Aina tidak membuang masa. Sementara menunggu pemain-pemain lelaki menghabiskan baki rehat lima minit mereka, dia terus mengutip sebiji bola yang terbiar di tepi padang.
“Macam lama sangat dah aku tak sentuh kau,” gumam Aina dalam nada sedikit sayu.
Langkah pertamanya dimulakan dengan regangan pantas sebelum dia mula menimbang bola menggunakan kekura kakinya. Rentaknya sekata, kemas, dan penuh magis.
Bola itu seakan-akan melekat pada hujung kasut biarpun dia sekadar memakai kasut larian biasa. Sesekali, Aina melambung bola tinggi ke udara dan menangkapnya kemas di atas tengkuk, sebelum membiarkannya meluncur turun ke bawah dan kembali ditimbang dengan tenang.
Aksi bersahaja itu sudah cukup untuk membuatkan rahang beberapa orang pemain elit Pasukan A yang sedang berehat di bangku simpanan sedikit jatuh.
Namun bagi Johan, egonya terlalu tinggi untuk diturunkan, untuk berasa kagum dengan sekadar aksi menimbang bola.
“Kau orang ni dah kenapa? Ternganga tengok budak perempuan buat skil bodoh?” perli Johan dengan tawa yang sengaja dikuatkan. Matanya melilau ke arah rakan-rakan sepasukannya. “Setakat timbang bola macam sarkas tu, budak darjah satu pun boleh buat.”
“Ye ke? Aku tak boleh buat, Jo,” balas salah seorang pemain sayap Pasukan A, jelas dia kagum dengan kebolehan Aina. Dia kemudian terpandang riak wajah Johan yang kelihatan sedikit berubah. Dia menelan liur sebelum menambah dengan tergesa-gesa. “Tenanglah. Benda kena puji, kita pujilah.”
“Entahnya,” celah seorang lagi rakan mereka sambil meneguk air mineral. “Siapa sebenarnya budak baru ni? Boleh tahan lawa juga budak kelas kau, Johan. Mix eh? Rasa macam nak try ngurat je la…”
Johan terus mendengus, menyampah. “Kau orang ni memang pantang nampak perempuan. Suka hati koranglah.”
Di satu sudut yang tidak jauh dari kelompok Pasukan A itu, Zakwan duduk diam di atas rumput, menyandarkan tubuh ke kaki sebuah bangku rehat panjang. Biarpun dia diletakkan di dalam Pasukan B, statusnya sebagai ‘kuli mahir’ di padang membolehkan dia berehat berhampiran kumpulan elit itu. Bagi mereka, kemahiran Zakwan setaraf, malah cukup penting untuk memastikan kemenangan sekolah terjamin apabila mereka kepenatan. Namun, dari segi kasta sosial? Sejak kematian ibu bapanya, Zakwan hanyalah budak biasiswa yang menumpang ihsan.
Zakwan bagaimanapun langsung tidak mempedulikan sembang kosong mereka. Apatah lagi layanan mereka kepadanya atau pemain-pemain Pasukan B. Perhatiannya hanya tertumpu ke arah Aina.
Tanpa sebarang kata, Zakwan bingkas bangun. Dia berjalan merapati sebuah bekas berisi peralatan latihan di tepi padang, mengutip sehelai bib berwarna merah, lalu mengatur langkah mendekati gadis yang masih leka menimbang bola itu.
“Kau serius ke nak main ni?” tegur Zakwan. Gayanya masih kekal macho dan mendatar. Bib merah dihulurkan.
Sambil bola masih melantun-lantun di atas lutut kirinya, Aina menoleh dan membalas dengan satu senyuman nipis.
“Betul. Aku rindu nak sepak bola.”
Zakwan merenung wajah yakin itu. Dahinya berkerut sedikit, seolah-olah cuba memerah memori perbualan mereka di perhentian bas semalam. “Kau main bola ke masa dekat… Amerika?”
Aina mengangguk laju, membiarkan bola jatuh dan terus dipijak kemas di bawah telapak kasut kanannya.
Zakwan melepaskan satu keluhan nipis. Tangannya diseluk ke dalam poket seluar sukan. “Ikut suka kaulah nak buat apa. Tapi… kalau dia orang start main kasar, sentuh atau langgar kau, aku nak kau terus keluar padang. Boleh?”
Pesanan ringkas Zakwan itu tiba-tiba mengetuk kesedaran Aina. Sentuhan!
Macam mana dia boleh terlupa? Bola sepak bukanlah sukan tanpa sentuhan fizikal. Berlanggar bahu, menarik jersi, terjahan keras—semua itu adalah resam di atas padang hijau. Dan sebagai seorang gadis yang cuba menjaga pergaulan mengikut batas yang sewajarnya, dia tidak mahu merisikokan diri bersentuhan dengan mana-mana pelajar lelaki.
Namun, senyuman Aina makin meleret sebaik sahaja satu idea gila terlintas di fikirannya.
Tak semestinya aku kena bersentuh.
Dia tahu ini adalah peluang terbaik. Dia akan jadikan perlawanan ini sebagai cabaran serampang dua mata. Turunkan ego pemain-pemain Pasukan A, dan pada masa yang sama, cabar dirinya untuk bermain dengan kelincahan tahap tertinggi—memastikan tiada seorang pun pemain lelaki yang sempat menyentuhnya.
Aina mencapai bib merah dari tangan Zakwan dan menyarungkannya laju.
“Kau jangan risau,” balas Aina yakin. “Tak ada yang boleh sentuh aku.” Matanya bersinar teruja.
Zakwan membuang pandang ke tempat lain, malas mahu berdebat. Dia berlalu kembali ke posisinya di bahagian tengah padang, seminit sebelum masa rehat tamat. Namun, dalam diam, hatinya sudah berniat tegas. Sepanjang Aina berada di dalam padang, dia akan bertindak sebagai pelindung untuk menjaga gadis itu. Dia sendiri tidak faham mengapa rasa tanggungjawab itu tiba-tiba terbit di dalam dirinya.
Tidak lama kemudian, Coach Murad meniup wisel. Masa rehat tamat.
Kesemua pemain mula mengambil posisi masing-masing. Ketika Aina melangkah masuk ke posisi penyerang Pasukan B, derai ketawa dari kem Pasukan A jelas kedengaran.
“Woi, budak-budak B!” laung Johan dari jarak jauh, sengaja memprovokasi. “Kau orang dah la memang main teruk. Masuk pula budak perempuan nak jadi penyerang, makin hancur la team kau orang lepas ni!”
Kata-kata angkuh Johan itu disambut dengan hilai tawa beramai-ramai oleh kesebelasan utama Pasukan A.
Aina tidak melenting. Dia sekadar mengukir senyum. Trash talks atau perang psikologi sebegini adalah menu rujinya setiap kali turun beraksi di liga remajanya di Amerika Syarikat dahulu. Tiada apa yang perlu digelabahkan.
Prit!
Wisel pemula ditiup oleh Coach Murad.
Di laluan trek balapan, Sofea yang sedari tadi berjalan malas mengelilingi padang, tiba-tiba mematikan langkahnya. Matanya membuntang merenung ke arah susuk berhijab putih dan berbib merah di tengah padang.
“Apa benda pula yang dia nak buat?” gumam Sofea, matanya tidak berkelip.
Rupa-rupanya, bukan Sofea seorang yang berhenti. Semakin lama, semakin ramai pelajar yang tadinya sibuk dengan aktiviti masing-masing mula berkerumun di tepi padang, tertanya-tanya akan kehadiran pelik seorang gadis di tengah kancah perlawanan latihan pasukan bola sepak lelaki itu.
Pasukan B memulakan permainan. Sepak mula dilakukan.
Namun, selang beberapa minit kemudian, Aina pantas menyedari satu masalah besar.
Rakan-rakan sepasukannya, Pasukan B, langsung tidak mahu menghantar bola kepadanya! Walaupun Aina telah mencari ruang yang cukup luas dan tidak dikawal oleh sesiapa, pemain-pemain B lebih rela membuat hantaran ke belakang atau cuba menggelecek pemain lawan.
“Macam mana aku nak main ni?” keluh Aina, sedikit kecewa.