Switch Mode

Taktikal Hati – Bab 9

Tiket Emas

Pagi Isnin di Akademi Puncak Utara menjanjikan suasana yang lebih santai. Kebetulan hari ini terdapat jadual Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK). Bukan sekadar satu waktu, tetapi dua jam berturut-turut.

Menurut penerangan Sofea yang berjalan malas di sebelah Aina, dua jam ini biasanya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan sukan sekolah untuk berlatih. Bagi pelajar yang tidak mewakili apa-apa pasukan, pilihan mereka mudah. Ikut serta dalam acara sukan bebas atau berlari di trek balapan yang mengelilingi padang utama.

Aina, sekalipun sudah mengenakan pakaian sukannya, hanya berlari perlahan. Bukan kerana dia tidak cukup kuat untuk aktiviti fizikal ringan seperti ini. Semuanya gara-gara Sofea yang terus-terang mengakui dia tidak gemar berpeluh dan lebih rela berjalan santai di lorong paling luar trek.

Mata Aina bagaimanapun tidak fokus pada trek di hadapannya. Perhatiannya dirompak sepenuhnya oleh aksi perlawanan latihan bola sepak yang sedang berlangsung di tengah padang.

Pasukan A, yang mengenakan bib kuning, sedang rancak mengasak kubu pertahanan Pasukan B yang memakai bib merah. Berdasarkan apa yang dikongsi oleh Sofea, kesemua pemain ini merupakan pelajar tingkatan empat dan ke bawah, memandangkan pelajar tingkatan lima tidak dibenarkan menyertai aktiviti luar demi memfokuskan tumpuan pada peperiksaan besar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Makin lama Aina memerhati, kerutan di dahinya bertukar menjadi kerutan yang agak rumit.

“Boleh tahan juga…” Aina merendahkan suara, seakan bercakap dengan diri sendiri, “Dia orang ni bukannya teruk sangat main.”

Sofea di sebelah memalingkan wajah, keningnya diangkat sebelah. “Maksud kau? Yang pakai bib kuning tu ke?”

“Ya. Tu Pasukan A kan?”

Sofea mengangguk.

Aina tidak segera menerangkan maksud kata-katanya sebentar tadi. Dia berjeda seketika. “Kau cakap dia orang ni sebelas pemain utama yang selalu berlagak kan? Tapi bila aku tengok dari segi kemahiran individu, boleh tahan. Sentuhan bola pertama okey, larian deras, dan teknik tendangan pun kemas. Cuma…”

“Aku tak faham sangat pujian kau tu. Tapi aku nak tahu. Cuma apa?”

“Masing-masing ego,” sambung Aina, matanya tajam menyoroti larian seorang pemain Pasukan A yang berkeras mahu menggelecek tiga orang pemain pertahanan secara solo dan akhirnya dirampas bola. “Tengok tu. Dia orang ni main tak ada keserasian. Tak ada teamwork. Semua nak jadi hero. Semua sibuk nak score gol.”

Sofea melepaskan tawa kecil. “Tapi memang pun. Si Johan kat depan tu asyik nak score je. Yang main bahagian tepi kiri, kanan, bawah belakang tu pun semua macam nak tak nak je main. Macam pandang rendah sangat kat Pasukan B.”

Aina tersenyum kelat mendengar ‘posisi bola sepak’ fahaman Sofea. Bawah kanan? Bawah kiri? Kelakar pula bila sebut macam tu.

Namun, tumpuan Aina bukan sekadar pada kelemahan Pasukan A semata-mata. Mata tajamnya mula menangkap sesuatu yang lebih menarik perhatian di sebelah Pasukan B.

Zakwan.

Remaja itu bermain sebagai pemain tengah untuk Pasukan B dan apa yang diperhatikan oleh Aina, Zakwan bermain dengan agak baik. Kualiti permainan Zakwan, baik dari segi teknik hantaran, kawalan bola, dan visi membaca rentak perlawanan, jauh mengatasi kualiti ‘pemain-pemain elit’ terutamanya pemain tengah di dalam Pasukan A.

Setiap kali bola singgah di kaki remaja itu, rentak permainan Pasukan B terus berubah. Aliran bola menjadi lebih kemas dan tersusun.

Kenapa dia tak main untuk Pasukan A? persoalan itu berlegar di ruang minda Aina. Berdasarkan pemerhatiannya, jika Zakwan diletakkan sebagai jeneral di bahagian tengah untuk pasukan utama, kelemahan formasi 4-4-2 mereka pasti dapat disempurnakan.

“Sofea,” Aina menepuk lembut bahu Sofea, mematikan rentak lariannya. “Teruskan jalan. Aku nak pergi sana kejap.”

“Eh, kau nak pergi mana tu?” panggil Sofea, dahinya berkerut pelik.

Namun, Aina tidak menoleh. Dia sudah melencong merentasi trek balapan, lurus menyasarkan kawasan tepi padang di mana barisan kejurulatihan sedang berdiri memantau latihan.

Aina merapati perlahan-lahan. Di hadapannya kini berdiri seorang guru lelaki bertubuh tegap, manakala di sebelahnya ialah seorang guru wanita muda yang anggun berseluar sukan. Ekor mata Aina pantas menangkap cetakan putih pada bahagian belakang jersi sekolah yang sedang dipakai mereka.

Coach Murad. Coach Jasmine.

Tanpa disedari oleh kedua-dua guru tersebut, langkah Aina terhenti pada jarak yang cukup dekat untuk terus menangkap butir perbualan mereka.

“Pening kepala saya, Jas,” keluh Coach Murad, tangannya naik memicit dahi. “Main ikut kepala sendiri. Taktikal yang saya ajar, satu pun tak diikutnya. Patutlah Coach Fakhrul tu pilih berhenti hari tu. Tak larat nak uruskan anak-anak orang kaya ni.”

“Sabarlah, Coach,” balas Coach Jasmine lembut, cuba menenangkan. “Dia orang ni menang atas tiket individu je. Bukan sebab berpasukan. Nak buat macam mana, masing-masing anak VIP. Kalau kita marah lebih-lebih, silap-silap esok PIBG panggil kita masuk bilik pengetua.”

Mendengar bait-bait perbualan itu, satu senyuman terukir di bibir Aina. Matanya kembali merenung Johan yang sedang tersenyum sombong selepas berjaya melakukan satu larian deras biarpun rembatannya selepas itu tersasar jauh. Begitu juga dengan pemain-pemain lain dalam Pasukan A.

Ada beberapa rancangan yang mula bermain dalam fikirannya. Dia tahu, ini adalah tiket emasnya. Jika dia tidak dapat mewakili sekolah untuk masuk pertandingan sekalipun, bukan bermaksud dia tidak boleh berlatih. Mungkin berlatih dengan pasukan bola sepak lelaki akan memberi lebih banyak kebaikan sepanjang ‘waktu rehat’ dia? Itulah salah satu rancangan yang sedang berlegar-legar di dalam fikiran Aina ketika ini.

Tanpa membuang masa, dia terus berjalan merapati kedua-dua orang jurulatih tersebut.

“Coach, nak saya tolong turunkan ego dia orang tak?”

Suara Aina itu membuatkan Coach Murad dan Coach Jasmine tersentak pantas. Mereka berpaling serentak ke arah gadis berhijab putih yang sedang berdiri tenang dengan riak penuh keyakinan itu.

“Kamu siapa?” soal Coach Murad, matanya mengecil menilai pelajar tingkatan tiga di hadapannya.

“Saya Aina Kazuha. Pelajar baru kelas 3 Alpha,” Aina memperkenalkan diri dengan berani.

Namun, melihat dahi Coach Murad yang masih berkerut, Aina sedar nama sahaja tidak cukup untuk menembusi dinding keraguan seorang jurulatih lelaki dewasa terhadap seorang pelajar perempuan.

Tanpa berlengah, Aina menyeluk poket, mengeluarkan telefon pintarnya dan membuka satu aplikasi video. Dengan pantas, dia mencari kompilasi gol dan aksi lariannya sepanjang perlawanan akhir di California, lalu menyuakan skrin itu betul-betul di hadapan muka mereka berdua.

Mata Coach Jasmine terus terpaku pada skrin. Bebola matanya membulat sakan.

“Sekejap… kamu Aina Kazuha?!” jerit Coach Jasmine separuh berbisik, nadanya sarat dengan rasa tidak percaya.

“Siapa?” soal Coach Murad, masih keliru memandang penolong jurulatihnya.

Coach Jasmine memandang bosnya dengan riak seolah-olah baru terjumpa harta karun. “Coach! Ini Aina Kazuha! Bakat luar biasa berdarah kacukan Malaysia-Jepun yang viral kat media sosial tu! Dia main untuk akademi elit di Amerika Syarikat. Kelab-kelab besar Eropah pun tengah rebut nak bawa dia masuk skuad pelapis dia orang tau!”

Coach Murad terdiam. Jujur, dia tidak pernah mengambil tahu mengenai bola sepak wanita apatah lagi pemain muda seperti ini. Namun, saat ekor matanya menangkap klip video larian deras, skil gelecekan kemas, dan rembatan kencang yang menerjah gawang di skrin kecil itu, mulutnya tanpa sedar sedikit ternganga.

Gadis manis kecil molek ini jika dibandingkan dengan para pemainnya, berada di kelas yang berbeza. Jauh lebih tinggi.

Prit!

Satu tiupan wisel mulut oleh Johan tiba-tiba bergema, menarik perhatian mereka kembali ke tengah padang. Remaja itu baru sahaja melepaskan satu rembatan padu yang merobek jaring Pasukan B.

“Sibuk apa tu, Coach? Sampai lupa nak tiup wisel!” perli Johan lantang, tersenyum mengejek sambil mengibas kolar bajunya. “Ke sebab saya score banyak sangat sampai Coach dah tak larat nak tiup?”

Kata-kata angkuh itu terus mencucuk tangkai hati Coach Murad. Panas betul telinganya. Baru sahaja niat mahu marah itu timbul, matanya kembali tertancap pada Aina yang masih tenang bersahaja.

Dia tertanya-tanya apa rancangan Aina untuk menurunkan ego para pemainnya. Alang-alang dia sendiri sudah kebuntuan idea ketika ini, apa salahnya dia biarkan sahaja. Dia sendiri tidak tahu mengapa benar-benar mahu melihat sejauh mana kehebatan sebenar gadis di hadapannya ini.

Prit! Prit!

Wisel sebenar di leher Coach Murad ditiup kuat. Kesemua pemain yang basah bermandi peluh itu segera berlari merapati kawasan tepi padang, masing-masing dengan nafas tercungap-cungap.

Langkah Johan yang tadinya berlagak terus mati sebaik sahaja menyedari kehadiran susuk tubuh yang dikenalinya di sisi jurulatih.

“Apa dia buat kat sini?” soal Johan dengan kening yang bertaut rapat, pandangannya menikam wajah Aina.

Di belakangnya, Zakwan turut terkejut, namun matanya jelas mempamerkan riak risau dan sedikit bimbang melihat Aina ada di situ.

Aina sekadar melemparkan senyuman yang sangat manis, tetapi menyimpan seribu satu agenda.

Coach Jasmine mendekatkan bibirnya ke telinga Aina. “Kamu nak buat macam mana ni, Aina?” bisiknya, sarat dengan keterujaan.

“Bagi saya main sebagai penyerang Pasukan B, Coach,” jawab Aina perlahan, namun cukup jelas. Matanya kekal tidak beralih dari merenung Johan. “Saya akan pastikan semua superstars Pasukan A ni sedar diri di mana level sebenar dia orang.”

Coach Jasmine sedikit tercengang mendengarkan permintaan berani mati itu. Lawan budak lelaki? Dia pantas berpaling dan membisikkan perancangan gila itu ke telinga Coach Murad.

Mata jurulatih lelaki itu terbeliak seketika. “Biar betul?” tanya Coach Murad kepada Coach Jasmine.

Coach Jasmine mengangguk dengan senyuman yang cukup lebar.

Coach Murad kembali memandang Aina. Dia ingin menolak cadangan tersebut. Tetapi… egonya yang tercalar oleh kata-kata perli Johan tadi bagaikan merestui idea tersebut. Bagus juga kalau ada cara untuk jatuhkan ego pemain-pemain dia. Apa lagi cara terbaik selain dimalukan oleh pemain perempuan? Dia tersenyum sinis sebelum memandang kasut di kaki Aina.

“Kamu bawa kasut bola ke?” tanya Coach Murad.

Aina menggeleng laju. “Kasut sukan biasa ni pun cukup, Coach.”

Kesemua pemain Pasukan A dan B yang berkerumun di situ berkerut dahi, masing-masing kebingungan melihat sesi bisik-membisik antara jurulatih dan budak perempuan baru itu.

Coach Murad berdehem kuat, membetulkan sedikit posturnya.

“Baiklah, semua. Kita akan sambung semula game Pasukan A lawan Pasukan B. Masih ada baki masa empat puluh minit.” Coach Murad berjeda, matanya meliar merenung satu per satu wajah anak didik elitnya itu. “Tapi ada sedikit perubahan. Mulai sekarang… Aina akan masuk padang. Dia akan main sebagai penyerang utama untuk Pasukan B.”

Kesunyian terus membalut tepi padang itu. Masing-masing ternganga, cuba menghadam arahan yang kedengaran seperti satu jenaka yang tidak kelakar itu.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset