Switch Mode

Aku Benci Novel Cinta – Bab 3

Tengku Zara

Arahan Encik Jalil sebentar tadi disambut dengan kelam-kabut. Di bahagian hadapan, Ain dan Nasuha lintang-pukang menegakkan semula rak studio yang tumbang. Mat dan Arif yang masih berkerut menahan sakit terpaksa mengerah kudrat, menyapu sisa kaca dan mengutip fail yang bertaburan di atas karpet.

Encik Jalil pula awal-awal lagi sudah mencicit masuk ke dalam bilik pejabatnya. Alasan lelaki itu mudah; mahu membetulkan penampilan diri agar tidak kelihatan seperti pesalah di hadapan bos baharu.

Di saat yang lain mandi peluh, Ziyad kekal bersandar selesa di kerusinya. Pandangannya santai dibuang ke luar cermin tingkap.

“Bang,” tegur Arif dengan nada separuh berbisik. Mata budak lelaki itu membulat, menahan rasa kagum. “Macam mana abang boleh pandai berlawan tadi? Fuh, padu gila.”

Ziyad menoleh sekilas. Hujung bibirnya ditarik membentuk satu senyuman nipis. “Mana ada pandai. Aku main pukul saja tadi. Nasib baik kena.”

Mat mencebik tanda tidak percaya. “Eleh, takkanlah main pukul saja boleh terus tumbang dua ekor lintah darat tu?”

Belum sempat Ziyad membuka mulut, Ain dan Nasuha yang pantang melihat orang berborak sudah terpacak di tepi meja.

“Tipulah kalau kau kata tak pernah belajar seni mempertahankan diri,” sampuk Ain. Matanya mengecil membuang pandang curiga. “Kau pernah masuk komando ke sebelum ni? Ke kau ni bekas gangster?”

Satu keluhan nipis terlepas dari bibir Ziyad. Jari-jemarinya naik meraup helaian rambut yang jatuh mengurai di dahi.

“Terpulanglah kau orang nak fikir apa,” balas Ziyad ringkas. Suaranya mendatar, terus membina tembok misteri yang mematikan api perbualan mereka.

“Eleh. Baru hebat sikit dah sombong,” cebik Ain sambil menjeling tajam.

“Betul tu. Tapi apa-apa pun, terima kasih, Ziyad. Tak tahulah apa jadi dekat kita orang kalau kau tak ada tadi,” celah Nasuha dengan nada yang lebih jujur.

Sebaik sahaja rakan-rakan sekerjanya kembali menyambung tugas, Ziyad kembali membuang pandang ke dada langit Kuala Lumpur. Awan hitam berarak rakus, menelan segala sisa cahaya mentari petang. Guruh berdentum perlahan, saling bersahutan di ufuk yang mula menggelap.

Melihatkan perubahan cuaca yang drastik itu, Ziyad hampir tergelak. Hatinya digeletek rasa lucu yang bukan kepalang.

Kebetulannya terlalu sempurna. Watak bos besar mahu turun padang, dan alam seakan-akan berpakat untuk menurunkan hujan. Logik realiti di sekelilingnya ketika ini dirasakan sedang diatur sepenuhnya oleh tangan amatur penulis skrip drama televisyen.

Bibir Ziyad mengukir senyuman sinis tatkala otaknya mencongak realiti baharu. Syarikat ini sudah rasmi dijual. Ini bermakna, Encik Jalil besar kemungkinan sudah kehilangan segala kuasa veto.

Kalau orang tua tu dah tak ada kuasa, maksudnya aku dah bebas.

Dada Ziyad terasa lapang. Dia boleh meletakkan jawatan serta-merta tanpa dihantui rasa bersalah. Malah, jauh lebih bagus jika khabar angin tentang pemecatan besar-besaran Nadi Group yang tidak berhati perut itu terpakai ke atas dirinya hari ini juga.

Dia mahu dipecat. Dia mahu kembali fokus kepada tujuan asal hidupnya yang sekian lama terbantut. Urat pada buku limanya timbul saat tangannya digenggam kuat, menyambut semula cita-cita yang tertangguh.

Namun, angan-angannya lebur tatkala kelibat Arif muncul dari tangga tingkat bawah. Budak itu berlari dengan nafas yang putus-putus.

“Bos! CEO Nadi Group dah sampai!” jerit Arif, suaranya pecah menahan cemas.

Ruang pejabat yang baru sahaja bertenang kembali dilanda ribut panik tahap kritikal. Daun pintu bilik Encik Jalil terkuak luas. Lelaki itu meluru keluar, wajahnya pucat lesi bagaikan baru melihat hantu.

“Semua! Berdiri dekat tempat masing-masing!” arah Encik Jalil lantang. Matanya meliar mencari susuk tubuh yang tiada di situ. “Maya! Mana kopi?!”

“Kejap bos! Dah nak siap!” laung Maya dari pantri.

Suasana bising di dalam pejabat itu mati serta-merta, diganti dengan keheningan yang amat mencengkam urat saraf. Hembusan daripada corong pendingin udara mendadak terasa jauh lebih dingin. Udara seakan-akan membeku.

Dari ruang tangga, bunyi derapan kasut tumit tinggi mendaki lantai konkrit kedengaran menujah kesunyian. Rentaknya sekata dan tajam, bergema memecah sepi bagaikan detik jam maut yang memalu dada setiap pekerja di situ.

Kesemua penghuni pejabat mematungkan diri. Pandangan mereka terkunci rapat pada daun pintu utama.

Seorang wanita melangkah masuk ke ruang pejabat dengan aura dominan yang merajai segenap ruang. Dia mengenakan sut hitam berpotongan tajam yang terletak sempurna pada tubuh. Rambutnya diikat rapi, tiada sehelai pun dibiarkan terurai menderhaka.

Matanya memandang lurus ke hadapan; satu renungan kosong, namun cukup berbisa untuk menikam jiwa sesiapa sahaja yang berani bertentang mata.

Tengku Zara. Pewaris tunggal takhta Nadi Group.

Dua orang pengawal peribadi bersut gelap mengekori rapat dari belakang. Riak wajah lelaki-lelaki bertubuh sasa itu tegang, bersedia menjadi perisai sekiranya timbul sebarang ancaman.

Dari sudut mejanya, sepasang mata redup Ziyad tidak lepas memerhati kelibat wanita tersebut.

Cantik. Akal lelakinya dengan jujur mengakui pesona memukau yang dibawa oleh bos baharu itu. Ketegasannya memancarkan satu daya tarikan autoriti yang sukar ditolak.

Namun, Ziyad pantas membunuh angan-angannya.

Jangan berangan. Dia bukan cita rasa aku, desis hati lelakinya. Ziyad mengangguk halus, meyakinkan diri sendiri. Betul. Bukan cita rasa aku.

Encik Jalil tergesa-gesa menapak ke hadapan dengan senyuman yang ditarik paksa. Tubuhnya menunduk hormat. “Selamat datang, Cik Zara. Mari, saya bawa Cik Zara pusing tengok sekeliling pejabat kami yang—”

Tengku Zara sekadar mengangkat sebelah tangan. Isyaratnya keras, terus mematikan bicara Encik Jalil.

“Tak perlu,” balas wanita itu mendatar. Suaranya perlahan, tetapi ketajamannya ibarat belati yang menggores ego.

Sepasang matanya meliar, menilai keseluruhan ruang usang dan sempit itu atas dan bawah. “Sekali pandang pun aku dah boleh nampak semua.”

Encik Jalil menelan liur kelat. Sisa auranya sebagai bekas pemilik syarikat lebur menjadi habuk di hujung kasut wanita itu.

“B-baik, Cik Zara.” Dia memusingkan tubuh ke arah pekerjanya. “Semua, sila berdiri di tempat masing-masing.”

Tengku Zara menyambung langkah. Kasut tumit tingginya melepasi kawasan studio mini, menghala tepat ke laluan tengah ruang kerja staf.

Nasib Ziyad tidak berapa baik. Kedudukan mejanya adalah yang paling hampir dengan selekoh pantri. Tepat pada detik itu, kelibat Maya meluru keluar. Gadis itu menatang sebuah dulang kecil yang memuatkan tiga cawan kopi hitam yang masih rancak melepaskan wap panas.

Sebaik sahaja Maya melangkah ke laluan utama, matanya terus bertembung dengan susuk tubuh Tengku Zara. CEO konglomerat gergasi itu berdiri betul-betul di laluannya.

Maya tergamam. Darahnya berderau.

Akibat panik yang menyerang mendadak, kakinya terhenti mengejut. Hujung kasut gadis itu tersadung pada permukaan permaidani. Dulang di tangannya mula hilang keseimbangan, condong ke hadapan dan sedia untuk menghamburkan cecair mendidih itu pada bila-bila masa.

“Alamak…” ujar Maya perlahan.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset