Switch Mode

Pemburu Magis: Leon – Bab 8

Raksasa Gurun Beku

Sebaik sahaja tubuhnya muncul di aras pertama, udara beku terus menikam rakus setiap inci kulitnya. Nafas yang dihembus serta-merta bertukar menjadi wap putih tebal.

Leon terkaku seketika. Bukan kerana cuaca ekstrem itu, tetapi kerana akalnya baru sahaja mendarat ke alam realiti.

Bodoh, makinya di dalam hati.

Dia meraup wajahnya kasar, membiarkan sarung tangannya yang sejuk menyentuh kulit wajah.

Kenapa aku serang pengawal tu tadi? Kalau dia buat laporan pada Kesatuan Pemburu macam mana?

Satu rasa gerun tiba-tiba mencengkam tengkuknya. Dia mula risau.

Adakah kuasa ini sudah mula merentap kewarasannya? Hanya kerana dia mampu menembak magis tanpa henti, egonya meruap naik mengubah dirinya menjadi seorang yang angkuh dan hilang pertimbangan.

Jaga hati, Leon. Jangan jadi bongkak.

Dia menampar kedua-dua belah pipinya, memaksa fokusnya kembali. Dia memandang sekeliling sebelum memandang tangannya. “Sejuk,” gumamnya perlahan.

Cuaca ekstrem inilah yang menjadi igauan ngeri para Pemburu. Namun, tidak bagi Leon. Setelah tahap penguasaan magisnya meningkat, ada sesuatu yang dia ingin cuba lakukan.

“Bebola Api,” ujar Leon sambil tersenyum sinis.

Dua bebola api bersaiz sebesar bola tenis perlahan-lahan muncul dari telapak tangannya. Namun kali ini, ia tidak ditembak pergi. Leon mengecilkan mata, memerah kawalan mindanya untuk memaksa kedua-dua bebola itu beredar mengorbit tubuhnya ibarat satelit kecil.

Perlahan-lahan, pergerakan kedua-duanya berjaya dikawal dengan sempurna.

Cuba dua dulu, desis Leon. Katanya nak guna kuasa magis macam ni akan guna banyak tenaga.

Disebabkan kemahiran ini menggunakan teknik kawalan yang berbeza berbanding menembak keluar bebola api, Leon menunggu sebentar. Dia risau jika kali ini dia dapat meraskan tenaganya berkurang.

Lima saat.

Sepuluh saat.

Dalam sekelip mata, beberapa minit berlalu. Dadanya langsung tidak berombak. Dia tahu kolam tenaganya tidak terasa berusik walau setitik. Sama seperti jika dia menembaknya keluar.

Apa yang lebih menarik adalah rancangannya untuk menggunakan haba panas dari bebola api itu untuk meneutralkan udara beku di sekeliling berjaya. Dia telah membina satu kepompong perlindungan yang amat selesa.

Leon tersenyum lebar. Fokusnya kini kembali kepada pembersihan sarang raksasa ini.

“Susah sangat ke Gurun Beku ni?” gumamnya sendirian, membiarkan rasa angkuh perlahan-lahan meracuni akal sihatnya.

Namun, keheningan kawasan salji itu tidak bertahan lama.

Deruman dengusan kasar memecah kesunyian, disusuli asakan derapan kuku yang pantas mencakar lantai ais.

Leon tersentak. Senyumannya mati. Dia pantas merendahkan postur tubuh, kembali berjaga-jaga. Dari sebalik kabus putih yang tebal, sekumpulan serigala salji muncul merapati. Bulu putih makhluk buas itu sebati sempurna dengan persekitaran.

Gila. Penyamaran mereka hampir sempurna, detik hati Leon. Matanya kekal tajam memandang musuh sambil langkahnya diundur perlahan, mencari ruang selamat. Kalau aku cuai, memang terus mati.

Air liur menitis dari rahang serigala-serigala itu. Mata liar mereka merenung lapar ke arah penceroboh baharu.

Tunggu. Jangan gopoh, amaran berlegar di kepalanya tatkala raksasa itu mengorak langkah merapati. Aku kena faham dulu perangai mereka.

Tetapi, haba dari bebola api yang berdenyut laju di sekelilingnya bagaikan memberi keyakinan buta, pantas membakar sisa keraguan tersebut. Kuasa pemusnah yang dia miliki sekarang terus mencengkam egonya, menenggelamkan segala amaran tadi.

Kenapa aku nak takut? Aku bukan Pemburu Gred F biasa.

Tiada sekelumit pun riak gentar di wajahnya. Leon malah melangkah ke hadapan dengan penuh yakin. Tangannya dihala ke arah musuh yang menghampiri. Tanpa perlu melaung, magisnya terus bertindak balas.

Bebola Api yang termampat padat itu meluncur berdesup membelah udara sejuk dengan kelajuan berganda.

Letupan kuat bergema memekakkan telinga. Impaknya kini bukan lagi sekadar membakar kulit. Daya letupan Bebola Api yang sudah berevolusi itu merobek kejam daging dan tulang makhluk Gurun Beku tersebut, memercikkan darah merah pekat ke atas hamparan salji putih.

Dalam satu pusingan serangan bertali arus yang membuta tuli, keseluruhan kawanan serigala itu hancur lumat.

Apa yang tinggal hanyalah kepulan asap dan butiran Teras Hayat yang jatuh terbenam di dalam salji.

Leon membongkok. Jarinya mencungkil keluar sebiji teras merah yang masih suam. Dia membeleknya seketika, merasakan detak ganjaran di dalam batu kecil itu.

“Mudah sangat,” gumamnya sambil melepaskan tawa kecil.

Leon kembali berdiri tegak. Matanya merenung jauh meredah kabus tebal yang menyembunyikan baki sembilan belas tingkat sarang raksasa ini. Sambil menimbang-nimbang teras itu di tangannya, ego Leon kini memuncak lincah, perlahan-lahan mengaburkan garis sempadan antara kewarasan dan keangkuhan.

Ini baru permulaan, desis hatinya bersemangat. Aku akan bersihkan sarang ini segera.

Sepanjang lima tingkat pertama Gurun Beku, kawanan serigala salji terus mengasak menghalang laluan. Namun, dengan kelajuan tembakan Bebola Api yang semakin ganas berevolusi, raksasa-raksasa itu disapu bersih tanpa sempat menyentuh bajunya.

Selain menggunakan magis untuk merobek musuh di hadapan mata, Leon sentiasa mengekalkan bebola api beredar di sekelilingnya. Lebih gila lagi, sambil berjalan meredah salji, lengannya tidak berhenti melepaskan tembakan rambang ke arah dinding ais dan siling gua biarpun tiada musuh di jarak dekat.

Tujuannya mudah. Dia sedang memaksa tahap penguasaan magisnya meroket mendadak. Namun, bunyi letupan bergema di setiap pelosok gua ais itu menjadi umpan maut. Raksasa yang mendengarnya terus meluru buta ke arah sumber bunyi, ibarat serangga yang ditarik ke arah lampu perangkap, hanya untuk menyambut ajal yang mengerikan.

Melihat hamparan bangkai raksasa bergelimpangan, langsung tiada sekelumit simpati di hati Leon. Dia meludah ke arah salah satu bangkai. Entah mengapa, saat ini rasa benci mula merasuk jiwanya.

Memori ngeri kejadian raksasa meragut nyawa ibu dan bapanya pada awal zaman bencana tiba-tiba terbayang kembali. Parut luka lamanya berdarah semula. Darahnya mendidih. Dia merasakan apa yang dilakukannya sekarang adalah satu tuntutan bela, satu pembalasan dendam.

Disebabkan itu, rentak tembakan Leon serta-merta berubah menjadi semakin ganas.

Lima aras pertama itu berjaya dibersihkan dengan pantas. Masuk sahaja ke tingkat enam, bau udara bertukar hanyir. Spesies raksasa mula berbeza.

Kini, kelibat musang salji mula menampakkan diri. Saiz makhluk ini dua kali ganda lebih besar berbanding serigala tadi. Sungguhpun begitu, kelincahan pergerakan mereka langsung tidak terjejas. Makhluk itu meluru deras, menderam ganas membelah kabus tebal dari arah kiri dan kanan.

Leon mengetap gigi. Dia benar-benar terkejut.

Laju betul makhluk ni! Macam mana nak lawan?!

Dia tiada pilihan. Dia tiada masa untuk berfikir dengan lebih lama. Bebola api terus dilepaskan bertubi-tubi. Mindanya pantas merangka taktik baharu. Memandangkan musuhnya ini terlalu lincah, dia tidak perlu menyasarkan tubuh mereka.

Tembakannya terus dihalakan ke arah lantai ais tepat di laluan raksasa tersebut.

Ledakan letupan memecahkan lantai ais, memaksa musang itu hilang keseimbangan.

“Kena!” jerit Leon.

Tatkala makhluk itu tergelincir, Bebola Api seterusnya tepat menghentam dada musuh. Serpihan daging hancur berterbangan, memercikkan darah merah yang membasahi lantai salji. Seekor demi seekor musang arktik itu tumbang. Rentak pembunuhan ini berterusan lancar sehinggalah kasutnya memijak lantai tingkat kelima belas.

Di aras ini, suhu terasa jauh lebih dingin. Sekali lagi, spesies raksasa bertukar bentuk.

Dari sebalik tirai kabus, seekor Kerbau Salji gergasi mula memunculkan diri. Susuk tubuhnya sebesar kereta kebal, diselimuti bulu tebal yang meleret ke lantai ais.

“Raksasa baru lagi?” gumam Leon. “Aku kena cari kelemahannya segera.”

Leon pantas melepaskan tembakan percubaan ke arah kaki raksasa itu. Namun, apinya sekadar memercik mati tanpa meninggalkan sebarang luka pada bulu tebal makhluk tersebut.

“Tak berkesan?” Nada Leon berubah. Cemas mula merayap di dadanya.

Dia pantas menyedari cabaran di tingkat ini jauh berbeza. Kerbau Salji gergasi itu menyerbu deras. Satu rempuhan padu bersalut angin sejuk membelah kabus, tepat menuju ke arahnya.

Bahaya!

Leon membuang tubuhnya ke sisi, melompat sekuat hati menjauhi laluan musuh.

Rempuhan itu tersasar sekangkang kera. Leon jatuh terguling di atas salji. Nafasnya tersekat. Belum sempat dia berdiri, Kerbau Salji itu berhenti mengejut dan memusingkan tubuh gergasinya dengan lincah. Raksasa itu kembali menundukkan tanduk, bersedia untuk merempuh Leon buat kali kedua.

Dalam keadaan terbaring dan terdesak, Leon menghalakan kedua-dua belah tangannya ke hadapan. Berpuluh-puluh Bebola Api dihamburkan membuta tuli pada jarak yang amat dekat.

Ledakan api meletup kuat. Daya kemusnahan magis itu tepat merobek kepala dan memanggang tubuh Kerbau Salji tersebut sehingga rentung menjadi abu. Letupan itu berlaku hanya beberapa inci sebelum hujung tanduk makhluk tersebut sempat menembusi dada Leon.

Leon kekal terbaring kaku seketika di atas hamparan salji.

“Bahaya betul kali ni.”

Dadanya berombak kencang mencari oksigen. Jantungnya berdegup laju, baru menyedari betapa hampirnya dia dengan maut.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset