California, perasaan untuk kembali menyentuh bola sepak kembali membuak-buak.

Dia berdiri di tepi padang, memerhati sekumpulan pelajar lelaki yang sedang bertungkus-lumus menjalani latihan. Namun, tidak sampai lima minit menganalisis corak permainan mereka, dahi Aina mula berkerut tebal.

Ini ke standard sekolah elit ni? bisik hatinya, sedikit sinis.

Hantaran bola mereka sangat berterabur. Kawalan sentuhan pertama mereka memalukan—bola melantun jauh dari kaki setiap kali menerima hantaran. Masing-masing lebih sibuk mendabik dada mahu menunjuk-nunjuk skil menggelecek solo yang sentiasa gagal, berbanding menggerakkan bola sebagai satu unit berpasukan. Jika dibandingkan dengan kualiti budak lelaki Bawah-15 di akademinya di Amerika dahulu, pasukan Puncak Utara ini tidak ubah seperti pasukan kanak-kanak riang Bawah-12 tahun.

Mata Aina mula beralih ke kawasan sekeliling. Dia melilau mencari kelibat kumpulan pelajar perempuan yang mungkin sedang berlatih di padang bersebelahan, atau sekurang-kurangnya melakukan sesi regangan memanaskan badan.

Kosong.

“Cari siapa tu?”

Satu teguran manja yang sengaja dilembut-lembutkan tiba-tiba menyapa gegendang telinga. Aina menoleh. Dua orang pelajar perempuan sedang berdiri tidak jauh daripadanya, tersenyum lebar.

Gaya mereka berdua ibarat model remaja yang baru melompat keluar dari helaian majalah fesyen. Rambut ikal separas bahu yang diwarnakan dengan tona perang gelap, kulit wajah yang dijaga rapi tanpa sebutir cela, dan beg galas kulit berjenama yang tanda harganya mungkin mampu membayar ansuran beberapa rumah mewah.

Mereka kelihatan peramah, namun Aina yang sudah kenyang berdepan dengan kerenah budak-budak elit di California pantas menghidu aura plastik dari senyuman itu. Terdapat riak kurang senang, malah sedikit tergugat, apabila mata mereka menatap seraut wajah Aina yang memiliki pesona eksotik hasil kacukan Melayu-Jepun.

“Hai, budak baru ke? Tak pernah nampak muka pun sebelum ni,” tegur salah seorang daripada mereka, tangannya disilangkan ke dada memeluk buku.

Aina mengangguk ringkas. “Ya, baru pindah sini. Boleh saya tanya sikit?”

“Apa dia?”a?”

“Dekat mana padang latihan untuk pasukan bola sepak perempuan?”

Pertanyaan langsung Aina itu membuatkan dua gadis elit itu terdiam sejenak. Mata mereka saling berpandangan sebelum meletus dengan ketawa yang sengaja ditahan-tahan, seolah-olah Aina baru sahaja bertanyakan soalan paling bodoh abad ini.

“Maaf… apa awak cakap tadi?” Gadis yang seorang lagi bertanya sambil jari telunjuknya lentik mengesat hujung mata yang sedikit berair. “Bola sepak… perempuan?”

Aina mengecilkan mata, mula rasa jengkel. “Ya. Pasukan bola sepak wanita. Tak ada ke kat akademi ni?”

Gadis pertama membetulkan jatuhan rambutnya ke belakang telinga dengan gaya diva. “Excuse me? Bola sepak? Berpeluh-peluh busuk kejar bola macam budak lelaki? Kat sekolah ni, perempuan tak main sukan kasar macam tu, okey? Geli.”

“Betul tu,” sokong kawannya laju. “Kita orang kat sini main sukan yang lebih classy. Memanah, tenis, skuasy… benda-benda yang elegan dan aesthetic. Kalau awak nak sangat main bola sepak, rasanya awak dah salah daftar sekolah ni.”

Dahi Aina semakin berkerut tajam mendengar penerangan bongkak itu. Mindanya mula serabut. Kalau akademi sebesar dan sekaya ini pun tidak memiliki pasukan bola sepak wanita, macam mana dia mahu meneruskan nyawa sukannya? Bagaimana dia mahu mengekalkan ketajaman sentuhan bolanya? Adakah dia terpaksa menggantung but sepenuhnya di bumi Malaysia ini?

Kusut. Dada Aina tiba-tiba terasa ketat.

Dalam pada dia sedang berperang dengan rasa rungsing yang memagut dada, satu suara kedengaran mencelah dari arah belakang. Nadanya tenang, perlahan, tetapi cukup tajam untuk membuatkan dua gadis elit di hadapan Aina tadi terus menelan air liur dan perlahan-lahan melangkah undur sedikit.

“Kau tak payah nak layan sangat Barbie Princesses dua orang ni. Dia orang memang alah dengan rumput hijau.”

Aina berpaling pantas.

Berdiri di situ ialah seorang pelajar perempuan yang memiliki fizikal sedikit tinggi daripadanya. Pakaian seragamnya dipakai kemas, namun postur dia berdiri dan cara mata sepetnya merenung tepat ke wajah Aina, memancarkan satu aura yang berbeza. Sangat tenang. Sangat mendominasi, biarpun tanpa sebarang senyuman di bibir nipisnya.

“Aku Sofea,” gadis itu memperkenalkan diri, tangan kanannya dihulurkan santai. “Sekolah tugaskan aku untuk jadi ‘pemandu pelancong’ kau. Untuk bantu kau survive kat tempat gila ni.”

Tanpa sedikit pun mempedulikan dua orang gadis yang sudah menjeling menyampah lalu beredar itu, Sofea memaut pergelangan tangan Aina. Langkahnya laju, memaksa Aina merelakan dirinya diheret menjauhi padang rumput itu.

“Aku dah search sikit fasal kau malam tadi,” buka Sofea sebaik sahaja mereka melepasi koridor blok pentadbiran. Mata sepetnya menjeling Aina, menyelidik. “Kau main bola sepak?”

Aina mengangguk perlahan.

Sofea melepaskan satu keluhan nipis.

“Maaf cakaplah, Aina. Kat akademi ni memang tak ada wujud pasukan perempuan. Hakikatnya, nak cari kat seluruh Malaysia pun payah. Liga bola sepak wanita kita kat sini pun tahap hidup segan mati tak mahu.”

Bagaikan ada bongkah batu konkrit menghempap dada Aina. Nafasnya terasa sangat berat. Semakin tertekan dia memikirkan realiti pahit itu. Macam mana dia hendak meneruskan kariernya? Tersilap langkahkah dia apabila akur menuruti mamanya pulang ke bumi Malaysia?

“Kau tak nak cuba sukan lain?” Sofea cuba memujuk, seakan perasan riak wajah Aina yang bertukar mendung gelap. “Bola jaring ke? Bola baling? Oh… Bola tampar pun okey juga. Boleh terbang-terbang meleding kat jaring tu.”

Aina menundukkan wajahnya, merenung hujung kasut sekolahnya yang memijak lantai koridor.

Bukan dia tidak mampu atau tidak pandai bermain sukan lain. Kapasiti fizikal dan staminanya cukup tinggi. Tetapi hatinya sudah terikat mati pada bola sepak. Itulah satu-satunya tali nyawa yang menghubungkan jiwanya dengan bapanya. Kazuha adalah insan pertama yang meletakkan bola sepak ke kaki Aina dan memperkenalkannya kepada dunia padang hijau.

Belum sempat Aina menyusun bait jawapan, satu susuk tubuh tinggi lampai dengan sengaja berdiri di tengah-tengah laluan, menghalang pergerakan mereka berdua.

Seorang pelajar lelaki. Kemeja putihnya sengaja dibiarkan tidak dibutang penuh pada bahagian pangkal leher, mendedahkan sedikit rantai perak halus. Rambutnya disisir rapi dengan gaya messy-crop moden, disulami senyuman meleret yang diyakini mamat itu mampu mencairkan hati mana-mana gadis di sekolah elit tersebut.

“Hai, Sofea,” suara garau mamat itu menyapa mesra. Namun, sepasang matanya nakal merenung tepat ke wajah Aina, menari-nari memerhati. “Budak baru?”

Sofea mendengus kasar, memalingkan wajah tanda meluat yang teramat sangat. “Ya. Dan salah satu tugas aku hari ini adalah untuk pastikan dia selamat dari jangkauan playboy murah macam kau. Tepi sikit, Johan.”

Lelaki bernama Johan itu sekadar tertawa kecil, melantunkan tawa yang membuai. Langsung tidak terkesan dengan tusukan sindiran Sofea. Dia menundukkan badannya sedikit, menyamakan paras pandangannya dengan mata Aina, lalu mengenyitkan sebelah mata sebelum perlahan-lahan mengundur, memberi laluan dan berlalu pergi bersama langkah yang sengaja dilenggangkan.

“Itu Johan,” terang Sofea sebaik sahaja kelibat lelaki itu hilang di selekoh blok. “Anak tauke francais kereta mewah import.”

Aina mengangguk perlahan. “Poyo.”

Sofea terus tergelak kecil mendengar rumusan satu perkataan yang cukup tepat itu. “Sekolah ni sama je sistem dia macam sekolah-sekolah luar sana, Aina. Cuma kat sini, dia orang lebih kaya, lebih elit, dan lebih berkuasa. Tapi satu benda kau kena hadam awal-awal… masalah utama yang selalu cetus kerosakan kat sekolah ni berpunca dari budak-budak lelaki spesis macam Johan tu.”

Dahi Aina berkerut mencari kepastian. “Kenapa dengan dia? Pembuli?”

“Kacau ketenteraman hidup orang awam.”

Aina tergelak spontan mendengarkan jawapan sinis Sofea. Sangkanya, Johan itu kaki peras ugut atau ketua gengster sekolah.

Namun, tawa Aina mati apabila Sofea tiba-tiba berhenti melangkah. Riak wajah gadis bermata sepet itu berubah serius, seolah-olah baru menguraikan satu perkaitan penting.

“Oh. Tadi kita borak fasal bola kan… Johan tu salah seorang pemain utama bola sepak sekolah kita.”

Aina tersentak. Dia menoleh pantas ke arah padang yang masih rancak dengan bunyi jeritan dan sepak terajang sesi latihan di kejauhan sana.

“Kalau dia tu pemain bola, kenapa dia merayau kat koridor ni? Kenapa dia tak turun padang berlatih?”

“Oh, budak-budak yang berjemur tengah panas tu… itu budak-budak yang level marhaen sikit. Kasta bawahan,” jelas Sofea selamba sambil membetulkan tali beg galasnya. “Orang kata, tu pemain reserve. Pemain utama ada… tujuh…”

Sofea terdiam sejenak. Dahinya berkerut memerah memori. “Eh, berapa orang pemain utama untuk satu pasukan bola sepak? Lapan ke?”

“Sebelas,” pintas Aina laju, pantang sukan kesayangannya diputar belit.

“Ha, sebelas.” Sofea memetik jarinya di udara. “Sebelas pemain utama tu semuanya geng anak-anak orang VVIP elit. Budak-budak kaya tu punya ego tinggi melangit, Aina. Dia orang jarang turun padang kotor-kotor masa latihan biasa macam ni. Malas katanya.”

Mata Aina membuntang luas. “Biar betul?”

“Betul. Tapi tu yang peliknya, pencapaian skuad bola kita boleh tahan mantap. Dengar cerita dari budak-budak kelas, lagi dua perlawanan kalau dia orang menang, sekolah kita akan masuk perlawanan akhir untuk peringkat daerah.”

“Lagi dua perlawanan? Maknanya… suku akhir la tu?” Aina membetulkan fakta.

Sofea mengangkat bahunya tanda tidak kisah. “Manalah aku tahu sangat bab tu. Tapi kira hebatlah kan tahap tu? Pihak pengurusan sekolah pun asyik pasang kain rentang raikan kemenangan dia orang.”

Aina meraup wajahnya. Hantaran bola yang berterabur dan kawalan yang celaru di padang tadi kembali menjengah fikiran. Jika pemain simpanan yang hari-hari berlatih di bawah panas terik pun bermain teruk, apatah lagi sebelas pemain utama yang terlalu ego untuk turun padang?

Macam mana pasukan yang tidak berdisiplin macam ni boleh mara sejauh itu? Aina mula berteka-teki. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Belum sempat dia melontarkan ketidakpuasan hatinya kepada Sofea, deringan nyaring loceng sekolah bergema di sepanjang koridor, mematikan perbualan mereka.

Sofea pantas membetulkan galasan beg di bahu.

“Dah bunyi. Jom gerak pergi dewan,” ajak Sofea santai. “Hari ni perhimpunan rasmi. Kita beratur sekali, lagipun kita memang sekelas.”

Aina menarik nafas dalam, cuba meredakan sedikit kekusutan di dada. Letak tudungnya dikemaskan. Nampaknya, hari pertama di sekolah elit ini jauh lebih memeningkan kepala daripada apa yang disangkakan.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset