Dada Aina masih berombak laju selepas larian solonya tadi. Dia berdiri tenang di tengah padang, merenung Johan yang sedang mengatur langkah pantas merapatinya. Rahang remaja lelaki itu diketap rapat, manakala urat di lehernya jelas menegang menahan rasa aib.
“Cepatlah sikit. Masa tak banyak dah ni,” tegur Aina bersahaja, sengaja menuang minyak ke dalam api yang sedang marak.
Johan pantas mengangkat jari telunjuk kanannya, dihalakan tepat ke wajah Aina.
“Semua dengar sini!” laung Johan. Suaranya bergema menenggelamkan bisikan pelajar yang berkerumun di sekeliling trek balapan. “Mula dari sekarang, skor Pasukan A dan B kita kira kosong-kosong balik. Kalau Pasukan A kalah, kita orang akan kemas bilik kelab selama sebulan, bersihkan kasut bola, dan basuhkan baju latihan kau orang.”
Dia berjeda seketika. “Tapi, kalau kau orang kalah, semua tu, kau orang kena buat.”
Keadaan padang sunyi sejenak. Namun, Johan tiba-tiba melepaskan tawa sinis.
“Eh, kejap. Aku lupa. Semua tu memang tugas hakiki kau orang pun.” Johan tersenyum herot, matanya penuh dengan pandangan yang merendah-rendahkan. “Jadi, aku tukar taruhan.”
Telinga pemain-pemain Pasukan B mula kepanasan mendengar ejekan Johan. Biasanya, orang luar tak tahu pun apa yang berlaku di dalam bilik kelab. Sekarang, Johan sudah malukan mereka semua di hadapan orang ramai.
Johan tidak peduli dengan pandangan orang lain. Dia memandang Aina dengan pandangan tajam. “Kalau Pasukan B kalah, aku nak perempuan ni berambus dan jangan berani nak pijak rumput masa latihan kita orang lagi.”
Johan menyangka dia akan mendapat sorakan sokongan. Paling tidak daripada rakan-rakan sepasukan. Namun, sebaliknya yang dia terima.
“Hek eleh! Dah bolos...