Switch Mode

Taktikal Hati – Bab 3

Rancangan

Cahaya mentari pagi Jumaat menyelinap melepasi celahan langsir baldu, melukis garis-garis silau di atas lantai marmar. Haruman roti bakar bersulam aroma pekat kopi segar mula memenuhi segenap ruang dapur banglo mewah di Residensi Puncak Sayang.

Kawasan perumahan elit di Sungai Petani yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan itu akhirnya menyajikan sedikit ketenangan fizikal yang sangat didambakan oleh Aina dan ibunya, selepas melarikan diri dari Amerika Syarikat.

Di meja pulau dapur berkonsep moden, Sarimah sedang rancak menaip sesuatu di papan kekunci komputer ribanya. Kaca mata bingkai tebalnya melorot sedikit di pangkal hidung. Walaupun perwatakan ibu saudaranya itu kelihatan selekeh—hanya mengenakan baju kelawar batik dan sanggul rambut yang agak serabai—wanita bujang itu sebenarnya memiliki kerjaya yang cukup lumayan.

Sarimah merupakan seorang penulis novel web Bahasa Inggeris yang prolifik. Malah, Aina sendiri pernah beberapa kali bersengkang mata membaca karya-karya fantasi dan romantik ibu saudaranya itu sehingga ke lewat pagi. Siapa sangka kini penulis kegemarannya itu sedang tidur berdengkur di bilik sebelah.

Bunyi ketukan laju papan kekunci terhenti mendadak. Pandangan Sarimah beralih tepat ke wajah Maisarah yang duduk bertentangan. Kakaknya itu masih jauh termenung. Matanya kosong merenung putaran sisa air kopi di dalam cawan porselin.

“Jadi… apa perancangan Kak Mai lepas ni?” soal Sarimah, memecah kesunyian dapur.

Maisarah diam tidak berkutik. Jari-jemarinya hanya mengusap perlahan bibir cawan.

“Bukan Mah nak suruh Kak Mai cari duit,” sambung Sarimah lagi, kali ini nadanya lebih memujuk. “Bab belanja tu, Mah boleh tanggung. Cuma, elok kalau Kak Mai ada benda nak dibuat. Setidak-tidaknya, tak adalah fikiran akak tu asyik melayang jauh melayan masalah yang belum ada jalan penyelesaian.”

Maisarah melepaskan satu keluhan berat. “Akak pun tak pasti, Mah. Duit simpanan akak tu ada, cukup untuk kami anak-beranak bertahan buat sementara waktu. Tapi, semua akses akaun lain… kad kredit, dana kecemasan, semuanya dah disekat. Pengaruh Kumpulan Shinjo tu bukan calang-calang. Dia orang boleh tutup semua sumber kewangan kita.”

Sarimah mengangguk perlahan, memahami betapa beratnya masalah tersebut. Skrin komputer ribanya ditutup rapat, isyarat bahawa perbualan ini menuntut tumpuan penuhnya.

“Apa kata Kak Mai buka kedai kek?” cadang Sarimah sambil menongkat dagu. “Kak Mai kan memang pakar bab buat kek dan pastri yang sedap-sedap ni. Sayang kalau bakat tu dibiarkan terkubur macam tu saja.”

Maisarah tersenyum tawar. “Cadangan kamu tu memang bagus. Tapi, nak buka kedai tu perlukan modal yang besar, Mah. Nak kena pening cari tapak lagi, nak bayar sewa kedai bulan-bulan lagi… macam lagi menambah masalah.”

“Bab tempat tu, Kak Mai jangan risaulah,” cantas Sarimah pantas. Matanya sedikit membulat teruja. “Mah ada beli satu lot kedai kat kawasan komersial depan sana tu. Asalnya ingat nak buat gudang tempat simpan buku. Tapi, Mah ni kan penulis atas talian. Tak ada maknanya nak cetak buku fizikal tebal-tebal. Malaslah nak penat-penat bungkus buku, uruskan pos, layan ragam pembeli semua tu. Leceh!”

Sarimah merapatkan kedudukannya lalu menepuk lembut tangan kakaknya.

“Kak Mai ambil je lot kedai tu. Buka kafe. Boleh juga Mah tumpang rehat sekejap dari menghadap novel ni. Jadi tukang rasa kek Kak Mai hari-hari pun okey juga,” tambah Sarimah lagi diselangi tawa kecil, bermati-matian cuba menceriakan suasana.

