Suasana di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agak sesak malam itu.
Aina menolak troli bagasi dengan langkah yang sangat longlai. Roda troli berkeriut halus, bersaing dengan derapan kasut ratusan atau mungkin ribuan penumpang lain. Di sisinya, Maisarah melangkah gontai. Susuk tubuh ibunya kelihatan begitu sugul, persis jasad yang telah direntap rohnya. Matanya kosong merenung lantai simen berkilat.
“Kak Mai! Aina!”
Jeritan nyaring dari arah depan terus memecah kebisingan dewan ketibaan itu.
Sarimah—adik bongsu Maisarah yang masih lekat berstatus bujang biarpun usia sudah selesa melepasi angka tiga puluh—melambai rancak. Tangan kirinya menjinjing tas tangan, manakala tangan kanannya melambai tinggi ke udara. Dia berlari-lari anak merapati mereka berdua.
Tanpa sebarang isyarat, Sarimah terus menerkam dan memeluk erat tubuh kakaknya.
Pelukan dieratkan. Tangisan dua beradik itu pecah bertaburan di tengah-tengah laluan orang ramai. Sarimah menggosok-gosok perlahan belakang Maisarah, turut sama mengalirkan air mata melihat wajah kakaknya yang kelihatan terlalu cengkung dan tidak bermaya.
Namun, babak drama air mata itu tidak dibiarkan berpanjangan. Tidak sampai seminit, Sarimah meleraikan pelukan. Dia pantas mengesat air matanya dengan hujung jari, lantas mengukir satu senyuman lebar. Senyuman yang entah bagaimana, memancarkan sedikit kelegaan.
“Kak Mai kena kuat okey? Abang Kazuha tu tak mati lagi. Dia bukan orang lemah,” bisik Sarimah, cuba memujuk dengan nada separuh berseloroh. Tangannya mengusap bahu Maisarah. “Dia cuma menyorok sekejap. Sampai masa nanti, pasti dia cari jalan balik pada kita.”
Kata-kata Sarimah itu ibarat suis yang menghidupkan kembali layar memori Aina. Bebola matanya terkebil-kebil merenung tayar troli. Ingatannya terus ditarik mundur, kembali terperangkap pada peristiwa tegang yang menyesakkan dada dua hari yang lalu.
***
Hospital Peringatan California.
Bunyi detikan mesin elektrokardiogram (ECG) memecah kesunyian wad VIP itu. Iramanya seragam, namun menakutkan bagi keluarga pesakit.
Di atas katil berbalut cadar putih bersih itu, Kazuha terbaring kaku. Lemah. Dada bapanya berombak halus mengikut pam udara dari alat pernafasan. Matanya terpejam rapat.
Aina berdiri diam di sebalik pintu kaca wad. Pandangannya kosong merenung susuk tubuh pelindung terbesarnya yang kini tidak lagi berdaya. Di ruang menunggu yang sunyi di luar wad itulah, ibunya baru sahaja membongkarkan rahsia gelap yang memusnahkan kehidupan keluarga mereka dalam sekelip mata.
“Papa kamu tak bersalah, Aina,” suara Maisarah bergetar, kedengaran begitu rapuh. Namun, rahang wanita itu diketap rapat menahan ledakan amarah. “Kumpulan Shinjo… ahli lembaga pengarah syarikat itu menuduh papa kamu pecah amanah dan menyeleweng dana bernilai berjuta-juta dolar.”
Nafas Aina tersekat di kerongkong. Hatinya bagai dipukul tukul besi. “Tapi kenapa? Papa bukan manusia macam tu!”
“Semuanya kerja bapa saudara kamu. Dia tamakkan kerusi Presiden Kumpulan Shinjo. Dia perangkap papa kamu hidup-hidup, dan papa langsung tak sempat kumpul bukti untuk bersihkan namanya sebelum serangan jantung tu serang dia.”
Tiba-tiba, kedengaran bunyi derapan kasut kulit memecah hening koridor hospital. Tajam dan berirama.
Susuk tubuh lelaki itu muncul dari balik selekoh lorong. Shinjo Itsuki. Sut mahal buatan Eropah membalut tubuhnya dengan sempurna tanpa sebarang kedutan. Rambutnya disisir kemas ke belakang. Abang sulung Kazuha itu mempamerkan riak wajah yang sangat tenang, namun senyuman nipis yang terukir di hujung bibirnya menyimpan seribu bisa maut.
“It is truly a tragedy, Maisarah,” sapa lelaki itu. Suaranya bergema dalam dan mendatar. Nadanya sengaja ditekan untuk merendah-rendahkan, tanpa kelihatan ketara. “Kazuha always let his emotions cloud his judgment. But the corporate world… it is an unforgiving arena. It devours the weak without mercy.”
