Pintu banglo mewah itu dikuak perlahan. Aina melangkah masuk ke ruang tamu dengan senyuman yang tanpa sedar masih lagi bergayut manis di bibir.
“Ha, dah balik pun. Hujan lebat kat luar tu, macam mana kamu balik?” tegur Sarimah. Mata ibu saudaranya itu langsung tidak berkalih dari skrin komputer riba di atas meja kopi, jari-jemarinya masih lincah menari di atas papan kekunci.
Aina tersengih. Dia menunjukkan payung lutsinar yang sedang disandarkannya di tepi pintu masuk. “Ada kawan pinjamkan payung, Mak Su.”
Tangan Sarimah terhenti. Dia menoleh. Matanya terus terbeliak melihat hujung payung yang sedang mengalirkan air ke atas lantai marmar.
“Eh kamu ni Aina. Letak kat luarlah payung tu, kan basah kuyup tu. Habis licin lantai Mak Su nanti.”
“Alamak! Sorry, Mak Su! Lupa!” Aina pantas mencapai kembali payung tersebut dan menolak daun pintu untuk keluar ke anjung.
Saat pintu terbuka luas, mata Aina tanpa sengaja tertangkap kelibat seorang remaja yang sedang berjalan sepanjang tembok hadapan rumah. Hujan panas sudah menunjukkan tanda-tanda hampir berhenti sepenuhnya.
Aina terkedu. Itu Zakwan.
Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Rupa-rupanya, sepanjang Aina bergelut mencari kunci dan membuka pintu tadi, Zakwan langsung tidak berganjak. Rakan sekelasnya itu sanggup basah menunggu dalam hujan, menantinya di luar pagar semata-mata untuk memastikan Aina benar-benar selamat masuk ke dalam rumah, sebelum dia berlalu pergi.
Orang Malaysia memang romantik macam ni ke? detik hati Aina, satu perasaan aneh mula merayap ke tangkai hatinya.
Aina tidak naif. Di Amerika Syarikat, ramai sahaja kawan-kawan perempuan yang seusia dengannya sudah rancak berpacaran. Malah, ada juga rakan lelaki baik di sekolah mahupun di akdemi bola sepak yang cuba mendekati, mahukan hubungan yang sama dengannya. Namun, Aina sentiasa berpegang teguh pada pesanan ibu dan bapanya. Hubungan cinta di usia muda sebegini lebih banyak mengundang padah.
Kawan-kawannya di sana sering bercerita tentang betapa indahnya rasa dicintai, betapa seronoknya berpacaran. Tetapi hujungnya? Ramai yang tersilap langkah. Ada yang masa depannya hancur, ada yang terjerumus ke lembah alkohol, dan tidak kurang juga yang hamil luar nikah. Bagi budaya Barat, mungkin itu perkara biasa.
Namun bagi Aina yang diasuh dengan didikan agama, dia tahu batasnya. Semua itu adalah haram dan berdosa besar.
Jadi, dia malas mahu memeningkan kepala memikirkan soal hati dan perasaan. Lebih baik dia fokus mengejar impian yang satu itu.
Aina menggelengkan kepalanya laju, seolah-olah cuba membuang bayangan Zakwan yang mula menjalar dalam fikirannya. Payung lutsinar itu diletakkan elok-elok di tepi pasu bunga di anjung, sebelum dia melangkah masuk semula ke dalam rumah dan merapatkan pintu.
“Kenapa senyum sorang-sorang tu? Ceria lain macam je Mak Su tengok. Kawan yang bagi pinjam payung tu… lelaki ke perempuan?” usik Sarimah, matanya dikecilkan merenung wajah anak buahnya.
Aina cepat-cepat mematikan senyuman. Wajahnya diketatkan sikit. “Mana ada ceria, Mak Su. Biasa je. Kawan sekelas.”
Sarimah sekadar tersenyum sinis, malas mahu menyoal siasat lebih-lebih. Biarlah remaja itu dengan dunianya.
“Yalah tu,” balas Sarimah pendek sebelum kembali merenung skrin. “Jadi, macam mana hari pertama kat sekolah baru? Okey?”
Aina menghembus nafas berat sambil melabuhkan punggung di atas sofa empuk berhadapan ibu saudaranya. “Okey… semuanya menarik. Fasiliti dia memang jauh lebih hebat dari akademi Aina kat sana. Cuma…”
“Cuma apa?”
“Tolak markah sikit sebab sekolah ni tak ada pasukan bola sepak perempuan.”
Sarimah melepaskan keluhan perlahan. Komputer ribanya ditolak sedikit ke tengah meja. Dia faham benar dengan riak wajah kecewa yang sedang dipamerkan oleh Aina itu.
“Mak Su faham kamu kecewa,” pujuk Sarimah lembut. “Tapi Aina… rasanya kat Malaysia ni, memang susah nak cari sekolah yang ada pasukan bola sepak wanita yang betul-betul aktif. Mungkin ada, tapi kebiasaannya sekolah tu mungkin kurang sikit dari segi pencapaian akademik. Mak Su tak nak kamu abaikan pelajaran.”
Aina sekadar menundukkan wajah, merenung permaidani baldu di bawah kakinya.
“Tak apalah, Aina,” sambung Sarimah lagi, cuba memulihkan semangat anak buahnya. “Kamu berlatih saja sendiri-sendiri kat taman depan tu dulu. Belajar rajin-rajin, fokus bagi dapat keputusan cemerlang. Nanti bila kamu dah habis sekolah, kamu boleh minta sambung belajar di luar negara. Masa tu, kamu boleh sambung balik minat kamu tu. Okey?”
Aina menggigit bibir bawahnya.
Minat? jerit batinnya.
Bola sepak bukan sekadar minat untuk mengisi masa lapang di hujung minggu. Ia adalah nyawanya. Ia adalah impian terbesarnya. Dia mahu menjadi penyerang wanita terbaik dunia. Dia mahu menyarung jersi kebangsaan, menjulang piala di pentas Piala Dunia.
Tetapi Aina memilih untuk mengunci mulut. Dia tahu, tidak semua orang mampu menyelami dan memahami betapa besarnya nilai impian itu. Lainlah kalau bapanya ada di sini. Bapanya sangat faham. Bapanya tahu bahawa bola sepak wanita bukanlah sekadar minat atau hobi biasa.
Di Jepun, skuad bola sepak wanita mereka sangat dihormati, malah pernah menjulang Piala Dunia Wanita. Sukan itu ada masa depannya sendiri. Ada laluan kerjaya yang cerah.
“Baik, Mak Su,” balas Aina sekadar menurut perintah, tidak mahu memanjangkan perdebatan. “Err… Mama mana? Tak nampak pun dari tadi.”
“Oh, Mama kamu tu keluar pergi bank,” jawab Sarimah, kembali memfokuskan pandangan pada skrin. “Dia pergi semak segala baki akaun simpanan dan pelaburan peribadi yang dia ada kat Malaysia ni. Tak tahulah apa yang dia tengah rancang. Mak Su cakap dah duit Mak Su ni tak habis pun kalau nak sara kau orang.”
Aina melepaskan satu keluhan lega. Dia tidak mahu tahu angka tepat atau jumlah wang yang ibunya miliki. Perkara yang paling merisaukannya hanyalah satu—dia tidak mahu melihat ibunya terpaksa hidup susah.
Sepanjang lima belas tahun dia membesar, Aina tidak pernah melihat ibunya dihimpit masalah kewangan walaupun mereka hidup bersederhana. Memang benar bahawa bapanya berstatus presiden kepada sebuah syarikat gergasi, namun lelaki itu tidak pernah memanjakan mereka dengan kemewahan yang melampau batas. Bapanya sangat berdisiplin, lebih gemar mengamalkan gaya hidup sederhana dan mendidik Aina untuk sentiasa bersyukur serta banyak menyumbang kepada golongan yang memerlukan.
Kerana itulah, apa yang berlaku, segala tuduhan di Amerika tempoh hari terasa sangat tidak masuk akal.
“Jadi… Mama memang nak teruskan rancangan Mak Su tu ke?” soal Aina, cuba mengusir kenangan tentang bapanya yang kembali menyelinap masuk ke ruang fikiran. “Buka kafe jual kek?”
Sarimah tersenyum lebar. Matanya bersinar teruja.
“Nampak gayanya macam jadilah. Lagipun, Mak Su rasa itu benda yang paling tepat untuk Mama kamu buat sekarang. Dia pun tak boleh asyik duduk kat rumah, melayan perasaan sedih. Kalau dia sibukkan diri uruskan kafe tu, sekurang-kurangnya dia tak adalah asyik fikir yang bukan-bukan. Mana tahu…”
Sarimah berjeda seketika.
“Mana tahu apa?”
Mendengarkan soalan itu, renungan Sarimah jatuh tepat ke wajah Aina, mempamerkan satu sinar harapan yang sangat rapuh, namun cukup berharga. “…mana tahu, tengah-tengah dia sibuk mengadun kek tu, tiba-tiba Papa Aina dah sihat, semuanya dah selesai, dan dia muncul depan pintu kafe kita?”
Mata Aina mula berkaca. Dia pantas mengesat tubir matanya sebelum air mata jernih itu sempat menitik turun.
“Aamiin…” bisik Aina perlahan, mengaminkan harapan ibu saudaranya itu sepenuh hati.
Dalam diam, setiap hembusan nafasnya tidak pernah putus memanjatkan doa yang sama. Biarlah dia terpaksa melupakan bola sepak untuk seketika. Biarlah dia terpaksa menyesuaikan diri dengan rakan sekelas yang poyo seperti Johan, atau bergaul dengan remaja misteri seperti Zakwan.
Asalkan bapanya kembali dengan selamat, Aina sanggup meredah apa sahaja cabaran di bumi Malaysia ini.