Walaupun celoteh Sarimah itu disulami nada gurauan, Maisarah masih kelihatan serba salah. Matanya yang sembap kembali merenung permukaan meja. Fikirannya masih galak menerawang merentasi benua, dikepung rasa bimbang yang tidak bertepi tentang keselamatan suaminya yang kini menjadi pelarian.

Seakan mengerti pergolakan emosi yang sedang merobek jiwa kakaknya, Sarimah bangun. Dia melangkah ke sisi Maisarah lalu merangkul erat bahu kakaknya dari belakang.

“Kak Mai…” Nada suara Sarimah berubah lembut, namun sarat dengan ketegasan. “Jangan risau, okey? Mah ada kat sini dengan akak. Selagi Mah bernafas, Mah akan jaga Kak Mai dengan Aina. Abang Kazuha tu orang yang baik… orang bijak, dia pasti tahu macam mana nak lindungi diri dia dari cengkaman abang dia sendiri. Allah pun akan jaga dia.”

Maisarah mengangguk perlahan. Air mata yang mula bertakung hangat di tubir mata pantas dikesat dengan hujung jari sebelum sempat ia menitik.

Aina yang sedari tadi sekadar menjadi pendengar setia sambil tekun mengunyah roti bakar, tersenyum nipis. Hatinya yang memberontak sedikit terubat melihat ketabahan ibunya dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu saudaranya itu.

Tiba-tiba, pandangan Sarimah beralih tepat merenung wajah anak buahnya. Satu senyuman penuh makna terukir di bibirnya.

“Oh, alang-alang kita tengah cakap pasal perancangan masa depan ni… bab sekolah kamu pun Mak Su dah selesaikan, Aina.”

Kunyahan di mulut Aina terhenti serta-merta.

“Sekolah?” Matanya membulat sakan.

Sarimah tersengih lebar, bangga dengan ‘kejayaannya’. “Ha, sekolah. Jangan risau, semuanya Mak Su dah uruskan dengan pantas. Mak Su dah daftarkan nama kamu dan bayar habis semua yuran. Hari Ahad ni, kamu terus masuk sekolah baru. Tak payah nak fikir benda lain.”

Dada Aina mula berdebar kencang. Ahad ini? Dua hari lagi?

“Fokus pada pelajaran saja,” sambung Sarimah lagi tanpa mempedulikan riak wajah Aina yang jelas sedang dihurung kejutan. “Mak Su pun tak tahu sangat apa silibus yang kamu belajar kat Amerika sana tu. Tapi rasanya lebih kurang sama saja dengan kat Malaysia. Kalau kat Malaysia ni subjek dia lagi susah dan mencabar, nanti Mak Su hantar kamu pergi kelas tambahan.”

Aina terkedu. Lidahnya kelu terikat, gagal mencari perkataan untuk membantah. Bermula hari Ahad ini, dia bukan lagi penyerang bintang di padang hijau, tetapi diturunkan pangkat kembali menjadi seorang pelajar sekolah biasa di sebuah tempat yang langsung tidak dikenalinya.

***

Ribuan batu dari ketenangan pagi di bumi Kedah, suasana di Jepun jauh berbeza.

Sebuah vila kayu tradisional Jepun tersorok rapi di balik rimbunan pokok pain purba di lereng pergunungan. Angin bulan September sekadar bertiup nyaman di luar, ketegangan pekat yang menyelubungi segenap ruang kediaman itu terasa jauh lebih mencengkam.

Di luar pintu kamar utama yang kini beroperasi sebagai wad rawatan rahsia, barisan pengawal peribadi bertubuh sasa berdiri kaku. Membentuk benteng manusia yang mustahil ditembusi.

Pasukan keselamatan elit itu merangkumi pelbagai bangsa—warga tempatan Jepun berwajah dingin tanpa emosi, lelaki Eropah berbadan tegap seperti kereta kebal, dan warga Afrika yang berketinggian lampai. Semuanya lengkap bersut hitam kemas.

Mata mereka tajam meliar bak helang. Tangan masing-masing disorokkan ke dalam kot, bersedia untuk menarik picu senjata api pada bila-bila masa.

Di dalam bilik, bunyi mesin elektrokardiogram (ECG) memecah kesunyian yang tegang.

Kazuha terbaring kaku di atas katil perubatan khas. Wajah lelaki itu pucat lesi, persis mayat. Kelopak matanya terpejam rapat. Wayar monitor dan tiub intravena berselirat menyambung nyawanya di pergelangan tangan.

Seorang doktor pakar melepaskan stetoskop dari telinganya. Dia menoleh ke arah Araki yang sedang berdiri tegak persis patung tembaga di hujung katil.

“Tekanan darahnya sudah mula stabil,” lapor doktor itu dalam bahasa Jepun. Dia berbisik kasar, berhati-hati agar tidak mengganggu lena pesakit. “Buat masa ini, Tuan Kazuha hanya perlukan rehat yang cukup dan berterusan untuk kembali pulih.”

Araki mengangguk perlahan. Rahang lelaki berparut melintang nipis di pipi itu diketap rapat.

Bzzzt. Bzzzt.

Telefon pintar di dalam saku jaket Araki bergetar. Dia pantas menunduk hormat kepada doktor tersebut lalu melangkah laju ke sudut bilik yang diselubungi langsir baldu tebal. Panggilan itu disambut serta-merta tanpa melihat nombor pemanggil.

Dia memulakan bicara dalam bahasa Jepun. Nadanya mendatar, namun sarat dengan cengkaman autoriti seorang ketua operasi keselamatan.

“Bagaimana di sana? Mereka berdua sudah selamat tiba?” soal Araki tanpa sebarang basa-basi.

Suara garau dari dalam talian memberikan pengesahan. Maisarah dan Aina sudah menjejakkan kaki dan menetap di bumi Malaysia tanpa sebarang masalah.

“Bagus.” Araki melepaskan nafas lega yang berat. “Puan Maisarah dan Cik Aina adalah keutamaan mutlak kita. Arahkan skuad bayangan di Malaysia supaya berwaspada setiap detik. Kawal pergerakan mereka dari kejauhan.”

Dia berjeda seketika.

“Jangan benarkan sesiapa menghidu keberadaan mereka di sana. Terutamanya… anjing-anjing suruhan Kumpulan Shinjo.”

Araki berpaling semula merenung katil. Sayu pandangannya menatap susuk majikannya yang tidak berdaya. Namun dalam sekelip mata, riak kelemahan itu lesap, digantikan dengan api tekad yang membakar garang di dasar matanya.

“Ketua kita selamat di sini. Kamu semua jangan bimbang. Nyawa aku sendiri jadi taruhan,” janjinya tegas. “Selagi aku masih bernafas, Tuan Kazuha akan dilindungi. Pasukan perubatan kita mengawal ketat setiap perkembangannya.”

Araki diam seketika, memusatkan fokus mendengar laporan seterusnya daripada anak buahnya di Tokyo. Kerutan di dahinya perlahan-lahan berlapis tebal.

“Ya, aku faham.” Suara Araki berubah dingin. Membeku. “Pasukan penggodam kita di sini sedang bertungkus-lumus memuat turun semua bukti transaksi palsu itu. Mereka cuba menyalin data dari pelayan sulit sebelum pihak audit dalaman sempat memadamkannya. Kita hampir dapat buktikan bahawa tuduhan pecah amanah itu hanyalah helah Itsuki. Dia mahu merampas kerusi Presiden Kumpulan Shinjo sepenuhnya.”

Ingatan Araki terus ditarik mundur pada insiden berdarah yang menimpa kumpulannya beberapa jam yang lalu. Darahnya kembali mendidih.

“Kita kena bertindak lebih pantas,” sambung Araki, meraup wajahnya. “Lokasi persembunyian pertama kita di pinggir Tokyo baru sahaja diserang hendap. Anak-anak buah Itsuki merempuh masuk membawa senjata api. Mujur kita berjaya memindahkan Tuan Kazuha ke pergunungan ini lebih awal.”

Araki mendengus sinis.

“Itsuki sudah mula terdesak. Dia tahu, andai Tuan Kazuha membuka mata, segala bukti palsu itu akan terus diserahkan kepada pihak berkuasa. Impiannya untuk menelan syarikat itu akan lebur menjadi debu.”

Araki menarik nafas panjang. Menyimpulkan arahan terakhirnya.

“Ketatkan kawalan di Malaysia. Lindungi keluarga bos kita. Sebarang ancaman yang cuba mendekati mereka…”

Araki berjeda.

“…hapuskan serta-merta. Jangan tinggalkan walau satu jejak.”

Klik.

Panggilan ditamatkan.

Araki menyimpan peranti pintarnya kembali ke dalam saku. Langsir baldu diselak sedikit. Dia merenung ke luar tingkap. Rimbunan daun pokok pain yang mula bertukar kekuningan pada bulan September itu ditiup angin petang yang semakin mendingin.

Perang ini baru sahaja bermula. Dan dia tidak berniat untuk tewas.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset