Johan segera berpusing dan berjalan keluar padang. Wajahnya masam mencuka. Walaupun tiada siapa yang menegur kesilapannya secara terang-terangan, tawa kecil yang terlepas dari beberapa mulut pemain Pasukan A dan pandangan kosong Aina cukup untuk merobek apa yang tinggal dari sisa egonya hari ini.
“Kau orang sambunglah main,” getusnya kasar, terus melangkah menuju ke bilik persalinan tanpa menghiraukan laungan Coach Murad yang menyuruhnya kembali.
Melihat Johan keluar padang dengan cara begitu, latihan petang itu terus terasa sedikit berbeza. Pasukan A jelas hilang ketua mereka, dan perlawanan simulasi itu ditamatkan lebih awal oleh Coach Murad dengan helaan nafas panjang.
Aina tidak benar-benar peduli akan apa yang terjadi. Dia mengelap peluh di dahi dengan hujung lengan baju. Entah kenapa, jauh di sudut hatinya, dia merasakan Johan itu bukan sekadar remaja egois yang dimanjakan kemewahan. Johan ada kemahiran asas, ada larian deras, dan ada visi padang yang agak tajam. Tetapi tekanannya untuk sentiasa nampak sempurna dan dominan di mata kawan-kawan elitnya telah memakan diri.
Usai sesi regangan penyejukan badan, Aina membetulkan galasan beg sukannya dan mula melangkah keluar dari pekarangan akademi. Petang ini dia tidak mahu menunggu Mak Su Sarimah. Dia mahu berjalan kaki. Dia perlukan udara luar dan ruang peribadi untuk merungkai segala ketegangan minda.
Jalan raya pada petang itu agak sibuk dengan kenderaan dan pekerja yang berpusu-pusu pulang dari tempat kerja. Cahaya oren matahari mula menyimbah struktur bangunan-bangunan komersial di sekelilingnya. Aina berjalan tenang di atas laluan pejalan kaki berbata merah.
Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila fikirannya kembali diheret ke benua Amerika.
Sejak dua hari lepas, ibunya, Maisarah berkelakuan agak pelik. Ibunya lebih banyak mengunci diri di dalam bilik, dan sesekali kedengaran bercakap dalam nada yang sangat rendah tetapi tegang di telefon bimbit.
Malah, perancangan teruja untuk membuka kedai kek bersama Mak Su Sarimah juga seakan-akan tergendala tanpa sebarang penjelasan...