Switch Mode

Senjata Jiwa – Bab 1

Sumpahan Debu Aethel

Angin bertiup membawa debu merah kering dan berbau bahan kimia. Ia enyesakkan nafas.

Tariq menyeka peluh yang mengalir pedih ke dalam tubir matanya menggunakan lengan baju kapas yang sudah carik. Hujung kuku pemuda berusia lapan belas tahun itu hitam, penuh dengan sisa tanah dan kotoran. Dia membenamkan cangkul besinya yang sudah sumbing ke dalam timbunan batu dan logam reput, mencungkil ketulan demi ketulan dengan berhati-hati.

Bunyi dentingan besi berlaga dengan batu bergema perlahan. Di sekelilingnya, terbentang pemandangan Lembah Sisa, sebuah penempatan usang yang terbina di dasar tebing curam, persis mangkuk raksasa yang menadah sisa buangan dari daratan tinggi.

Tiada kehijauan di sini. Hanya deretan pondok senget yang dibangunkan menggunakan kepingan zink berkarat, papan reput, dan kain kanvas lusuh.

“Kau jumpa apa-apa hari ini, Tariq?”

Satu suara serak kedengaran dari celah timbunan sampah tidak jauh daripadanya. Pakil, seorang lelaki separuh abad yang kudung tiga jari kirinya, sedang mengorek tanah menggunakan cangkul patah. Tubuh orang tua itu cengkung. Tulang rusuknya menimbul di sebalik baju lusuh yang diikat dengan tali rami pada pinggang.

“Belum, Pakil. Asyik jumpa dawai tembaga reput saja,” jawab Tariq, suaranya dikawal perlahan. Tekaknya kering. Sejak semalam, hanya separuh mangkuk bubur ubi kayu keras dan seteguk air perigi berbau belerang yang menjadi pengisi perut. Itulah hidangan ruji di Lembah Sisa. Jika bernasib baik, mereka akan merebus ayam liar padang pasir.

Pakil terbatuk-batuk. Bunyinya kering, seakan-akan ada serpihan kaca di dalam peparunya. Tariq merenung orang tua itu dengan penuh rasa simpati. Dia tahu, batuk itu adalah satu petanda.

“Pakil—”

Belum sempat Tariq meneruskan bicara, tiba-tiba, bumi bergegar.

Bukan gempa. Gegaran itu tidak datang dari bawah tanah, sebaliknya turun dari atas.

Satu deruman enjin yang amat dahsyat membingitkan telinga. Bunyinya seperti dengungan ribuan tebuan gergasi dan bunyi besi bergesel. Serta-merta, cahaya matahari yang terik memancar ke atas Lembah Sisa terhalang. Suasana tengah hari bertukar redup dan suram dalam sekelip mata.

Tariq mendongak. Pakil juga mendongak. Seluruh penduduk Lembah Sisa yang sedang mundar-mandir di celah pondok-pondok sempit, berhenti melangkah. Semuanya kaku, mengangkat wajah ke langit dengan riak wajah yang bercampur baur, antara kagum, benci, dan gerun.

Sebuah kapal udara gergasi milik Empayar Valerius meluncur megah di celah awan rendah.

Tubuh kapal itu diperbuat daripada keluli hitam legam yang digilap berkilat, dihiasi lambang naga emas yang membelit pedang pada lambungnya. Di bahagian bawah kapal, corong-corong ekzos memuntahkan asap biru yang wangi namun beracun. Ia bukan sekadar kenderaan, tetapi sebuah kubu perang terapung.

Ia juga adalah simbolik bahawa sang penguasa berada tinggi di angkasa, manakala rakyat bawahan hanyalah serangga yang merayap di atas debu merah.

“Kapal Jeneral,” bisik Pakil, suaranya bergetar. “Pasti mereka baru pulang dari peperangan di sempadan timur.”

Tariq tidak membalas. Dia mengetap rahang. Bayang-bayang kapal itu bergerak perlahan melepasi lembah. Dan pada saat bayang-bayang gelap itu menutupi tapak galiannya, mata Tariq menangkap sesuatu.

Satu pantulan cahaya. Sangat halus.

Jantung Tariq berdegup kencang. Dia segera berkalih, membelakangkan Pakil, dan membongkok lebih rapat ke permukaan tanah. Dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari yang terketar-ketar, dia menguis sisa tanah liat merah.

Seketul batu lut sinar sebesar ruas jari kelengkeng terserlah. Di bahagian teras batu itu, terdapat urat cahaya biru yang berdenyut perlahan, seolah-olah ia bernyawa.

Kristal Aethel.

Walaupun grednya sangat rendah, penuh dengan bendasing dan kotoran, nilainya di pasaran gelap cukup untuk membeli ubat penahan sakit dan makanan bersih untuk keluarganya sekurang-kurangnya untuk dua minggu.

Tariq menelan air liur. Dia baru sahaja hendak menyelitkan kristal itu ke dalam kocek seluarnya apabila kedengaran satu jeritan nyaring dari arah pintu masuk penempatan.

“Bangun! Berdiri di tempat masing-masing! Jangan ada sesiapa yang berani bergerak!”

Tariq kaku. Darahnya seakan-akan berhenti mengalir.

Bunyi hentakan but besi yang seragam dan berat bergema memecah kesunyian lembah.

Tiga orang Pengawal Empayar Valerius melangkah masuk ke kawasan itu. Tubuh mereka dibaluti zirah perang perak yang berkilau. Di pinggang mereka, tergantung pedang lebar dan senapang laras pendek yang dikuasakan oleh Teras Aethel buatan. Topi keledar mereka menutupi separuh wajah, hanya menampakkan mata yang merenung tajam.

Mereka adalah anjing belaan Empayar. Kejam. Tiada belas kasihan. Tugas mereka kononnya menjaga keamanan sempadan, tetapi hakikatnya, mereka datang untuk memeras keringat penduduk miskin.

“Kutipan cukai keselamatan bulan ini!” laung pengawal di hadapan, suaranya angkuh membelah udara berdebu. “Serahkan apa sahaja yang kamu gali hari ini! Logam, zink, atau kristal. Sesiapa yang menyembunyikan hasil, tangannya akan dipotong!”

Pakil, yang berada beberapa langkah dari Tariq, menggigil ketakutan. Orang tua itu cuba menyembunyikan segelung dawai tembaga di bawah tapak kakinya, tetapi pergerakannya disedari oleh salah seorang pengawal.

“Hei, orang tua!”

Pengawal itu menerpa ke arah Pakil. Tanpa sebarang amaran, hulu senapang dihayunkan tepat ke rahang orang tua itu.

BUK!

Pakil terpelanting, jatuh terjelepok ke atas tanah berdebu. Darah pekat memancut dari mulutnya. Dawai tembaga tadi dirampas kasar.

“Berani kau menyembunyikan cukai Empayar?” herdik pengawal itu sambil meludah ke tanah, tepat di sebelah wajah Pakil yang sedang mengerang kesakitan. Isteri Pakil yang berlari dari arah pondok menjerit ketakutan, merayu sambil memeluk kaki pengawal tersebut, hanya untuk ditendang ke tepi seperti anjing kurap.

Tariq menundukkan wajah. Giginya berlaga. Urat di lehernya timbul menahan amarah yang mendidih. Dia mahu melawan. Dia mahu mencengkam leher pengawal itu dan mencekiknya sehingga mati.

Namun, realiti merantai tubuhnya. Jika dia bertindak, bukan sahaja dia akan dibunuh di situ juga, tetapi pondoknya akan dibakar. Bagaimana dengan adiknya, Laila, yang sedang menunggu ubat di rumah? Bagaimana dengan Tok Kadir?

Langkah but besi yang berat mula menghampiri Tariq.

Pengawal kedua yang berbadan lebih sasa berdiri betul-betul di hadapannya. Bau minyak senjata dan peluk menusuk ke hidung Tariq.

“Kau. Budak miskin.” Suara pengawal itu garau, menuntut. Hujung pedang yang masih tersarung ditunjalkan ke dada Tariq. “Apa yang kau dapat hari ini? Seluk poket kau!”

Tariq tidak bernafas. Di dalam tapak tangannya yang dikepal erat sejak tadi, tersembunyi Kristal Aethel itu. Jika dia membuka tangannya, kristal itu akan dirampas. Laila tidak akan mendapat ubat. Adiknya akan mati dalam kesakitan akibat Sumpahan Debu Aethel.

Tetapi jika dia menipu dan diselongkar… tangannya akan dipotong.

“Aku cakap…” Pengawal itu mencengkam kolar baju kapas Tariq, mengangkat tubuh pemuda itu sedikit dari tanah. “…seluk poket kau sekarang, budak!”

Masa seakan-akan terhenti. Jantung Tariq berdegup bagai mahu pecah rusuknya. Dia merenung terus ke dalam mata pengawal itu. Tangan kanannya perlahan-lahan bergerak, menyeluk ke dalam poket seluarnya yang berlubang.

Tariq telah membuat keputusannya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset