Switch Mode

Satria: Darah Terakhir – Bab 7

Formasi Lelap Mutlak

Batu lantai meledak hancur di bawah pijakan Kurnia. Tubuh Ketua Wangsa itu meluru deras ke arah gerbang utama Kediaman Besar Wangsa Rentaka. Kelewang dijulang tinggi, tekad membelah kubah tenaga di hadapannya. Walau apa cara sekalipun, dia mesti sampai kepada anak angkatnya, Indra.

Nyawa mereka yang lain sudah tidak penting buat dirinya.

Namun, keempat-empat Tetua Wangsa pantas memintas laluan. Sebagai Satria Bintang Tiga Tahap Puncak, mereka faham benar tahap kekuatan pemimpin mereka. Tersilap langkah, nyawa mereka melayang.

“Langkah Singa!” laung Tetua Satu.

Serentak, para Tetua lain memacu teknik pergerakan yang sama. Mereka menerkam pantas, membentuk bulatan lantas mengepung Kurnia.

“Lepaskan senjata, Ketua Wangsa!” jerkah Tetua Tiga. “Kami tidak mahu cederakan engkau!”

“Ke tepi!” ngaum Kurnia.

Tetua Satu menerpa laju. Mata tombak diradak lurus memburu lutut Kurnia. Dari kiri dan kanan, Tetua Dua dan Tiga mengapit rapat, melibas kelewang menyasar rusuk. Di belakang, Tetua Empat merendahkan kekuda, melepaskan pukulan tapak tangan lurus ke arah tulang belakang Kurnia.

Masing-masing memacu Silat Singa Badai, seni tempur warisan Wangsa Rentaka yang mementingkan kelincahan dan serangan maut.

Walau diasak serentak dari empat penjuru, Kurnia tidak berundur walau setapak. Bilah kelewangnya dihentak kasar ke bawah, menangkis mata tombak Tetua Satu. Daya tolakan itu memacu jasad Kurnia selangkah ke hadapan, membiarkan pukulan Tetua Empat tersasar menyerang angin di belakangnya.

“Pergerakan kau lambat, Empat,” dengus Kurnia.

Bahunya disondol keras merempuh dada Tetua Empat sebelum senjata lawan sempat singgah. Pada detik yang sama, kelewang di tangan diputar melintang ke belakang punggung, menahan tepat libasan Tetua Tiga.

Keluli berlaga meletuskan percikan api.

“Kau tiada peluang, Kurnia!” jerit Tetua Satu, pantas membetulkan kekuda. Tombaknya kembali diradak bertalu-talu. “Kami akan kalahkan engkau!”

“Tiga puluh tahun lepas pun kalian gagal!” tempelak Kurnia. “Apa lagi sekarang!”

Satu hentakan tumit singgah deras, nyaris mematahkan batang tombak Tetua Satu. Jurang kemahiran pencak silat antara mereka terlalu jauh. Berbekalkan kekuatan fizikal semata-mata, Kurnia menolak kasar ketiga-tiga bilah senjata lawan hingga terpelanting menghentam lantai batu.

Kurnia memutar tubuh. Sasarannya kini dinding kubah tenaga.

BOOM!

Dentuman menggegarkan ruang. Ketakutan yang menghantui para Tetua Wangsa akhirnya menjadi nyata.

Retak.

Satu rekahan halus menjalar pada dinding kubah tenaga tersebut.

“Mustahil,” gumam Tetua Empat, peluh sejuk merenik deras di dahinya. Dia melompat berundur merapati Tetua Lima, Kirana. “Kubah tenaga kau dah retak. Kau ada rancangan lain?”

“Bertahan! Aku sedang siapkan Formasi Lelap Mutlak!” balas Kirana tergesa-gesa. Tangannya lincah melakar Aksara untuk melawan debar.

Mendengar nama formasi itu, riak wajah Tetua Empat berubah lega. Senyuman nipis terukir di bibir. Tanpa membuang masa, dia memacu Langkah Singa, meluru kembali ke barisan hadapan demi mengekang amukan Kurnia.

“Kawal Ketua Wangsa!” desis Kirana keras, urat lehernya menegang menahan beban formasi. “Jangan pandang rendah pada dia. Tersilap langkah, kita semua jadi mayat!”

Sepasang mata Kurnia mencerlung liar, rakus mengunci pergerakan barisan Tetua di sekelilingnya. Dia sedar kubah tenaga itu sedang merenggut Prana dari tubuhnya secara senyap. Namun, amarah di dada sudah marak tidak terkawal.

Dia tidak peduli lagi soal tenaga yang lesap. Fokusnya cuma satu—meruntuhkan kubah tenaga ini lantas memancung ahli Wangsa Baskara.

“Kalian fikir kubah tenaga ini mampu mengekang aku?!” tengking Kurnia. Urat lehernya menegang keras. “Kalian terlalu mentah!”

Kelewang ditarik rapat ke sisi. Baki Prananya disedut rakus dan dialirkan sepenuhnya membalut bilah keluli itu. Mampatan tenaga tersebut menggegarkan udara di dalam kubah tenaga.

“Dia tumpukan serangan pada rekahan!” jerit Tetua Satu cemas. “Halang dia!”

Tiga orang Tetua meluru ke hadapan. Mereka merempuh serentak, menghayun senjata dari arah berbeza untuk memotong laluan Kurnia.

“Berambus!”

Kurnia langsung tidak memperlahankan langkah. Dia melepaskan satu libasan lintang yang kasar, mematahkan ketiga-tiga serangan itu sekali gus lantas memaksa barisan Tetua terundur.

Kurnia menerkam laju. Hujung kelewang dipacu deras, menikam lurus tepat menembusi rekahan halus pada dinding kubah tenaga.

Dentuman padu meletus memekakkan telinga.

Gelombang tenaga memantul kuat dari kubah tenaga lantas merempuh dan menghentam susuk tubuh para Tetua Wangsa.

“Arghh!” Kelima-lima mereka terpelanting sebelum terhempas ke belakang. Tetua Tiga dan Empat cuba menahan lutut, namun terbatuk memuntahkan darah pekat. Kulit tapak tangan Kirana pula merekah pecah bergeser dengan lantai batu.

Kubah tenaga itu tidak berderai sepenuhnya. Namun, rekahan kasar laksana sarang labah-labah kini rakus menjalar memenuhi permukaannya.

Kurnia menggenggam semula kelewang untuk serangan penamat. Dadanya berombak kencang memburu nafas. Otot tubuhnya menggeletar menahan azab akibat Prana yang disedut secara paksa.

“Sekarang, Kirana!” pekik Tetua Dua. Dia menyalurkan sisa Prana terakhir lurus ke belakang tubuh wanita itu. “Kita takkan mampu bertahan lagi!”

Tangan Kirana yang berlumuran darah dihempas sekuat hati ke atas lantai batu.

Serta-merta, kubah tenaga itu berkecai dari dalam. Serpihan tenaga tersebut bertukar menjadi kabus perak yang tebal lantas menimpa jasad Kurnia. Kabus aneh itu disedut masuk ke dalam paru-parunya. Ia meresap pantas, menyumbat setiap Gerbang Prana Kurnia yang sedang terbuka luas.

Formasi Lelap Mutlak mula mencengkam.

Tubuh Kurnia kaku di pertengahan ayunan. Tenaga ganas yang membalut kelewangnya ghaib dalam sekelip mata. Giginya diketap rapat. “Tidak…” Dia memerah sisa kudrat, cuba memaksa pedang berat itu mara walau seinci.

“Indra…” Suara serak Kurnia tersekat di kerongkong.

Kelopak matanya memberat. Kabus perak itu menekan degupan jantungnya secara paksa. Enggan rebah, Kurnia memacak pangkal kelewangnya menembusi rekahan lantai batu. Seluruh berat badannya ditahan pada hulu pedang tersebut.

Kepalanya digagahkan tegak. Matanya menikam tajam menembusi kabus, merenung lurus ke arah barisan Tetua Wangsa.

“Aku… akan bunuh… kalian semua…” lafaz Kurnia perlahan, padat dengan ancaman.

Namun, kudratnya putus. Genggamannya terlepas. Kelewang berat itu jatuh ke lantai. Tubuh Kurnia melutut, dagunya terkulai mencecah dada, sebelum dia tersembam kaku menyembah bumi.

Halaman yang hancur itu terus bertukar sunyi sepi.

Kirana rebah telentang akibat kehabisan tenaga. Keempat-empat Tetua turut terbaring lemah di sisinya, termengah-mengah memburu nafas.

Mata mereka tertumpu pada susuk Ketua Wangsa yang kini tidak sedarkan diri. Peluh sejuk membasahi kulit. Detik itu barulah mereka sedar—maut baru sahaja menjengah sejengkal dari leher mereka.

“Kita akan mati,” bisik Tetua Empat dalam ketakutan. “Bila dia sedar nanti… kita semua pasti mati.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset