Switch Mode

Arka: Pewaris Halilintar – Bab 1

Sumpahan Arka

Satu desisan halus berbunyi. Bau hangit plastik terbakar pantas mencucuk hidung.

Di tangan Arka, skrin telefonnya berkelip-kelip sesaat sebelum terus mati. Hitam.

Arka melepaskan keluhan panjang. Jemari kanannya yang dibalut sarung tangan getah tebal dikepal.

Tiga.

Ini sudah telefon ketiga yang bertukar menjadi bangkai elektronik bulan ini.

“Pelajar? Nak bayar pakai kod QR ke?”

Suara juruwang kafeteria kampus di hadapan menyentak lamunannya. Arka mengangkat muka, memandang juruwang tersebut tetapi dia tidak segera membalas. Ekor matanya menangkap pergerakan beberapa pelajar di meja sebelah. Mereka sedang menjelingnya. Lebih tepat lagi, mereka merenung sarung tangan getah kuning di tangannya.

Dia sedar bahawa itu adalah satu bentuk fesyen yang sangat canggung untuk dipakai di bawah cuaca panas terik. Telinganya menangkap dengan jelas bisikan halus berserta tawa kecil dari arah meja belakang.

Dada Arka serta-merta terasa ketat. Dia benci suasana sebegini. Suasana di mana orang ramai merenung dan menghakimi. Otot bahunya menegang. Tapak tangannya mula berpeluh di sebalik sarung tangan getah.

“Hei, awak okey tak ni?” tegur juruwang itu lagi.

“Err… Saya bayar tunai. Maaf,” balas Arka dalam suara yang agak serak.

Dia pantas meletakkan dua keping not sepuluh di atas kaunter, menyumbat telefon rentungnya ke dalam poket, dan terus melangkah keluar tanpa menoleh.

“Sekejap! Baki awak!” laung juruwang.

Arka melajukan langkah. Baki duit langsung tidak dipedulikan. Dia hanya mahu segera lenyap dari situ.

Pintu kaca kafeteria ditolak kasar. Sebaik sahaja dia melangkah keluar, deria pandangnya terus disapa dengan realiti yang paling dibencinya. Di laluan pejalan kaki kampus, beberapa orang pelajar leka menatal peranti pintar masing-masing. Ada yang sedang membuat pembayaran di mesin layan diri hanya dengan imbasan jam tangan. Semuanya pantas, mudah, dan terhubung.

Tangan Arka di dalam poket jaket menggenggam telefonnya yang sudah menjadi bangkai plastik. Dadanya terasa senak. Pemandangan di hadapannya ini sentiasa mengingatkan betapa cacatnya dia di mata dunia.

Tahun 2026. Era di mana umat manusia bernafas dengan teknologi pintar.

Namun bagi Arka, menyentuh barangan elektronik ibarat memegang bom jangka. Dia dilahirkan dengan anomali biologi—tubuhnya membuak dengan cas bio-elektrik statik tanpa henti. Tanpa lapik penebat seperti sarung tangan getahnya, apa sahaja peranti elektronik yang disentuhnya akan rentung serta-merta.

Bagi Arka, anomali ini adalah satu sumpahan. Ia merampas terus tiketnya untuk menjadi manusia normal. Tiada media sosial, tiada rakan rapat, tiada keberanian. Setiap kali dia berada dalam kelompok manusia, rasa terasing itu datang mencengkam dada.

Dia melajukan langkah ke petak parkir. Fokusnya kini hanya pada satu arah—sebuah motosikal keluaran lama yang menanti di hujung barisan. Jentera itu tidak perlukan Unit Kawalan Enjin (ECU) atau sebarang paparan digital. Hanya karburetor, enjin pembakaran dalam, dan besi padu. Bebas daripada cip mikro. Itulah di antara barang yang tidak akan mati di bawah sentuhan mautnya.

Enjin dihidupkan. Ngauman kasarnya memecah bunyi bingit kota. Arka memulas pendikit, membawa jenteranya meredah trafik padat Bandar Metro Selatan. Tanpa bantuan navigasi digital, otaknya terpaksa bekerja keras menggali ingatan pada lakaran peta yang dihafalnya sebelum ini.

Dua puluh minit meredah jalan, destinasinya masih belum kelihatan.

Nafas Arka mula pendek. Akalnya berserabut. Nak berhenti di bahu jalan dan bertanya arah kepada orang awam? Mustahil. Dia lebih rela sesat daripada menadah pandangan menghakimi manusia terhadapnya hari ini.

Mata Arka masih meliar mencari papan tanda.

Tiba-tiba, keadaan berubah. Cahaya matahari hilang sepenuhnya dan langit menjadi mendung.

Namun, bukan mendung yang beransur gelap. Ia gelap yang berlaku sekelip mata. Arka mendongak. Skrin papan iklan digital di depan masih terang menunjukkan pukul 4:00 petang. Tapi suasana bandar sekarang ini tidak ubah seperti tengah malam.

Angin bertiup kencang. Khemah kedai di bahu jalan melayang ditiup ribut. Hujan turun mendadak dengan sangat lebat, menampar kuat visor topi keledarnya.

Macam mana aku nak cari jalan kalau dah gelap macam ni? rengusnya dalam hati.

Namun, belum sempat dia memproses apa yang sedang berlaku, guruh tiba-tiba berdentum.

Ia bukan sekadar satu bunyi. Sebaliknya, berpuluh-puluh dentuman meledak serentak dari atas, sehinggakan cermin bangunan di sekeliling bergegar kuat.

BAM!

Detik berikutnya, kilat menyambar membelah langit hitam. Cahayanya membutakan mata buat sesaat, sebelum arus itu menghentam tepat pada bumbung sebuah bangunan komersial di depan Arka.

Hentaman tersebut membuatkan struktur konkrit meletup. Serta-merta, serpihan batu mula berterbangan jatuh menghujani jalan raya.

“Lari!” Jeritan seorang pejalan kaki memecah kekalutan.

Belum sempat suara itu hilang, satu lagi letupan bergema.

BOOM!

Panahan kedua meranapkan sebatang tiang lampu isyarat. Besi berat itu tumbang, lalu menghempap sebuah teksi dengan bunyi remukan yang kuat.

“Tolong! Kereta aku terbakar!” raung seorang pemandu sambil merangkak keluar dari kenderaannya yang sudah berasap tebal.

Dalam sekelip mata, jalan raya itu bertukar menjadi zon bencana. Orang awam bertempiaran lari dan merempuh satu sama lain untuk mencari tempat berteduh. Bunyi penggera kenderaan bersahut-sahutan, bercampur-baur dengan jeritan panik.

Di tengah-tengah kekacauan itu, Arka memulas pendikit minyak. Dia meredah celah-celah kenderaan yang berhenti mengejut untuk meloloskan diri. Sambil menunggang, dahinya berkerut tegang memandang ke atas. Dia perasan satu perkara aneh. Kilat yang sabung-menyabung di celah awan hitam itu bukan berwarna putih atau kuning.

Warnanya biru pekat.

“Dah kiamat ke?” gumamnya perlahan.

Jika benar, dia belum bersedia. Serta-merta, bulu roma di tengkuknya meremang. Udara di sekeliling turut berbau pelik. Dia menahan nafas apabila naluri kelangsungan hidupnya menjerit amaran. Fikirannya cuma satu—dia perlu keluar dari zon bencana ini secepat mungkin.

Namun, ketika dia cuba memecut, satu lagi keganjilan berlaku. Arka tiba-tiba dapat merasakan cas statik di dalam darahnya bertindak balas. Ia bergetar kasar, seakan-akan ditarik oleh sesuatu dari langit.

ZAPP!

Panahan biru merobek bumbung perhentian bas hanya beberapa meter di sebelah kirinya.

ZAPP!

Satu lagi panahan menghancurkan hud kereta di belakangnya.

Jantung Arka berdegup laju. Dia mula tersedar sesuatu. Panahan-panahan cahaya biru yang menjunam dari balik awan itu bukanlah serangan rawak. Setiap panahan mengekorinya, seolah-olah sengaja mengepung ruang larinya.

Sasarannya adalah dia.

“Kenapa aku?! Memang hari ni aku mati ke?!” jerit Arka separuh panik.

Secara refleks, tangannya merentap brek kecemasan. Disebabkan permukaan tar yang basah, tayar belakang motosikalnya terus hilang cengkaman. Tubuh Arka terhumban ke hadapan. Dia berguling beberapa kali di atas jalan raya sebelum terhempas keras ke pembahagi konkrit.

“Argghh!” rintihnya menahan perit.

Bahu kanannya terasa ngilu. Namun, tiada siapa yang perasan akan keadaannya kerana masing-masing sedang sibuk menyelamatkan diri. Sambil menahan sakit, Arka pantas menoleh ke langit.

Kali ini, apa yang dilihatnya jauh lebih gila. Hujan tiang cahaya biru sedang menjunam ke bumi. Dan salah satunya memancar tepat ke arahnya.

Letupan yang memekakkan telinga menelan segala bunyi di sekeliling. Jalan raya hancur musnah. Cahaya yang membutakan mata itu menelan tubuh Arka hidup-hidup.

Sakit.

Itu isyarat pertama yang sampai ke otaknya. Arka berasa setiap inci tubuhnya seakan-akan dicarik dan dibakar. Darahnya mendidih kepanasan. Dia membuka mulut untuk menjerit, tetapi suaranya tersekat di kerongkong. Ruang di sekelilingnya tiba-tiba terasa sangat mampat, menekan tubuhnya dengan daya graviti yang luar biasa.

Namun, kesakitan itu hanya bertahan beberapa saat sebelum ia lesap sepenuhnya. Arka terkedu.

Dia baru sahaja disambar petir. Logiknya, dia sepatutnya cedera parah atau sedang mengerang kesakitan.

Atau… aku dah mati?

Fikirannya pantas menimbang kemungkinan tersebut. Hanya kematian satu-satunya alasan yang masuk akal untuk memadamkan keseksaan itu dalam sekelip mata.

Tiba-tiba, satu denyutan tenaga asing mula mengambil alih tubuhnya. Ia bermula dengan getaran halus, sebelum terus bertukar ganas. Tenaga itu dipam deras dari jantung, mengalir laju di dalam setiap inci urat sarafnya.

Arka tersentak lalu matanya terus terbuka luas.

Walaupun pandangannya berbalam seketika, namun sebaik sahaja ia kembali fokus, penglihatannya kini jauh lebih tajam daripada biasa. Dia memandang sekeling sebelum kemudiannya sedar bahawa dia sedang terbaring di dalam kawah tar yang masih berasap akibat panahan kilat tadi dan hujan pula turun semakin lebat.

Di sekelilingnya, keadaan masih lagi belum reda. Kedengaran bunyi siren bersahutan dari jauh, sementara orang awam terus kelam-kabut menyelamatkan diri. Walau bagaimanapun, dalam kekacauan berskala besar itu, susuk tubuh Arka di dalam kawah tersebut hanya kelihatan seperti mangsa bencana biasa. Tiada sesiapa pun yang perasan akan perubahan pada dirinya.

Keadaan tersebut sekurang-kurangnya memberinya sedikit ruang untuk dia memproses satu perkara ganjil yang serta-merta membuatkan nafasnya terhenti.

Air hujan langsung tidak mengenai kulitnya.

Sebaliknya, titisan air itu sekadar terawang-awang di udara. Ia terapung pegun beberapa inci dari wajahnya, seolah-olah sedang ditahan oleh satu medan tenaga halimunan.

Dengan perasaan yang berbelah bahagi, Arka mengangkat tangan kanannya perlahan-lahan. Sarung tangan getahnya sudah rentung menjadi abu. Namun, di celah jemarinya yang terdedah itu, arus elektrik berwarna biru pekat sedang meliuk-lentok dengan kasar. Malah, percikannya turut berdesir kuat membelah udara.

“Apa… yang dah berlaku ni?” bisiknya.

Komen

Tinggalkan Komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditandakan *

Pilihan

tidak sesuai dengan Dark Mode
Reset