Switch Mode

Raja Bayang – Bab 8

Radiasi

Di dalam bilik penilaian yang luas itu, Noah mendapati sepasang lelaki dan wanita sedang duduk di sebalik sebuah meja panjang. Dua pemeriksa separuh umur tersebut menyarung jubah hitam bersulam benang emas. Perwatakan mereka memancarkan ketegasan yang dibalut keanggunan formal.

Peguam? duga Noah di dalam minda. Tiga ratus tahun lampau, profesion ini menuntut ketrampilan yang rapi dan meyakinkan. Kelihatan tradisi itu masih bertahan hingga ke hari ini.

Sambil Noah menilai penampilan mereka, sepasang mata kedua-dua pemeriksa itu turut meneliti susuk tubuhnya. Menyadari Noah kelihatan jauh lebih kemas dan sihat berbanding rata-rata calon lain, bibir mereka mengukir senyuman nipis. “Mari sini, anak.”

Noah melangkah ke hadapan.

“Saya akan tanya satu soalan mudah,” kata wanita itu sambil tersenyum mesra. “Kamu ada sebuah kuali yang hanya mampu memuatkan dua ekor ikan pada satu-satu masa. Masa untuk menggoreng sebelah bahagian ikan adalah satu minit. Kalau kamu perlu goreng tiga ekor ikan, berapa tempoh masa paling singkat yang diperlukan?”

“Tiga minit,” jawab Noah tanpa berfikir panjang.

Soalan itu tidaklah sesukar mana, tetapi kedua-dua pemeriksa tersebut jelas tergamam. Walaupun bagi kanak-kanak yang paling bijak, mereka lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya beberapa saat untuk memproses logik di sebalik teka-teki itu. Keupayaan Noah melontarkan jawapan yang tepat tanpa sekelumit pun jeda… benar-benar memahat impresi yang luar biasa.

“Kamu lulus. Minda kamu sangat tajam,” puji pemeriksa lelaki itu sambil tersenyum puas. “Ambil kertas ni dan pergi ke bilik pemeriksaan fizikal di sebelah. Kalau tubuh kamu sihat dan tak ada masalah, kamu secara rasminya bergelar pelajar Akademi Undang-undang.” Dia menghulurkan sekeping nota kecil yang tercatat tulisan ringkas.

Pemeriksaan fizikal? Dahi Noah berkerut. Dia mengambil nota tersebut, berpusing, dan terus melangkah keluar.

Sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke koridor, telinganya pantas dihentam dengan suara bising kanak-kanak yang baru keluar dari bilik ujian bersebelahan. Masing-masing sedang merengek tidak puas hati kepada ibu bapa mereka.

“Soalan tu susah gila!”

“Saya jawab empat minit, tapi pemeriksa tu kata salah! Macam mana boleh bukan empat minit?! Kalau dua-dua belah kena goreng, mestilah empat minit!”

“Soalan tu langsung tak masuk akal! Saya bukannya suka makan ikan! Apa kaitannya goreng ikan dengan undang-undang?!”

“Ayah saya tukang masak, dia boleh goreng tiga ekor ikan dalam masa satu minit je! Saya dah beritahu macam tu, tapi mereka tak nak percaya!”

Hujung bibir Noah terjungkit sinis. Mengabaikan rengekan yang membingitkan telinga itu, dia berjalan kembali ke arah Taha dan Jura dengan wajah selamba—berpura-pura tidak mendengar apa-apa.

“Macam mana?” soal Taha pantas. Senyumannya nampak gementar. Dia turut menangkap rungutan kanak-kanak di sekeliling mereka. Walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya soalan yang ditanya, dia cukup yakin ujian tersebut tidaklah semudah yang Jura jangkakan.

Noah mengerling ke arah bapa angkatnya. “Lulus. Cuma perlu buat pemeriksaan fizikal lepas ni.”

Taha tersenyum lebar. Walaupun terselit rasa kecewa kerana impiannya mahu menghantar Noah belajar menjahit kini berkubur, rasa bangga terhadap kepintaran anak angkatnya itu jauh lebih besar menggunung di dada.

“Pemeriksaan fizikal tu untuk periksa tahap radiasi dalam badan kamu,” jelas Jura penuh yakin, memanfaatkan pengetahuannya sebagai seorang doktor. “Kulit Noah kan cerah bersih, jadi tahap radiasi kamu mesti rendah. Ujian ni sekejap je.”

Minda Noah langsung memproses maklumat itu. Selepas bencana ledakan nuklear global beratus-ratus tahun dahulu, dunia terus dibelenggu radiasi ekstrem. Awan kelabu perak yang tebal menutupi langit sebenarnya adalah sisa zarah radioaktif di atmosfera. Itulah sebabnya musim tengkujuh di dunia ini amat berbisa, hujan toksik yang mengangkut wabak penyakit yang meragut nyawa, lebih-lebih lagi apabila teknologi perubatan mereka masih terlalu mundur.

Memandangkan Noah baru beberapa bulan keluar dari peti hibernasi kriogenik, tahap radiasi dalam badannya sepatutnya hampir tiada. Namun, satu persoalan bermain di fikirannya… Macam mana mereka ukur radiasi? Alat apa yang mereka guna? Tamadun ni belum masuk era industri, dan mereka tidak menjana elektrik.

Sedang Noah sibuk melayan fikiran, Jura pantas memimpin Noah ke sebuah bilik yang tertera tanda ‘Pemeriksaan Fizikal’. Suasana di luar bilik itu lengang tanpa sebarang barisan. Jelas, jumlah kanak-kanak yang melepasi ujian logik tadi amat menyedihkan.

Di dalam, seorang pemeriksa wanita pertengahan umur menyemak nota di tangan Noah sebelum mengangguk. “Baiklah, kita mulakan ujian.”

Noah melangkah merapati meja. Matanya tajam mengimbas perkakas di hadapannya. Tiada satu pun instrumen mekanikal atau elektronik yang canggih. Apa yang ada hanyalah deretan tiub kaca ringkas yang kelihatan seperti termometer biasa.

Wanita itu mencapai sebatang tiub kaca bersih dari atas dulang. Hujung tiub yang runcing dihalakan ke jari kelingking Noah. “Jangan takut, ya,” pujuknya lembut. “Tak sakit pun.”

Satu tusukan pantas dilakukan. Noah kekal tenang, namun mindanya sarat dengan tanda tanya. Bagaimana alat kaca seprimitif ini mampu menyukat tahap radiasi nuklear yang begitu kompleks?

Setitis darah ditarik masuk ke dalam rongga tiub kaca tersebut. Memerhati dari dekat, Noah menyedari kewujudan garisan skala berketepatan tinggi pada badan tiub itu, berserta sejalur garisan merah sehalus sutera di dalamnya.

Pemeriksa itu meneliti bacaan berulang kali, bimbang jika dia tersalah pandang. Sebaik sahaja pasti dengan keputusan itu, riak terkejut pantas terpahat pada wajahnya. Dia mendongak merenung Noah. Kulit budak lelaki itu terlalu bersih, malah jauh lebih mulus berbanding kanak-kanak perempuan yang sebaya dengannya.

Wanita itu memandang Taha dan Jura. Matanya terbeliak luas, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru dilihatnya. Apabila dia bersuara, nadanya jelas bergetar.

“Tahap radiasi dia… terlalu rendah.” Dia menggeleng perlahan. “Seumur hidup saya, ini kali pertama saya tengok bacaan macam ni dari rakyat biasa. Mustahil. Tubuh yang bersih dan sihat macam ni… selalunya cuma ada pada golongan elit di Zon Komersial!”

Jura, yang sememangnya seorang doktor, arif benar dengan bacaan radiometer itu. Rasa terkejut di wajahnya pantas mereda, diganti dengan satu hembusan nafas lega.

Dia menoleh ke arah suaminya yang masih bingung. “Itu radiometer,” bisiknya teruja. “Alat ukur tahap radiasi. Bacaan Noah… sangat rendah. Betul-betul setaraf dengan anak bangsawan atasan!”

Taha hanya faham secara kasar. Segala istilah perubatan itu langsung tidak melekat di kepalanya. Namun… sebaik sahaja telinganya menangkap frasa ‘setaraf dengan anak bangsawan’, ego lelakinya terus meroket naik.

Dadanya membusung bangga. Sambil tersenyum lebar, dia menepuk-nepuk lembut kepala Noah.

Di satu sudut, Noah langsung tidak mempedulikan mereka. Matanya tajam. Terpaku pada garisan merah di dalam tiub kaca tersebut.

Tiba-tiba… matanya mengecil.

Garisan merah yang sehalus rambut itu baru sahaja bergetar. Meliuk perlahan.

Ia bukan cecair pengukur. Jauh sekali tindak balas kimia.

Benda itu… hidup.

***

Sementara itu, di Zon Komersial, jauh di dalam perut sebuah rumah agam.

Bilik itu dibiarkan suram. Cahaya malap hanya memantul dari susunan mozek berlian di dinding. Di tengah-tengah ruang, satu susuk tubuh duduk bersandar dalam gelap di sebalik meja kerja bersaiz gergasi.

Sunyi.

Hanya bunyi kertas diselak yang memecah kesunyian. Jari-jemarinya bergerak perlahan, meneliti satu per satu helaian dokumen di hadapannya.

Tiba-tiba, pergerakannya terhenti. Senaskhah fail di atas meja ditutup rapat.

Suara garaunya bergema, menggumam sendirian.

“Tahun ni… cuma ada 27 calon yang layak.”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset