Kabus toksik berwarna kelabu kehitaman berpusar liar, seolah-olah memberi laluan kepada susuk tubuh yang sedang melangkah pantas meredah kegelapan.
Tok Kadir tidak lagi terhencut-hencut. Postur tubuhnya tegak, dadanya bidang, dan langkahnya panjang. Setiap kali butnya memijak akar besi yang berselirat di atas tanah, langsung tiada bunyi rekahan logam kedengaran. Tubuhnya seakan-akan tidak mempunyai berat, meluncur laju menyusup di celah-celah pokok gergasi berkarat.
Namun, di sebalik kehebatan fizikalnya yang kembali ke zaman puncak, wajah lelaki tua itu berkerut seribu.
Matanya yang kini setajam helang meliar ke segenap arah. Tiada jejak. Tiada bau. Tiada tanda-tanda Tariq pernah melalui kawasan ini. Hutan Besi Purba ini terlalu luas dan bentuk muka buminya sentiasa berubah akibat runtuhan.
“Mana kau, Tariq…” gumam Tok Kadir, nada suaranya sarat dengan kebimbangan.
Dia mendengus kasar. Jika ini adalah zaman mudanya, zaman di mana dia berdiri sebagai salah seorang pahlawan terkuat di benua ini, pencarian sebegini tidak akan mengambil masa lebih dari seminit. Dia hanya perlu menutup mata dan melepaskan Deria Aura—satu bentuk deria yang memancarkan gelombang yang mampu mengimbas setiap denyutan nyawa dalam radius puluhan batu.
Namun, zaman itu sudah lama mati.
Kecederaan parah yang menimpanya dahulu telah memusnahkan tubuhnya. Pil Kebangkitan ciptaan Zumar memang ajaib; ia memulihkan otot, menyambung tulang, dan mengembalikan keremajaan sel. Tetapi, ia tidak mampu membaiki Teras Wira yang sudah hancur.
Kini, dia terpaksa bergantung pada deria panca indera semata-mata. Apa yang lebih merungsingkan, dia tidak boleh menggunakan kuasanya sesuka hati. Setiap tenaga dan kuasa yang dilepaskan akan memendekkan tempoh keberkesanan pil tersebut. Jika dia menggunakan kuasa secara melulu, tubuhnya akan kembali tua dan hancur sebelum dia sempat menemui cucunya.
Tok Kadir berhenti melangkah apabila dia tiba di sebuah dataran luas yang dipenuhi sisa runtuhan menara.
Dia merenung sisa konkrit dan besi yang berpintal di sekelilingnya. Fikirannya melayang jauh menelusuri lipatan sejarah yang sudah dilupakan dunia. Tempat ini… dulunya bukanlah sebuah hutan. Ia adalah sebuah bandar gergasi yang megah. Bandar yang sangat maju.
Ribuan tahun yang lalu, di sinilah berlakunya pertempuran epik antara salah seorang daripada Dua Belas Panglima Purba bangsa Earther menentang Panglima Agung bangsa Skyer. Panglima Skyer itu bukanlah pahlawan yang bertarung secara berdepan; dia adalah pakar helah dan racun. Letusan kuasa dan penggunaan racun terlarang dari pertempuran mereka telah mencemarkan seluruh geografi kawasan ini.
Walaupun ribuan tahun telah berlalu, udara di sini kekal bertoksik. Sisa racun purba itu bersebati dengan debu Aethel, mencipta sebuah ekosistem neraka yang melahirkan raksasa mutasi tanpa henti.
KRAAAK!
Lamunan Tok Kadir tersentak. Bunyi dahan besi patah bergema dari arah atas.
Satu aura membunuh yang sangat kuat mengunci kedudukannya. Tok Kadir tidak mendongak, tetapi dia sudah tahu apa yang sedang memerhatikannya. Walaupun aura pahlawan yang dipancarkannya sengaja dilepaskan sedikit untuk menakutkan raksasa tahap rendah seperti Serigala Sisik Besi, namun di tempat yang tidak stabil sebegini, sentiasa ada pemangsa yang bodoh dan berani mencari nahas.
Dari celah kabus, tiga ekor Gargoyle Kristal Berdarah menjunam turun serentak dari tiga arah berbeza. Cakar batu mereka dipanjangkan, bersedia untuk merobek tubuh mangsa.
Tok Kadir hanya berdiri tegak. Wajahnya dingin, langsung tidak mempamerkan sebarang emosi ketakutan.
Membunuh setiap raksasa di dalam Hutan Besi Purba ini adalah satu perbuatan yang sia-sia. Mustahil untuk menghapuskan mereka sepenuhnya. Ekosistem ini tidak memerlukan haiwan untuk membiak; raksasa baharu boleh terbentuk secara semula jadi sebaik sahaja tenaga sisa toksik berkumpul dan memadat menjadi Teras Raksasa. Bilangan mereka sentiasa bertambah.
Tetapi, jika mereka menghalang jalannya mencari Tariq, itu adalah satu kesilapan yang menempah maut.
Gargoyle pertama meluru tepat ke wajah Tok Kadir.
Hanya pada detik cakar itu hampir mengoyakkan hidungnya, Tok Kadir mengiringkan badannya ke sisi dengan pergerakan yang terlampau pantas, menyebabkan serangan makhluk itu tersasar, menjamah angin.
Tanpa membuang walau sesaat, tangan kanan Tok Kadir digenggam membentuk penumbuk. Urat-urat di lengannya menegang padat.
BUK!
Satu tumbukan padu dilepaskan tepat ke arah dada Gargoyle yang sudah hilang kawalan itu.
Tiada letusan api. Tiada teknik yang gah. Hanya kekuatan fizikal yang melampaui batas akal manusia. Tumbukan itu tidak hanya mematahkan tulang, malah ia menembusi kulit keras berbatu raksasa itu seolah-olah ia hanyalah sekeping kertas basah.
Tangan Tok Kadir tenggelam terus ke dalam rongga dada raksasa tersebut. Dalam satu pergerakan yang sangat lancar dan bersahaja, jarinya mencengkam Teras Raksasa yang berdenyut di dalam sana, lalu menariknya keluar serentak dengan tarikan tangannya.
Gargoyle pertama itu mati sebelum ia sempat menyedari apa yang berlaku. Tubuhnya melayang tanpa nyawa, hancur menghentam dinding runtuhan.
Gargoyle kedua dan ketiga yang melihat kejadian itu mula panik. Mereka cuba mengepakkan sayap untuk membatalkan serangan dan melarikan diri ke udara.
“Terlambat,” bisik Tok Kadir.
Kedua-dua kakinya menekan tanah. Tubuh Tok Kadir hilang dari pandangan, meninggalkan kesan retakan yang besar pada lantai konkrit akibat daya tolakan kakinya.
Dia muncul tepat di atas Gargoyle kedua di pertengahan udara. Satu libasan tumit dari atas ke bawah singgah tepat di atas kepala makhluk itu.
Tengkorak batu raksasa itu berkecai. Sambil tubuh makhluk itu menjunam jatuh, tangan kiri Tok Kadir merobek dadanya, mengaut keluar satu lagi Teras Raksasa.
Tanpa sempat memijak tanah, Tok Kadir memusingkan badannya di udara, menggunakan bangkai Gargoyle kedua sebagai landasan pijakan, dia melayangkan tubuh ke arah Gargoyle ketiga.
Satu tumbukan padu terus singgah tepat ke dada. Satu lagi nyawa melayang. Satu lagi teras dirampas.
Tok Kadir mendarat di atas tanah dengan senyap. Di kiri dan kanannya, bangkai kedua-dua raksasa itu jatuh keras menghentam tanah. Di dalam genggamannya kini, terdapat tiga ketul Teras Raksasa gred tinggi yang bersinar.
“Alang-alang dah bunuh, rezeki jangan ditolak,” gumam Tok Kadir.
Dia membersihkan darah hitam pada teras tersebut menggunakan hujung jubahnya lalu memasukkannya ke dalam saku. “Boleh aku kumpul dan suruh Tariq jual nanti. Setidak-tidaknya, budak itu tak perlu lagi mengais sampah.”
Lelaki tua itu menarik nafas panjang, cuba menstabilkan degupan jantungnya. Walaupun dia menang mudah, dia dapat merasakan tenaga pil di dalam badannya berkurang sedikit.
Dia memandang telapak tangannya yang kosong. Satu keluhan kecil dilepaskan.
“Kenapa aku tak minta sebilah pedang dari Zumar tadi? Lambat betul nak bunuh raksasa dengan tangan kosong,” rungutnya perlahan.
Namun, sebaik sahaja kata-kata itu terpacul, dia segera menggelengkan kepala. Fikirannya kembali rasional. Tidak. Meminjam pedang adalah idea yang sangat buruk. Jika jari-jemarinya menggenggam hulu sebilah pedang, memori dan naluri perangnya yang telah tertidur sekian lama pasti akan bangkit secara automatik.
Dia takut dia akan terlalu terbawa-bawa. Dia takut dia akan melepaskan teknik pedang rahsianya tanpa sedar.
Jika itu berlaku, letusan aura yang terhasil tidak akan dapat disembunyikan lagi. Radar magik dan pakar pengesan di angkatan tentera Empayar Valerius pasti akan dapat mengesan gelombang tenaga tersebut. Jika anjing-anjing Empayar tahu bahawa Panglima Perang Kadir masih hidup dan berada di Lembah Sisa, seluruh kawasan buangan ini akan diratakan esok hari. Itu adalah risiko yang tidak sanggup diambilnya.
Tariq dan Laila adalah nyawanya kini.
Tok Kadir mengangkat wajah. Kabus toksik di udara semakin tebal. Kebimbangannya semakin memuncak.
Dia sudah melalui tempat di mana Kulat Darah Miasma didakwa tumbuh mengikut peta Zumar beberapa kali. Tiada kelibat atau jejak Tariq. Jika cucunya tiada di sini, hanya ada satu tempat lagi.
Menara Jam Lama di sektor tengah. Tempat bersarangnya Teras Akar Besi Purba. Itu juga adalah tempat pemangsa paling berbahaya berkumpul.
“Tolonglah ada di sana,” bisiknya tegas.
Mata helang Tok Kadir bersinar garang di dalam kegelapan. Dengan kelajuan yang jauh lebih pantas daripada sebelumnya, tubuhnya kembali meluncur membelah kabus beracun, meninggalkan pusaran angin maut di belakangnya.