Gelanggang itu serta-merta sepi buat sesaat.
Detik berikutnya, ia meledak dengan sorakan rakus daripada ribuan Pewaris.
Arka menelan air liur yang kini terasa berpasir. Tanpa perlu menoleh, dia dapat merasakan beribu-ribu pasang mata sedang mencerlung ke arahnya bak kawanan serigala yang kelaparan.
Dia bukan lagi sekadar peserta. Dia kini adalah sebuah piala bernyawa, tidak ubah seperti salah satu daripada Kiub Ganjaran bernilai tinggi yang diumumkan oleh Tiga Pemerhati sebentar tadi.
Dia menggenggam erat jari-jemarinya. Nafas ditarik dalam-dalam bagi mengusir debaran gila yang sedang memukul dada. Fikirannya pantas dipusatkan kembali kepada pesanan terakhir Jelal.
Lari. Jangan bertumbuk.
Tiba-tiba, paparan hologram gergasi di udara terpadam.
Suasana tegang di dalam arena terus dikejutkan oleh bunyi siren amaran yang membingitkan telinga. Lantai batu di bawah tapak kaki setiap Pewaris mendadak bergetar halus, sebelum memancarkan bulatan cahaya merah yang menyilaukan mata.
“Masa untuk penerangan sudah tamat!” Suara Goru bergema buat kali terakhir. Nadanya kini kedengaran kasar, buas, dan tanpa sekelumit belas kasihan. “Selamat berjuang… para Pewaris!”
ZOOOM!
Sistem teleportasi arena diaktifkan secara serentak.
Pandangan Arka berpusing laju, ditelan oleh pusaran cahaya yang membutakan mata. Tubuhnya terasa ringan, seakan-akan ditarik merentas ruang dan waktu dalam satu tarikan nafas yang panjang.
Sebaik sahaja dia membuka mata kembali, lantai konkrit arena yang keras telah pun bertukar wujud menjadi permukaan tanah berselut yang lembap. Hidungnya pantas disengat oleh bau klorofil basah bercampur tanah reput.
Dia kini berdiri di tengah-tengah sebuah hutan belantara yang amat malap. Kanopi pokok-pokok gergasi merintangi cahaya matahari, membiarkan suasana di situ diselubungi bayang-bayang panjang yang cukup menakutkan.
Jauh di hadapan, menembusi celah-celah dahan pepohon, Arka dapat melihat bayang runtuhan bangunan tinggi. Itu adalah bandar mati yang perlu ditujunya.
Berdasarkan peta yang ditunjukkan di arena tadi, dia tahu jarak dari titik permulaan ke garisan penamat adalah sangat jauh. Sebagai remaja yang sudah terbiasa menghafal peta jalanan tanpa bergantung pada sistem navigasi digital, dia dapat mengagak jarak tersebut—tidak kurang dari tiga puluh kilometer.
Mampu ke aku buat semua ni? desis hati Arka, berdebar.
Namun, belum sempat Arka menyusun langkah mahupun strategi, udara di sekelilingnya mendadak berdesir kasar.
Satu demi satu, sepuluh susuk tubuh asing muncul dari udara kosong. Arka tertanya-tanya sendiri, adakah memang sistem Cabaran Wangsa diprogramkan sebegini? Sengaja meletakkan beberapa Pewaris tepat di titik mula yang sama untuk mencetuskan pertumpahan darah seawal saat pertama?
Kesepuluh-puluh musuh itu pada mulanya kelihatan agak bingung. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja mata mereka tertumpu pada susuk tubuh remaja di tengah-tengah ruang tersebut, bibir masing-masing perlahan-lahan mengukir senyuman jahat.
“Pewaris Halilintar,” bisik salah seorang daripada mereka—seorang lelaki berbadan sasa dengan lengan yang dipenuhi parut kasar. Dia maju selangkah ke hadapan. “Kau orang jangan campur. Nyawa dia aku yang punya. Sistem Cabaran Wangsa memang sengaja nak bantu aku.”
Di satu sudut lain, seorang gadis daripada Wangsa Viteri pantas mengeluarkan dua bilah belati lutsinar dari sarung di pahanya. “Mimpilah. Siapa cepat, dia dapat. Kedudukan Sepuluh Teratas hari ini milik aku.”
Sepuluh orang musuh.
Kesemuanya mula mengepung Arka di dalam radius kurang daripada sepuluh meter. Masing-masing pantas membuka kekuda. Daripada riak wajah dan bahasa tubuh kumpulan pemangsa ini, mereka kelihatan terlampau yakin bahawa Arka hanyalah satu sasaran yang amat mudah.
Tinggi di udara, satu skrin hologram lutsinar tiba-tiba terpapar, merakam kiraan detik yang mutlak.
3…
2…
1…
BEEEEEEP!
Siren permulaan bergema nyaring, lantas memecah kesunyian dan menggegarkan seluruh isi hutan belantara tersebut.
Tanpa mempedulikan arah garisan penamat yang sepatutnya dituju, kesepuluh-puluh Pewaris itu meluru serentak ke arah Arka. Masing-masing melompat menerkam bersama senjata terhunus, bersedia untuk merobek tubuh mangsa mereka.
Minda Arka dihentam panik. Namun, di sebalik kekacauan gila yang sedang berlaku, satu pesanan tegas kembali bergema di dalam akalnya.
Jangan jadi orang bodoh yang serang membabi buta. Lari. Dan simpan peluru kau untuk detik penentu.
Arka menghela nafas pendek. Otot kakinya ditegangkan padat, manakala cas statik di dalam darahnya mula mendidih dengan buas.
Sebaik sahaja serangan pertama hampir merobek wajahnya, tubuh Arka terus bertindak balas secara refleks.
ZAPP!
Satu letusan kilat berwarna biru pekat memetir ganas tepat di atas permukaan tanah selut tersebut.
Dalam sekelip mata, Arka lenyap dari tempat dia berdiri.
Akibat kehilangan sasaran secara mengejut, kesepuluh-puluh Pewaris itu berakhir dengan merempuh sesama sendiri. Serangan masing-masing menghentam keras muka dan tubuh peserta lain. Masing-masing terpelanting lalu jatuh terduduk di atas tanah sambil mengerang kesakitan.
Mereka terpinga-pinga. Mata masing-masing meliar mencari ke mana hilangnya mangsa buruan sebentar tadi.
Namun, Arka sudah pun tiada di situ.
Jauh di hadapan, meredah celah-celah pepohon raksasa yang malap, kelihatan satu garisan cahaya biru statik sedang meluncur membelah hutan. Kelajuannya langsung tidak masuk akal.
Arka memecut gila. Buat pertama kalinya, dia merasai sendiri potensi mutlak yang mengalir di dalam darahnya. Deruan angin menampar wajah dengan amat kasar. Segala objek yang berada di sekelilingnya kini seakan-akan terperangkap di dalam gerak perlahan.
Pada awalnya, hanya ada rasa takut yang memacu lariannya. Tetapi semakin lama dia memecut, rentak emosinya mula berubah.
Rasa takut itu perlahan-lahan meruap, digantikan dengan satu kepanasan yang amat mendidih di dalam dada. Giginya diketap keras. Nafasnya menjadi kasar.
Satu amarah yang luar biasa tiba-tiba membuak-buak merajai fikirannya.
Kenapa mereka pandang rendah sangat pada aku?
Darahnya menggelegak. Mindanya seakan-akan memberontak apabila teringat kembali renungan sepuluh orang musuh tadi. Renungan yang menganggap dirinya tidak lebih daripada sekadar secebis sampah, sebuah piala percuma yang tiada harga diri.
Kilatan elektrik biru pada tubuh Arka mendadak menyala lebih terang. Percikannya mula merayap liar, menyambar pangkal-pangkal pokok di sepanjang laluannya sehingga meninggalkan kesan hangus. Dia sama sekali tidak sedar bahawa keangkuhan dan amarah tersebut bukanlah miliknya, sebaliknya ia adalah manifestasi keegoan mutlak darah Wangsa Halilintar yang sedang memanipulasi emosinya.
Sementara itu, tinggi di udara.
Di atas platform pemerhati yang terapung melepasi awan, beratus-ratus paparan hologram bersaiz skrin televisyen terbentang luas di udara. Para Penjaga dan penonton elit bebas memilih untuk melihat suapan kamera mana-mana Pewaris yang sedang bertanding di bawah.
Jelal berdiri tegak dengan kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam saku. Matanya dikunci tajam pada satu skrin tunggal yang memaparkan sebutir cahaya biru yang sedang merobek belantara.
Dia melihat percikan kilat Arka yang pada mulanya kemas, kini berubah menjadi liar dan ganas.
Jelal melepaskan satu keluhan yang cukup berat. Hujung topinya ditarik turun sedikit.
“Kuasa tu dah mula mempengaruhi emosi kau, Arka,” gumam Jelal perlahan, hanya pada dirinya sendiri. “Kawal kemarahan tu. Kalau kau biarkan darah tu menguasai akal… kau sendiri yang akan hancur sebelum sampai ke penamat.”
Kedudukan yang ke-1001 pada paparan arena tadi, yang belum dilihat oleh Arka, bukanlah kayu pengukur yang sebenar.
Perlumbaan baharu sahaja bermula. Dan mereka semua di dalam hutan itu, tanpa sedar, baru sahaja membangkitkan amarah sebenar Pewaris Wangsa Agung Halilintar.