Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 3

Sumpahan

Hujan turun semakin lebat membasahi Bandar Metro Selatan. Bunyi nyaring siren kecemasan bergema dari segenap arah, menderu pantas mengelilingi zon bencana.

Arka masih terduduk kaku di dalam kawah tar yang berasap. Dia merenung tapak tangan kanannya.

“Orang lain tak boleh nampak benda ni,” gumam Arka kasar.

Matanya melekat pada arus kilat biru pekat yang terus meliuk-lentok buas di celah jemarinya. Bunyi desisannya tajam dan jelas, menembusi deruan hujan. Otaknya baru sahaja cuba menghadam rentetan realiti mustahil ini apabila satu susuk tubuh melangkah mendekati.

Bayang-bayang gelap susuk tubuh itu terus menelan wajah Arka. Seorang lelaki berdiri di birai kawah, menghulurkan tangan ke arahnya.

Arka mendongak dengan dahi yang berkerut. Lelaki itu mengenakan kot labuh kelabu yang lusuh dan koyak-rabak. Udara di sekelilingnya berbau hapak pakaian basah bercampur asap rokok murah. Rambutnya serabai, dan jambangnya tebal tidak terurus. Sekali imbas, dia tidak ubah seperti gelandangan yang sentiasa hidup melarat di lorong gelap bandar raya.

“Bangun. Pihak berkuasa dah nak sampai,” arah lelaki itu penuh ketenangan.

Arka sedikit tersentak. Nada suara lelaki itu langsung tidak sepadan dengan rupa parasnya yang selekeh. Ia tidak kedengaran parau atau lemah, sebaliknya dilontarkan dengan begitu jelas, dalam, dan sarat dengan karisma yang memaksa orang untuk patuh.

Walaupun begitu, Arka teragak-agak. Dia merenung tangannya yang masih memancarkan arus elektrik buas.

“Jangan sentuh,” halang Arka sambil cuba menarik tangannya ke belakang. “Badan aku tengah tak stabil. Kau… mungkin boleh mati—”

“Jangan banyak cakap,” pangkas lelaki itu tanpa riak. “Kita kena cepat.”

Dia langsung tidak mempedulikan amaran tersebut. Dengan pergerakan yang sangat pantas, gelandangan itu terus merentap tangan kanan Arka yang sedang memancarkan kilat.

Arka sudah bersedia untuk menerima takdir sekiranya lelaki itu rentung menjadi abu. Lagipun, dia sudah memberikan amaran. Namun, sesuatu yang tidak masuk akal berlaku.

Arus kilat biru yang bermain-main di tangan Arka terus diserap masuk ke dalam kulit lelaki itu. Tiada jeritan kesakitan. Tiada bau daging terbakar. Kulit kasar gelandangan itu langsung tidak terjejas. Malah, arus tersebut kini kelihatan sedang dikawal oleh lelaki itu pula.

“Kau…” Arka tergamam. Nafasnya tersekat. Matanya terbuka luas menatap tangan mereka yang saling berpegangan. Mindanya ligat memproses satu hakikat gila.

Dia sedar sekarang ini bahawa lelaki selekeh di hadapannya ini… sama seperti dia. Dia memandang lama lelaki itu namun lelaki itu sepertinya langsung tidak peduli. Riak wajahnya kekal tanpa sebarang reaksi.

“Pegang kuat-kuat,” arah gelandangan itu, mematikan lamunan Arka.

“Apa—”

Belum sempat Arka memproses arahan lelaki itu, dia dapat rasakan dunia mula berpusing dengan sangat ganas. Ruang di sekelilingnya pecah menjadi garisan cahaya biru yang membutakan. Dia dapat rasakan tubuhnya direntap kuat melawan tarikan graviti dengan kelajuan yang jauh mengatasi logik akal. Nafasnya terputus. Perutnya bergelodak keras.

Apa yang berlaku? desis hati Arka dalam kekalutan itu.

Dia membuang pandang ke segenap arah, tetapi pergerakan di sekelilingnya terlalu pantas sehingga menyesakkan ruang mindanya untuk merungkai apa yang sedang berlaku. Tidak sampai beberapa saat kemudian, badai pergerakan yang liar itu tersentap kaku tanpa amaran.

Kasut Arka bergeser kasar dengan lantai konkrit. Dia terbongkok menahan lutut, dadanya berombak keras mencari nafas. Walaupun dunianya masih berputar, dia pantas menyedari satu perubahan drastik. Tiada lagi bunyi trafik. Hanya deruan angin tinggi.

Bumbung. Dia berada di atas bumbung.

Mengabaikan rasa pening yang mencengkam, Arka terus berlari ke tepi dan mencengkam birai bangunan. Dia memandang curam ke bawah, kemudian pantas mendongak merakam latar langit bandar di sekelilingnya. Otaknya mencantumkan koordinat dengan pantas. Ini Menara Metro. Binaan gergasi pencakar langit kebanggaan bandar ini.

