Switch Mode

Taktikal Hati – Bab 5

Hierarki Kelas

“Lega.”

Itulah satu-satunya perkataan yang terluah dari bibir Aina sebaik sahaja perhimpunan rasmi tamat.

Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu bergelut dengan masalah pemahaman bahasa. Sistem pendidikan di Akademi Puncak Utara menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, selaras dengan status elit sekolah itu. Deretan buku teks tebal di atas mejanya juga semuanya dicetak berkualiti tinggi terus dari penerbit antarabangsa.

Aina melabuhkan punggung di kerusi, tepat di sebelah Sofea. Meja mereka terletak di barisan tengah Kelas 3 Alpha, kelas pertama daripada empat buah kelas tingkatan tiga di akademi itu.

Hembusan pendingin udara membalut ruang kelas. Suasananya agak berbeza berbanding sekolah lamanya di California dahulu. Susun atur meja sama seperti kelas biasa, cuma material kayunya jauh lebih premium dan… mewah. Papan putih interaktif besar menutupi lebih separuh dinding hadapan kelas, memancarkan logo akademi yang sedang berputar perlahan pada skrin berdefinisi tinggi.

Aina menarik nafas panjang. Inilah realiti baharunya. Sebuah sekolah yang elit, canggih, dan serba-serbi moden. Tetapi sayangnya… tanpa pasukan bola sepak. Sungguh membosankan.

“Kau okey?” tegur Sofea. Tangan gadis bermata sepet itu lincah mengeluarkan buku teks Matematik dari laci meja. “Macam mana perhimpunan tadi? Boleh hadam ucapan pengetua yang panjang berjela tu?”

Aina tersenyum nipis. “Okey je. Cuma… aku masih cuba nak biasakan diri dengan suasana kat sini.”

“Biasalah tu. Hari pertama,” balas Sofea bersahaja. Dia menongkat dagu, merenung ke hadapan kelas. “Tapi kau jangan terkejut sangat tengok gelagat budak-budak kelas kita ni. Macam-macam ragam spesies elit ada kat sini.”

Aina mengangguk perlahan. Matanya mula meliar menyapu segenap ruang.

Memang benar amaran Sofea. Majoriti pelajar di dalam kelas itu sibuk dengan hal dunia masing-masing. Namun, mereka bukanlah kumpulan samseng murahan atau budak nakal yang gemar melanggar disiplin sekolah. Mereka sekadar… terlalu selesa dengan kemewahan. Beberapa orang pelajar perempuan sedang rancak bergosip tentang tempahan tiket percutian musim sejuk di Eropah hujung tahun nanti. Di satu sudut lain, sekumpulan pelajar lelaki leka membincangkan spesifikasi enjin kereta mewah bapa masing-masing.

Status dan darjat. Dua perkara itu jelas terpancar pada setiap butir bicara dan jenama aksesori yang melekat di tubuh mereka.

Tiba-tiba, mata Aina terhenti pada satu susuk tubuh.

Johan.

Lelaki tinggi lampai yang menegur mereka berdua di koridor pagi tadi itu rupa-rupanya merupakan rakan sekelasnya. Johan sedang duduk bersandar di hujung kelas dengan gaya persis seorang mafia cilik. Kakinya disilangkan santai di atas meja.

Berbanding pelajar lain yang sekadar bersembang sesama sendiri, lagak Johan lebih ke arah mendominasi ruang tanpa mempedulikan langsung keadaan sekeliling. Tangannya ralit membelek helaian majalah kereta edisi terhad, khusyuk merenung gambar jentera di dalamnya.

Bunyi kuakan daun pintu yang agak kuat menghentikan segala perbualan di dalam kelas.

“Bangun. Selamat pagi, Cikgu Azman,” arah ketua kelas yang berkaca mata tebal. Suaranya lantang menjalankan tanggungjawab.

Pelajar-pelajar lain pantas berdiri. Walaupun ada yang bergerak agak lambat akibat leka bersembang tadi, mereka tetap memberikan penghormatan.

Kecuali Johan.

Lelaki itu mengambil masa beberapa saat lebih lama. Matanya sengaja dilekatkan pada helaian majalah sebelum perlahan-lahan dia bingkas bangun dengan postur yang cukup malas. Sengaja melengahkan masa, seolah-olah guru yang masuk itu perlu menagih perhatian penuhnya. Sikap acuh tak acuhnya cukup menebal untuk menunjukkan hierarki tidak bertulisnya di kelas itu.

Aina menangkap permainan ego tersebut. Dia mendekatkan wajahnya sedikit ke arah Sofea. “Johan tu memang biadab macam tu ke?”

Sofea hampir tergelak mendengarkan soalan lurus itu. “Itu dah dikira cukup beradab tu, Aina.”

Dahi Aina berkerut. Teruk sungguh adab golongan elit ini.

Cikgu Azman, seorang pendidik lelaki separuh abad yang bersongkok dan memakai cermin mata tebal, sekadar membalas sapaan pelajar tanpa sebarang riak di wajah. Beliau melangkah tenang ke hadapan kelas. Sebatang pen stilus khas dicapai dari dulang alat tulis pintar.

Beliau terus memusingkan badan ke arah papan putih interaktif.

Hujung stilus menyentuh permukaan skrin LED tersebut. Formula persamaan kuadratik mula terpampang jelas dan lancar mengikut kaligrafi gerak tangannya, pantas menggantikan logo sekolah.

“Baiklah, semua. Hari ini kita akan fokus pada penyelesaian pemfaktoran yang lebih kompleks,” suara Cikgu Azman bergema mendatar di segenap ruang kelas. “Kamu semua salin dulu apa yang saya tulis kat depan ni.”

Tiada nada teruja. Tiada ketegasan seorang pendidik berwibawa. Seolah-olah beliau sekadar membaca skrip yang sudah dihafal beribu kali semata-mata untuk mencukupkan waktu mengajar.

Hujung pen di tangan Aina diketuk perlahan pada permukaan meja kayu itu. Dia menoleh ke sisi, merapatkan sedikit tubuhnya ke arah Sofea yang sedang leka menelaah buku teks.

“Sofea,” panggil Aina separuh berbisik. “Kenapa dengan Cikgu Azman tu? Dia macam… tak ada semangat langsung nak mengajar. Suara macam terpaksa je.”

Sofea tidak terus membalas. Tangannya sibuk mencatat sesuatu di atas buku nota. Namun, hujung bibir gadis itu perlahan-lahan terjungkit membentuk satu senyuman sinis.

“Bukan Cikgu Azman saja, Aina,” balas Sofea tanpa menoleh. Ekor matanya tajam mengerling sekilas ke arah hujung belakang kelas. “Semua cikgu kat sekolah ni akan automatik hilang ‘roh’ mengajar bila masuk kelas yang ada budak tu.”

Kening Aina bertaut rapat. Hatinya diserbu rasa pelik. “Johan? Kenapa pula dengan dia?”

Sofea meletakkan pennya ke atas meja. Dia berpaling dan memandang tepat ke dasar anak mata Aina. Senyuman sinis di bibirnya masih tersisa, namun renungannya seakan-akan menyimpan peringatan tentang hierarki toksik sekolah berprestij itu.

“Nanti perlahan-lahan kau akan faham,” jawab Sofea ringkas, sebelum pantas kembali membuang pandang ke hadapan kelas. Tanda isyarat mematikan perbualan.

Aina melepaskan satu keluhan halus. Mindanya mula ligat berteka-teki. Sehebat mana agaknya pengaruh poket bapa pelajar ‘poyo’ bernama Johan itu sehingga mampu melunturkan semangat guru-guru berkaliber di akademi ini?

Persoalan itu terpaksa dibiarkan sepi. Aina kembali menumpukan perhatian, memaksa tangannya menyalin nota ke dalam buku tulis biarpun benaknya masih memproses maklumat baharu itu.

Sesi pengajaran terus berlangsung hambar. Hampir dua puluh minit berlalu dengan hanya diiringi bunyi ritma ketukan stilus pada permukaan papan putih, barulah Cikgu Azman memusingkan badan menghadap kelas. Tangan kanannya masih menggenggam erat pen stilus, bersedia untuk melempar umpan soalan kepada para pelajarnya.

“Ada sesiapa yang nak cuba selesaikan soalan di hadapan ni?” soal Cikgu Azman mendatar. “Atau nak cikgu yang pilih?”

Mata Cikgu Azman meliar ke arah barisan belakang. Beliau melepaskan satu keluhan kecil, mungkin sekadar melepaskan sisa sabar. “Johan. Sila ke depan dan tunjukkan jalan pengiraan untuk soalan nombor dua ni.”

Panggilan itu membuatkan hampir semua pasang mata di dalam kelas tertumpu ke arah posisi Johan.

Remaja itu langsung tidak mempamerkan reaksi terkejut. Dia menutup majalah di tangannya perlahan-lahan. Dengan selamba, dia menyandarkan belakang tubuhnya ke kerusi, membiarkan bibirnya melengkung mengukir satu senyuman mengejek.

“Cikgu…” Johan memulakan bicara. Postur tubuhnya santai. Gayanya tidaklah terlalu biadab, tetapi cukup untuk menguji batas kesabaran. “Apa kata, kalau kita bagi laluan pada Zakwan yang kat depan tu untuk jawab? Dia tu kan budak biasiswa. Budak pandai straight As. Budak macam dia nilah yang lagi perlukan latihan bertulis untuk score periksa akhir nanti, berbanding saya.”

Nama Zakwan dipetik.

Aina spontan mengalihkan pandangannya ke arah meja barisan hadapan. Sejak mula melangkah masuk ke kelas ini tadi, dia sudah perasan akan susuk tubuh pelajar bernama Zakwan itu. Berbeza dengan majoriti rakan sekelas yang lain yang berfizikal biasa, Zakwan memiliki susuk tubuh tegap dan lengan berotot persis seorang atlet separa pro.

Di sebalik cermin mata nipis yang membingkai wajah kacaknya, terselindung satu raura misteri. Pemuda itu sedari tadi hanya mendiamkan diri, merenung nota, langsung tidak mempamerkan minat untuk bergaul dengan rakan sekelas yang lain.

Cikgu Azman sekadar melepaskan keluhan perlahan, pasrah. Cermin matanya ditolak naik sedikit ke pangkal hidung.

“Ikut suka kamulah, Johan,” balas Cikgu Azman. “Kamu tak score apa-apa subjek pun tak apa kan? Legasi perniagaan ayah kamu dah tunggu kamu kat luar sana. Suka hati kamulah.”

“Cikgu jangan risau fasal masa depan saya,” pintas Johan. Senyumannya makin melebar, kali ini sarat dengan bangga diri yang membuak-buak. “Tempat saya untuk buktikan score bukan kat atas kertas peperiksaan ni. Tapi kat tengah padang bola. Demi menaikkan nama sekolah kita, cikgu.”

Bait kata bongkak Johan itu terus disambut dengan siulan dan tawa gembira oleh rakan-rakan sekliknya di barisan belakang.

Cikgu Azman sekadar tertawa kecil yang sinis. Seolah-olah malas mahu berdebat kosong dengan remaja yang memegang ‘saham’ besar di situ.

“Baiklah. Zakwan, sila selesaikan soalan di depan.”

Mendengar arahan itu, Zakwan bingkas bangun tanpa sebarang bantahan dari kerusinya. Langkahnya tenang menyusun langkah menuju ke hadapan. Sebaik sahaja pen stilus bertukar tangan, tangan Zakwan bergerak lincah di atas permukaan papan putih interaktif.

Baris demi baris pengiraan untuk penyelesaian pemfaktoran yang rumit itu ditulis dengan struktur tulisan yang kemas. Segala-galanya kelihatan sangat mudah seolah-olah dia sedang menyalin jawapan dari belakang buku teks.

Aina merenung belakang bahu Zakwan. Dahinya berkerut sedikit.

Dari segi postur dan susuk tubuh, Zakwan nampak macam seorang atlet sebenar—jauh lebih tegap dan seimbang berbanding Johan yang kononnya bintang bola sepak sekolah itu. Tapi kenapa Zakwan biarkan saja dirinya dijadikan bahan jenaka? Tak rasa tercabar langsung ke?

Pandangan Aina kemudian beralih ke hujung kelas. Johan sedang bergelak sakan, selesa bersandar dikelilingi kawan-kawannya selepas berjaya memalukan Zakwan tadi. Hujung pen di tangan Aina diketuk perlahan pada permukaan meja. Rentaknya agak laju.

Hebat sangat ke kau? Poyo je lebih, kutuk Aina di dalam hati.

Berdasarkan pengalamannya di atas padang selama ini, pemain yang malas jalani latihan dan ego melangit biasanya hanyalah tin kosong. Mustahil Johan ada stamina dan mentaliti nak bertahan walau untuk separuh masa pertama.

Kalau inilah tahap ‘pemain utama’ yang diagung-agungkan oleh seluruh Akademi Puncak Utara, Aina tiba-tiba rasa teringin sangat nak tengok aksi perlawanan mereka nanti. Silap-silap, dia sendiri boleh main jauh lebih baik dari mereka semua.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset