Kurnia Rentaka meredah ganas halaman utama Kediaman Besar Wangsa Rentaka. Tubuh tuanya dibalut zirah perang Gred Hijau, manakala sarung tempur hitam melilit kemas di pinggang. Rambut dan janggut putihnya membingkai sejenak wajah yang sedang dirasuk amarah. Kedua-dua belah tangannya menggenggam erat pangkal sebilah kelewang berat.
Keadaan halaman itu kucar-kacir, dipenuhi sisa runtuhan batu dan kayu. Sekalipun dengan mata kasar, tanpa perlu dibangkitkan Deria Satria, pancaran aura merah dapat dilihat meledak buas dari tubuh Kurnia.
Menahan amukan itu, puluhan Satria Bintang Dua membentuk tembok pertahanan, cuba memastikan tiada lagi kemusnahan dan kerosakan yang tidak disengajatakan. Senjata dihunus, perisai dipasak teguh demi menahan percikan gelombang serangan Ketua Wangsa mereka sendiri.
Di lapis belakang, barisan Satria Bintang Satu mengerahkan seluruh Prana, bermati-matian menyuap tenaga ke dalam panji-panji bersinar demi mengekalkan kubah tenaga yang mengurung Kurnia di tengah halaman.
Di dalam kurungan itu, Tetua Satu, Dua, Tiga, dan Empat mengunci kepungan. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di akal waras mereka selama ini untuk menghunus senjata ke arah sang ketua.
“Bertenang, Ketua Wangsa!” laung Tetua Satu. Tombak di tangannya bergetar hebat. “Kita tak akan berperang dengan Wangsa Baskara!”
Kurnia melibas kelewang. Bilah tebal itu menghentam dinding kubah. Lantai batu di bawah kakinya retak memanjang sebelum berderai hancur.
“Wangsa bangsat tu sentuh anak aku!” ngaum Kurnia.
Sebulan dia mengasingkan diri di bilik pertapaan. Sebaik sahaja melangkah keluar kurang sejam yang lalu, warkah renyuk berbau air mata kiriman Melur menyambut pandangannya. Surat itu terbiar berhari-hari. Inti surat itu bercerita akan keadaan Indra yang dikurung di dalam kurungan bawah tanah di Kediaman Besar Wangsa Baskara. Selama itu jugalah Indra merana diseksa dalam kegelapan dan itu benar-benar menyeksa jiwanya.
Berhampiran birai kubah, Tetua Lima, Kirana menyusup rapat. Tubuhnya yang disarung jubah kelabu bergerak cermat mengikut paksi bulatan. Jari-jemarinya laju menari, melakar aksara bercahaya pada beberapa objek sebelum diletakkan terus pada permukaan tanah. Dia sedang merencana satu Formasi Aksara untuk menundukkan ketuanya.
“Dia bukan darah daging kita, Kurnia!” jerkah Tetua Tiga. Urat lehernya menegang menahan gegaran kelewang yang hinggap pada perisai. “Kalau kau ke sana, kau akan cetuskan perang!”
“Perang yang kita tak akan menang!” pangkas Tetua Empat panik. Genggamannya menggigil. Ini kali pertama dia bertempur menentang Kurnia. Kini baru dia sedar kenapa lelaki itu diangkat sebagai Ketua Wangsa. “Kau nak kuburkan kita semua semata-mata demi budak cacat tu?”
Dahi Kirana berkerut tajam. Sekalipun Ketua Wangsa mereka sedang mengamuk, itu bukanlah tiket untuk mereka berbicara tanpa adab, tanpa hormat sebegitu.
“Bukan darah daging? Budak cacat?” Kurnia meledak tawa. Bahunya merempuh keras dinding tenaga itu. “Kalian masih ingat Tabib Dewa?”
Satu persoalan yang mematikan terus seranah para tetua.
“Kalian fikir siapa yang naikkan Darjat Jiwa kalian dan anak-anak wangsa kita selama ni?”
“Maksud kau… Tabib Dewa itu… Indra?” Tetua Empat terbeliak, akalnya buntu memproses maklumat.
Lidah yang lain turut kelu. Kebenaran itu menampar keras wajah mereka, lebih perit daripada luka sebatan. Tabib misteri yang dipuja bagai dewa, rupa-rupanya si cacat yang sering dipandang hina.
Namun, rasa bersalah itu cuma singgah sesaat.
“Kalau benar sekalipun, apa masalahnya?” laung Tetua Tiga, kembali menegangkan urat leher. Rasa canggungnya dibuang jauh-jauh.
“Memang patut dia balas budi kita!” sahut Tetua Empat biadab.
Tetua Satu mendepangkan tangan, sedar dia perlu campur tangan mengendurkan ketegangan. “Kurnia! Wangsa kita kini ada peluang meniti hierarki yang lebih tinggi. Darjat Jiwa kita dah meningkat. Beri cukup masa, kita akan duduk setara dengan Wangsa Mulia. Malah, tak mustahil kita mampu menyaingi Wangsa Agung!”
Dia merenung berani sepasang mata Kurnia yang tiba-tiba berhenti merempuh kubah, memandang mereka tajam. Namun, senua itu tidak menghalang Tetua Satu dari terus berbicara. “Tidakkah kau sedar, ini peluang yang kita damba selama ini?”
“Benar apa yang dikata Tetua Satu,” sokong Tetua Tiga, matanya mencerlung tajam. “Kita dah pegang masa depan. Kita takkan leburkan segalanya demi Indra!”
“Dah habis?” Suara Kurnia merendah, namun getarannya memberatkan udara. Hujung kelewang diturunkan lantas dibiar mencium lantai batu.
Tetua Dua mengerling sekilas ke arah Kirana. Nampak gayanta, rencana Pakar Aksara itu belum siap sepenuhnya. Mereka perlukan lebih masa. Dia perlu lakukan sesuatu.
“Ketua Wangsa…” Tetua Dua memecah tegang, sengaja melengahkan nafas. “Aku tahu aku tidak layak untuk masuk campur. Aku faham perasaan kau sebagai seorang bapa. Tapi… adakah semua ni berbaloi? Sanggupkah kau korbankan lebih banyak nyawa ahli keluarga sendiri demi Indra?”
Riak wajah Kurnia mengendur seketika. Serangan mental itu sedikit sebanyak menguji naluri kepimpinannya. Tanggungjawabnya adalah pada nyawa seluruh ahli wangsa.
“Benar! Nyawa kita jauh lebih bernilai dari si cacat tu!” celah Tetua Empat tanpa dipinta.
Bodoh! Tetua Dua merengus dalam hati. Renunganya untuk memujuk dan mencadangkan misi menyelamat secara senyap kini hancur lebur angkara Tetua Empat.
“Kau fikir begitu?” soal Kurnia mendatar. Matanya tajam menikam wajah Tetua Empat.
Tetua Satu kembali memacu tombak. “Maafkan aku, Kurnia. Aku sependapat dengan mereka. Aku pilih untuk lindungi masa depan Wangsa Rentaka.”
Aura Kurnia kembali meledak, diiringi tawanya yang bergegar kuat seakan-akan hilang kewarasan.
Di pihak tetua, mereka langsung tidak gentar. Pada congakan dangkal mereka, Kurnia bukan lagi raksasa tempur seperti di waktu mudanya. Mereka yakin Gerbang Prana Ketua Wangsa mereka itu masih rosak akibat pengkhianatan puluhan dekad lalu. Dengan gabungan lima Satria Bintang Tiga Tahap Puncak, mengalahkan Kurnia sepatutnya mampu dilakukan mereka. Namun, mereka lupa satu hal; kemampuan dan bantuan si Tabib Dewa. Andai Indra yang merawat mereka, tidakkah remaja itu akan terlebih dahulu merawat dan memulihkan bapa angkatnya?
Andai para tetua tahu tahap sebenar Darjat Jiwa Kurnia sekarang dan tubuhnya yang sedang menyembuh, nescaya tiada seorang pun yang berani mengangkat muka, apatah lagi senjata. Pasti mereka akan tunduk terketar-ketar menyembah Kurnia.
“Kalian ingin lindungi masa depan Wangsa Rentaka?” Ketenangan pada wajah Kurnia lenyap, diganti aura maut yang mendadak beku.
Serentak, Prana di sekeliling disedut rakus membanjiri nadinya, lantas meledakkan aura merah yang menyala garang. Urat dan ototnya membengkak tegang, mengeras ampuh seperti keluli. Belenggu yang sekian lama mengunci naga kuasa Satria Bintang Empat Separa itu kini hancur berkecai.
“Apa kata…” ujar Kurnia sambil hujung kelewang diacu tenang. “…kalian selamatkan nyawa kalian dulu.”