Dia terpaku memandang ke bawah semula. Otaknya gagal memproses logik kejadian ini. Segala rentetan pergerakan tadi hanya berlaku dalam sekelip mata. Tidak masuk akal untuk mereka sampai ke puncak ini hanya dalam masa beberapa saat.

Tapi, bukan itu sahaja yang tidak masuk akal sekarang ini. Masih ada sesuatu yang tidak kena. Arka mendongak.

Hujan masih turun mencurah-curah. Lebat. Tetapi anehnya, setitik air pun tidak mengenai kulitnya.

Dia mengecilkan mata. Titisan basah itu terbelah di ruang udara, terpelanting ke tepi seolah-olah menghentam satu permukaan halimunan. Sebuah kubah tenaga. Ia persis fenomena yang melindunginya di jalan raya tadi, tetapi medan di atas bumbung ini berbeza. Ia jauh lebih besar. Lebih stabil. Ia dikawal dengan sangat sempurna.

Perhatian Arka laju beralih. Lelaki gelandangan tadi hanya berdiri santai di tepi birai bumbung. Tiada riak cemas.

Lelaki itu mengeluarkan sebatang rokok renyuk dari poket kot lusuhnya lalu disepit ke bibir. Jari-jemarinya diangkat. Dengan satu petikan mudah—

ZAPP!

Satu percikan kilat biru melompat terus dari ibu jarinya. Hujung rokok menyala.

Arka tergamam. Dada yang tadi berombak kencang kini statik. Otaknya pantas menyambung titik-titik petunjuk.

“Kau…” Suara Arka pecah di celah deruan angin. Dia menelan liur. “Kau pun ada sumpahan biologi… sama macam aku?”

Sepi. Lelaki itu tidak terus menjawab. Dia menarik nafas panjang, menyedut rokok itu dalam-dalam, sebelum menghembus asapnya perlahan-lahan membelah udara.

“Sumpahan,” gumam lelaki itu perlahan, seolah-olah bercakap pada dirinya sendiri. Dia menoleh ke arah Arka. “Ya… tak salah untuk kau panggil kuasa ini sebagai sumpahan.”

Lelaki itu melepaskan keluhan lemah. “Tapi, sumpahan ini bukan hanya pada kau seorang saja. Semua yang membawa kuasa ini, semuanya disumpah.”

Arka tercengang. Semua?

Fikirannya melayang. Dua puluh tahun. Selama tempoh itu, rahsia anatomi tubuhnya dikunci rapat.

Hanya tiga manusia di dunia ini yang tahu: dirinya sendiri, Mak Cik Jara di Rumah Anak Yatim Cahaya, dan seorang pakar perubatan peribadi. Doktor itu juga pernah buntu. Selepas berpuluh siri ujian, kesimpulannya hanya satu—sebuah mutasi genetik luar biasa. Sel tubuh Arka menghasilkan cas bio-elektrik statik secara melampau.

Namun kini, lelaki gelandangan di hadapannya bercakap tentang ‘sumpahan’ ini dengan begitu bersahaja. Seolah-olah ada kelompok lain di luar sana yang senasib dengannya.

“Siapa kau sebenarnya?”

Otot betis Arka menegang. Kekuda kakinya direndahkan sedikit. Dia bersedia untuk sebarang kemungkinan serangan.

Lelaki itu menatap Arka. Riak wajahnya kosong, langsung tiada emosi.

“Penjaga kau.”

Jawapan itu ringkas. Terlalu ringkas. Lelaki itu membuang abu rokoknya sebelum menyambung. “Ibu bapa kau upah aku untuk perhatikan kau dari kecil. Cuma… aku tak sangka kuasa kau akan bangkit juga.” Dia mengecilkan mata, merenung tubuh Arka. “Kau tak sepatutnya… ada kuasa ni.”

Satu dengusan tajam melepasi bibir Arka. Segala rasa cemas dan kelirunya tadi meruap, pantas digantikan dengan rasa panas yang menyelinap ke dada. Marah.

“Ibu bapa? Jangan nak merepek.” Suara Arka naik satu oktaf. “Aku tak pernah ada keluarga. Aku membesar di rumah anak yatim!”

Rahangnya diketap keras. “Kalau betul mereka wujud, kenapa biarkan aku hidup macam ni? Kenapa tak pernah cari aku?!”

Lelaki itu tidak melatah. Sebelah keningnya dijungkitkan. Dia menapak selangkah ke depan, memaku pandangan sedingin ais itu terus ke dalam anak mata Arka.

“Dan kau fikir…” Suara lelaki itu mendatar, namun berat mendesak. “…ibu bapa kau sengaja buat semua ni?”

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset