Switch Mode

Zoran: Pertempuran Dewa – Bab 5

Pemain Pemula

Zen memandang sekeliling. Dia sedang cuba untuk menyusun semula semua perancangan yang perlu dilakukan di Pekan Daun Merah supaya perjalanannya kelak lebih lancar. Namun, sebelum memulakan apa-apa langkah drastik, Zen sengaja memilih untuk berjalan-jalan di sekitar dataran pekan itu terlebih dahulu.

Dia mahu menyerap kembali suasana nostalgik yang sudah sepuluh tahun tidak dirasainya.

Pekan itu sama seperti dahulu. Sesak. Cahaya dari titik pelancaran berkelip tanpa henti, memuntahkan ribuan pemain baharu ke dalam zon permulaan. Di merata-rata tempat, kedengaran gema suara-suara keterujaan. Ada yang melompat-lompat riang, ada yang menggosok-gosok tekstur dinding batu bata pada bangunan berhampiran, dan ada juga yang menampar pipi sendiri kerana masih tidak percaya dengan apa yang sedang mereka alami.

“Gila! Dah seratus peratus sama macam dunia sebenar!” jerit seorang pemain kelas Pemanah yang sedang mencangkung, teruja meraba-raba rumput di tepi jalan.

Bukan rekaan alam sahaja yang memukau, malah interaksi Karakter Bukan Pemain (NPC) juga sangat melangkaui akal.

“Ke tepi sikit, budak! Kau buta ke?!” herdik seorang NPC tukang besi bersusuk tubuh sasa apabila seorang pemain tidak sengaja merempuhnya. NPC itu mendengus marah, merenung tajam sambil menepuk-nepuk debu pada apron kulitnya sebelum terus berlalu pergi.

Pemain yang dirempuh itu tidak sedikit pun berasa marah, sebaliknya dia ternganga kagum. “Wah… NPC respons macam manusia betul! Kalau dalam game lain, NPC ulang dialog skrip yang sama je.”

Keterujaan itu pantas merebak. Tidak mahu membuang masa untuk sekadar menjamu mata, para pemain mula berteriak di sana sini, menubuhkan kumpulan untuk menempuh pengembaraan bersama-sama.

“Perlukan seorang Tabib! Kami dah ada Pahlawan Gasar dan Pakar Elemental. Cepat, siapa nak masuk pasukan kami?!”

“Misi memburu Serigala Liar! Perlukan lagi dua orang penyerang! Kita pulun sampai Level 5 hari ni!”

Di satu sudut berhampiran sebuah air pancut di tengah-tengah pekan, kedengaran suara seorang lelaki berdada bidang sedang ketawa berdekah-dekah. Dia memakai Baju Kulit Perantis dari kelas Kesatria Perisai, berdiri dengan gaya yang cukup angkuh.

“Setakat Zoran ni, apalah sangat. Aku dah takluk tiga permainan VR sebelum ni. Silap-silap, tak lama lagi nama aku terus masuk senarai Top 100! Sesiapa nak ikut aku, kau orang bayar saja $100 seminggu. Aku berani jamin kau orang akan naik Level dengan laju. Kalau tak nak, melopong sajalah.” bual lelaki itu dengan nada bongkak, memancing pemain-pemain baru yang naif dengan janjinya yang melangit.

Beberapa orang pemain yang terpengaruh kelihatan mula mengerumuni lelaki itu dengan mata yang bersinar-sinar.

Zen yang melihat adegan itu dari jauh hanya tersenyum sinis lalu menggelengkan kepalanya perlahan.

Awal-awal ni semua orang boleh cakap besar, bisik hatinya. Dia tahu, Zoran tidak semudah yang disangka oleh mereka yang angkuh. Zoran akan menunjukkan mereka realiti yang sangat kejam tidak lama lagi. Kesilapan kecil pada fasa awal sudah cukup untuk merosakkan potensi masa depan mereka selamanya.

Dia terus berjalan dan mencari ruang yang sedikit lengang di bawah sebatang pokok merendang, jauh dari kesibukan tadi. Jari-jemarinya memanggil tetingkap antara muka.

“Aku lupa nak periksa beg,” gumam Zen perlahan.

Di dalam beg simpanan maya miliknya, cuma ada sepuluh keping roti dan sepuluh kantung air. Memakan roti akan memulihkan 10 HP sesaat, manakala meminum air pula memulihkan 10 MP sesaat. Kedua-duanya memberikan kesan pemulihan selama sepuluh saat. Bekalan asas yang sangat terhad.

Zen beralih pula ke Panel Atribut.

Setiap pemain yang memilih kelas Pemedang akan bermula dengan nilai Atribut asas yang seragam. Apa yang akan membezakan Level kekuatan dan mencorak potensi sebenar mereka kelak hanyalah satu—bagaimana mereka melaburkan Mata Atribut Bebas.

Setiap kali naik Level, pemain akan diberikan 4 Mata Atribut Bebas. Agihan mata inilah yang akan melahirkan gaya tempur peribadi masing-masing.

Kekuatan berfungsi untuk melonjakkan Kuasa Serangan Fizikal dan impak pada setiap ayunan senjata. Ketangkasan memacu Kelajuan Serangan dan Kelajuan Pergerakan. Ketahanan pula mengembangkan kapasiti HP maksima dan stamina. Kepintaran bertindak menaikkan Kuasa Serangan Magis serta kapasiti MP, manakala Vitaliti mempercepatkan kadar pemulihan semula HP dan MP.

Setiap kelas pekerjaan menuntut keutamaan Atribut yang berbeza.

Secara logiknya, memandangkan Pemedang bergantung sepenuhnya pada serangan fizikal, majoriti pemain pasti akan melambakkan mata pada Atribut Kekuatan. Dalam kehidupan lalunya, Zen juga terikut-ikut dengan trend tipikal itu; dia membahagikan 2 mata pada Kekuatan, 1 mata pada Ketahanan, dan 1 mata pada Ketangkasan bagi setiap Level. Ia adalah satu formula yang selamat, tetapi terlalu biasa.

“Aku dah ada pengalaman, aku tak boleh ulang formula biasa yang sama,” bisik Zen, mengingatkan dirinya sendiri.

Dia tersenyum lebar. Dia kini sudah mempunyai satu acuan pertempuran baharu, sebuah rahsia hasil daripada memerhati dan belajar daripada pengalaman mereka yang dahulu pernah berdiri megah di puncak Zoran.

Tanpa teragak-agak, jarinya terus menekan simbol tambah (+) pada Atribut Ketangkasan. Keempat-empat Mata Atribut Bebas itu dilaburkan semuanya di situ.

Status Ketangkasan Zen serta-merta melonjak kepada 7 mata. Kelajuan Serangannya naik ke angka 4 dan Kelajuan Pergerakannya juga menjadi 4.

Jika pemain lain tahu apa yang dilakukan oleh Zen sebentar tadi, mereka pasti akan mentertawakannya dan mengatakan bahawa Zen bertindak semberono serta tidak tahu apa-apa mengenai mekanisme atribut. Zen sendiri bersetuju bahawa ini adalah satu tindakan yang agak gila. Tidak ada sesiapa yang akan bertindak sebegini. Waima pemain dari kelas Pemburu Bayang yang sememangnya bertunjangkan kelajuan sekalipun tidak akan berani mengambil risiko sebegini seawal ini.

Kebanyakan pemain tetap akan mendahulukan Kekuatan kerana kuasa serangan yang tinggi dianggap sebagai kunci mutlak untuk mempercepatkan proses menaikkan Level pada fasa permulaan.

Namun, hanya Zen sahaja yang tahu betapa ngerinya potensi ‘kegilaan’ yang baru sahaja dipilihnya itu.

Hakikatnya, bagi mana-mana kelas tempur jarak dekat, Ketangkasan adalah senjata paling ampuh pada fasa terawal Zoran. Ia merupakan satu rahsia besar yang hanya akan terbongkar beberapa minggu selepas pelayan permainan dilancarkan. Menjelang waktu strategi sebenar ini mula didedahkan kepada umum kelak, pasti tidak terkira jumlah pemain tempur yang menepuk dahi dan mengeluh panjang akibat kesilapan percaturan mereka.

Selesai menguruskan panel atribut, Zen kembali memerhatikan keadaan sekeliling.

Dalam tempoh yang sangat singkat, gelombang demi gelombang pemain baharu terus muncul, membanjiri segenap ruang pekan kecil itu. Simbol rombus hijau yang mewakili keberadaan pemain mula bersesak-sesak di udara, menenggelamkan terus simbol kuning milik NPC. Keadaan yang terlampau padat ini pasti akan merumitkan urusan sesiapa sahaja yang mahu menjejak NPC untuk mendapatkan Misi awal.

Belum sempat Zen menyusun langkah untuk meredah kesesakan tersebut, satu bunyi notifikasi memecah tumpuannya.

Di! Di! Di!

Sistem komunikasi maya miliknya berkelip pantas, meminta talian disambungkan. Zen melirik ke arah paparan nama pemanggil yang muncul di sudut matanya. Satu senyuman nipis terukir di bibir. Dia sudah agak, individu di hujung talian itu pasti tidak sabar untuk mencarinya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset