Aina membetulkan lengan kemeja seragamnya tatkala melangkah keluar dari bilik persalinan perempuan. Tubuhnya terasa lebih segar selepas membersihkan diri daripada sisa peluh di padang tadi. Kedudukan letak tudung sekolahnya yang putih bersih turut dikemaskan.
Seronoknya kalau hari-hari dapat main bola balik. Aina tersenyum gembira. Dia sebenarnya teringin untuk terus bertanyakan apa jawapan Coach Murad dan Coach Jasmine akan permintaannya untuk turut serta dalam latihan pasukan bola sepak lelaki selepas ini.
“Nanti, Aina. Kamu memang bagus. Tapi… kami tak boleh berikan jawapan segera.” Itulah kata-kata Coach Murad di padang tadi. Dalam fikiran Aina, dia langsung tidak nampak akan apa masalahnya jika dia dibenarkan turut serta. Dia boleh sentiasa bermain dengan Pasukan B, untuk berikan cabaran kepada Pasukan A.
Pasukan B pula, mereka akan dapat belajar sesuatu dari gaya permainan dan arahannya di atas padang. Senang kata, kalau ikut pada kira-kira Aina, kedua-dua pasukan akan mendapat manfaat dengan kehadirannya.
Namun, kesegaran mindanya tidak bertahan lama apabila dia mula menyedari realiti di sekeliling. Sepanjang perjalanan menelusuri koridor untuk kembali ke Kelas 3 Alpha, hampir setiap pasang mata dilekatkan ke arahnya.
Pelajar-pelajar yang lalu-lalang tidak lagi bersembang kosong. Mereka berbisik-bisik, langkah mereka diperlahankan semata-mata mahu mencuri pandang.
Aina menghela nafas panjang. Statusnya sebagai ‘budak baru’ telah berubah sepenuhnya. Kini, dia adalah… entah. Dia sendiri tidak tahu. Tapi nalurinya kuat mengatakan ada yang tidak puas hati dengan apa yang dilakukannya di atas padang tadi.
“Wah,...