Sesi persekolahan hari pertama akhirnya bernoktah.
Sengaja Aina menolak tawaran Sarimah untuk menjemputnya petang itu. Dia perlukan ruang. Bukan untuk bersenam, tetapi ruang untuk bernafas dan membiarkan kakinya mengenal dan mindanya merakam persekitaran baharu ini.
Aina melangkah keluar dari pekarangan Akademi Puncak Utara, bercampur dengan deretan pelajar elit yang mula beransur masuk ke dalam perut kereta mewah masing-masing.
Laluan pejalan kaki yang menyambutnya di luar pintu pagar dibina lebar, diturap kemas dengan bata merah. Rimbunan pokok tekoma memayungi laluan, membiarkan daun-daun nipis berguguran ditiup angin petang. Di kiri dan kanan jalan, deretan bangunan komersial berdiri megah. Kelompok pekerja kolar putih yang bergegas mencari makan petang berselisih bahu di lorong pejalan kaki. Di jalan raya pula, kelibat bas elektrik meluncur senyap, berhenti mengambil penumpang tepat mengikut kiraan detik pada papan skrin di setiap perhentian.
Sebuah bandar baru yang teratur. Selamat dan moden.
Namun, segala kemodenan yang terhidang di depan mata itu hanyalah latar kabur bagi Aina. Sepanjang lima belas tahun membesar di California, bumi Malaysia ini dirasakan terlalu asing.
Perkahwinan ibu dan bapanya dahulu tidak berapa direstui oleh keluarga sebelah ibunya, membuatkan dia kurang mengenali tanah kelahiran ibunya dan susur galur keluarganya di sini selain Mak Su Sarimah. Dia tidak pernah berjumpa mereka yang lain.
Ah, biarlah, keluh Aina perlahan. Dia membuang jauh-jauh kekusutan tentang keluarga ibunya.
Ada beban yang lebih parah sedang menghempap bahunya sekarang.
Langkah kakinya diteruskan, membelah kesibukan deretan kafe dan restoran. Namun, matanya tidak berkalih merenung skrin telefon pintar di dalam genggaman. Halaman mesej peribadinya dibuka. Pandangannya jatuh pada rentetan teks yang dihantar kepada Kazuha.
Papa, Aina dengan Mama dah selamat sampai. Papa kat mana sekarang? Papa okey tak? Tolonglah balas, Pa…
Mesej itu berderet panjang sejak hari bapanya hilang dari katil hospital. Dada Aina terasa ketat setiap kali melihat tanda satu calit di hujung pesanan ringkasnya. Hatinya tidak henti-henti memanjatkan doa, merayu secebis keajaiban. Sekurang-kurangnya kemunculan tanda dua calit biru. Satu-satunya bukti bahawa bapanya membaca mesej tersebut dan masih bernafas.
Namun, skrin itu kekal bisu. Tiada balasan.
Ke aku yang patut pergi cari Papa? Susah senang sama-sama.
Bibir bawahnya digigit perlahan. Mindanya mengulang semula rentetan peristiwa yang berlaku beberapa hari yang lalu.
Hilang dilarikan dari hospital? Realiti ini kedengaran terlalu merepek, lebih mengarut daripada plot novel web nukilan Mak Su. Malangnya, ini bukan fiksyen. Ini adalah kenyataan ngeri yang sedang mengheret hidupnya.
Selama ini, susuk tubuh itulah tembok pelindungnya yang paling utuh. Bapanyalah penyokong nombor satu di tepi padang, tempat dia bermanja, dan satu-satunya manusia yang benar-benar memahami impiannya.
Biarpun belum genap seminggu mereka berpisah secara mengejut, hidup Aina terasa terlalu kosong. Sepi.
“Aina rindu Papa,” bisiknya halus. Langkah kakinya mula gontai meredah kesibukan petang.
Belum sempat sisa keluhan di bibirnya reda, skrin telefon pintar di genggamannya tiba-tiba berkelip lemah. Ikon amaran bateri berwarna merah menyala sekilas di tengah skrin sebelum peranti itu mati terus. Gelap-gelita. Kehabisan nyawa sepenuhnya.
Aina tergamam. Jarinya laju menekan butang kuasa di sisi telefon berulang kali, namun tiada sebarang tindak balas.
Talian harapannya terputus. Bukan sekadar hilang peluang untuk menanti mesej bapanya, tetapi aplikasi navigasi peta yang diharap memandunya pulang ke rumah Mak Su juga sudah lesap dari pandangan.
“Macam mana aku nak balik ni?” gumam Aina. Matanya meliar memandang sekeliling, mencari papan tanda.
Sedang Aina leka melayan balada duka bersulam rasa cemas yang mula memagut dada, cuaca petang yang cerah tiba-tiba membuat kejutan. Tiada kepulan awan mendung yang berarak menelan cahaya mentari. Dada langit masih terbentang biru terang.
Namun entah dari mana, titisan air mendadak gugur ke bumi. Hujan panas.
Titisan yang pada mulanya sekadar renyai-renyai halus, bertukar menjadi lebat dalam sekelip mata.
Aina tersentak dari lamunan. Panik merayap ke dada. Dia kelam-kabut menyumbat telefon pintarnya ke dalam poket sisi beg galas. Kepalanya berpusing laju ke kiri dan kanan, matanya mencerlung mencari sebarang struktur bumbung untuk berteduh. Malang sungguh nasibnya petang ini.
Laluan pejalan kaki yang sedang dilewatinya kini berada betul-betul di pinggir kawasan lapang berhampiran sebuah taman rekreasi mini. Tiada deretan kedai. Tiada perhentian bas berdekatan. Hanya pepohon rimbun yang dedaunnya mula tembus ditebuk air hujan lebat.
Dalam kelam-kabut merancang untuk terus berlari meredah hujan, tiba-tiba deraian air yang menimpa kepalanya terhenti mendadak.
“Eh?” Aina terkedu. “Tak kena hujan? Dah berhenti ke?”
Biarpun biasan cahaya matahari masih memancar terang di sekelilingnya, tubuhnya kini redup dilindungi sesuatu. Dia mendongak perlahan.
Sebuah payung lutsinar yang agak besar sedang kembang mekar tepat di atas kepalanya. Cukup luas untuk membiarkan silau mentari menembusi, namun melindunginya sepenuhnya daripada tusukan hujan panas.
Dia menoleh ke sisi. Jantungnya berdegup laju sebentar, terperanjat.
Zakwan.
Pelajar biasiswa yang menjadi mangsa usikan Johan di dalam kelas tadi kini sedang berdiri tenang, rapat di sebelahnya. Tangan kanan pemuda itu menggenggam erat hulu payung. Susuk tubuh Zakwan yang tinggi lampai dan tegap itu memaksa Aina untuk sedikit mendongak agar dapat membalas renungan matanya.
“Tak tengok ramalan kaji cuaca?”
Hah? Siapa yang tengok benda tu? Bingung Aina disoal sebegitu. Sepanjang hidupnya, tidak pernah pula dia terfikir untuk baca ramalan dan laporan kaji cuaca.
Zakwan tidak peduli sekalipun soalannya tidak dijawab. Dia mengisyaratkan dengan tangan kiri supaya Aina segera berjalan. Sekalipun dilindungi payung, percikan air hujan yang menghentam tanah masih terkena mereka.
“Eh, tak apa. Aku nak lari pergi berteduh kat depan sana tu,” tolak Aina pantas. Perasaan segan mula menyerbu. Dia tidak selesa terperangkap di bawah satu bumbung kecil sedekat ini dengan mana-mana lelaki.
“Jalan,” pintas Zakwan, sepatah. Suaranya garau, mendatar, langsung tidak mempedulikan penolakan Aina. “Kita berteduh kat perhentian bas depan sana tu dulu.”
Tanpa menunggu persetujuan, Zakwan terus mengatur langkah. Pergerakannya sengaja dilambatkan sedikit, memastikan gadis di sebelahnya itu sentiasa berada di bawah lindungan kanopi payung lutsinarnya.
Aina tiada pilihan selain akur menuruti langkah remaja itu. Mereka berjalan menyaingi rentak masing-masing, meredah tirai hujan panas.
Setibanya mereka di perhentian bas berhampiran yang sudah mula disesaki beberapa orang awam yang menumpang teduh, Aina segera menjauh beberapa langkah. Menjarakkan dirinya daripada Zakwan.
“Terima kasih,” ucap Aina perlahan, sambil tangannya mengibas sisa rintik air pada bahu kemeja seragamnya.
“Tak ada hal,” balas Zakwan bersahaja. Gaya tubuhnya santai bersandar pada tiang perhentian bas, pandangannya dibuang lurus merenung titisan hujan yang menghentam kasar permukaan jalan tar. “Rumah kau kat mana?”
Aina mengerutkan dahi. Fikirannya ligat memerah ingatan, menggali nama rasmi kawasan perumahan elit ibu saudaranya yang dilihat pada papan tanda awal pagi tadi.
“Err… Residensi Puncak Sayang.”