Switch Mode

Zoran: Pertempuran Dewa – Bab 6

Misi Unik

Paparan sistem komunikasi berkelip pantas. Nama pemanggilnya tertera jelas.

Blakool.

Ia adalah ID pendaftaran milik Blake.

“Zen! Aku dah ambil kelas Pakar Sumpahan, tapi sistem campak aku kat Pekan Daun Biru. Kau kat mana sekarang?”

Sebaik sahaja talian bersambung, suara Blake terus menerjah gegendang telinga. Keterujaannya begitu ketara. Jelas tidak sabar untuk memulakan pengembaraan.

“Aku kat Pekan Daun Merah,” balas Zen, tenang. “Tak adalah jauh sangat dari tempat kau. Aku akan tolong kau naik Level. Jadi, kau gerak datang ke mari sekarang.”

“Zen, kau gila ke apa?!”

Suara Blake tiba-tiba meninggi. Bagaikan mahu muntah darah pemuda itu di hujung talian sana mendengar balasan dan ajakan Zen yang tersangat santai itu.

“Kau tahu tak berapa jauh Pekan Daun Biru dengan Pekan Daun Merah ni? Peta sistem tunjuk aku kena berjalan kaki sekurang-kurangnya tujuh jam tau untuk sampai! Kalau aku gerak ke sana, aku akan jauh tertinggal dengan pemain lain. Lebih baik kita naik Level sendiri-sendiri dulu. Lepas tu kita kumpul kat Bandar Sungai Putih bila masing-masing dah cecah Level 10.”

Blake terus membebel panjang.

Matlamat menjana $16,000 dalam tempoh sepuluh hari untuk membeli mereka berdua VR Headset peribadi pun sudah kedengaran mustahil. Inikan pula dia terpaksa membazirkan masa berjam-jam sekadar merentas peta tanpa berbuat apa-apa.

Mati hidup semula pun dia tidak akan sanggup untuk membuang masa sebegitu.

“Jangan risau. Kau datang sekarang. Masa yang kau bazirkan kat jalan tu, kau akan dapat tebus balik sekelip mata nanti,” pujuk Zen.

Nadanya mendatar, namun terselit satu keyakinan yang mustahil untuk disangkal.

Kedengaran bunyi Blake menelan liur. “Zen… jangan cakap yang kau pegang maklumat Beta Tester?”

Sebelum pelancaran rasmi Zoran, pihak pembangun Zoran sememangnya telah menjemput sebilangan kecil individu elit untuk menguji permainan tersebut. Mereka ini dipanggil Beta Tester. Golongan ini memiliki maklumat yang sangat bernilai. Biarpun pihak sistem pasti akan melakukan beberapa pengubahsuaian pada versi rasmi, kumpulan Beta Tester ini sudah semestinya selangkah lebih di hadapan dan tahu lebih banyak rahsia berbanding pemain biasa.

“Kau rasa?” Zen membalas penuh teka-teki, disulami tawa halus. “Dah, jangan banyak bunyi. Cepat gerak ke sini.”

Mendengar jawapan itu, Blake terus yakin. Sahabatnya itu benar-benar mempunyai ‘kabel dalam’ yang boleh dipercayai. Api semangatnya kembali marak.

“Okey, okey! Kau tunggu aku kat sana, Zen. Aku gerak sekarang!”

Talian terus dimatikan.

Zen memusingkan tubuh. Langkahnya kini dihalakan ke sebuah lorong sempit lagi malap di kawasan pinggir pekan tersebut.

Terdapat beratus-ratus NPC di Pekan Daun Merah. Namun, NPC yang menawarkan Misi Biasa hanyalah sekitar puluhan orang. Misi Tersembunyi pula cuma ada lima.

Dan Misi Unik… hanya ada satu.

Misi Unik merupakan satu kelas pencarian yang sangat eksklusif. Sebaik sahaja ia diselesaikan oleh seseorang, rantaian misi itu akan ditutup buat selama-lamanya oleh sistem. Tiada pemain lain yang berpeluang untuk mengambilnya lagi.

Dalam ingatannya yang lalu, Misi Unik di Pekan Daun Merah ini hanya berjaya dibongkar dua bulan selepas pelancaran Zoran. Penemuan itu telah mencetuskan sensasi yang amat dahsyat di seluruh Bandar Sungai Putih.

Memandangkan misi itu berstatus unik dan telah pun ditutup, pemain bertuah yang berjaya menyelesaikannya dengan bangga mendedahkan cara dia mendapatkan misi tersebut di ruangan forum. Ia lantas mencetuskan rasa dengki yang menggunung dalam kalangan pemain lain.

Sudah tentu dalam garis masa baharu ini, Zen tidak akan sesekali melepaskan peluang keemasan itu untuk jatuh ke tangan orang lain.

Langkah Zen terhenti.

Dia kini berdiri di sebuah lorong gelap yang dipenuhi oleh gelandangan berpakaian compang-camping. Sebaik sahaja menghidu kehadiran Zen, gerombolan pengemis itu tidak ubah seperti sekawanan serigala lapar yang menemui daging segar.

Mereka berpusu-pusu merangkak dan mengerumuninya. Merintih penuh simpati, mengemis secebis ehsan.

Dulu, pernah wujud seorang pemain lurus bendul yang bermurah hati menghulurkan lambakan makanan kepada pengemis-pengemis ini. Sangkanya, itu pasti akan mencetuskan Misi Unik. Namun, sebaik sahaja perut mereka kenyang, mereka mula naik lemak. Mereka meminta pelbagai barangan lain, dan nilainya semakin lama semakin tidak masuk akal. Pemain naif itu terus menuruti setiap kehendak mereka hingga memenuhi lebih daripada sepuluh permintaan berturut-turut.

Kesudahannya? Pengemis-pengemis itu tidak memberikan apa-apa pun sebagai balasan. Pemain tersebut mengamuk sakan hingga hampir putus urat darah, dan akhirnya sekadar menjadi bahan ketawa di Zoran.

“Ke tepi!”

Jerkah Zen kasar. Serentak dengan itu, dia menghunuskan Pedang Perantis dari sarungnya.

Kilatan bilah pedang yang memantulkan samar cahaya itu sudah cukup untuk membuatkan pengemis-pengemis bacul tadi bertempiaran lari menyembunyikan diri.

Laluan kembali lapang. Zen melangkah tenang merapati satu sudut bangunan.

Seorang lelaki pertengahan umur yang kelihatan selekeh sedang berbaring lelah di situ. Sekali imbas, penampilannya tiada beza dengan pengemis yang lain. Namun, jika diteliti betul-betul, postur lelaki itu memancarkan satu aura yang jauh berbeza dengan NPC lain.

Dia adalah satu-satunya individu di lorong kotor ini yang tidak menadah tangan meminta makanan.

“Tuan perlukan sebarang bantuan?” tegur Zen. Laras bahasanya formal dan penuh hormat.

Lelaki itu perlahan-lahan menoleh.

“Boleh kau berikan aku sedikit makanan? Sudah lima hari aku tidak menjamah apa-apa,” balasnya. Suaranya parau. Sangat lemah.

Bibir Zen mengukir senyuman nipis, namun riak wajahnya kekal serius.

“Maafkan saya, tuan. Saya tidak boleh penuhi permintaan itu.”

Jika watak NPC biasa ditolak secara sinis sebegitu, pasti pemain akan dimaki hamun. Namun, lelaki selekeh ini hanya melepaskan satu keluhan berat. Matanya kembali dipejam rapat, enggan lagi bersuara.

“Tapi…” Zen menyambung ayatnya, sengaja membiarkan jedanya tergantung di udara. “…jika tuan sanggup membayar pada harga yang setimpal, saya boleh usahakan makanan yang tuan inginkan itu.”

Mata pengemis itu terbuka perlahan. Dia menatap wajah Zen. Sinar harapan baru kelihatan berputik di balik anak matanya.

“Jika aku punya wang, sudah pasti aku sudi membayar kos yang kau minta. Tetapi ketika ini, aku benar-benar tiada apa-apa. Namun… jika kau sanggup membantu menyelesaikan satu urusan, aku berjanji akan membayar kau dengan ganjaran yang cukup lumayan. Kau sudi bantu aku?”

“Boleh saya tahu apa yang tuan mahu saya lakukan?” soal Zen. Nadanya mendatar tanpa sebarang riak terkejut.

Riak wajah pengemis itu berubah tegang. Renungannya menembusi tepat ke dalam mata Zen.

“Tolong bunuh Ketua Pekan Daun Merah… Kongi.”

Satu permintaan yang cukup gila.

Walaupun Pekan Daun Merah hanyalah sebuah kawasan penempatan kecil, pangkat seorang Ketua Pekan bermakna NPC itu memegang status Elit Level 15. Malah, kediamannya sentiasa dikawal rapi oleh barisan Pengawal Level 25!

Itu belum lagi mengambil kira hakikat bahawa membunuh seorang NPC akan membuatkan pemain serta-merta disenaraihitamkan dan ditangkap oleh sistem keadilan Zoran.

Bagi mana-mana pemain biasa, rancangan untuk membunuh seorang Ketua Pekan seawal Level 0 ini tidak ubah seperti menempah tiket terus ke neraka. Tiada siapa yang akan menyangka bahawa kegilaan ini adalah sebuah Misi sebenar.

“Baik. Saya janji,” balas Zen tanpa berfikir panjang, berserta senyuman tersirat di bibir.

[Sistem: Misi Unik “Permintaan Songi” berjaya diterima.]

[Butiran Misi: Bunuh Kongi, Ketua Pekan Daun Merah, dan bawa pulang [Lencana Ketua Pekan] kepada Songi. Syarat: Level pemain tidak boleh melebihi Level 10.]

Sebaik sahaja log misi terpapar pada pandangannya, Zen dengan tenang menyarungkan kembali pedangnya.

Dia berpusing. Langkahnya diatur kemas dan berani menuju ke Dewan Pekan—kediaman rasmi tempat sasarannya berada.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset