Pandangan Kael jatuh pada sisa-sisa daging Kumbang Hitam yang bersepah di atas tanah. Selera yang ada tadi sudah hilang. Dia sudah tidak peduli lagi.
Kael menghela nafas berat, cuba menenangkan fikirannya yang bercelaru. Dia perlu melihat data. Dia perlu merancang.
“Panel Status.”
Sejurus selepas arahan mental itu diberikan, satu paparan lut cahaya terus muncul di hadapannya—tulisan biru yang kemas terapung di atas latar belakang putih yang tembus pandang, tidak menghalang pandangannya terhadap hutan di sekeliling.
=====
[Panel Status]
Nama: Kael Novera
Level: 0
Gelaran: Pendaki Baru
Evolusi Tubuh: Tahap 0
Mata Biasa: 32 / 100
Mata Mutan: 0 / 100
Mata Purba: 0 / 100
Mata Sakti: 0 / 100
Astra: Tiada
Wang
Gangsa: 75
Perak: 0
Emas: 0
Atribut Fizikal
Kekuatan: 10
Kelajuan: 10
Ketahanan: 10
Atribut Mental
Kecerdasan: 30
Pesona: 10
Nasib: 30
Mata Atribut Bebas: 0
Skil: Tiada
=====
“Baru 32 Mata Biasa. Jauh lagi,” luah Kael. Nada suaranya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan yang dirasainya, memandangkan matlamat 100 Mata Biasa itu masih terasa amat jauh.
Dia mendongak, seolah-olah mencari jawapan dari langit, namun pandangannya hanya terhalang oleh kanopi tebal Hutan Tabun yang seakan tiada penghujung. Dia sedar dia kini berada tidak jauh dari Kubu Menara Hutan Tabun Utara, satu-satunya penempatan “selamat” di tingkat ini, tetapi itu tidak menyelesaikan masalah utamanya. Dia perlu segera menyusun langkah seterusnya.
“Aku kena buru raksasa lain. Itu saja cara yang ada,” gumamnya, matanya kembali memandang ke tanah. “Tapi, raksasa yang mana satu?”
Hutan ini, seperti yang telah dipelajarinya selama sembilan hari, menjadi habitat kepada beberapa jenis Raksasa Biasa, bermula dari Level 0 yang paling lemah hinggalah Level 2 yang mampu membunuh Pendaki baru dengan mudah. Kael sedar sepenuhnya akan batas kemampuannya. Buat masa ini, dia hanya mampu berlawan dengan Level 0. Cuba memburu sesuatu yang lebih kuat adalah satu kebodohan yang tiada bezanya dengan membunuh diri.
Fikirannya mula menyenaraikan sasarannya yang lain: Arnab Putih, Kodok Hijau, dan Cacing Berduri. Di dunia luar, takkan pernah terlintas di fikirannya untuk memburu makhluk-makhluk sebegitu, apatah lagi untuk memakannya. Tetapi di sini, di dalam Menara Seribu, dia tiada pilihan. Dia terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti baru ini. Ikut peraturan, atau mati.
Lebih penting lagi, dia perlu mengambil kira akan lokasi. Dia sudah menghabiskan banyak masa menanda kawasan mana yang boleh dia lalui dan mana yang perlu dijauhi. Masalahnya bukan sahaja raksasa; ia adalah Pendaki lain. Dia perlu mengelak daripada bertembung dengan kumpulan-kumpulan yang sudah mula terbentuk. Berebut kawasan buruan hanya akan membuang masa dan tenaga yang berharga.
“Leceh kalau bertembung mereka,” gumamnya perlahan.
Kael menyapu daun-daun kering di satu kawasan, mendedahkan tompok tanah kosong yang diyakininya selamat dari pandangan. Dia duduk bersila, Pisau Perak Gred F miliknya kini digunakan sebagai alat tulis. Dia perlu menulis rancangannya. Wajahnya berubah serius, fokusnya tertumpu sepenuhnya pada tugasan itu. Hujung pisaunya mula melakar garisan di atas tanah lembap.
“Ini Hutan Tabun,” kata Kael, lebih kepada dirinya sendiri. Tangannya mula bergerak lebih laju, menanda lokasi tumpuan raksasa dan, yang lebih penting, zon kawalan kumpulan Pendaki lain.
“Tengah, kawasan Kumpulan Ariel.” Kael memangkah kawasan itu dengan kuat di dalam peta mentalnya. Dia diam sejenak sebelum menambah, “Kumpulan ni terlalu bising dan ramai. Tinggi potensi untuk menarik perhatian raksasa yang tidak perlu.”
Tambahan pula, dia secara peribadi kurang selesa dengan keangkuhan Ariel, yang sering berlagak kononnya dia datang dari sebuah ‘Keluarga Pendaki’ yang hebat. Kael tahu ancaman sebenar dalam kumpulan itu bukanlah Ariel, tetapi Kudus, orang kanannya yang sentiasa senyap dan berwajah tegang. Dia menggeleng kepala, menolak sebarang kemungkinan untuk bertembung atau bertempur dengan mereka.
Dia beralih ke bahagian lain. “Utara, Kumpulan Roberto.” Satu lagi pangkah dibuat. “Agresif. Aku dengar mereka tak teragak-agak menyerang Pendaki lain hanya untuk merampas Kristal Tenaga. Kerja mudah, cara orang lemah.”
Tangannya beralih. “Barat, Kumpulan Sera.” Pangkah ketiga. “Perempuna. Licik dan terlalu senyap. Tak ada siapa yang tahu apa rancangan kumpulan ini. Lebih baik jauhkan diri.”
Kael berhenti, memandang peta kasarnya di atas tanah. Dia tidak perlu berfikir lama. Analisisnya jelas. Hanya tinggal kawasan timur dan selatan yang masih “bebas” dan selamat untuk Pendaki solo sepertinya. Dia tidak perlu berfikir panjang lagi. Destinasinya sudah ditetapkan.
Setelah menetapkan hala tujunya, dia kemudiannya membuka Panel Misi. Sama seperti Panel Status, satu paparan lut cahaya muncul di hadapannya.
=====
[Misi Utama Bahagian 1]
Menawan Kubu Menara Hutan Tabun Timur
Gred: Asas
Objektif: Mengalahkan Penduduk Asal Tabun yang memegang Token Perintah Kubu Menara Hutan Tabun Timur.
Klu: Pemimpin muda Kampung Hutan Tabun.
Tempoh masa: 20 Hari 16 Jam 09 Minit
Ganjaran:
(Individu)
[+] 5,000 Mata Biasa
[+] Set Pakaian Tempur Asas Gred F
[+] Token Perintah
[+] 30 x Kristal Tenaga Level 5
(Kumpulan)
[+] 3,000 Mata Biasa
[+] Set Pakaian Tempur Asas Gred F
[+] 1 x Kristal Tenaga Level 5
Nota: Jika Pendaki datang berkumpulan, Pendaki yang melakukan serangan terakhir akan diberikan Ganjaran Individu manakala yang lain akan diberikan Ganjaran Kumpulan.
=====
Mata Kael terpaku pada senarai ‘Ganjaran Individu’ di Panel Misi. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Ganjaran lumayan itu memadam segala kerumitan di kepalanya; jalannya kini sudah jelas. Hujung pisau peraknya ditarik membentuk satu garisan lurus, menanda zon timur secara muktamad di atas peta tanah tersebut.
“Baiklah. Ke Kubu Hutan Tabun Timur.”
Kael bingkas bangun lalu menepuk sisa daun kering dari seluarnya. Tiada lagi keraguan yang memberatkan pergerakannya. Langkahnya kini pasti, dipacu oleh satu matlamat mutlak.
Kubu Hutan Tabun Timur bukan sekadar satu lagi struktur pertahanan. Ia adalah lokasi penentu di mana Misi Utama pertama mereka—bagi semua Pendaki Gelombang Ketujuh yang bermula di utara—akan berlangsung.
Nafas ditarik dalam-dalam. Bau hanyir Hutan Tabun seakan-akan berubah menjadi lebih pekat, meresap terus ke rongga dadanya. Dia tahu apa yang menanti di sana.
Sebuah misi yang bakal bermandikan darah dan kekejaman.