Air yang sejuk umpama ais membungkus seluruh tubuh Tariq.
Kegelapan tasik bawah tanah itu pekat menelan pandangannya. Paru-parunya mula memberontak, menuntut oksigen. Tariq meronta-ronta, tangan dan kakinya menggapai-gapai secara melulu.
Dia tidak pandai berenang. Seumur hidupnya membesar di Lembah Sisa, air adalah komoditi mewah yang dicatu, bukannya tempat untuk merendamkan tubuh.
Dia semakin tenggelam ke bawah, ditarik oleh berat pakaiannya yang basah dan graviti.
Namun, ketika kesedarannya mula menipis, Tariq menyedari satu keganjilan yang amat ketara. Air tasik ini tidak memedihkan luka cakar pada lengan kirinya. Malah, ia langsung tidak berbau busuk seperti udara bertoksik di luar sana.
Sebaliknya, satu sensasi suam dan menenangkan perlahan-lahan meresap masuk melalui liang romanya.
Luka cakar sedalam satu jengkal pada lengannya yang tadi memancutkan darah, kini berhenti berdarah. Daging yang terbelah mula bercantum sendiri dengan kelajuan yang mustahil. Bukan itu sahaja, keletihan yang merantai otot-ototnya lenyap, digantikan dengan satu ledakan tenaga baharu. Tariq merasa tubuhnya menjadi lebih ringan, lebih kuat.
Air apa ini? fikir Tariq, terpinga-pinga di dalam tasik gelap.
Walaupun air itu memberikannya kekuatan aneh, naluri kelangsungan hidup Tariq tidak membenarkannya leka. Dia tidak tahu sejauh mana kedalaman tasik ini atau apa bahaya yang mungkin bersembunyi di dasarnya.
Oksigen di dalam peparunya juga sudah hampir habis.
Berpandukan naluri semata-mata, Tariq menggerakkan kaki dan tangannya, menolak tubuhnya melawan tarikan ke dasar. Dia berenang dan terus berenang, sehinggalah kepalanya akhirnya menembusi permukaan air.
“HAH!”
Tariq menarik nafas panjang yang sangat dalam, menyedut udara dengan rakus. Dia menggapai birai tasik yang diperbuat daripada susunan jubin batu purba, lalu mengheret tubuhnya yang lencun naik ke atas daratan.
Dia tertiarap, tercungap-cungap meredakan degupan jantungnya.
GURAAANGGH!
Tiba-tiba, satu erangan kesakitan yang sangat garau bergema dari jarak yang tidak jauh daripadanya.
Tariq bingkas bangun, tangan kanannya serta-merta meraba pinggang, bersedia memanggil pedangnya sebelum tersedar yang dia sudah kehilangan senjata itu. Matanya meliar ke arah bunyi tersebut. Tubuhnya menggigil ketakutan tanpa senjata di tangan.
Hanya sepuluh langkah dari tempatnya berdiri, tersandar susuk tubuh Gargoyle Kristal Berdarah yang mengejarnya tadi. Makhluk itu tidak jatuh ke tengah tasik, sebaliknya terhempas ke tebing berbatu di tepian air. Namun, keadaannya sangat menyedihkan.
Sisa-sisa runtuhan konkrit dari bumbung kubah purba masih lagi berjatuhan dari lohong di atas. Setiap kali bongkahan batu itu jatuh menghempas permukaan tasik, ia memercikkan kuantiti air yang sangat banyak ke arah tebing tempat Gargoyle itu tersandar.
Dan di sinilah Tariq melihat sesuatu yang di luar jangkaan.
Jika air tasik itu bertindak sebagai penyembuh ajaib buat tubuh manusia Tariq, ia sebaliknya adalah racun yang paling berbisa buat raksasa mutasi tersebut.
Setiap kali percikan air tasik menyentuh kulit berbatu Gargoyle itu, satu letusan wap mendesis kuat terhasil. Kulit keras makhluk itu terhakis dengan sangat pantas, seolah-olah disimbah asid tulen yang menggelegak. Gargoyle itu meronta-ronta, melolong dengan suara yang menyayat hati, cuba merangkak menjauhi birai tasik. Namun, sayapnya telah patah akibat runtuhan tadi, dan tubuhnya separuh hancur.
Tariq melihat peluang keemasan ini. Keyakinan dan ketamakan kembali menguasai diri.
Matanya meliar ke sekeliling lantai batu itu. Dia ternampak sekeping sisa papan konkrit melengkung, mungkin bekas pelindung tiang yang jatuh bersamanya tadi. Tariq meluru, mengutip papan itu. Ia berat, tetapi dengan lonjakan tenaga baharu yang diperolehinya dari tasik itu, Tariq mengangkatnya tanpa sebarang masalah.
Dia mencedok air tasik itu dengan kuantiti yang banyak, lalu meluru ke arah Gargoyle tersebut.
“Mati kau!” jerit Tariq, lalu menyimbah air itu tepat ke seluruh tubuh dan wajah makhluk berkenaan.
HISSSSSSS!
Bunyi mendesis yang sangat kuat bergema serentak dengan lolongan terakhir Gargoyle tersebut. Asap putih tebal berkepul-kepul naik ke udara. Tariq berundur beberapa langkah, menutup hidungnya dari bau hangit raksasa tersebut.
Makhluk gergasi yang menakutkan itu meronta untuk kali terakhir, sebelum seluruh tubuhnya perlahan-lahan mencair dan tersejat, hilang begitu sahaja. Tiada apa yang tersisa kecuali satu benda.
Sesuatu jatuh ke atas lantai. Bunyinya seperti kaca yang padat.
Tariq segera menghampiri. Seketul kristal bersaiz segenggam penumbuk lelaki dewasa, berwarna merah darah yang sangat pekat, bersinar-sinar dalam kegelapan.
Teras Raksasa dan Tariq yakin ini adalah teras gred tinggi.
Dia segera mengutip dan menyimpannya ke dalam cincin dimensi. Dia tersenyum lebar. Satu lagi barang yang boleh ditukar kepada wang, menambah hartanya.
Kini, setelah ancaman utama lenyap, Tariq mula memerhati keadaan sekelilingnya. Gelap. Sangat gelap. Hanya sedikit cahaya kelabu kehitaman yang lolos dari lohong kubah yang runtuh di atas sana.
Tariq mendongak. Lohong itu kelihatan sangat kecil, tanda bahawa jarak di atas sana dan di bawah sini sangat jauh. Mungkin lebih dari tiga ratus meter. Dia tidak tahu.
“Kejap. Tempat ni di bawah tanah atau aku ada di dasar bumbung binaan tadi?” soal Tariq kepada dirinya sendiri.
Apapun jawapannya, jalan untuk kembali ke atas sudah tertutup. Dia terperangkap.
Tariq memejamkan mata, memfokuskan mindanya ke dalam cincin dimensi. Dia mengeluarkan sebatang kayu yang disalut minyak tanah dan sebiji batu pemetik api—persediaan yang sama dia gunakan untuk mengalih perhatian Pengawal Empayar keluar dari pos di Lembah Sisa sebelum ini.
Dia duduk mencangkung. Dalam satu percubaan, percikan api terhasil. Hujung kayu itu menyala, menghasilkan nyalaan obor yang menerangi kawasan sekeliling.
Tariq menarik nafas lega apabila melihat pedang pendeknya tercacak pada celah lantai batu tidak jauh darinya. Dia segera mengutip pedang itu.
Cahaya obor kini mendedahkan rupa sebenar tempat dia terdampar. Ia bukanlah sebuah gua bawah tanah biasa. Ia adalah sebuah tempat yang dibina dengan seni bina yang sangat terperinci. Jika Tariq pernah melihat dunia luar dan tahu mengenai seni bina, dia pasti akan menyedari bahawa ini adalah salah satu dari seni bina purba.
Dindingnya diukir dengan simbol-simbol yang langsung tidak difahami oleh Tariq. Apa yang disangkanya sebagai tasik sebentar tadi tidak ubah seperti sebuah kolam besar berbentuk bulatan. Di sekeliling kolam itu, hanya ada dinding batu yang sejuk, keras, dan kosong.
Mustahil untuk dia memanjat naik dinding konkrit yang lurus dan licin yang mengelilingi tasik ini tanpa peralatan memanjat yang canggih. Tali bercangkuk yang diberikan oleh Zumar juga tidak mampu dibalingnya sejauh itu.
Tariq mengecilkan matanya, merenung ke hadapan. Hanya ada satu-satunya jalan keluar dari kawasan kolam tersebut. Sebuah lorong batu yang luas dan panjang, terbentang lurus ke hadapan.
Dengan penuh berhati-hati, Tariq melangkah masuk ke dalam lorong itu, mengangkat obornya tinggi.
Sebaik sahaja cahaya api menyapu kegelapan, langkah Tariq terhenti. Di sepanjang lorong itu, terdapat deretan dua belas buah patung batu gergasi. Patung-patung itu disusun rapi, enam buah di sebelah kiri dan enam buah lagi di sebelah kanan lorong. Kesemuanya diukir dengan bentuk yang berbeza.
Tariq berjalan perlahan menghampiri deretan patung tersebut.
“Ini… patung zodiak?” gumam Tariq. Dia pernah melihat ukiran sebegini pada kepingan tembaga lama yang dikoreknya dari timbunan sampah, kononnya simbol-simbol yang digunakan pada kalendar peninggalan orang-orang dahulu kala.
Tariq terus meneliti setiap patung. Semuanya berada dalam keadaan utuh, kecuali ukiran pada tapak patung tersebut yang kelihatan berdebu. Namun, ada sesuatu yang sangat janggal tentang kedudukan dan susunan patung-patung ini.
“Nantilah aku fikir. Aku nak kena cari jalan keluar dulu.”
Tariq mematikan niat untuk memikirkannya dan terus melangkah maju. Di penghujung lorong tersebut, laluannya terhalang oleh satu struktur besar.
Sebuah pintu batu gergasi.
Pintu itu dihiasi ukiran bintang-bintang dan sebuah matahari yang mempunyai mata di tengahnya.
Tariq meletakkan obornya pada tempat letak obor di tepi dinding. Dia menolak pintu itu dengan kedua-dua belah tangannya. Tenaga baharunya disalurkan sepenuhnya. Urat di lengan dan lehernya menegang.
Namun, pintu batu setinggi sepuluh meter itu langsung tidak berganjak walaupun seinci. Ia terkunci rapat, seakan-akan menyatu dengan dinding. Tariq mencuba untuk menarik celah pintu, tetapi ruangnya terlalu rapat, mustahil untuk memuatkan bilah pedangnya sekalipun.
Dia berundur setapak, melepaskan keluhan resah. Jika dia tidak boleh membuka pintu ini, dia akan mati kelaparan dan kehausan di dalam makam purba ini.
Sedang dia meneliti ukiran pada permukaan pintu batu itu, pantulan cahaya obor menangkap satu bait ukiran teks purba di bahagian tengah pintu. Ukirannya nipis dan sukar dibaca. Tariq meraba tulisan itu. Anehnya, sebaik sahaja jarinya menyentuh ukiran tersebut, teks yang asalnya tulisan kuno itu seakan-akan berputar dan berubah bentuk menjadi bahasa yang difahaminya.
Tariq membaca barisan teka-teki itu dengan suara yang perlahan, cuba mentafsir maksudnya.
“Paksi takdir terikat pada tiga penjuru masa, Namun dua belas pengawal kini lena merenung air pusaka. Bawa yang patuh menghadap ke arah sang cahaya, Pusingkan yang angkuh agar saling bertentang mata, Dan biarkan yang berdosa terus meratap kolam yang buta. Bila tiga kiblat ini terbentuk, barulah jalan disengaja terbuka.”
“Dua belas pengawal… merenung air pusaka?” bisik Tariq perlahan.
Matanya tiba-tiba membulat. Dia pantas menoleh ke belakang, merenung lorong yang menempatkan deretan patung zodiak tersebut.
Satu helaan nafas panjang dilepaskan. Misi mencari bahan untuk penawar Laila kini telah berubah menjadi ujian minda yang bakal menentukan hidup dan matinya.