Switch Mode

Aku Benci Novel Cinta – Bab 4

Amaran

Ziyad yang duduk di meja bersebelahan sempat menangkap punca kejadian. Hujung kasut Maya tersangkut pada bucu permaidani yang sedikit terlipat. Gadis itu terus hilang imbangan. Tubuhnya terdorong laju ke hadapan, manakala dulang di tangannya mula condong.

Haba panas dari tiga cawan kopi yang mendidih itu mengancam untuk menyimbah tepat ke arah sut mewah Tengku Zara dan kulit Maya sendiri.

Fikiran Ziyad ligat mencongak arah jatuhan tersebut. Jika dia berdiam diri, sebuah drama klise murahan pasti akan tercetus di depan mata.

Bala betul, desis hatinya pantas.

Kerusinya ditolak kasar ke belakang. Tindak balas badannya jauh lebih laju daripada akal. Tangan kanan Ziyad menyambar lengan Maya, merentap tubuh gadis itu ke sisi bagi menyelamatkannya daripada lecuran. Serentak dengan itu, tangan kirinya menepis hujung dulang demi mengubah arah tumpahan cecair panas itu daripada merempuh pakaian Tengku Zara.

Tindakannya berjaya menyelamatkan kedua-dua wanita tersebut. Namun, dulang itu terlepas sepenuhnya daripada pegangan Maya. Ziyad cuba menyambar cawan yang berterbangan di udara, tetapi pergerakannya terlewat satu saat.

Tiga cawan seramik itu jatuh menghentam permukaan meja kerja Ziyad lalu pecah berderai. Cecair hitam berasap itu menyimbah, membasahi papan kekunci dan meresap laju ke dalam perut komputer ribanya.

Satu bunyi desiran renjatan elektrik kedengaran halus. Percikan api kecil melompat dari celah papan kekunci, diikuti dengan bau hangit komponen elektronik yang terbakar. Skrin monitor yang tadinya menyala kini berkelip lemah sebelum mati sepenuhnya.

Ziyad merenung skrin gelap itu. Satu keluhan panjang dan sarat dengan kepasrahan dilepaskan.

“Ah. Sudah. Macam mana aku nak buat kerja lepas ni?” gumamnya mendatar.

Tindakan drastiknya sebentar tadi memang berjaya menyelamatkan keadaan. Mujur, tiada sesiapa yang melecur, dan tidak ada walau setitik pun sisa kopi itu yang memercik pada sut mahal Tengku Zara. Namun, melihatkan satu-satunya alat mencari rezekinya sudah bertukar menjadi bangkai elektronik, dada Ziyad diasak rasa sesal yang bukan kepalang.

Kenapa aku nak jadi hero sangat tadi?

Suasana di dalam ruang pejabat itu bertukar sepi sejenak. Hanya bunyi rintik hujan yang menampar cermin tingkap dan dengungan pendingin udara yang memecah kesunyian.

Dua pengawal peribadi Zara yang baru sahaja melangkah setapak untuk bertindak sebentar tadi, kini kembali berdiri kaku dengan riak tegang. Maya pula tergamam. Gadis itu seakan-akan terlupa cara untuk menarik nafas, bebola matanya terbeliak memandang meja Ziyad yang sudah lencun dibanjiri air kopi.

Perlahan-lahan, Ziyad melepaskan cengkamannya pada lengan Maya. Tiada sebarang keluhan berat, jauh sekali leteran yang terpacul dari bibirnya.

Dengan riak wajah yang teramat tenang—seolah-olah yang musnah di hadapannya itu sekadar sekeping kadbod kosong, bukan nyawa kerjayanya—Ziyad menarik beberapa helai tisu dari kotak lalu mengelap tangannya dengan cermat.

Tengku Zara melangkah setapak ke hadapan. Sepasang matanya yang sedingin ais beralih, merenung tepat ke raut wajah Ziyad.

Kesunyian di dalam bilik itu makin mencengkam urat saraf. Tiada sesiapa yang berani bersuara atau bergerak. Udara di sekeliling mereka terasa padat dengan debaran.

“Kau elak kopi tu tumpah, tapi kau biarkan laptop tu rosak,” tegur Zara mendatar. Suaranya tajam, menuntut jawapan daripada tindakan yang dirasakan tidak masuk akal. “Macam mana kau nak buat kerja lepas ni?”

Ziyad menoleh sekilas. Anak matanya membalas renungan tajam wanita itu tanpa sekelumit pun rasa gentar.

“Saya rasa saya dah tak perlukannya lagi, Tengku Zara,” balas Ziyad tenang, seraya mencampak gumpalan tisu basah ke dalam bakul sampah di bawah meja. “Nadi Group dah ambil alih syarikat ni. Kalau ikutkan khabar angin, pekerja bawahan yang tak ada rekod cemerlang macam saya adalah nama pertama yang akan naik dalam senarai untuk dibuang kerja.”

Dahi Tengku Zara berkerut halus. “Buang kerja?”

Ziyad mengangguk sebelum tangannya menepuk perlahan sisi meja yang masih kering. “Jadi, saya cadang lepas ni nak balik kampung saja. Tolong buat kerja-kerja kampung. Guna cangkul. Guna sabit. Guna parang. Tak guna laptop.”

Kerutan di dahi Tengku Zara bertambah biarpun hanya satu milimeter. Riak itu cukup untuk membuktikan bahawa jawapan tersebut jauh menjangkaui tekaannya.

Selama ini, para pekerja yang bernaung di bawah Nadi Group hanya tahu menunduk takut, patuh pada arahan, atau merayu meminta simpati daripadanya. Lelaki di hadapan ini pula dengan selambanya menyerahkan nasib sendiri berbekalkan alasan pragmatik yang mematikan terus kata-kata.

“Nama kau?” soal Zara pendek, namun sarat dengan autoriti yang menekan.

“Ziyad.”

Di belakang Zara, Encik Jalil sudah memegang dada. Jantung lelaki separuh abad itu terasa seakan-akan mahu luruh mendengar kelancangan lidah pekerjanya menjawab soalan bos besar mereka dengan begitu selamba.

Zara merenung raut wajah Ziyad selama beberapa saat. Renungan yang terasa begitu panjang dan menguji jiwa. Kemudian, tanpa sebarang perubahan emosi pada riak wajahnya, dia memusingkan tubuh dan menyambung langkah.

“Uruskan perpindahan syarikat penerbitan ni ke tingkat lapan belas bangunan utama Nadi Group esok pagi,” arah Zara kepada pembantu dan pengawal peribadinya.

Langkahnya terhenti sejenak. Dia menoleh dari balik bahunya.

“Dan pastikan lelaki yang nak balik kampung ni lapor diri dekat sana sekali. Kalau tak, suruh dia bayar pampasan berhenti kerja dua puluh empat jam. Lima kali ganda.”

Tengku Zara meneruskan langkah, turun meninggalkan ruang pejabat yang masih terasa dingin itu.

Salah seorang pengawal peribadi bertubuh sasa yang mengekorinya berhenti sejenak di tepi tangga. Lelaki itu merenung tajam ke arah Ziyad sambil menuding jari telunjuknya.

“Tingkat lapan belas. Pukul lapan pagi. Jangan sampai aku kena turun pergi angkut kau dekat kampung,” amaran keras itu dilepaskan dengan suara garaunya, sebelum dia berpusing mengekori majikannya turun.

Suasana kembali sepi. Hanya bunyi hujan menderu yang kedengaran.

Perlahan-lahan, pandangan kesemua staf di ruang utama kini tertumpu tepat ke arah Ziyad. Lelaki itu masih berdiri di tempatnya, terkebil-kebil. Ketenangannya mula goyah.

“Aku kena kerja lagi? Nak berhenti kena bayar lima kali ganda?”

Di sudut bilik, Encik Jalil menghembuskan nafas lega yang teramat panjang, sampaikan tubuhnya melorot jatuh bersandar pada sebuah sofa di sebelah mesin pencetak.

Maya pula masih berdiri kaku di tepi meja. Pandangan gadis itu silih berganti antara wajah Ziyad dan sisa kopi hitam yang menitik satu per satu membasahi lantai.

“Abang Ziyad…” tegur Maya teragak-agak, memecah kesunyian yang menekan dada itu. “Habis tu… kerja yang bos suruh siapkan petang ni macam mana? Laptop abang dah berasap tu.”

Ziyad menundukkan pandangannya. Matanya merenung bangkai komputer riba yang kini sedang rancak melepaskan baki bau komponen terbakar. Otaknya yang ligat mula memproses realiti baharu ini.

Niat asalnya bersikap berani sebentar tadi adalah kerana dia mahu dipecat. Dia sudah pasrah untuk mematikan kerjayanya di sini supaya boleh kembali menumpukan perhatian pada matlamat asalnya tanpa rasa bersalah.

Tetapi sekarang? Rancangannya memakan diri dengan teruk.

Dia bukan sahaja gagal dibuang kerja, malah tubuhnya secara rasmi akan diheret masuk ke dalam sangkar jerung di ibu pejabat konglomerat itu esok hari. Lebih malang lagi, dia baru sahaja merelakan satu-satunya alat mencari rezekinya musnah demi menyelamatkan baju orang lain.

Ziyad memicit pangkal hidungnya yang tiba-tiba berdenyut kuat. Kepalanya mulai pening.

“Bos,” panggil Ziyad mendatar tanpa menoleh ke belakang.

“Ya, Ziyad?” sahut Encik Jalil ceria. Wajah pucat lelaki itu kini berseri-seri, gembira tidak terkata seolah-olah baru sahaja memenangi cabutan bertuah kerana syarikatnya tidak ditutup.

“Boleh saya minta tuntutan laptop baharu guna bajet syarikat?”

“Eh, jangan nak mengada-ngada. Syarikat ni bukan aku punya dah. Kalau kau nak tuntut ganti rugi, kau pergi minta sendiri dekat Tengku Zara esok.”

Ziyad mengeluh lemah. Keluhan yang panjang dan sarat dengan penyesalan yang tidak bertepi.

Jari telunjuknya secara automatik menekan butang ‘hidup’ pada papan kekunci komputernya berulang kali, sungguhpun akal warasnya amat sedar benda itu sudah sah bertukar menjadi bangkai. Hujan di luar tingkap menderu makin lebat, seolah-olah sengaja bertepuk tangan mentertawakan kebodohannya.

Bodohnya kau, Ziyad, kutuknya di dalam hati sambil meraup wajah. Dah la tak jadi kena buang kerja. Esok pergi lapor diri tu, aku nak buat kerja pakai apa? Bawa cangkul?

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset