Jessica menekan skrin tabletnya. Cahaya biru memantul lembut pada wajahnya.
Gambar demi gambar muncul dengan lancar—ruang tamu moden dengan siling tinggi, dapur berkilat tanpa sebutir habuk, taman yang dipangkas rapi seperti karya seni muzium.
“Ini adalah hartanah kami yang paling laris,” jelasnya, suaranya tenang dan profesional. “Setiap satu selamat, privasi terjaga, dan terletak di kawasan kejiranan elit. Cukup luas untuk keluarga lima orang, seperti yang encik sebutkan.”
Ethan menyandar ke hadapan sedikit, mengimbas gambar-gambar itu.
Kaunter marmar putih. Kolam renang dengan rekaan moden. Tingkap lantai-ke-siling yang menampakkan pemandangan bandar.
Cantik? Ya. Tapi ada sesuatu yang tak kena.
Hampir… tapi tidak sampai seperti apa yang dia inginkan. Ia rasa seperti hotel, bukan rumah. Terlalu kaku, seperti pusat pameran. Tiada rasa ketenangan dan rasa ‘rumah’ yang dia inginkan.
“Ini vila tiga tingkat dekat pantai,” sambung Jessica. “Sekuriti terbaik, garaj peribadi untuk tiga kereta, pemandangan laut panoramik. Harga senarai $2.8 juta.”
Dia menukar ke rumah yang seterusnya selepas nampak Ethan seperti tidak berminat.
“Dan yang ini—estetik moden, taman bumbung, kaca penuh. $3.5 juta.”
Ethan mendengar dengan teliti, memberi perhatian penuh sebagai tanda hormat. Tetapi apabila penyenaraian kelima muncul, dia menggelengkan kepala sedikit.
“Semuanya cantik,” katanya sopan. “Betul-betul cantik. Tapi…”
Dia berhenti sejenak, kemudian menatap mata wanita itu. “Cik ada tak yang lain?”
Jessica berkelip, sedikit keliru. “Yang lain?”
“Ya,” kata Ethan tenang. “Sesuatu yang lebih besar. Lebih privasi. Dan ia mesti rasa… selamat. Macam rumah, bukan galeri seni.”
Jessica teragak-agak. Jarinya terhenti di atas tablet. Sesaat, dia menimbang sama ada patut teruskan. Dia melihat pakaian baharu Ethan yang ringkas, wajah mudanya, dan permintaan besar yang baru dibuatnya.
“Encik Cole,” katanya berhati-hati, memilih perkataan. “Kami memang ada senarai lain. Tapi ia dalam kategori berbeza. Rumah agam. Estet persendirian. Bermula dari… sepuluh juta dolar ke atas.”
Suaranya merendah sedikit, seolah-olah menguji reaksi Ethan terhadap angka itu.
Ethan mengukir senyuman kecil. “Tunjukkan pada saya.”
Kening Jessica terangkat sebelum dia menutup rasa terkejutnya dengan pantas. Ethan tidak sepadan dengan profil klien yang biasanya meminta kategori itu. Dia tidak memakai jam tangan Patek Philippe atau diiringi peguam peribadi. Sebahagian dirinya tertanya-tanya adakah dia sedang membuang masa dengan seorang pemimpi.
Tetapi dia mengingatkan dirinya tentang peraturan emas yang diajar pada hari pertamanya: Jangan sesekali menilai klien dari rupa.
“Baiklah,” katanya akhirnya. “Beri saya masa sebentar.”
Dia membuka kunci folder sulit di tabletnya. Semasa gambar dimuatkan, topeng profesionalnya kekal—tetapi di dalam hati, satu harapan kecil mula bercambah liar.
Tolonglah biar dia ni betul-betul nak beli.
Jessica perlukan jualan ini....