Maisarah terus berdiri tegak. Tubuhnya diluruskan. Dia menapak ke hadapan, merenung tepat ke dasar anak mata bapa saudara Aina itu tanpa mempamerkan segelumit pun rasa gentar.
“You framed him. You know exactly what you did.”
Itsuki tertawa kecil. Tawa yang kedengaran lembut, tetapi sangat sinis. Dia menyentuh dada kotnya dengan hujung jari, berlagak suci.
“Accusations require evidence, my dear sister-in-law. Right now, the only evidence the board sees is Kazuha’s messy financial footprints. I am merely stepping in to save our family’s legacy.”
Lelaki itu kemudiannya menoleh perlahan ke arah Aina. Pandangannya dingin, menembus tajam ke dalam jiwa.
“Take good care of your father… and mother, little girl.”
Habis meninggalkan pesan yang langsung tidak ikhlas itu, Itsuki berpusing lantas melangkah pergi. Meninggalkan koridor itu sarat dengan bau amaran dan ketegangan yang menyesakkan dada.
Keadaan kembali hening sebaik sahaja kelibat lelaki itu hilang ke dalam perut lif.
“Mama…” panggil Aina, suaranya sedikit menggeletar.
Maisarah segera berpaling. Rona kemarahan tadi sedaya-upaya disembunyikan. Dia memaksakan satu senyuman manis buat anak gadisnya.
“Mama nak turun ke kafe sekejap,” balas Maisarah, mengusap lembut lengan Aina. “Kamu nak ikut?”
Aina sekadar menggeleng perlahan. Dia cukup faham. Ibunya bukan sekadar mahu membasahkan tekak, wanita itu perlukan ruang untuk bernafas. Sudah berbelas jam ibunya bersengkang mata menatap wajah pucat bapanya. Kehadiran dan provokasi bapa saudaranya tadi hanyalah menambah lagi masalah ibunya.
“Tak apa. Aina tunggu sini.”
Aina kembali melabuhkan punggung di kerusi menunggu bersalut kulit itu. Kepalanya disandarkan berat pada dinding konkrit. Kelopak matanya yang memberat akibat tangisan dan kepenatan akhirnya terpejam. Tanpa dia sedar, dia terlelap.
Hanya sekitar tiga puluh minit.
Tiba-tiba, keheningan koridor wad VIP itu direntap kasar oleh jeritan panik.
“Emergency! We have a missing patient! Room 402 is empty!”
Jeritan lantang seorang jururawat yang bertugas di kaunter hadapan bergema di seluruh tingkat.
Berdesing telinga Aina. Matanya membulat sakan. Otaknya ligat memproses nombor tersebut.
Bilik 402. Itu bilik Papa!
Dari arah lif yang baru terbuka, Maisarah yang sedang melangkah keluar sambil memegang dua cawan kertas berisi kopi hangat terus tergamam. Cawan itu terlepas dari pegangannya.
Kopi panas tumpah bersepah membasahi lantai mozek, namun Maisarah tidak peduli. Dua beranak itu meluru deras ke arah bilik wad berkenaan. Mereka merempuh masuk tanpa menghiraukan dua orang jururawat yang sedang panik memeriksa bilik mandi.
Kosong.
Katil hospital itu tidak lagi berpenghuni. Selimut putihnya terselak separuh, melorot ke lantai. Skrin mesin ECG sudah gelap, palamnya dicabut kasar dari soket dinding. Kazuha lenyap tanpa meninggalkan sebarang jejak pergelutan.
Nafas Maisarah turun naik menahan asakan panik. Matanya meliar liar ke segenap ruang bilik yang sepi itu. Hatinya bagai dicarik-carik cemas.
Namun, di tengah-tengah kekalutan itu, pandangan tajam Maisarah terhenti pada laci meja kecil di sebelah katil. Ada sekeping kertas renyuk ditinggalkan di situ. Seakan dikoyak kasar dari buku nota poket milik jururawat. Tulisan tangannya berterabur cakar ayam.
Maisarah mencapainya dengan tangan yang sedikit menggeletar. Aina segera merapati ibunya. Matanya dikecilkan, cuba mengeja setiap patah perkataan yang tertulis dengan dakwat hitam tersebut.
Ia adalah sepucuk surat ringkas. Ditulis dalam struktur Bahasa Inggeris yang agak berterabur, tetapi mesejnya jelas. Daripada Araki—pembantu peribadi merangkap bayang-bayang bapanya yang paling setia.
Madam Mai.
Boss in danger. I take him hide. I will find proof.
Bad people plan more bad thing here.
You go Malaysia. Trust me. I will find you there.
Maisarah merenyukkan kertas itu erat-erat di dalam genggamannya. Rahangnya bergerak-gerak menahan getaran emosi yang cuba meletus dari celah bibir. Air matanya kembali mengalir turun, namun kali ini, ia bukan lagi air mata putus asa. Ia disertakan dengan satu kelegaan yang tidak terucap dengan kata-kata.
Suaminya masih bernyawa.
Dan bagi Aina, di saat itulah dia mula faham. Kepulangannya ke Malaysia ini bukanlah lambang satu kekalahan atau pelarian. Sebaliknya, ia adalah garisan permulaan untuk sebuah perancangan yang jauh lebih besar demi menyelamatkan keluarganya.
***
Perjalanan merentas Lebuhraya Utara-Selatan memakan masa berjam-jam lamanya.
Suasana di dalam Kia Sportage milik Sarimah sesekali dipecahkan dengan alunan muzik perlahan dari corong radio dan perbualan ringkas antara dua beradik yang duduk di ruang hadapan.
Aina yang duduk di kerusi penumpang belakang lebih banyak melayan perasaan sendiri. Pandangannya dibuang kosong menembusi cermin tingkap. Deretan tiang lampu lebuh raya yang memancar kuning silih berganti memanah anak matanya, seolah-olah menjadi saksi bisu kepada segala kekusutan yang bersarang pekat di benak fikiran.
“Kamu lapar tak, Aina? Mak Su ada beli roti sikit tadi kat R&R,” tegur Sarimah sambil tangannya kemas memandu, matanya fokus merenung jalan raya yang dihurung gelap malam.
Aina sekadar menggeleng lemah. “Tak apa, Mak Su. Aina masih kenyang.”
“Minum air sikit. Nanti masuk angin pula perut tu. Dari atas kapal terbang tadi kamu tak jamah apa-apa kan?” sampuk Maisarah dari kerusi penumpang hadapan. Nada suaranya sarat dengan kerisauan seorang ibu.
“Baik, Mama.” Aina mencapai botol air mineral yang diselitkan di sisi pintu, meneguk isinya perlahan sekadar membasahkan tekak yang terasa perit.
Selebihnya, gadis berusia lima belas tahun itu kembali membisu. Dia hanya menjawab setiap soalan sekadar untuk tidak menghampakan kerisauan dua wanita dewasa di hadapannya itu. Fikirannya masih terperangkap di bumi Amerika. Dia memikirkan nasib bapanya yang kini terpaksa hidup ibarat buruan pelarian. Dia memikirkan karier bola sepaknya yang hangus terbakar dalam sekelip mata.
Tanpa sedar, bunyi dengungan enjin kereta yang stabil dan kedinginan pendingin udara perlahan-lahan mula membuai kelopak mata Aina. Terasa semakin memberat. Akhirnya, dia terlelap. Tewas pada keletihan fizikal dan timbunan emosi yang menggunung tinggi.
Dalam lena yang panjang dan dalam itu, dia kembali ke padang bola. Dia bermimpi menyarung semula jersi nombor sembilannya. Dia mendengar sorakan penonton. Dan malangnya, dia kembali melihat bapanya rebah di stadium.
Papa!
Aina tersentak.
Kelopak matanya terbuka luas dengan nafas yang tercungap-cungap, seolah-olah dia baru sahaja selesai berlari mengelilingi trek balapan.
Gelap. Pandangannya mengambil masa beberapa saat untuk fokus dan membiasakan diri dengan keadaan sekeliling. Dia masih berada di tempat duduk belakang Kia Sportage itu. Peluh dingin merenik halus di pangkal lehernya.
“Kamu dah bangun, Aina?” tegur Sarimah dari tempat pemandu, memecah kesunyian awal pagi.
Aina membetulkan posisi duduknya, cuba membuang sisa mamai dan rasa gementar yang masih merayap dari alam mimpi. Dia menoleh ke luar tingkap. Langit masih pekat, namun garisan oren dan keemasan fajar mula menyingsing membelah ufuk timur. Waktu Subuh sudah pun menjengah.
Kereta yang dipandu Sarimah mula memperlahankan kelajuan.
“Kita kat mana ni, Mak Su?” soal Aina, suaranya sedikit serak.
“Dah sampai,” balas Sarimah sambil tersenyum nipis memandang cermin pandang belakang.
Kia Sportage itu meluncur perlahan melepasi palang tol yang terbuka automatik. Sebuah papan tanda besar berwarna hijau yang ditegakkan di tepi lebuh raya itu terpampang jelas, disimbah cahaya lampu jalan.
Plaza Tol Sungai Petani Utara.
Aina menarik nafas dalam.
Bumi Kedah. Di sinilah segalanya akan bermula kembali. Sebuah lembaran baharu yang tidak pernah diimpikannya, namun terpaksa didepani juga demi kelangsungan hidupnya dan maruah keluarganya.