Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 8

Ganjaran Istimewa

Senyuman Penguasa Bandar Metro Selatan mekar penuh provokasi.

Dari platform tertingginya, dia membuang pandang ke arah arena. Tumpuannya tajam ke bawah, memandang tepat ke arah Jelal.

Namun, Jelal langsung tidak peduli. Jauh sekali mahu mempamerkan reaksi amarah seperti yang diharapkan oleh Penguasa Bandar tersebut.

Jelal yang kini berupa seorang lelaki budiman itu sekadar mendongak perlahan. Tangannya naik menyentuh sedikit pinggir topi klasik di kepalanya, memperbetulkan kedudukan topi tersebut dengan riak yang terlampau tenang. Matanya merenung lurus, menembusi jarak ratusan meter lalu mengunci tepat ke dalam anak mata Penguasa Bandar.

“Hati-hati berteriak di puncak, Tuan Penguasa Bandar. Risau tiba-tiba sahaja Malaikat Maut datang mencabut nyawa.”

Suara Jelal langsung tidak bergema di dalam arena. Sebaliknya, kata-kata itu berdesir terus ke dalam tengkorak Penguasa tersebut melalui telepati. Nadanya cukup dingin, sarat dengan amaran yang mengancam nyawa.

Serta-merta, senyuman sinis Penguasa itu mengendur. Otot rahangnya bergetar halus. Walaupun dia sedaya upaya cuba mengekalkan postur angkuh di hadapan puluhan ribu penonton, ekor matanya gagal menyembunyikan kilatan gentar yang baru sahaja menampar jiwanya.

Suasana di platform pemerhati tiba-tiba berubah tegang. Tiga Pemerhati dan para penonton di barisan hadapan seakan-akan dapat menghidu ancaman yang sedang meruap di udara.

“Tuan Pengu—”

Belum sempat Goru menegur, tangan Penguasa Bandar pantas diangkat tinggi. Dia berdeham keras, cuba mengusir perasaan ngeri tersebut secepat mungkin.

“Pemisahan… dimulakan!” laungnya bagi memecah kesunyian tegang di dalam arena tersebut.

Sebaik sahaja arahan itu dilaungkan, lantai gelanggang tiba-tiba bergegar kuat. Cahaya merah mendadak menyala dari permukaan batu, memancar tepat di bawah tapak kaki setiap Penjaga Wangsa.

Arka tersentak lalu pantas menoleh ke arah Jelal. “Apa yang berlaku?!”

“Tenang, budak. Ini sebahagian daripada peraturan Cabaran Wangsa,” balas Jelal bersahaja tatkala tubuhnya mula bertukar menjadi serpihan cahaya ghaib, sedia untuk dipindahkan. “Aku tak boleh ikut kau ke medan Cabaran Wangsa.”

Mata Arka membulat. Jantungnya berdegup laju. “Habis tu, aku kena hadap semua ini sendiri? Kau nak tinggalkan aku dengan semua Pewaris gila ni?!”

“Ingat apa yang aku ajar tadi,” pesan Jelal buat kali terakhir. Serpihan cahaya pada tubuhnya mula meruap pantas ke udara. “Dan berdoalah banyak-banyak supaya cabaran kali ini adalah perlumbaan.”

ZAPP!

Jelal ghaib dari pandangan.

Malah, kesemua Penjaga Wangsa di sekeliling arena itu turut lesap serentak. Mereka dipindahkan secara paksa ke platform pemerhati yang sedang terapung tinggi di udara.

Kini, di atas gelanggang gladiator yang sangat luas itu, yang tinggal hanyalah para Pewaris. Seribu satu orang manusia terpilih. Masing-masing tegak berdiri sambil memegang tekad yang mampat untuk merampas kedudukan terbaik dalam Cabaran Wangsa kali ini.

Paparan hologram gergasi di tengah-tengah arena tiba-tiba menyala, namun ia sekadar memancarkan skrin putih yang kosong.

Suara Goru, salah seorang Pemerhati, bergema memecah kesunyian. Kali ini, nada suaranya dikawal rapi—jauh lebih profesional dan beradab demi menghormati puluhan ribu entiti berstatus tinggi yang sedang menyaksikan mereka dari teres penonton.

“Selamat datang, para penonton. Serta… selamat berjuang buat para Pewaris di Cabaran Wangsa.”

“Seperti yang termaktub di dalam hukum Cabaran Wangsa,” Vael mengambil alih, suaranya tenang beralun. “Bentuk cabaran pada hari ini tidak ditentukan oleh kami. Ia bakal diputuskan sepenuhnya oleh kehendak rawak sistem.”

Sebaik sahaja Vael menghabiskan ayatnya, skrin kosong di tengah arena itu berkelip.

Sebuah roda putaran digital bersaiz gergasi muncul. Ia memaparkan pelbagai jenis medan maut—Pertempuran Mutlak, Pengepungan Berdarah, Arena Penyingkiran, dan puluhan senarai lain yang cukup mengerikan.

Roda itu berputar pantas. Bunyi putarannya bergema nyaring merobek suasana.

Dada Arka berombak kencang. Dia menahan nafas, berdoa kuat agar putaran itu tidak berhenti pada mod pertempuran fizikal secara berhadapan. Dengan kapasiti tenaga dan pengalamannya yang amat terhad, dia pasti akan mati awal sekiranya dipaksa bertarung.

TING!

Putaran itu berhenti secara mengejut. Huruf-huruf emas mendadak terbentuk pada skrin, memaparkan keputusan mutlak.

PERLUMBAAN KELANGSUNGAN HIDUP.

Melihatkan paparan itu, Arka terus melepaskan satu keluhan yang amat panjang.

“Perlumbaan… Nasib baik,” gumamnya perlahan.

Beban seberat gunung yang menekan dadanya sejak tadi seakan-akan terangkat pergi. Persediaan dan latihan Jelal sangat tepat. Ini adalah pentas perlumbaan—satu-satunya medan di mana segala kelemahannya boleh disembunyikan, dan secebis kuasanya boleh bertukar menjadi senjata yang paling berbisa.

Namun, berbeza pula dengan reaksi Jelal di tempat pemerhati.

Mata di balik topi klasiknya mengecil curiga. Dia bimbang. Sistem Cabaran Wangsa pada ketika ini seolah-olah terlalu memihak kepada Arka. Sebagai seorang yang sudah masak dengan tipu daya dunia ini, nalurinya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena sedang menanti.

“Perhatian kepada para Pewaris!” laung Goru kembali. “Peta dan arahan Cabaran Wangsa akan ditunjukkan sekarang. Jadi, tolong beri perhatian sepenuhnya.”

Paparan hologram di tengah arena itu pantas berubah. Skrinnya kini membentuk sebuah peta tiga dimensi yang terperinci.

Peta tersebut bermula dengan satu kawasan hutan belantara yang amat tebal dan padat, sebelum ia bersambung terus ke sebuah runtuhan bandar mati yang dipenuhi bangkai konkrit. Tepat di tengah-tengah bandar itu, terletaknya sebuah dataran luas yang ditandakan sebagai garisan penamat.

“Kalian akan dilepaskan pada titik mula yang berbeza di dalam hutan ini, dan perlu tiba di dataran luas di tengah-tengah bandar ini,” terang Vael dengan tertib sambil menunjuk ke arah titik dataran. “Tetapi jangan bimbang. Keadilan sistem adalah mutlak. Jarak dari setiap titik permulaan ke garisan penamat adalah sama untuk semua orang.”

Zox pantas mengambil alih penerangan. Walaupun nadanya cuba dikawal supaya kedengaran profesional, keempat-empat matanya tetap mengecil teruja menahan fitrah buasnya.

“Bagi mata ganjaran, Pewaris pertama yang tiba di dataran akan menerima 2,000 mata! Bagi tempat kedua dan ke bawah, mata akan ditolak sebanyak 50 mengikut kedudukan, sehinggalah baki 50 mata minimum untuk mereka yang lain.”

Zox tersenyum ngeri, cuba menyembunyikan bunyi geseran kasar rahang besinya.

“Namun begitu, Cabaran Wangsa sangat bermurah hati pada hari ini. Di sepanjang laluan kelak, terdapat pelbagai Kiub Ganjaran yang telah disembunyikan. Ada kiub yang mengandungi mata rawak sehingga 1,000 mata sekaligus!”

Zox mendepakan tangannya ke arah barisan peserta.

“Malah, terdapat juga kiub yang menyembunyikan banyak kelebihan taktikal seperti pemulihan tenaga penuh, halimunan sementara, magis serangan, perisai kebal, dan macam-macam lagi yang bebas untuk kalian gunakan!”

Sorakan rakus mula kedengaran dari celah-celah barisan Pewaris. Keterujaan kian galak membakar darah mereka.

“Satu peringatan penting.” Penguasa Bandar tiba-tiba mencelah, merampas semula kawalan suara dari sistem tersebut. “Sama seperti sebelumnya, tiada kematian kekal di dalam Cabaran Wangsa ini. Sekiranya nyawa kalian diragut di dalam medan ujian, tubuh kalian sekadar akan diusir keluar dari sistem, lalu kalian disingkirkan secara rasmi dengan mata sifar. Kesakitannya memang nyata, tetapi nyawa sebenar kalian terpelihara.”

Penerangan itu membuatkan Arka sekali lagi melepaskan nafas lega. Setidak-tidaknya, sekiranya dia terpaksa melepaskan Peluru Halilintar kelak, dia tidak akan dihantui oleh dosa membunuh manusia lain.

“Namun begitu…” Suara Penguasa meleret penuh makna. Matanya merenung tajam ke bawah, ligat mencari satu susuk tubuh di tengah lautan para Pewaris tersebut. “…terdapat satu ganjaran istimewa pada hari ini.”

Paparan hologram tiba-tiba berkelip liar. Peta tadi hilang serta-merta, sebelum skrin itu membesarkan wajah Arka.

“Sesiapa sahaja dalam kalangan kalian yang berjaya menyingkirkan Pewaris Halilintar daripada perlumbaan ini… kalian akan dikurniakan mata tambahan. Cukup untuk membolehkan kalian terus melonjak masuk ke posisi Sepuluh Teratas secara keseluruhan!”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset